Home » Gatra Perdana

Memahami Kontrak Sosial dan Membudayakan Rukun Negara

Teks SHAMSIAH ABD. KADIR

Perpaduan merupakan asas kepada pembinaan negara bangsa dan harus dipupuk amalannya dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di Malaysia. Hal ini dikatakan demikian kerana perpaduan diibaratkan sebagai tiang kemakmuran dan kedamaian negara, di samping menyumbang kepada keamanan dan kestabilan.

Sekiranya kepelbagaian kaum menjadi punca percanggahan dan pertelagahan, suasana damai yang diimpikan dilihat sukar untuk dikekalkan sekiranya setiap etnik bersifat etnosentrik. Percanggahan yang selalu dibangkitkan sehingga menjadi pertelagahan adalah berkaitan dengan hak kesaksamaan, sehinggakan banyak perkara yang telah “dipersetujui” berabad lamanya“diperlekehkan”.

Menelusuri sejarah, pergeseran kaum atau konflik di Malaysia telah melalui beberapa fasa. Menurut Pengarah Institut Kajian Etnik (KITA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Ulung Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin, sejarah hubungan kaum di Malaysia mempunyai trend pasang dan surut yang boleh dibahagikan kepada tiga tempoh masa; selepas perang dunia kedua (1945), iaitu Fasa Konflik (1945–1960); Fasa Kestabilan, tetapi Tegang (1961–1970) dan Fasa Kesepaduan Sosial (1971 hingga kini). Ketiga-tiga fasa tersebut mencerminkan senario hubungan kaum di Malaysia dan menjelaskan bahawa perpaduan kaum dalam konteks kesepaduan sosial perlu dijaga agar pengalaman pahit pada dekad lalu menjadi pengajaran untuk kebaikan bersama-sama.

***

Artikel ini dipetik daripada majalah Dewan Budaya Bil.9

Posted in: Gatra Perdana

Penghayatan Rukun Negara dalam Kalangan Masyarakat Malaysia

Teks ABDULLAH AWANG

Nasionalisme ibarat senjata bagi sesebuah negara dalam usaha memelihara keutuhan dan membina kekuatan dalaman dalam kalangan rakyat bagi mengatasi setiap ancaman luar seperti globalisasi. Dalam konteks ini, Malaysia sebagai sebuah negara yang berbilang bangsa dan memiliki kekayaan budaya, maka nasionalisme perlu disemai dalam jiwa mereka agar jurang perbezaan yang wujud antara kaum dapat diatasi.

Sebelum ini, semangat “kekitaan” dalam kalangan rakyat tidak begitu menebal dan perkara ini menjadi penghalang dalam usaha menanam perasaan cinta akan bangsa dan negara. Hal ini dikatakan demikian kerana perasaan iri hati dan tidak percaya dalam kalangan kaum berleluasa hingga tercetusnya tragedi 13 Mei 1969. Pada masa itu, orang bukan Melayu masih menumpukan perhatian mereka ke tanah besar China dan India. Mereka tidak menganggap Tanah Melayu ini sebagai tanah air mereka, manakala orang Melayu pula menumpukan perhatian pada kawasan Timur Tengah dan Indonesia sebagai teras perjuangan mereka.

Ekoran daripada peristiwa berdarah tersebut, keadaan berpuak-puak dalam kalangan rakyat jelas kelihatan walaupun negara telah mencapai kemerdekaan pada tahun 1957. Ketika itu, konsep bangsa yang sebenarnya masih belum wujud lagi. Malah, pada masa itu, penduduk masih didukung oleh fahaman perkauman yang terlalu menebal. Perkara ini terjadi kerana rakyat sebenarnya hanya mendapat “negara” semata-mata daripada penjajah Inggeris. Oleh itu, rusuhan kaum telah berlaku secara berlanjutan dalam tempoh beberapa minggu. Kesan daripada peristiwa tersebut, pemerintah mengisytiharkan darurat dan perintah berkurung, parlimen digantung, dan pemerintahan negara diambil alih oleh Majlis Gerakan Negara.

Seharusnya, rakyat Malaysia bersatu sekiranya mereka menginginkan negara ini terus membangun dan hidup dalam suasana aman, damai dan makmur. Maka itu, bagi mengekalkan perpaduan negara, pada tahun 1970, Rukun Negara telah dibentuk. Pembentukan ideologi kebangsaan tersebut bertujuan memandu kehidupan rakyat Malaysia. Selain itu, pembentukan Rukun Negara timbul apabila kesedaran terhadap perpaduan yang disangka kukuh dan teguh hasil muafakat (social contract) antara tiga kaum terbesar, iaitu Melayu, Cina dan India semasa pemaktuban perlembagaan negara terbukti sementara dan tipis (superficial) apabila rusuhan kaum yang dahsyat tercetus.

***

Artikel ini dipetik daripada majalah Dewan Budaya Bil.9

Posted in: Gatra Perdana

Lagu Patriotik, Lagu Tanah Air, Lagu Kenegaraan

TEKS DAN FOTO: MUHAMMAD HASHIM

Lagu, yang
diklasifikasikan sebagai
patriotik, mula dikenali
semasa kemuncak era konfrantasi
antara Indonesia dengan Malaysia
pada tahun 1963. Sebelum ini, kita
tidak mengenali atau menggunakan
perkataan ini, kecuali disebut
sebagai lagu tanah air atau lagu
kenegaraan.
Semasa radio mula
diperkenalkan di Singapura oleh
tentera British sekitar tahun 1935,
orang Melayu menyebut radio
sebagai tetuang udara.

Pada masa
itu, peranan radio tidaklah sehebat
dan meluas liputannya seperti yang
ada pada hari ini sehingga mampu
untuk bersiaran selama 24 jam
sehari, tujuh hari seminggu.

Kajian menunjukkan bahawa radio memulakan siarannya
dengan lagu temanya. Telah dikenal pasti bahawa terdapat
sebuah lagu tema yang dikategorikan sebagai lagu patriotik.
Lagu ini berjudul Bangunlah Putera Malaya. Lagu ini
dirakamkan dalam piring hitam oleh Syarikat HMV di bawah
logo Columbia.
Ada juga filem Melayu yang diterbitkan di Singapura
yang memaparkan nyanyian kebangkitan semangat rakyat
di Tanah Melayu. Kebanyakkan daripada nyanyian tersebut
disampaikan dalam bentuk koir beradegan dalam bentuk
tarian atau pergerakan di jalanan dalam filem. Semua lagu ini
diletakkan sebagai lagu kenegaraan menuju kemerdekaan.
Selain itu, ada juga nyanyian solo yang dirakamkan buat
pertama kalinya oleh penyanyi Jasni Ahmad pada tahun 1949
berjudul Pembena Malaya yang dirakamkan dalam piring
hitam berlogokan Pathe Chap Ayam.
***
Artikel ini dipertik daripada majalah Dewan Budaya Bil.8
Posted in: Gatra Perdana

Lagu Patriotisme Memupuk Semangat Kebangsaan

TEKS : ROZIAH ADAMA

Pasti ramai yang mengingati lirik dan melodi lagu
Negaraku yang wajib dinyanyikan ketika perhimpunan
rasmi di sekolah, mahupun dalam acara-acara rasmi
kerajaan. Sebenarnya, kita telah dilatih sejak di bangku sekolah
agar berdiri tegak ketika menyanyikan lagu kebangsaan
sambil memandang bendera yang sedang dinaikkan. Sehingga
di mana-mana sahaja, tatkala mendengar lagu Negaraku
berkumandang, secara automatik kita akan berdiri menghayati
bait-bait lirik dan berasa kehangatan patriotisme mengalir ke
dalam jasad dan jiwa.
***
Lagu patriotik mempunyai tempatnya yang tersendiri di
hati para pendengar lagu tanah air. Keindahan lirik ditambah
dengan melodi yang menarik memudahkan lagi sesebuah
lagu patriotik menjadi siulan. Dalam sejarah penghasilan
lagu-lagu patriotik di Malaysia, penciptaan lagu-lagu
patriotik yang menjadi manifestasi penulis lagu-lagu adalah
untuk mencambahkan semangat kebangsaan ke dalam jiwa
pendengar. Penyebaran mesej dalam lagu dilihat lebih mudah
kerana pendengar boleh menghayati lirik, sekali gus menikmati
lagu yang menghiburkan

***

Teks ini dipetik daripada Dewan Budaya Bil.8

Posted in: Gatra Perdana

Melaka dan George Town Tapak Warisan Dunia

Teks ABDULLAH AWANG


MELAKA dan George Town istimewa dari pelbagai sudut, khususnya dalam lembaran sejarah dan ketamadunan bangsa
Melayu. Hal ini dikatakan demikian kerana sejarah awal negara ini adalah wajar diingati dan dikenangkan terutamanya berkaitan dengan kerajaan Melayu Melaka sebagai permulaan tamadun bangsa. Melalui rentetan peristiwa suka dan duka,
zaman keagungan Kerajaan Melayu Melaka bermula dengan Parameswara, iaitu pada awal kurun ke-15. Pada zaman itu, Kerajaan Melaka dianggap sebagai kerajaan yang agung.

Keagungan Kerajaan Melayu Melaka antaranya termasuklah dikenal pasti sebagai pusat perdagangan utama, pusat perkembangan agama Islam, mempunyai tanah jajahan, dan mempunyai hubungan dengan kuasa besar seperti dengan negara China. Maka, untuk memahami kedudukan negara Malaysia pada masa ini, misalnya berkaitan dengan Islam sebagai agama rasmi, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan negara, dan tradisi politik orang-orang Melayu di Malaysia sebenarnya
dapat dijelaskan dengan memahami sejarah Kerajaan Melayu Melaka.

Sama juga dengan sistem pemerintahan negara, sedikit banyak mempunyai persamaan dengan sistem pemerintahan Kerajaan Melayu Melaka. Kerajaan Melaka diketuai oleh Raja Melaka. Raja merupakan Ketua Agama Islam dan Ketua Tentera. Dalam pentadbiran pula, Raja dibantu oleh pembesar seperti Bendahara, Laksamana, Temenggung, Penghulu Bendahari dan Syahbandar.
*****

Artikel dipetik dari majalah Dewan Budaya Bil.7 2018.

Posted in: Gatra Perdana

Melestarikan Tapak Warisan Dunia

Teks ANINAH JANANG

Misi menjadi sebuah negara maju menjelang tahun 2020 kini berbaki kurang dua tahun sahaja lagi. Kejayaan itu datang dengan cakupan pencapaian Malaysia dalam pelbagai bidang yang bukan sahaja meliputi pembangunan ekonomi dan pendidikan, malah pengiktirafan dunia terhadap Malaysia. Salah satu pengiktirafan yang meningkatkan keyakinan dunia terhadap Malaysia ialah Tapak Warisan Dunia oleh Pertubuhan Pelajaran, Sains, dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu
(UNESCO).

Malaysia sememangnya terkenal dengan pelbagai tarikan pelancongannya yang unik dan tersendiri. Daripada warisan sejarah silam, keindahan alam semula jadi, kejernihan pantai dan pulau, serta kepelbagaian budaya masyarakat majmuk yang menarik jutaan pelancong dari seluruh dunia ke negara ini.

Tahun 2000 melakar sejarah apabila buat julung kalinya Malaysia menerima pengiktirafan UNESCO apabila Taman Negara Gunung Mulu, Sarawak diangkat sebagai Tapak Warisan Dunia yang pertama di Malaysia. Selang sebulan selepas itu, iaitu pada Disember 2000, satu lagi pengiktirafan Tapak Warisan Dunia diberikan kepada Taman Kinabalu, Sabah. Sebaik-baik sahaja Taman Negara Gunung Mulu yang mempunyai kepelbagaian bio yang menakjubkan serta mempunyai keluasan lebih 544 kilometer persegi dan dikelilingi tiga buah gunung, iaitu Gunung Mulu (2376 meter), Gunung Api (1750 meter) dan Gunung Benarat (1585 meter), diberikan status berprestij itu, “mata dunia” beralih ke Asia Tenggara dan pengiktirafan itu membolehkan Malaysia dikunjungi lebih ramai pelancong yang ingin menyaksikan dua Tapak Warisan Dunia yang diberikan dalam tempoh setahun serentak (tahun 2000).

******

Artikel ini dipetik dari majalah Dewan Budaya Bil.7 2018.

Posted in: Gatra Perdana