Home » Pemikiran

FALSAFAH DAN CORAK PEMIKIRAN MENCIUS

Oleh Azida Ishak

Satu daripada kaedah penting untuk mengkaji sesuatu tamadun ialah kaedah atau corak pemikiran yang digunakan untuk menyokong nilai masyarakatnya. Dalam tamadun Cina, corak pemikiran yang digunakan oleh Mencius meninggalkan pengaruh yang kuat dalam sistem moral, etika dan falsafah politik. Mencius mempercayai kelahiran setiap manusia dengan sifat semula jadi yang baik dan bermoral tinggi. Tulisan Mencius, dalam buku Mencius, telah mengangkat statusnya sebagai guru terpenting dalam fahaman Confucius selepas Confucius sendiri. Fahaman Mencius berserta Confucius ini menjadi asas ideologi rasmi di China dan menjadi ikutan segenap masyarakat.

Mencius dilahirkan di daerah Shandong yang terletak lebih kurang 30 kilometer dari tempat lahir Confucius. Nama sebenarnya ialah Meng Ke, tetapi dia lebih dikenali dengan nama Mengzi (Mahaguru Meng) di kawasan Asia. Mencius merupakan ahli falsafah dan pengajar fahaman Confucius yang sangat terkenal pada akhir zaman dinasti Zhou. Dia mula bergerak aktif semasa kejatuhan empayar Zhou dan pada ketika berlakunya pergolakan yang disebut sebagai Zaman Peperangan Daerah.

Semasa zaman itu, berlakulah perebutan kuasa yang hebat apabila daerah yang besar akan cuba menakluki daerah yang kecil. Oleh sebab ketidakstabilan dan ketegangan yang terlalu memuncak, pihak berkuasa daerah sering kali mendengar pandangan ahli falsafah dan melantik mereka sebagai penasihat atau pegawai rasmi bersama.

Menurut sejarah, Mencius berhasrat untuk meyakinkan mana-mana pemimpin daerah untuk menerima konsep Dao Confucius agar dapat menghentikan pergolakan dan seterusnya berdamai. Mencius percaya bahawa seseorang pemimpin yang mempunyai moral tertinggi berupaya menyemaikan semangat harmoni dan menyatukan seluruh negara China. Seperti Confucius, Mencius mengembara dari satu daerah ke daerah lain untuk menyebarkan fahaman serta tradisi Dao Confucius. Selepas beberapa tahun, dia dilantik sebagai cendekiawan dan pegawai rasmi di Akademia Jixia di daerah Qi, satu daripada daerah yang paling berkuasa di China.

Namun demikian, sebaik-baik sahaja pemerintah Qi berjaya menarik Mencius, dia melancarkan serangan terhadap daerah besar di kawasan utara, iaitu Yan. Tindakan ini mengecewakan Mencius kerana pemerintah Qi memberitahu orang ramai bahawa serangan ganasnya itu telah mendapat persetujuan Mencius. Mencius turut beranggapan bahawa pelantikan dirinya hanyalah helah politik untuk mewajarkan serangan sedemikian, sehingga menyebabkannya membuat keputusan untuk bersara dan kembali ke tempat asalnya.

Peranan Mencius begitu bermakna dalam tamadun Cina kerana dia memperkenalkan kaedah pengajaran yang inovatif daripada aspek pemahaman politik, perkembangan diri, serta sifat semula jadi manusia. Mencius mengajar dengan berdasarkan fahaman Confucius. Falsafah politiknya menjadi ikutan banyak pihak, terutama sekali pihak berkuasa kerajaan. Ajaran Mencius meninggalkan pengaruh yang kuat bukan sahaja terhadap golongan kelas atasan dan pemimpin, malah memberikan kesan kepada sistem kepercayaan dan nilai budaya masyarakat Cina.

Hasil penulisannya, Mencius, merupakan karya klasik yang mengkaji pemikiran Confucius, dengan berdasarkan anggapan bahawa setiap manusia akan dipengaruhi oleh keadaan sekeliling untuk menjadi baik. Mencius percaya bahawa seseorang itu haruslah mencuba dengan sedaya upaya untuk mengembangkan sifat baiknya melalui pendidikan dan tabiat moral. Mencius juga menzahirkan pendapat bahawa sifat semula jadi manusia memang istimewa dan tersendiri. Ciri yang unik itu memberikan keistimewaan kepada manusia berbanding dengan makhluk lain. Kehidupan moral menjadi sifat yang membezakan manusia daripada makhluk lain.

Dalam Mencius, dia mempertahankan pendapatnya dengan membandingkan sifat semula jadi manusia dengan air. Air akan menunjukkan kecenderungan mengalir dari tempat tinggi ke tempat rendah. Hal ini sama dengan sifat semula jadi manusia yang akan menunjukkan kecenderungan terhadap perbuatan baik.

Terdapat juga pihak yang memberikan hujah bahawa air boleh dipaksa naik ke tempat lebih tinggi, seperti memercikkan air dengan tapak tangan atau membina empangan di atas bukit. Namun demikian, lebih mudah bagi air mengalir ke kawasan yang lebih rendah daripada memaksanya mengalir atau berada di tempat tinggi. Hal ini selaras dengan proses semula jadi untuk mendidik manusia supaya melakukan perbuatan bermoral daripada mendidiknya agar melakukan perbuatan tidak bermoral.

Andaian terpenting dalam Mencius ialah konsep “sifat semula jadi manusia” (xing). Dalam kaedah falsafah moden, sesuatu andaian tidak boleh disampaikan sebelum dapat membina sesuatu hujah yang mampu membuktikan bahawa terdapatnya perkara yang boleh dianggap sebagai xing. Hal ini dikatakan demikian kerana keadaan yang boleh mempengaruhi xing itu berubah-ubah. Sebagai akibatnya, keadaan ini tidak mempunyai kecenderungan tertentu, sama ada ke arah melakukan perbuatan baik ataupun ke arah perbuatan jahat. I.A. Richards dalam tulisannya, “Mencius on the Mind”, berpendapat bahawa perbincangan dalam Mencius hanya ingin menekankan hujah yang meyakinkan pembaca dan bukannya bertujuan menyampaikan hujah bercorak analitis.

Artikel ini dipetik dari majalah Dewan Budaya keluaran Oktober 2014.