RAWATAN PENCEGAHAN BURUT DALAM MASYARAKAT BAJAU SAMA’

Teks: Sabran Kibong

Dalam dunia pascamoden sekarang, perubatan tradisional semakin dipinggirkan. Namun demikian, bagi masyarakat Bajau Sama’ di Sabah, warisan pengubatan leluhur mereka masih utuh dilestarikan. Pelbagai alternatif dilakukan dalam perubatan tradisional Bajau Sama’ supaya tidak lapuk ditelan zaman.

Aspek perbidanan masa ini lebih popular dengan wanita berseragam putih yang dikenali sebagai jururawat desa. Mereka sudah mengambil alih peranan nenek tua bidan kampung si serata pelosok desa di negara kita. Konotasi jururawat yang membawa kaedah perubatan berteknologi membawa wajah baharu terhadap dunia perbidanan.

Namun begitu, peranan bidan kampung dalam masyarakat Bajau Sama’ masih hidup dengan nilai warisan perubatannya, malah masih relevan digunakan dalam arus pemodenan. Khidmat bidan kampung masih tetap diperlukan di beberapa buah daerah majoriti petempatan Bajau Sama’, seperti Kota Belud dan Tuaran.

Bagi masyarakat Bajau Sama’, tugas perbidanan begitu sinonim dengan alam kehidupan manusia simboliknya sebagai pembuka pintu kelahiran. Bayi yang baru lahir memerlukan penjagaan rapi. Bayi mudah diserang penyakit, seperti demam, kembung perut dan masuk angin. Kerap terjadi juga bayi yang baru lahir terkena penyakit burut, sejenis penyakit kampung.

Bagi masyarakat Bajau Sama’, penyakit burut juga dikenali sebagai benurut, iaitu pengumpulan angin yang berada di kawasan kemaluan bayi atau lebih jelas di bahagian ari-ari. Menurut kepercayaan masyarakat ini, penyakit burut perlu disampang ketika bayi berusia tiga hari agar tidak melarat menjadi burut. Pada peringkat awal, penyakit bayi ini dikenali sebagai buntal-buntalan.

Perkataan buntal-buntalan ialah kata pinjaman bidan kampung Bajau Sama’ terhadap penyakit burut. Penyakit ini dapat dikesan apabila seseorang bidan itu melihat bahagian ari-ari bayi tersebut yang mengalami masalah bengkak kecil kerana kekembungan. Bagi bayi lelaki, masalah kekembungan itu berlaku pada bahagian kanan atau kiri buah zakar apabila keadaan biji atau telur membesar. Bagi bayi perempuan pula, masalah kekembungan itu berlaku pada bahagian atas kemaluan, iaitu bahagian ari-ari atau turut dikenali sebagai tundun oleh masyarakat Bajau Sama’.

Seseorang bidan kampung yang telah ditempah untuk mengurus segala hal adat kelahiran mempunyai tanggungjawab yang cukup besar bagi memastikan ibu dan anak mendapat rawatan yang sempurna. Seperti yang kita tahu, bayi yang baru lahir memerlukan penjagaan yang lebih rapi. Oleh itu, sebagai bidan yang arif tentang perubatan tradisional, penyakit, seperti buntal-buntalan, perlu disampang lebih dahulu agar tidak melarat menjadi penyakit burut sehingga mendatangkan mudarat.

Penyakit burut bukan hanya mampu menyebabkan bayi sering mengalami kesakitan yang melampau pada bahagian kemaluan, malah penyakit ini dapat melarat ke alam dewasa. Rawatan bagi penyakit burut ini dilakukan sebelum hari gugurnya tali pusat bayi tersebut. Bayi akan segera disampang dengan menggunakan jampi dan kaedah tumbuh-tumbuhan seiring dengan beberapa pantang larang yang ditekankan sepanjang tempoh rawatan yang menggunakan perubatan tradisional. Antara jampi yang dibaca semasa rawatan terhadap penyakit buntal-buntalan termasuklah:

E buntal e betitik kepala agung-agung,

Bamban badan baiduri buntal,

Memberi mauk, naik si raja,

Tawar turun si raja bisa.

***

Artikel ini dipetik dari majalah Dewan Budaya keluaran Januari 2016.

Pokok Tuba Menghalau Kejahatan

Oleh: Jasman Bandar

Pengaruh sekitaran memberikan sumbangan kepada lahirnya perubatan tradisional yang mempunyai unsur spiritual dalam proses penyembuhan penyakit. Penelitian yang dilakukan oleh penulis mendapati bahawa terdapat unsur natural dan ghaib (supernatural) dalam tradisi perubatan orang Bajau Kota Marudu. Unsur natural dalam tumbuhtumbuhan itu dikaitkan dengan sesuatu yang bersifat praktikal yang dapat dilihat dengan mata kasar dan dapat ditanggapi oleh akal fikiran. Sebagai contohnya, penggunaan akar, daun, buah, kulit, dan batang bunga yang terdapat dalam spesies tumbuhan tertentu digunakan dalam tradisi perubatan dan penyembuhan penyakit orang Bajau Kota Marudu.

Unsur ghaib diperlihatkan melalui adanya kepercayaan yang meyakini bahawa proses penyembuhan penyakit mempunyai kaitan dengan pertolongan “semangat alap” (semangat baik) yang mendiami tumbuh-tumbuhan tersebut. Pertolongan itu membantu usaha memberikan penyembuhan, perlindungan dan keselamatan. Jika dilihat daripada konteks tradisi lisan, setiap tumbuhan yang digunakan dalam tradisi perubatan orang Bajau Kota Marudu mempunyai cerita lisan yang tersendiri.

Dalam penulisan ini, penyelidik memperincikan penggunaan pokok tuba dalam tradisi perubatan dan penyembuhan penyakit orang Bajau Kota Marudu. Hal ini disokong oleh wujudnya kepercayaan orang Bajau Kota Marudu bahawa Nabi Alias merupakan ketua dan penjaga segala tumbuhan di muka bumi ini. Oleh itu, tidak hairanlah jika tumbuh-tumbuhan ini dikaitkan dengan perubatan yang bersifat spiritual yang menggunakan unsur ghaib daripada tumbuh-tumbuhan untuk perubatan, perlindungan dan keselamatan.

Dalam tradisi lisan, orang Bajau Kota Marudu percaya bahawa pokok tuba mempunyai cerita yang tersendiri tentang kewujudan dan kekuatan semangat ghaib yang dimiliki oleh tumbuh-tumbuhan ini. Pada zaman dahulu, aktiviti berburu selalu dilakukan oleh orang Bajau Kota Marudu meskipun mereka terkenal dengan kehebatan beraksi sebagai nelayan di laut. Semasa berburu, mereka sering bertemu dengan pelbagai jenis tumbuhan yang mempunyai keunikan dan kegunaan yang tersendiri.

Apabila tiba di sungai, mereka berehat sambil makan dan minum sementara menunggu hasil buruan mereka, iaitu kijang atau pelanduk. Dalam waktu menunggu jerat mereka mengena haiwan tersebut, mereka singgah sebentar di tepi sungai untuk berehat setelah melalui perjalanan yang jauh dari kampung untuk masuk ke hutan.

Artikel ini dipetik dari majalah Dewan Budaya keluaran Disember 2014.

Keunikan Motif Pantun Bo’or Dusun Kimaragang

Oleh Jafreyson b. Mullin

Dusun Kimaragang merupakan subetnik Kadazan-Dusun di Sabah yang menggunakan bahasa Dusunik. Orang Dusun Kimaragang ini merupakan majoriti penduduk di daerah Kota Marudu. Daerah yang berkeluasan 1917 kilometer persegi ini turut didiami pelbagai etnik lain seperti Bajau, Suluk, Brunei dan Cina. Dari segi kegiatan ekonomi, majoriti orang Dusun Kimaragang menjalankan aktiviti pertanian, penternakan, perikanan dan pembalakan.

Yang menariknya, orang Dusun Kimaragang memiliki khazanah sastera rakyat dalam bentuk pantun (dikenali sebagai bo’or) yang begitu masyhur di Sabah. Namun berikutan proses modenisasi, bo’or semakin dilupakan oleh generasi muda Dusun Kimaragang.

Akibatnya, bo’or hanya dituturkan semasa majlis keramaian tertentu tanpa memikirkan nilai estetika dan motif yang terkandung dalam pantun tersebut. Sebenarnya bo’or penting dalam kehidupan seharian orang Dusun Kimaragang kerana banyak menyelitkan unsur didaktik yang mampu mendisiplinkan perwatakan seseorang dan menyerlahkan nilai budaya.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Budaya Mac 2012.

Posted in: Tradisi

Songkok, Tanjak dan Serban

Oleh Azlin Ahmad Za bidin

Songkok, tanjak dan serban merupakan busana yang dipakai di kepala. Pemakaiannya sering dikaitkan dengan upacara keagamaan, kepahlawanan dan adat istiadat. Dipercayai bahawa songkok, tanjak dan serban dipengaruhi pedagang India yang datang ke Tanah Melayu untuk berniaga.

Songkok lazimnya dipakai oleh masyarakat Melayu Islam ketika pergi menunaikan solat ataupun menghadiri upacara rasmi. Songkok amat popular ketika Hari Raya Aidilfitri.

Reka bentuk songkok hampir sama dengan fez atau tarbus yang amat popular di Turki. Tarbus sebenarnya berasal dari Greek Purba dan diterima pakai oleh kerajaan Turki Uthmaniyyah. Pada asalnya, serban panjang akan dililit pada bahagian tepi tarbus, tetapi lama-kelamaan tidak lagi diguna pakai. Tarbus berbentuk bulat, tetapi kini sedikit panjang dan keras. Di Turki, tarbus berwarna merah.

Dikatakan tarbus menjadi pendahulu kepada songkok yang popular di kepulauan Melayu. Cuma tarbus diubah suai menjadi sedikit bujur dan permukaan bahagian atasnya menjadi rata. Reka bentuk ini menjadi ikutan pada zaman ini, cuma ada penambahbaikan dari segi jahitannya.

Songkok diperbuat daripada kertas, kain baldu dan satin. Pada mulanya, sekeping kertas disusun di antara lapisan satin agar songkok tersebut menjadi kukuh. Kini, penggunaan kadbod menggantikan penggunaan kertas tersebut. Songkok dijahit rapi mengikut bentuk, ketinggian dan saiz kepala yang sesuai, barulah kain baldu dijahit. Kini, zaman semakin berubah, songkok semakin bertambah variasinya mengikut peredaran fesyen. Lazimnya, songkok berwarna hitam, tetapi kini boleh ditemui dengan pelbagai warna.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Budaya Februari 2012.

Posted in: Tradisi

Tradisi Tahun Baharu Cina

Oleh: Goh Sang Seong

Tahun Baharu Cina merupakan  perayaan masyarakat Cina  yang penting. Perayaan ini  bermula pada hari pertama dalam  bulan pertama, dalam kalendar Cina  dan berlanjutan sehingga perayaan  Yuen Xiao yang juga dikenali sebagai  Chap Goh Meh (malam ke-15) dalam  dialek Hokkien. Tahun Baharu Cina  disambut selama 15 hari.

Perayaan Tahun Baharu Cina  dikatakan mula diraikan sejak  zaman Neolitik lagi. Menurut  legenda, tradisi perayaan Tahun  Baharu Cina bermula dengan  perjuangan menentang seekor  raksasa mitos, nien yang bermaksud  “tahun” dalam bahasa Cina.  Raksasa nien muncul pada hari  pertama dalam tahun baharu untuk  membaham ternakan dan manusia  serta merosakkan tanaman. Untuk  melindungi nyawa, penduduk  kampung meletakkan makanan di  hadapan pintu menjelang setiap  tahun baharu. Mereka mempercayai  bahawa nien tidak akan menyerang  orang selepas makan makanan yang  disediakan.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Budaya Januari 2012.

Posted in: Tradisi

Berian Sampai Mati

OLEH SAHARUDDIN OMAR

Mendirikan rumah tangga tidak boleh dianggap perkara yang remeh. Masyarakat hari ini sangat mementingkan perancangan majlis perkahwinan. Perancangan yang rapi dipercayai dapat membantu memastikan majlis perkahwinan yang dirancang berjalan dengan lancar. Majlis perkahwinan yang lancar dapat memberikan kepuasan kepada tetamu yang datang di samping dapat menjaga imej pengantin dan keluarga kedua-dua belah pihak. Perancangan dari segi makanan, pakaian dan jumlah tetamu yang datang menyebabkan masyarakat hari ini mengetepikan adat dan budaya ketika melangsungkan perkahwinan.

Senario ini berbeza daripada masyarakat etnik Murut Tagol yang tinggal berhampiran dengan daerah Pensiangan, Sabah dan sempadan Kalimantan. Kehidupan mereka jauh daripada pembangunan khususnya pembangunan infrastruktur, kerana keadaan geografi yang menjadi penghalang menjadikan etnik Murut Tagol cukup unik dan istimewa dalam memelihara adat dan budaya dalam perkahwinan.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Budaya Disember 2011.

Posted in: Tradisi

Penghormatan Terakhir

OLEH LILY SAMSUDDIN

Setiap makhluk yang hidup pasti akan mati. Bagi rakyat Malaysia yang berbilang kaum, sudah pastinya setiap “pemergian” akan disemadikan mengikut kehendak agama, tradisi mahupun adat masing-masing.

Bagi masyarakat orang asli yang terdiri daripada pelbagai suku kaum, dalam menguruskan kematian, terdapat beberapa perkara yang dilakukan bagi memenuhi ritual kematian yang diamalkan oleh nenek moyang mereka.

Suku kaum Semai merupakan kumpulan penduduk yang tinggal bertaburan di kawasan Banjaran Titiwangsa, meliputi Perak Tengah, Perak Selatan dan Pahang Barat. Orang Semai merupakan suku kaum orang asli yang terbesar jumlahnya dan mereka hidup secara bermasyarakat. Kebiasannya, setiap kampung yang dihuni orang Semai mempunyai sekurang-kurangnya 60 hingga 300 orang penduduk yang diketuai seorang penghulu atau tuk batin yang dilantik daripada golongan berpengaruh, seperti pawang, bomoh dan ketua adat.

Apabila salah seorang penduduk kampung meninggal dunia, sanak-saudara yang berada jauh dan dekat akan dimaklumkan berita kematian tersebut dengan segera. Bukan suku kaum Semai sahaja yang dijemput untuk menziarahi kematian, malah penduduk kampung yang berdekatan turut dijemput bagi menziarahi dan membantu upacara pengebumian.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Budaya Disember 2011.

Posted in: Tradisi