Comments Off

PAWANG ANA SEBUAH HIKAYAT

Oleh Zabidi Ismail

Pawang Ana

asal Sumatera

ketika menetap di Kampung Rao

yakni nama kini pekan Gopeng

acap kali menuturkan cerita lisan

saban malam bertingkah lidah

berkisah seperti air mengalir

berkisah seperti angin menderu

bercerita tentang kayangan

bercerita tentang pengembaraan

dari bumi ke langit

dari langit ke gunung

dari bukit ke lurah

dari Nusantara ke Eropah

dari daratan ke pelabuhan

luar biasa daya ingatan

melebar plot, mengajuk dialog

kisah bertukar menjadi hikayat

ada plot, unsur suspens, klimaks

dan antiklimaks

demikian Pawang Ana

seorang penglipur lara

yang punya banyak cerita lisan

bergaya macam seniman.

Mayat Sejarah

Pawang Ana

tersohor di Gopeng kerana bijak bercerita

saban malam hari dia berkisah

tentang cerita rakyat

tentang lima hikayat

jika tidak bercerita

dia membuka langkah silat

serimau itom seni pertahan diri

selama dua dekad di sini

baktinya terserlah di Pasir Salak

dia menemukan mayat Birch pada 1875

membantu British yang tenggelam minda

tiga hari tiga malam mayat sejarah itu

tersembunyi di perut Sungai Perak.

Guru Silat

Pawang Ana bukan sebarang pawang

dia bukan penyelam tetapi pendekar

dia guru silat serimau itom

cantuman berpuluh-puluh bunga langkah

gayung, cekak, sendeng dan lintau

gelanggangnya di tepi bendang

berpagar jamung pelepah pinang

waktu malam pekat, pekik suara tepis-menepis

serimau itom diajarkan dengan pencak berlapis;

dia guru berilmu menundukkan harimau tempang

TAJAU

Oleh Fujica Anggo

Masyarakat peribumi di Sarawak sememangnya kaya dengan keunikan budaya dan warisan turun-temurun. Terdapat 27 kumpulan etnik di negeri itu. Setiap etnik mempunyai bahasa, budaya, warisan, dan cara hidup yang berbeza.Kebanyakan masyarakat Iban tinggal di kawasan Sungai Saribas, Sungai Skrang, Sungai Batang Lupar dan Sungai Rajang. Oleh sebab itu, mereka lebih dikenali sebagai orang laut.

Antara budaya dan warisan yang terkenal dalam kalangan masyarakat Iban termasuklah penggunaan tajau. Dalam menjalani kehidupan harian, masyarakat Iban menggunakan tajau sejak kurun kesembilan. Tajau, atau lebih dikenali sebagai tempayan, begitu sinonim dalam kalangan masyarakat ini. Selain itu, tajau mempunyai sebutan lain, iaitu benda.

Asal usul kewujudan tajau dapat dikesan daripada kegiatan perdagangan pada zaman kegemilangan kesultanan Melayu Melaka. Pada zaman tersebut, Sarawak menjalin hubungan perdagangan dengan kerajaan Melaka. Hasil hutan dan hasil laut Sarawak, seperti lada hitam, emas, sarang burung, halia, kapur barus dan permata, didagangkan di pelabuhan Melaka.

Kemajuan kegiatan perdagangan di Sarawak menarik minat pedagang asing dari Arab, China dan kepulauan Melayu. Mereka berkunjung ke perairan Santubong. Pedagang ini membawa barang, seperti tembikar, barangan logam, sutera, kain dan perhiasan, ke Sarawak.

Pedagang China membawa tembikar untuk ditukarkan dengan barangan pedagang Sarawak dengan menggunakan sistem barter. Inilah titik permulaan bagi masyarakat Iban menjadikan tajau sebagai barang pelbagai fungsi sehingga mempengaruhi kehidupan harian mereka.

Selain itu, mereka mempunyai budaya tradisi menyimpan pasu. Tradisi itu menjadikan pasu berfungsi sebagai harta simpanan. Oleh sebab itu, tajau dianggap sebagai harta pusaka, sesuatu yang bernilai, sesuatu yang perlu dihormati, dan lambang kemegahan warisan keturunan mereka.

Terdapat perbezaan antara tembikar dengan tempayan. Tembikar ialah barang yang diperbuat daripada tanah liat yang dibakar dan digilap sehingga berkilat, seperti cawan, mangkuk dan pinggan. Tempayan pula sejenis bejana yang diperbuat daripada tanah liat untuk menyimpan air dan hanya berwarna perang atau coklat.

Tajau mempunyai pelbagai saiz dan ketinggian. Terdapat 12 jenis tajau yang mempunyai nilai estetika yang tinggi dalam masyarakat Iban, iaitu tajau guchi (paling kecil dan untuk guna-guna), tajau alas, tajau sergiu, tajau ningka petanda, tajau menaga, tajau jabir, tajau menukul, tajau panding, tajau rusa, tajau singaraja, tajau salang-salang dan tajau kelawah indu benda (tajau legenda).

Tajau merupakan satu daripada simbol kekayaan masyarakat Iban. Semakin banyak tajau yang dimiliki, maka semakin kaya si pemiliknya. Hal ini dikatakan demikian kerana tajau berfungsi sebagai tempat penyimpanan beras selepas tamatnya musim menuai.

***

Artikel ini dipetik dari majalah Dewan Budaya keluaran April 2015.

Keunikan Tarian Dabus


Oleh Ezwafahmey Ahmad Kusaini

Tarian dabus amat popular di Perak. Tarian ini mengandungi unsur lupa, yang dipercayai berasal daripada permainan masa silam orang Islam di Timur Tengah. Tarian ini dikatakan bermula dengan kegiatan masa lapang Nabi Muhammad dan para sahabat, ketika sedang berehat semasa pertempuran dengan musuh Islam. Tarian ini juga mungkin dijadikan sebagai latihan untuk pahlawan perang memperkukuh semangat serta benteng pertahanan mereka bagi menentang musuh.

Pada kurun ke-18, pedagang Islam membawa tarian dabus ke Tanah Melayu. Tarian ini buat kali pertamanya dipersembahkan di hadapan penduduk di Pasir Panjang, Setiawan. Tarian ini dipercayai dibawa oleh nakhoda kapal dari Batu Bara, Aceh. Hal ini dapat dibuktikan oleh perkataan dabus yang berasal daripada perkataan Bugis yang bermaksud lembing tajam. Tarian dabus menggunakan alat yang tajam semasa persembahan. Dabus, atau alat yang diperbuat daripada besi berukuran 10 inci panjang serta berloceng, dibawa oleh dua orang penari ketika persembahan. Sewaktu menari, besi ini dipukul pada badan penari, seolah-olah penari mendapat semangat kepahlawanan yang gagah

perkasa.

Tarian dabus menggabungkan tarian, nyanyian, dan kebolehan serta keberanian. Tarian ini memerlukan alat muzik, seperti gong, rebana besar, rebana kecil dan anak dabus. Selain itu, alat utama lain yang diperlukan ialah anak batu, iaitu sejenis senjata tajam yang berkepala. Dabus atau anak dabus merupakan identiti penting tarian ini. Anak dabus diperbuat daripada besi yang ditajamkan di hujungnya. Di pangkal besi tersebut, terdapat lingkaran yang berbentuk kerawang dan tersemat beberapa gelung besi kecil yang dinamai cincin besi. Cincin besi digunakan untuk membentuk bunyi gemerencing apabila besi digerakkan semasa persembahan.

Tarian dabus biasanya dipersembahkan dalam majlis perkahwinan, pesta pertabalan kerabat diraja, upacara keagamaan, dan hari kenegaraan, seperti hari kemerdekaan. Alat muzik yang digunakan semasa mengiringi tarian ini termasuklah dua gendang, dua tabla, enam kompang dan satu gong. Gong dimainkan oleh seorang sahaja. Gong diperbuat daripada tembaga dan saiznya yang biasa digunakan dalam permainan tradisional yang lain. Gong berfungsi mengiringi muzik rebana, sekali gus memainkan peranan utama pada waktu pembukaan dan penutupan persembahan.

Rebana kecil diperbuat daripada kulit kambing yang dikeringkan. Biasanya ukuran garis pusatnya antara tujuh hingga lapan inci. Rebana dipalu dengan tapak tangan, seperti memukul hadrah atau kompang, serta dimainkan oleh tujuh orang pemain. Rebana berfungsi sebagai pengiring lagu yang dinyanyikan oleh pemain muzik. Rebana besar pula selalunya dimainkan oleh dua orang. Rebana besar juga diperbuat daripada kulit kambing yang dikeringkan. Saiz garis pusatnya antara 14 hingga 15 inci.

Pemain membuat paluan di bahagian tepi dan tengah rebana dengan lebih perlahan dan bunyinya bergema berbanding dengan rebana kecil. Rebana besar memainkan peranan penting kerana segala rentak tarian mengikut rentaknya. Pada masa yang sama, pemain muzik bernyanyi dan mereka mesti menghafal seni kata lagu berzanji. Selalunya lagu berunsurkan agama dinyanyikan kerana berkaitan dengan asal usul dabus. Lagunya ada persamaan dengan lagu berzanji, kompang dan hadrah.

Oleh itu, kombinasi muzik dan tarian dabus penting untuk menghasilkan persembahan yang mantap. Kekurangan salah satu peralatannya menyebabkan persembahannya sumbang. Ahli kumpulan persembahan tarian dabus terdiri antara 15 hingga 18 orang dan dibahagikan kepada dua kumpulan. Satu kumpulan terdiri daripada lapan orang yang bertindak sebagai penari. Kumpulan kedua pula terdiri daripada lapan hingga 10 orang yang bertugas sebagai pemain muzik.

***

Artikel ini dipetik dari majalah Dewan Budaya keluaran Januari 2015.

Terendak Merentasi Zaman

Oleh Azlin Ahmad Zabidin

Terendak kepala ialah sejenis topi atau penutup kepala berbentuk kon dan biasanya dibuat daripada daun nipah, buluh atau rotan. Tujuan pemakaiannya adalah sebagai penutup kepala daripada hujan dan panas. Tidak dapat di pastikan dari mana asalnya terendak kepala. Bukti sejarah menunjukkan bahawa terendak kepala wujud sejak kurun yang ke-13 di seluruh dunia.

Dahulu di Malaysia, orang Cina memakainya ketika mendulang bijih timah; wanita Melayu memakainya ketika melakukan kerja-kerja di sawah; manakala nelayan daripada pelbagai kaum pula memakainya ketika turun ke laut.

Suku kaum Melanau di Sarawak memakai terendak yang dikenali sebagai “Terendak Matu”. Mereka memakai terendak ini ketika menghadiri Pesta Kaul atau Pesta Memuja Pantai. Terendak Matu dibuat daripada dahan pokok sagu atau rumbia. Bahagian bingkai terendak dianyam dengan batang buluh yang diraut nipis, sehingga menutup keseluruhan permukaannya.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Budaya Mac 2012.

Posted in: Warisan

Mengenal Erti Tanjak

Oleh FATIMAH AMAT

Menurut laman web sultan.perak.gov.my, antara pakaian kebesaran raja Melayu ialah tanjak. Semenjak beberapa kurun lamanya raja-raja Melayu memakai kain yang ditenun dengan sutera yang diikat dengan pelbagai solek di hulunya sebagai pakaian kebesaran. Bentuk ikatan (solek) dan warnanya berlainan antara negeri dengan negeri yang lain. Tanjak hampir sama dengan tengkolok.

Ada pihak menggelarnya tanjak, tengkolok atau destar. Umumnya, ketiga-tiga istilah ini merujuk bentuk yang sama, iaitu busana yang dipakai di bahagian kepala. Tanjak dipakai oleh lelaki Melayu dan sering dikaitkan dengan istana, kepahlawanan dan dipakai dalam pelbagai acara adat istiadat bangsa Melayu. Tanjak dipakai untuk melengkapkan pemakaian pakaian tradisional Melayu. Biasanya, tanjak dipadankan dengan bengkung, samping dan baju Melayu berserta keris selit.

Tidak ada tarikh yang tepat tanjak mula dipakai. Walau bagaimanapun, pada zaman Kesultanan Melayu Melaka, tanjak yang dipakai sedikit berbeza daripada tanjak yang dipakai pada hari ini. Dipercayai bahawa tanjak pada zaman Kesultanan Melayu Melaka hanyalah sehelai kain yang diikat di kepala untuk menutup rambut supaya kelihatan kemas. Ikatan kain ini lama-kelamaan berubah dan menjadi semakin cantik mengikut peredaran zaman, diolah dan diubahsuai mengikut kedudukan dan taraf seseorang.

Orang Melayu Melaka menggunakan kebijaksanaan mereka untuk mengubah kain untuk dipakai sebagai penutup kepala. Tanjak dahulunya merupakan lambang status seseorang. Hanya golongan yang berada sahaja mampu memakai tanjak. Maka tidak hairanlah, ketika itu tanjak menjadi sebahagian daripada pakaian raja atau sultan. Tanjak raja pada zaman Melaka dibuat daripada kain sutera dari China atau India. Orang kebanyakan menggunakan tanjak daripada kain biasa.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Budaya Februari 2012.

Posted in: Warisan

Gasing Uri Ligat Berpusing

Oleh Fazil Mohd.

Apabila melihat wajah penonton yang hadir ke Pertandingan Gasing Uri antara Kelantan dengan Terengganu yang diadakan pada November lalu di Kota Bahru, Kelantan, penulis tertanya-tanya tentang keistimewaan permainan ini sehingga ada dalam kalangan mereka yang sanggup datang seawal pukul 7.00 pagi kerana tidak mahu ketinggalan menyaksikan kehebatan pemain gasing dari kedua-dua buah negeri. Sorakan yang kedengaran daripada kedua-dua buah pasukan menggamatkan lagi suasana.

Bagi pembuat dan pemain gasing uri yang terkenal di Kelantan, Ismail Mohamad, yang juga merupakan Ketua Kumpulan Gasing Uri Kubang Che Ayu, setiap pertandingan gasing yang diadakan sentiasa mendapat sokongan daripada peminat. Ada yang datang dari Kuala Lumpur semata-mata mahu menyaksikan kehebatan pemain gasing dan teknik permainan gasing tradisional yang kini jarang-jarang dapat disaksikan.

Permainan gasing di Kelantan umpama irama dan lagu yang tidak dapat dipisahkan. Gasing menjadi permainan yang cukup popular di Kelantan. Sebagai permainan rakyat, gasing menjadi wadah perhubungan sosial yang utuh apabila banyak pertandingan dan persembahan permainan gasing diadakan di sekitar Kelantan sentiasa mendapat sambutan. Permainan gasing juga menjadi salah satu daya tarikan pelancong ke Kelantan. Lebih menarik, permainan tradisional ini turut dikongsi dengan negeri jiran Kelantan, iaitu Terengganu.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Budaya Februari 2012.

Posted in: Warisan

Ambuyat Pelik tetapi Sedap

Oleh: Mohd. Salim

Warna  dan  tekstur  makanan memainkan  peranan yang penting  dalam membangkitkan selera  dan keterujaan seseorang untuk  menjamah   makanan.  Tidak  hairanlah banyak makanan yang  disediakan, khususnya yang  dijual menggunakan pewarna  tiruan yang bertujuan untuk  menarik perhatian pembeli. Hari  ini, dalam penyediaan makanan  tradisional, pelbagai perwarna  tiruan turut digunakan yang  akhirnya mengubah rasa asli kuih  atau makanan tradisional.

Bagi masyarakat Bisaya di Sabah,  warna tidak memainkan peranan  yang penting dalam makanan  tradisional  mereka.  Mereka  memiliki makanan tradisional  yang bentuk dan teksturnya tidak  menarik, tetapi rasanya cukup  enak. Ambuyat merupakan makanan  tradisional kaum Bisaya di Sabah  dan di Brunei. Ambuyat berwarna  putih cair dan teksturnya seperti  gam.  Ambuyat menjadi hidangan  wajib ketika kenduri perkahwinan  dan ketika hari keramaian bagi  penduduk Bisaya. Ada ketikanya,  ambuyat dimakan bersama-sama  sebagai hidangan makan tengah  hari bagi menggantikan nasi.  Bagi kanak-kanak kaum Bisaya,  mereka turut menyukai ambuyat dan membesar dengan makanan  tradisional nenek moyang mereka  itu.

Ambuyat diperbuat daripada  pokok rumbia yang diproses  menjadi  sagu  rumbia.  Bagi  masyarakat Bisaya yang tinggal  di Beaufort, Sabah, untuk membuat  ambuyat, mereka perlu meredah  hutan mencari pokok sagu. Pokok  sagu akan ditebang dan dibawa  ke pondok pemprosesan sagu. Di  pondok tersebut, kebiasaannya  kaum lelaki bertanggungjawab  mengupas kulit batang sagu  tersebut. Batang sagu yang telah  dikupas, dibelah bagi mengeluarkan  isi sagu yang terdapat di bahagian  tengah batang sagu.  Kemudian, isi  sagu yang berwarna putih  dipotong  kecil dan halus. Sagu yang dipotong  ditapis dan direndam untuk tempoh  tiga hari di dalam baldi yang berisi  air. Secara keseluruhannya, proses  ini memakan masa selama sehari  untuk disiapkan. Selepas tempoh  satu atau dua hari,  isi sagu yang  direndam akan menjadi sebatian.  Sebatian ini ialah sagu yang  dimasak menjadi ambuyat.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Budaya Januari 2012.

Posted in: Warisan

Yoyo Cina Menguji Fizikal dan Mental

OLEH DHANIA KAMARULZAMAN

Penulis hanya memerhatikannya dari jauh kelihatan beberapa orang anak muda berbangsa Cina, yang begitu bersungguh-sungguh memainkan sebuah permainan yang amat unik sekali. Penulis begitu tertarik melihat kesungguhan anak-anak muda tersebut dan cuba untuk menghampiri mereka dengan lebih rapat lagi. Setelah diamati, mereka memberitahu penulis bahawa mereka sedang bermain permainan tradisional masyarakat Cina, iaitu yoyo Cina.

Permainan ini memerlukan penggunaan kedua-dua belah tangan. Yoyo Cina, atau juga dikenali sebagai diabolo, amat berbeza daripada yoyo moden. Pada kebiasaannya, permainan yoyo moden memerlukan sebelah tangan, sama ada kiri atau kanan, mengikut keselesaan pemain.

Menurut sejarah, yoyo Cina yang berasal dari China wujud sejak zaman Dinasti Ming, iaitu sekitar tahun 1386 hingga tahun 1644. Yoyo Cina mempunyai dua cakera yang sama saiz yang dihubungkan oleh tali yang panjang. Yoyo Cina sentiasa berpusing pada tali yang diikat pada dua batang kayu kecil.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Budaya Disember 2011.

Posted in: Warisan

Rodat Pengisian Kehidupan

OLEH JAJA ALI

Terletak di pantai timur, Semenanjung Malaysia, Terengganu, yang berkeluasan 12 955 kilometer dan dihuni masyarakat pelbagai kaum, merupakan antara negeri yang kaya dengan pelbagai adat dan budaya. Salah satunya ialah rodat yang merupakan tarian tradisi yang berkembang di Terengganu. Rodat mempunyai fungsi sosial berhubung dengan pengisian kehidupan bermasyarakat. Pantun dan sajak yang dinyanyikan dalam persembahan rodat mempunyai peranan dan pengaruh yang signifikan.

Di Terengganu, rodat menjadi persembahan kesenian yang popular dalam majlis perkahwinan, kenduri, berkhatan, musim menuai, hari kebesaran diraja dan pelbagai pesta kebudayaan. Setiap persembahan rodat, diiringi tarian, nyanyian dan paluan rebana tar atau tar rodat. Asal usul Rodat di Terengganu tidak dapat dipastikan dengan tepat. Meskipun rodat dipercayai berasal dari Arab, Buletin Warisan (Mac 1979), Persatuan Sejarah Malaysia Terengganu menyebut bahawa pada awal abad ke-19, didapati pedagang dari Sambas dan Pontianak, Indonesia datang ke Terengganu untuk membeli budu, songket dan keperluan harian mereka.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Budaya Disember 2011.

Posted in: Warisan