Home » Forum

Layakkah Artis Menjadi Idola?

Oleh Mohd. Asri Mohama d dan Mohd. Fadzly Mohd. Fairuz

Mereka tampil dengan imej yang baharu. Jika dahulu mereka dikenali dengan imej seksi, menggoda, dan penuh glamor, sekarang imej mereka penuh bersopan, bersih dan “sejuk” mata memandang.

Akhil Abdul Hayy, Catriona Ross, Norzizi Zulkifli, Pot Innuendo, Azan Ruffedge, Sham Kamikaze, Wardina Safiyyah dan Azmil Mustafa, sekadar menyebut beberapa nama artis yang berubah secara keseluruhan imej dangaya hidup mereka sekarang berbanding dengan dahulu. Ada pihak yang mendakwa mereka ini sudah mendapat hidayah daripada Allah. Bahkan, ada dalam kalangan mereka sekarang menjadi pendakwah agama.

Namun begitu, bukan semua pihak yang senang dengan perubahan imej mereka. Dalam sebuah akhbar tempatan baru-baru ini memaparkan kisah beberapa orang artis yang sudah berubah imej ini dicerca dan dipulaukan oleh rakan artis lain dan peminat yang tidak boleh menerima perubahan imej mereka.

Ada pula pihak yang mendakwa bahawa mustahil seseorang artis itu boleh berubah dan meninggalkan godaan dunia seni yang penuh glamor, kemasyhuran dan kemewahan. Jadi, jika benar seseorang artis itu boleh menghadapi “godaan” dunia seni dan bersedia meninggalkan kehidupan yang penuh glamor setelah mendapat hidayah Allah sehingga sanggup mengubah gaya hidup mereka ke arah kebaikan, maka bukankah sewajarnya mereka diangkat sebagai idola kepada masyarakat?

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Budaya April 2012.

Posted in: Forum

Untung Nasib Novelis Malaysia

Oleh Aninah Janang

Filem yang diadaptasi daripada novel tibatiba menjadi fenomena yang luar biasa di negara ini. Selepas adaptasi novel Lagenda Budak Setan ke filem berjaya sehingga mencatat kutipan sebanyak RM4.3 juta, Ombak Rindu pula “berombak” di pawagam sehingga mencecah kutipan RM14 juta. Banyak air mata yang tumpah menyaksikan karya adaptasi daripada penulis novel terkenal, Fauziah Ashari.

Namun belum pun tempoh penayangan filem tersebut tamat, Fauziah meluahkan ketidakpuasan hatinya berhubung terma perjanjian penerbitan novelnya. Soal royalti dan hak cipta pengkarya bukanlah isu yang baharu. Banyak penulis novel yang “makan hati” apabila karya yang dihasilkan daripada titik peluh dan penat akal mereka hanya menguntungkan pihak yang lain. Royalti yang diberikan pula bergantung pada syarikat yang menerbitkan karya mereka.

Sebagai penerbit, syarikat memiliki hak untuk menguruskan naskhah novel sekiranya mahu diadaptasi ke pementasan teater, filem dan sebagainya. Apabila novel beralih ke filem, penerbit tidak menganggap penulis skrip novel sebagai orang  penting bagi mengadun jalan cerita meskipun hanya sebagai pemerhati dalam menghasilkan skrip. Akhirnya, apabila filem ditayangkan, penulis terkedu kerana apa-apa yang dipaparkan bukanlah adaptasi dalam konteks yang sebenar.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Budaya Februari 2012.

Posted in: Forum

Hala Tuju Dana Industri Kreatif

Oleh: Aninah Janang

Dasar Industri Kreatif Negara  (DIKN) yang dilancarkan  pada 21 Oktober lalu bukan  sahaja memperkasakan industri  kreatif negara, tetapi mampu  menjanakan perolehan secara  langsung sehingga RM7.2 bilion  setahun dan bakal mewujudkan 50  000 peluang pekerjaan menjelang  tahun 2020. Sumbangan dasar  industri kreatif kepada Keluaran  Dalam Kasar Negara (KDNK)  diyakini melonjak berbanding  dengan kira-kira dua peratus  ketika ini. Jumlah ini, walau  bagaimanapun, bergantung pada  pemasaran dan latihan yang  dilaksanakan oleh pemain dalam  industri ini.

DIKN digubal berpaksikan tiga  skop utama, iaitu multimedia,  seni budaya dan warisan, dengan  menggariskan 11 strategi dan 51  pelan tindakan bagi memenuhi  keperluan  industri.  Dalam  merealisasikan matlamat dasar  tersebut, amat penting untuk  memupuk bakat muda pada  peringkat sekolah menengah  dan menarik minat mereka  menceburkan diri dalam bidang  yang ditetapkan. Hal ini termasuk  menyediakan pelbagai peluang,  latihan serta bimbingan selain  pemasaran. Selain itu, usaha  sama dengan universiti awam  dan swasta wajar digembleng  bagi mengetengahkan bakat mereka dalam menghasilkan  produksi yang berkualiti. Kerajaan  juga menyediakan pelbagai  program dan dana yang bertujuan  menggalakkan pertumbuhan  industri kreatif termasuklah  pinjaman Dana Industri Kreatif  RM200 juta yang dilancarkan pada  2009. Selain itu, dana pendigitalan  bernilai RM119 juta serta geran  RM100 juta yang diuruskan  Suruhanjaya Komunikasi dan  Multimedia Malaysia untuk  penghasilan kandungan kreatif  multimedia.

Persoalannya, sejauh manakah  DIKN mampu mengubah landskap  industri kreatif di Malaysia?  Adakah sekolah dan institusi  penggajian tinggi bersedia memikul  tanggungjawab untuk memastikan  DIKN berjaya dilaksanakan?  Dewan Budaya menjemput dua  orang ahli panel, Pengetua Sekolah  Seni Malaysia Kuching, Sluhi  Lamat dan Timbalan Dekan Fakulti  Kreatif Multimedia, Universiti  Multimedia, Khairul Hazrin untuk  membincangkan isu ini dengan  lebih lanjut.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Budaya Januari 2012.

Posted in: Forum

Kelangsungan Dondang Sayang

OLEH ANINAH JANANG

Dondang sayang umpama nadi masyarakat Baba Nyonya. Hiburan berbalas pantun secara spontan dengan gaya santai dan lucu sudah sebati dalam budaya Baba Nyonya. Kekuatan dondang sayang terletak pada pemantun yang bijak menggunakan kiasan, kasih, budi dan sindiran menyebabkan tidak banyak pemantun dondang sayang dalam kalangan generasi baharu yang dapat mewarisi budaya ini. Hal ini mengakibatkan dondang sayang jarang-jarang dipersembahkan dalam kenduri perkahwinan atau majlis kebudayaan yang lain. Dalam kalangan Baba Nyonya, dondang sayang masih terpelihara, namun jumlah pemantun yang berkebolehan semakin berkurangan. Yang dibimbangkan ialah dondang sayang akan berkubur dan generasi muda tidak mengenali keunikan dondang sayang. Dewan Budaya (DB) menjemput tiga orang panel, untuk mengupas isu ini dengan lebih lanjut, iaitu Pengerusi Badan Kesenian Baba Nyonya Melaka (KEBAYA), Koh Kim Bok, Pengerusi Institut Seni Malaysia Melaka (ISMMA), Profesor Datuk Wira Dr. Abdul Latiff Abu Bakar, dan generasi muda Baba Nyonya, Cedric Tan.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Budaya Disember 2011.

Posted in: Forum