Home » Masyarakat Dan Seni » Rencana Khas Kulit

Alat Kebesaran Diraja

Oleh Mohd. Fadzly Mohd. Fairuz

Sistem beraja di Malaysia merupakan satu-satunya sistem beraja di dunia yang mengamalkan sistem penggiliran. Lantaran itu, sistem beraja di negara ini dianggap unik berbanding dengan negara lain yang mengekalkan kekuasaan seseorang raja sehingga raja tersebut mangkat.

Bagi Malaysia, raja hanya menjalankan tanggungjawabnya selaku ketua negara selama lima tahun dan kemudian digantikan dengan raja dari negeri lain. Pemilihan raja adalah berdasarkan sistem penggiliran yang hanya diberikan kepada Raja Melayu dari negeri yang dahulunya dikenali sebagai Negeri Melayu Bersekutu dan Negeri Melayu Tidak Bersekutu. Negeri Melayu Bersekutu terdiri daripada Perak, Negeri Sembilan, Selangor dan Pahang. Manakala Negeri Melayu Tidak Bersekutu pula ialah Perlis, Kedah, Kelantan, Terengganu dan Johor.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Budaya April 2012.

Upacara Perkahwinan Orang Melayu

Oleh Mohd. Syukri Anwar

Orang Melayu sangat berpegang teguh pada adat dan tradisi. Daripada majlis pertunangan kepada perkahwinan, orang Melayu sangat mementingkan setiap tatacara adat kerana mereka percaya kepatuhan tersebut mempengaruhi masa hadapan pasangan yang bakal berkahwin. Malah, upacara perkahwinan bukan sekadar penting kepada pengantin, tetapi turut dititikberatkan oleh ibu bapa,  sanak saudara dan sahabat-handai.

Dahulu, bagi orang Melayu, ibu bapa pihak lelaki mencarikan calon pengantin perempuan untuk anak lelaki mereka setelah sampai waktunya. Ada juga yang meminta bantuan daripada sanak saudara bagi membantu mencari calon yang baik.

Walau bagaimanapun perkara ini hampir sukar ditemui pada zaman sekarang kerana bimbang banyak calon yang dipilih tidak serasi dengan mereka. Setelah calon perempuan dijumpai, upacara merisik dan pertunangan dilangsungkan.

Majlis pertunangan diadakan di rumah pihak perempuan. Hanya ahli keluarga dan sanak saudara menjadi wakil pihak lelaki terlibat dalam majlis ini.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Budaya Mac 2012.

Siam Pelindung Tanah Melayu

Oleh Shamsiah Abd. Kadir

Sejarah dan asal usul Thailand menunjukkan bahawa negara ini mempunyai pengaruh yang sangat kuat. Bermula pada awal tahun 1200, orang Siam mendirikan kerajaan kecil di Lanna, Phayao dan Sukhotai. Pada tahun 1238, mula berdirinya sebuah kerajaan Siam yang merdeka penuh di Sukhotai, yang membawa maksud Fajar Kebahagiaan. Sehingga tahun1300, Sukhotai dikuasai kerajaan Ayutthaya. Kerajaan itu akhirnya direbut oleh Burma pada tahun 1767. Jatuhnya Ayutthaya menjadi “pukulan” besar buat orang Siam ketika itu.

Namun begitu, tidak lama kemudian, Raja Taksin berjaya mengusir kerajaan Burma dan baginda mendirikan ibu kotanya di Thon Buri. Pada tahun 1782, raja pertama daripada Dinasti Chakri berjaya menguasai Thailand sehingga hari ini dan mendirikan ibu kota baharu di Bangkok. Sehubungan itu, Raja Mongkut (Rama IV) dan puteranya, Raja Chulalongkorn (Rama V), sangat dihormati kerana berjaya menyelamatkan Thailand daripada kuasa penjajahan Barat.

Siam berjaya menyebarkan kuasanya hampir di seluruh dunia. Salah satu daripadanya ialah Kota Ayudhya yang berkembang pesat dan dikenali sebagai “Kota Siam” di Barat dan kawasan sekitarnya. Pengaruhnya berhijrah jauh hingga selatan dan mengambil alih peranan Sukhothai, kerajaan Siam di Perak (Gangga Negara), Johor (Khlangkeo) dan Pahang (Inderapura) yang mempunyai kaitan rapat dengan Ayudhya.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Budaya Februari 2012.

Seni Pertukangan Logam Melayu

Oleh: Shamsiah Abd. Kadir

Muzium  merupakan  “destinasi” yang kaya  dengan ilmu. Pelbagai  maklumat  boleh didapati di muzium,  termasuklah sejarah peninggalan  nenek moyang yang merangkumi  aspek seni, budaya, sosial dan  ekonomi, yang boleh dipelajari dan  dikongsi bersama-sama.

Muzium Perak, yang terletak  di Taiping, merupakan salah satu  muzium yang kaya dengan ilmu  sejarah. Muzium Perak merupakan  institusi muzium tertua di Malaysia.  Diasaskan oleh Sir Hugh Low  dan kurator pertamanya, Leonard  Wray Jr., pada tahun 1883, yang  menempatkan pelbagai koleksi  spesimen zoologi, herbarium dan  alat budaya masyarakat Melayu.  Antaranya  termasuklah  alat  pertukangan logam seperti cutam,  perak dan tembaga.

Penggunaan  bahan  logam  dalam kehidupan harian manusia  bermula sejak zaman purba lagi.  Kebijaksanaan menggunakan  bahan logam pada zaman purba  merupakan sesuatu yang sangat  menarik.  Hal  ini  dikatakan  demikian kerana logam ialah  bahan yang tidak boleh dipecahkan  untuk menghasilkan sesuatu alat,  seperti alatan yang diperbuat  daripada batu. Penggunaan alat  yang diperbuat daripada logam  yang berukir berterusan sehingga  kini.  Orang  Melayu  banyak  menghasilkan alat yang diperbuat  daripada logam. Seni ukiran pada  alat logam yang dihasilkan oleh  tukang Melayu dapat dilihat pada  senjata tradisional, peralatan rumah  dan perhiasan diri.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Budaya Januari 2012.

Merungkai Teori Kedatangan Islam di Tanah Melayu

OLEH SHAMSIAH ABD. KADIR

Sejarah telah melakarkan pelbagai persoalan. Kenyataan dan tindak balas daripada persoalan yang terbit melahirkan pelbagai teori. Antara teori yang terhasil termasuklah kedatangan Islam ke Tanah Melayu. Terdapat tiga teori yang berbeza tentang kedatangan Islam di Tanah Melayu, iaitu kedatangan Islam dari India, China dan Arab. Teori ini banyak dikemukakan oleh sarjana terkemuka dunia, seperti Snouck Hugronje, B. Harisson, Thomas Arnold, dan R.O Winstedt. Teori yang dikemukakan oleh mereka ini sama ada berasaskan penemuan sumber sejarah atau rasional sarjana itu sendiri dalam menyusun kepelbagaian sangkaan sehingga lahir teori kedatangan Islam di Tanah Melayu.

Menurut sejarah, terdapat bukti yang menyatakan bahawa agama Islam itu dibawa secara langsung dari Arab. Sebagai contoh, raja Kedah, Maharaja Derbar Raja II, memeluk agama Islam pada tahun 1136 Masihi (M), oleh Sheikh Abdullah bin Sheikh Ahmad al-Qaumiri al-Yamani, seorang ulama berbangsa Arab yang datang dari Yaman.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Budaya Disember 2011.