Oleh Mohd. Fad zly Mohd. Fairuz
Tajuk: Tun Perak : Pencetus Wawasan Empayar Melaka
Pengarang: Muhd. Yusof Ibrahim
Penerbit: Tinta Publishers
Tahun Terbitan: Cetakan Pertama (2009)
Harga: RM28.00
Sejarah menyatakan bahawa Tun Perak merupakan salah seorang tokoh yang bertanggungjawab dalam membentuk zaman kegemilangan Melaka. Tun Perak atau nama rasminya iaitu Bendahara Seri Paduka Raja Tun Perak bin Tun Perpatih Sedang merupakan Bendahara Kesultanan Melayu Melaka yang kelima.
Kemasyhurannya sebagai Bendahara Melaka menandingi Bendahara Melaka yang sebelumnya. Sememangnya Melaka merupakan kerajaan yang terkenal dengan aktiviti perdagangannya pada zaman tersebut dan individu yang bertanggungjawab dalam menjadikan Melaka sebagai pusat perdagangan terbaik ialah Tun Perak.
Buku bertajuk, Tun Perak Pencetus Wawasan Empayar Melaka, menceritakan perjalanan Tun Perak semenjak dari zaman remajanya sehinggalah menjadi seorang tokoh penting dalam Kesultanan Melayu Melaka. Buku ini merupakan naskhah yang melakarkan perjalanan hidup seorang tokoh agung kepulauan Melayu.
Buku ini dibahagikan kepada tiga latar masa berbeza bagi menampilkan ketokohan Tun Perak bermula dengan zaman remaja, kepimpinan awal dan pada era pencetus wawasan empayar. Penulis menghuraikan plot penceritaan melalui beberapa peristiwa penting seperti yang dihuraikan dalam subtajuk, “Kepulangan Sultan Dari Majapahit”, “Hang Tuah Diselamatkan” dan sebagainya seperti yang terdapat dalam buku tersebut.
Sememangnya banyak peristiwa penting yang berlaku pada zaman kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka terjadi ketika era kepimpinan Tun Perak sebagai Bendahara Melaka. Antara peristiwa yang menjadi sejarah penting Kesultanan Melayu Melaka ketika era kepimpinan Tun Perak adalah seperti kemunculan Hang Tuah dan juga pemberontakan Hang Jebat. Sememangnya kisah lagenda Hang Tuah lima bersaudara ini berkait rapat dengan era kepimpinan Tun Perak.
Dalam naskhah ini juga menceritakan tentang kebijaksanaan Tun Perak dalam menggalas tugas sebagai penasihat Sultan Melaka sehingga berjaya membawa banyak kemajuan kepada Kesultanan Melayu Melaka ketika itu. Selain pembaca diperjelaskan tentang strategi Tun Perak dalam mengawal dan membentuk perhubungan antarabangsa sehingga menjadikan Melaka sebuah empayar yang makmur dan masyhur. Pembaca juga didedahkan oleh penulis mengenai perhubungan Tun Perak dengan masyarakat Melayu dan beberapa cerita tentang keluarga Tun Perak.
Buku ini yang dihasilkan penceritaannya dalam bentuk novel ini mempunyai jalan cerita menarik dan mudah difahami. Dengan susunan latar masanya yang berperingkat, buku ini dapat memandu pembaca untuk lebih mengetahui perkembangan kehidupan Tun Perak dari usia mudanya sebelum bergelar Bendahara Melaka yang tersohor. Laras bahasa yang digunakan juga mudah untuk difahami dan diperjelaskan dengan baik setiap peristiwa yang ingin dinyatakan oleh penulis.
___
Rencana ini dipetik daripada Dewan Budaya April 2012.
Tajuk: Nota Kaki Johan Jaafar
Pengarang: Johan Jaafar
Penerbit: Balang Rimbun Sendirian Berhad
Tahun Terbitan: Cetakan Pertama (2010)
Harga: RM60.00 (Semenanjung Malaysia) RM65.00 (Sabah/Sarawak)
Buku Nota Kaki merupakan sebuah buku yang menghimpunkan makalah penulis tersohor tanah air iaitu Johan Jaafar sejak dari mula beliau menghasilkan ruangan “Nota Kaki” di akhbar Utusan Malaysia. Sememangnya ruangan tersebut dikenali dengan mutu makalahnya yang baik sejak diperkenalkan dan menjadi tumpuan pembaca.
Semuanya bermula pada Mei 1994 dengan makalah bertajuk, “Siapa Yang Lebih “Barbaric”?. Makalah tersebut menjadi penghasilan makalah pertamanya dan beliau terus menulis sehingga Julai 1998 menerusi makalah terakhir, “Antara Kati dan Kilo”. Sememangnya penulisan makalah dalam ruangan “Nota Kaki” diterima baik ketika itu kerana penggunaan bahasanya yang mudah untuk difahami pembaca.
Kerjaya Johan bermula dalam dunia kewartawanan majalah di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Pernah memimpin majalah Dewan Siswa, Johan mencapai kemuncak kecemerlangannya apabila dilantik sebagai Ketua Bahagian Majalah, DBP. Seterusnya Johan meneruskan perjalanan kerjayanya apabila beralih ke Utusan Melayu dan mencapai tahap tertingginya sebagai Ketua Pengarang Utusan Melayu.
Ruangan “Nota Kaki” dalam akhbar tersebut banyak menyingkap peristiwa berlainan dari pelbagai sudut yang menarik dan pentingnya pada zaman itu. Jika dilihat daripada rencana yang beliau hasilkan, gaya penulisannya bersahaja tetapi penuh dengan gaya, mesej, dan input intelektual yang menampilkan ketokohan beliau sebagai karyawan dan wartawan berpengalaman.
Melalui 206 buah makalah yang terdapat dalam buku ini, pembaca dapat melihat bagaimana Johan memandang sesuatu isu secara menyeluruh dan meluas. Hal ini demikian kerana isu yang dibawa dalam rencananya bukan sahaja berkisar dengan apa-apa yang terjadi dalam negara, malahan juga makalah mengenai peristiwa yang terjadi di negara luar contohnya menerusi makalah berjudul, “Hillary Clinton”, ”Isu Moral dan Hipokrasi” dan “Sebuah Kota Bernama Almaty di Kazakhstan”.
Sememangnya penulisan makalah apabila dibukukan, dapat membawa pembaca kembali ke zaman makalah tersebut dihasilkan. Pembaca dapat membaca dan memahaminya dari kaca mata Johan yang menulis pada zamannya, dan merasainya pada zaman sekarang.
Kerjaya Johan dalam bidang penulisan bukanlah semudah yang dijangka pembaca kerana beliau melalui saat-saat sukar ketika bergelar Ketua Pengarang Utusan Melayu. Oleh hal yang demikian, buku Nota Kaki ini dianggap pengiktirafan terbaik yang dihasilkan bagi menghargai jasa dan kesungguhan Johan dalam memartabatkan bidang penulisan berbahasa Melayu di Malaysia.
___
Ulasan buku ini dipetik daripada Dewan Budaya Mac 2012.
Perbandaran di Timur Tengah: Kesannya terhadap Masyarakat Islam Abad I-III Hijrah (Edisi Kedua), memaparkan kecemerlangan umat Islam sekitar abad pertama hingga ketiga Hijrah dalam pembangunan perbandaran di Timur Tengah. Penulis buku ini, Profesor Madya Dr. Ahmad Zaki Haji Abd. Latiff, berjaya menghuraikan, secara terperinci, konsep perbandaran Islam, kepentingan dan implikasinya terhadap masyarakat Islam.
Buku ini memaparkan kecemerlangan umat Islam pada zaman awal Islam dalam perbandaran di Timur Tengah. Sesungguhnya Islam menjadi pendorong kepada mereka untuk membangunkan bandar. Kehidupan bandar yang diasaskan oleh mereka telah berjaya mencorakkan tamadun Islam yang berasaskan al-Quran dan al-Sunnah. Umat Islam berjaya melahirkan pelbagai institusi berbentuk sosial, politik, ekonomi dan kebudayaan yang membentuk mereka menjadi masyarakat madani, mengalahkan masyarakat Barat pada ketika itu yang masih berada dalam zaman kegelapan.
Perkara yang menarik dalam buku ini ialah peranan institusi masjid dalam mencorakkan pembangunan bandar dan masyarakatnya. Masjid menjadi pusat ibadah dan kebudayaan Islam yang berjaya melahirkan tokoh yang berwibawa dalam semua bidang kehidupan masyarakat ketika itu. Dengan kewibawaan Islam, mereka membina kota dan membangunkan masyarakatnya menjadi maju, makmur, sejahtera, aman, adil dan berakhlak mulia.
Selain itu, buku ini turut membincangkan konsep bandar Islam. Menurut Jurji Zaydan, bandar Islam ialah bandar yang dibina sendiri oleh umat Islam dan tidak termasuk bandar Rom dan Parsi yang dibuka oleh mereka. Bandar Islam terdapat di Iraq, Syam, Mesir, Afrika, Andalus dan lain-lain lagi. Dari segi sejarah, bandar Islam pertama yang unggul dan menjadi model ikutan ialah bandar Madinah pada zaman Nabi dan Khulafa’ al-Rasyidin kerana pada zaman itulah masyarakat Islam yang tulen berjaya dibentuk oleh baginda. Pada ketika itu, bandar Madinah merupakan manifestasi secara langsung daripada konsep tauhid dalam Islam dan menjadi wadah kepada pelaksanaan syariat Islam.
Oleh hal yang demikian, dapat disimpulkan bahawa bandar Islam adalah berteraskan agama Islam. Akidah penduduk kotanya adalah mentauhidkan Allah, syariat kekotaannya berteraskan al- Quran dan akhlak penduduknya bermodelkan sunnah Rasulullah SAW. Idealisme bandar Islam berjaya direalisasikan dengan penuh cemerlang semasa hayat Nabi dan pada zaman Khulafa’ al-Rasyidin.
Dari segi pembentukan bandar, perkembangan bandar Islam pada zaman awal Islam berubah daripada bentuk pemusatan, iaitu daripada pusat pemerintahan kepada bandar wilayah . Perkembangan bandar Islam seperti juga perkembangan bandar Rom dan Greek, yang terdiri daripada tiga keadaan, iaitu sama ada berasal daripada penempatan baharu tentera amsar, yang muncul kemudiannya sebagai pusat utama perbandaran seperti Basrah, atau menduduki penempatan bandar yang sedia ada seperti Damsyik, atau merancang penempatanbaharu seperti Baghdad. Menurut Grunebaum, bandar Islam boleh dibahagikan kepada dua, iaitu terbangun secara spontan dan dibangunkan secara terancang.
Sebuah bandar Islam tidak hanya dinilai dari sudut keislaman pada nama, pengasas dan ciri fizikal yang lestari, tetapi yang lebih penting ialah penghayatan nilai kudus penghuninya atau pegangan agama yang kukuh. Hal ini dianggap sebagai ciri utama tamadun sebagaimana yang ditegaskan oleh Ibnu Khaldun dalam kitabnya yang terkenal, Muqaddimah.
Antara ciri utama masyarakat Islam atau bandar Islam, yang menjadi bukti pegangan agama yang kuat termasuklah bandar yang dibina hendaklah bersumberkan bandar suci Nabi iaitu Madinah al-Munawwarah. Hal ini sepatutnya menjadi model rujukan perbandaran dunia Islam dari semua sudut seperti sudut perlembagaan, model penyatuan masyarakat berteraskan masjid, model kebersihan, keindahan dan kecantikan, model perancangan dan pengurusan Islam yang kulliy.
Kesan utama perbandaran terhadap masyarakat Islam ialah kelahiran institusi politik, ekonomi dan sosial bagi pembangunan tamadun. Institusi tersebut dicetuskan daripada pengaruh dinamik agama Islam. Daripada institusi tersebut juga dapat diukur sejauh mana kesan perbandaran terhadap kejayaan masyarakat Islam di kota-kota Islam.
Sesungguhnya perbandaran Islam melambangkan kehidupan masyarakat kota yang maju dari aspek keagamaan dan keduniaan. Dari sudut keagamaan, mereka ialah masyarakat yang patuh dan taat hanya kepada Allah, dengan penuh keyakinan dan patuh kepada syariat dan akhlak. Dari sudut kekotaan, mereka mengutamakan perancangan yang ideal dan rapi, dan memberikan perhatian kepada kedamaian, kebersihan, kesihatan, perhubungan yang erat antara penghuni kota, keselamatan dan keselesaan persekitaran.
Buku ini diharapkan menjadi pendorong kepada generasi muslim kini, khususnya para perancang bandar dan pemimpin masyarakat, supaya dapat menggabungkan kelebihan zaman silam (zaman keagungan Islam) dengan kelebihan zaman kini (zaman moden) dalam membangunkan sesebuah bandar.
Pembangunan institusi bandar mestilah bercirikan kesepaduan, dan masjid merupakan nadi penggerak kemasyarakatan umat Islam.
Perbandaran di Timur Tengah: Kesannya terhadap Masyarakat Islam Abad I-III Hijrah dapat merangsang masyarakat Islam untuk melihat proses perbandaran terkini dengan lebih prihatin supaya masyarakat Islam dapat memanfaatkan pembangunan perbandaran kini bagi mewujudkan suasana yang kondusif dalam kehidupan berteraskan Islam.
___
Rencana ini dipetik daripada Dewan Budaya Februari 2012.
Kesusasteraan pascakolonial mer upakan bidang kesusasteraan yang masih baharu kerana istilah pascakolonial hanya tercatat dalam Oxford English Dictionary yang terbit pada tahun 1959, iaitu selepas kebanyakan negara Barat mencapai kemerdekaannya. Pembicaraan tentang pascakolonial termasuk bidang kesusasteraan ini baharu menjadi rancak sekitar tahun 1980 apabila orang mula memperkatakan di Afrika, India dan Amerika Selatan.
Buku ini bertujuan untuk mengisi kekurangan penulisan tentang kesusasteraan pascakolonial dengan melihat cerpen dan novel pascakolonial karya dua orang pengarang iaitu Keris Mas (Malaysia) dan Mochtar Lubis (Indonesia). Terdapat beberapa rasional pemilihan kedua-dua tokoh ini, namun yang utamanya ialah mereka berminat terhadap politik. Oleh itu, penglibatan kedua-dua pengarang ini dalam politik dan penghasilan karya yang berkaitan dengannya telah mempengaruhi dan menyumbang kepada penciptaan karya kreatif yang mendukung wacana pascakolonial.
Sejarah telah memaparkan lebih kurang dua per tiga daripada negara di dunia pernah merasai pengalaman dijajah. Antara kuasa kolonial zaman purba termasuklah Mesopotamia, Yunani, Romawi, Mesir, Parsi, Turki, India dan China. Kuasa kolonial tersebut berjaya membina empayar politik yang hebat dan digeruni dalam fasa tertentu perkembangan tamadun dunia. Kegiatan penjajahan oleh beberapa kuasa kolonial menyebabkan Malaysia dan Indonesia, dua buah negara di Asia Tenggara, tidak terlepas daripada menerima nasib dijajah.
Oleh sebab kesusasteraan merupakan salah satu cabang kebudayaan, maka pihak kolonial telah mendominasi bidang ini sebagai satu daripada cara untuk mengukuhkan penguasaan, pentadbiran, dan mendukung matlamat mereka di negara tanah jajahan. Hal ini menunjukkan bahawa bidang kesusasteraan pernah memainkan fungsi yang penting dan mendasar dalam mendukung usaha dan matlamat penjajah Barat. Meskipun demikian, teknik dominasi yang digunakan oleh kolonial Barat itu disedari penulis anak watan, lantas mereka secara agak sengit telah bangkit memberikan reaksi. Karya Keris Mas dan Mochtar Lubis dipilih untuk dikaji secara perbandingan kerana kedua-dua orang pengarang ini merupakan tokoh sasterawan yang terkemuka. Lagipun mereka mempunyai latar belakang dan pengalaman pascakolonial yang lebih kurang sama. Karya yang dihasilkan oleh mereka pernah melalui pengalaman hidup dalam era kolonialisme Barat dan era sesudahnya. Ciri jaya diri tersendiri tampil melalui pemikiran, pegangan politik, kebudayaan, nilai kemanusiaan, ketamadunan dan bahasa sendiri.
Di samping itu, karya mereka juga memperlihatkan penolakan terhadap sikap, pemikiran dan budaya Barat yang bercanggah dengan situasi kehidupan anak watan di negara masing-masing. Mereka berusaha menjadikan karya kreatif sebagai wadah bagi membangkitkan ketokohan, kemampuan dan jati diri anak watan untuk membentuk, membangunkan dan memajukan negara mengikut acuan sendiri. Bentuk karya sebegini dapat mewakili dan memperlihatkan kedudukan korpus kesusasteraan pascakolonial di Malaysia dan di Indonesia, hubung kaitnya dengan bidang kesusasteraan bandingan dan kedudukannya dalam perkembangan bidang kritikan di negara ini.
Sehubungan dengan itu, buku ini bertujuan untuk mengisi kekurangan tersebut dengan melihat cerpen dan novel pascakolonial hasil karya Keris Mas dan Mochtar Lubis, yang memperlihatkan pertembungan dua wacana, iaitu kolonial dan pascakolonial. Selain itu, buku ini juga membuat perbandingan antara fiksyen karangan Keris Mas dengan Mochtar Lubis daripada dua aspek. Pertama, pertembungan yang terjadi antara anak watan dengan penjajahannya. Pertembungan tersebut diteliti daripada empat tema, iaitu politik, ekonomi, sosial dan bahasa. Kedua, cara anak watan memberikan reaksi terhadap pertembungan itu. Akhirnya, kesimpulan secara perbandingan dikemukakan untuk menilai pengarang yang lebih menyerlah keupayaannya dalam menyampaikan mesej dan menghasilkan karya pascakolonial yang mengesankan pembaca.
Antara rasional pemilihan mereka termasuklah kedua-dua orang pengarang ini dilihat berminat terhadap politik. Keris Mas umpamanya, pernah menyandang jawatan Pegawai Penerangan Parti Kebangsaan Melayu Malaya, Cawangan Pahang, dan mengetuai Angkatan Pemuda Insaf. Oleh sebab minatnya yang mendalam terhadap politik, Keris Mas banyak menulis esei yang berbau politik dengan tujuan untuk membangkitkan kesedaran nasional dan kecintaan rakyat terhadap negara. Esei lain yang berkaitan yang ditulis olehnya adalah tentang kepentingan ilmu pengetahuan, kebudayaan nasional dan pendaulatan bahasa Melayu.
Mochtar Lubis pula, meskipun tidak melibatkan diri secara khusus dalam gerakan politik, banyak menyumbangkan idea tentang bidang ini melalui tulisannya dalam pelbagai akhbar dan majalah. Oleh sebab hasil tulisannya begitu tajam dan mampu mempengaruhi pemikiran rakyat jelata, beliau dianggap berbahaya kepada keselamatan negara. Sehubungan dengan itu, semasa pemerintahan Orde Lama, Mochtar Lubis dikenakan hukuman tahanan rumah beberapa kali. Kemudiannya, beliau dipenjarakan pada tahun 1956 dan dibebaskan sembilan tahun kemudiannya.
Jadi, penglibatan kedua-dua pengarang ini dalam politik dan penghasilan tulisan yang berkaitan dengannya telah mempengaruhi dan menyumbang kepada penciptaan karya kreatif yang mendukung wacana pascakolonial. Keris Mas dan Mochtar Lubis amat terkenal di negara masing-masing sebagai pengarang karya kreatif yang berwibawa dan prolifik kerana banyak menghasilkan karya kreatif yang bermutu tinggi, sama ada dalam bentuk novel ataupun cerpen. Antara karya kreatif hasil tulisan Keris Mas termasuklah Saudagar Besar dari Kuala Lumpur, Rimba Harapan dan Anak Titiwangsa. Mochtar Lubis menghasilkan novel seperti Jalan Tak Ada Ujung, Tak Ada Esok, Harimau! Harimau!, Maut dan Cinta, dan Senja di Jakarta.
Untuk membandingkan ketegangan hubungan yang timbul daripada pergeseran dan pertembungan nilai antara anak watan dengan penjajah atau bekas penjajahnya seperti yang diperlihatkan oleh Keris Mas dan Mochtar Lubis melalui karya mereka, pendekatan dalam kesusasteraan bandingan telah dikenal pasti, iaitu pendekatan tematik. Melalui pendekatan ini, dua perkara akan difokuskan sebagai subjek perbandingan untuk meneliti karya kedua-dua orang pengarang tersebut, iaitu tema dan gaya bahasa. Tema yang disorot mempunyai kaitan dengan politik, ekonomi dan sosial. Dalam buku ini, maksud yang khusus itu adalah yang berkaitan dengan ketegangan hubungan dan penolakan yang dijajah terhadap yang menjajah.
___
Rencana ini dipetik daripada Dewan Budaya Januari 2012.
OLEH AKILAH ARIFFIN
Tajuk: Air Mata Raja
Pengarang: Shaharudin Haji Ali dan Norzailina Nordin
Penerbit: Dewan Bahasa dan Pustaka
Tahun Terbitan: 2011
Halaman: 963 halaman
Harga: RM55.00
Buku Air Mata Raja merupakan sebuah karya yang menjanjikan kelainan dalam seni penulisan dan yang mencetuskan satu kemungkinan dalam sejarah tanah Melaka. Karya ini melakarkan pewaris sebuah kesultanan yang telah sirna pada hakikatnya; pembaca dibawa mengintai ke alam mitos, namun tetap berpijak di bumi yang nyata.
Karya ini mengisahkan pelbagai peristiwa sebenar yang dialami oleh Datuk Paduka Bendahara Raja Tun Seri Lanang ketika menulis karya besar Sejarah Melayu. Di penghujung kesaksian Tun Seri Lanang, bermulalah perjalanan liku hidup pewaris Sultan Mahmud Syah, Melaka, selama 500 tahun yang merentasi dimensi masa dan peradaban, saling berputar antara realiti sedar dengan impian mistik dunia Melayu. Selain itu, buku ini juga merupakan nukilan yang bersandarkan kisah sebenar dalam sejarah kita dan lantas menjanjikan unsur kemelayuan yang penuh dengan debaran yang boleh memaku perhatian pembaca sehingga akhirnya.
Kisah Air Mata Raja bermula apabila terdapat beberapa orang raja Melayu di sembilan buah negeri yang sesungguhnya hebat dan handal. Nama mereka yang gah itu sering disebut orang semenjak zaman kegemilangan kesultanan Melayu Melaka, kira-kira lima abad yang lalu. Adapun baginda semua sesungguhnya merupakan raja yang bestari lagi adil, mulia lagi agung kedudukannya, serta tinggi ilmunya sehingga tiada bandingannya. Tanah Melayu menjadi aman di bawah pemerintahan raja Melayu dan mendapat penghormatan yang sejati rakyat jelata yang sentiasa menjulang titah.
Semua negeri di Tanah Melayu bernaung di bawah panji raja Melayu dan Tanah Melayu menjadi negeri yang sangat masyhur pada ketika itu. Raja Melayu juga memegang kuasa sebagai ketua agama Islam dan ketua segala adat resam dan budaya bangsa Melayu di Tanah Melayu. Baginda sesungguhnya yang berdaulat, disuluhdengan segala kebesaran dankemuliaan adatnya, dan pentadbiranke bawah duli tuanku raja Melayu membuatkan Tanah Melayu sebagai negeri yang sangat masyhur sehingga banyak negeri Barat cuba “menghampiri” Tanah Melayu, terutama Melaka.
Bermulanya di Pelabuhan Melaka, pada 29 September 1509, apabila kapal pedagang Portugis melabuhkan sauh di perairan pelabuhan. Bendera pelbagai warna berkibar tanpa henti dan sejurus kemudian kedengaran bedilan meriam dan tiupan trompet. Keadaan di tepi pantai sesak, dari serata pelosok kampung, banyak orang berkumpul untuk menyaksikan agenda yang berlaku. Ketibaan orang asing menimbulkan seribu tanda tanya.
Menurut pengarang, dalam masa 109 tahun semenjak Melaka dibuka, kemasyhuran Melaka meningkat dengan begitu mendadak. Agama Islam pula sudah mula bertapak di Melaka sekitar tahun 1414, apabila Parameswara atau Sultan Iskandar Syah memeluk agama Islam. Melaka turut menjadi pusat pengembangan Islam di kepulauan Nusantara.
Melaka menjadi pelabuhan dan pusat perdagangan antarabangsa yang terkenal di serata pelosok dunia.Hatta di bawah pemerintahan sultanMelayu, tanah jajahan Melaka bertambah luas dan pengaruh mereka semakin kuat. Kedudukannya yang strategik di Selat Melaka menjadi salahsatu faktor kejayaan. Beratus-ratus orang pedagang memenuhi perairan pelabuhan. Selain itu terdapat juga 150 buah perahu kepunyaan Sultan Mahmud dan lebih daripada 100 buah kapal kecil dan besar yang dimiliki oleh pedagang asing.
Beberapa buah perahu kecil kepunyaan pedagang Cina menghampiri kapal Portugis tersebut. Namun begitu, mereka tidak berani mendekatinya kerana mereka perlu menunggu arahan daripada kerajaan Melaka. Pihak istana berhak membeli yang terbaik dan mengikut keperluan mereka sebelum orang lain boleh berniaga.
Ramailah orang Melayu yangberperahu kecil dan besar mengerumuni kapal Portugis dan masing-masing dengan barang dagangan. Ada selaput biji pala, buah pala, gaharu dan ambar. Semuanya begitu berminat untuk berdagang dengan orang Portugis. Tujuan kedatangan orang Portugis adalah untuk menjalinkan persahabatan dan perdagangan dengan sultan Melaka. Begitu jugalah yang telah dilakukan oleh mereka di Pedir dan pelabuhan Sumatera. Selain itu juga, mereka inginmendapatkan hak monopoli perdagangan rempah-ratus di Melaka.
Rempah merupakan komoditi ulung yang menjanjikan pendapatan yang lumayan, terutama di pasaran benua yang jauh, seperti China, India, Timur Tengah dan Eropah. Di samping itu, tujuan sebenar mereka adalah untuk mengembangkan agamaKristian. Hal inilah yang menjadi misiulung mereka, malah mubaligh merekacukup megah kerana telah berjaya mempengaruhi penduduk Goa di India. Mereka mendirikan gereja dan mempelawa anak muda tempatan untuk turut serta dalam misi ke seluruh pelosok dunia.
Di Melaka, orang Portugis yang lainmelayani sesiapa sahaja yang ingin berniaga dengan baik. Suasana di sekitar tempat mereka berlabuh agak sibuk. Riuh-rendah suara pedagang tawar-menawar dengan perantaraan orang yang pandai kedua-dua bahasa. Masing-masing ingin menjual baranganatau hasil hutan dengan harga yang paling tinggi.
Buku Air Mata Raja yang berbentuk novel ini mempunyai jalan cerita sejarah yang sangat menarik. Kisah Sejarah Melayu diubah menjadi epilog cerita bagi memudahkan pembaca memahami sejarah Tanah Melayu sekali gus membawa pembaca “mengembara” ke alam jejak pewaris Istana Melaka.
Sesungguhnya, buku ini dapat menyuntik semangat – biar sesiapa pun anda, tidak kira di mana pun berada. Air Mata Raja menjadi lambang perjuangan yang menjanjikan sesuatu yang belum pasti, namun tetap wujud.
___
Ulasan buku ini dipetik daripada Dewan Budaya Disember 2011.