Home » Uncategorized

SENI PERSEMBAHAN MELAYU SEBAGAI PRODUK PELANCONGAN BUDAYA

Lebih kurang enam tahun yang lalu, seorang rakan penggiat bahasa mengandaikan bahawa bahasa Melayu akan pupus dalam tempoh 200 tahun dari waktu tersebut. Andaian tersebut dilakukannya dengan berdasarkan keadaan pada waktu itu. Enam tahun kemudian, keadaannya masih begitu pada pandangan sesetengah pihak – tidak ke hadapan, tidak juga ke belakang.

Dalam keadaan budaya Melayu, termasuk bahasa, semakin suram, kabur, dan terumbang-ambing dilanda gelombang kemodenan, kekuatan untuk kelangsungannya, pada hakikatnya, terletak di dada setiap individu yang masih mengaku dirinya sebagai Melayu. Walau bagaimanapun, kekuatan tersebut seolah-olah tidak kelihatan, mungkin juga tidak ada. Hal ini berlaku, barangkali, kerana orang Melayu amat mudah menerima perubahan dan selalunya kelihatan terlalu bertolak ansur terhadap apa-apa juga perkara yang akhirnya merugikan mereka.

Selain bahasa, seni persembahan Melayu turut terdedah kepada ancaman kepupusan. Berapa banyak orang Melayukah yang masih mampu memainkan alat muzik Melayu, mendendangkan lagu irama asli Melayu, menggerakkan badan serta tangan dan kaki berirama mengikut rentak muzik Melayu, melakonkan watak bangsawan, sebagai contoh? Berapa banyak orangkah pula yang kini dapat melakukan hal yang sebaliknya? Pastinya lebih banyak.

Satu daripada cara untuk “menyelamatkan” seni persembahan Melayu ialah dengan menjadikannya sebagai produk pelancongan budaya. Menurut Pusat Budaya Wilayah dan Tradisional Eropah dan Pertubuhan Pelancongan Dunia, pelancongan budaya merangkum lapan tema, iaitu tapak arkeologi dan muzium, seni bina meliputi runtuhan, bangunan yang masyhur, dan keseluruhan sesebuah bandar lama, kesenian lukisan, arca, kraf, galeri, pesta, dan acara, muzik dan tarian klasik, rakyat/tradisional, dan kontemporari, drama meliputi teater, filem, dan drama, bahasa dan kesusasteraan, perarakan, dan acara, upacara keagamaan dan ziarah, serta seluruh kebudayaan dan subkebudayaan tradisional dan primitif.

Berdasarkan takrif tersebut, seni persembahan Melayu memang tergolong sebagai produk pelancongan budaya. Yang tidak dapat dinafikan ialah bahawa setiap negeri di negara ini mempunyai seni persembahan Melayu yang dapat diketengahkan sebagai produk pelancongan budaya yang mampu menarik pelancong asing, terutamanya. Dikir barat di Kelantan, kuda kepang di Johor, ulit mayang di Terengganu – sekadar menyebut beberapa contoh.

Walaupun langkah tersebut dapat dilihat sebagai usaha “menyelamatkan” seni persembahan Melayu daripada kepupusan, hal yang lebih penting ialah menimbulkan kesedaran dalam kalangan orang Melayu tentang mustahaknya seni persembahan tersebut dalam tamadun mereka. Kepupusannya akan menyebabkan hilangnya satu daripada khazanah dan kebijaksanaan tamadun Melayu. Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara hanya mampu merancang kegiatan seni persembahan tersebut. Yang akan memastikan kelangsungannya hanyalah, tidak lain dan tidak bukan, pemilik seni persembahan itu.

Selamat menyambut Hari Malaysia 2014.

Armin Azhari Saleh

Artikel ini dipetik dari majalah Dewan Budaya keluaran September 2014.