Home » Salam Benua

TARIAN TOPENG BALI

Oleh Mohamed Ghouse Nasurudin

Antara drama tari yang terdapat di Bali, topeng satu-satunya tarian klasik Bali yang popular yang merangkum unsur tari, muzik dan drama. Sebelum kemunculan tarian topeng baharu (topeng panca), tarian topeng yang popular ialah topeng pajegan yang hanya dipersembahkan bagi upacara keagamaan ritual di bahagian dalam berhala. Topeng pajegan merangkum beberapa tarian topeng yang ditarikan oleh seorang penari/pelakon yang melakonkan berbagai-bagai watak yang berbeza.

Topeng panca bermaksud lima orang penari yang memainkan kesemua watak dalam cerita dengan menukar topeng dan hiasan kepala untuk menandakan watak yang berbeza. Cerita tentang raja Bali dipersembahkan. Persembahan ini selalunya bersabit dengan pesta berhala (odalan) dan ritual lain.

Asas tarian topeng, bahkan hampir kesemua tarian Bali ialah agem, iaitu kedudukan badan asimetrikal. Dalam pengendalian agem kanan, berat badan terletak di atas kaki kanan dengan kaki kiri di hadapan kaki kanan dalam posisi sudut 45 darjah arah ke luar. Badan dicondongkan ke kanan dan lentik bagi penari perempuan. Tangan dibengkokkan pada sudut 90 darjah dengan tapak tangan rendah dari paras siku dan fleks (flexed). Tangan kanan terletak pada paras mata, tangan kiri pada paras dada, dan kepala condong ke kanan. Posisi menentang (opposite) ditetapkan pada agem kiri. Bagi watak laki-laki gagah, semua posisi dan pergerakan dibesarkan. Kedudukan kaki bagi agem penari perempuan berjarak satu tangan, watak laki-laki halus dua tangan, dan watak gagah jaraknya besar.

Abjad tarinya merangkum gerak hayunan tangan dan kaki, getaran tapak tangan dan jari, gulingan dan getaran bahu, gerak kepala yang tajam serta kedudukan posisi badan statik, kaki dibengkokkan dan dijengkek, serta gerak kaki menyapu kain kostum yang turun di belakang penari.

Unsur staccato merupakan ciri utama pergerakan tarian topeng. Frasa gerak bermula dengan agem, iaitu lagak gaya (pose) asimetrikal badan apabila berat badan diletakkan di atas kaki kanan, kemudian dilakukan gerak getaran dan gulingan dikuti staccato dan berakhir dengan agem, yang berlangsung selama beberapa saat tanpa sebarang pergerakan – segala-galanya terhenti seperti terbeku.

Postur penari lelaki lebih kepada berjengkek dengan bahu dinaikkan dan tangan berparas bahu dan patah di sendi pergelangan tangan, siku dan bahu. Postur penari perempuan lentik (arched) dalam keadaan kaki bengkok dan punggung tonjol ke belakang kiri atau kanan.

Kemudian dilakukan gerak berjalan. Posisi tangan tetap di bahagian atas. Lengan dan bahagian tangan atas hampir selari dengan paras bahu. Kedua-dua tangan dan lengan dalam keadaan bengkok.

Tarian topeng menggambarkan gerak abstrak yang bermula dan berakhir dengan gaya agem. Pergerakan tari topeng dibahagikan kepada halus (alus) dan keras/ kasar. Gerak dan posisi jari tidak membawa sebarang makna atau cerita, hanya menggambarkan emosi serta membezakan watak tertentu. Sebagai contohnya, watak bangsawan, seperti raja, dan watak wanita, pergerakannya halus jika dibandingkan dengan pergerakan bota/gergasi yang pergerakannya besar dan gagah. Bagi watak orang tua, pergerakannya perlahan dan tidak begitu staccato.

Setiap penari menari untuk melahirkan taksu (pengalaman dan persepsi estetika); tenaga estetika yang bercampur dengan mistik serta membangkitkan persepsi estetika dalam kalangan audiens dengan memikat perhatian dan minat mereka.

***

Artikel ini dipetik dari majalah Dewan Budaya keluaran September 2015.