Home » Galeri

Manusia Peking Tapak Warisan Zhoukoudian

Teks SYAFIQAH ABDUL KHALID

SEJARAH kewujudan Manusia Peking bermula pada tahun 1921, iaitu hasil daripada penemuan oleh sekumpulan ahli arkeologi yang menjalankan kajian di gua batu kapur. Manusia Peking dikenali sebagai Manusia Beijing kerana tempat penggalian artifak tersebut berdekatan dengan Beijing. Cari gali ini memerlukan kos operasi yang amat tinggi, dan pihak arkeologi telah membuat keputusan untuk memohon dana daripada Yayasan Rockfeller bagi membolehkan mereka menemukan lebih 40 spesimen fosil.

Proses cari gali artifak tersebut berakhir pada Julai 1937 apabila Jepun membuat serangan terhadap Beijing. Sebagai langkah keselamatan, fosil Manusia Peking telah diletakkan di dalam peti besi di Makmal Cenozoic dan dihantar ke Amerika Syarikat
sehingga perang tamat. Walau bagaimanapun, artifak tersebut hilang ketika dalam perjalanan ke pelabuhan Qinghuangdao
dan berkemungkinan besar artifak tersebut diletakkan di bawah pengawasan tentera laut Amerika Syarikat ketika perang
melanda.

Antara artifak yang ditemukan ialah alat batu, tulang haiwan dan lapisan abu. Berdasarkan penemuan yang dijalankan, para arkeologi berjaya membuktikan bahawa Manusia Peking menjalankan aktiviti memburu dan memungut tumbuh-tumbuhan.
Tambahan pula, Manusia Peking mempunyai kemahiran dalam kerja membuat alatan batu dan menghidupkan api.
Tahun 2018 merupakan ulang tahun ke-44 hubungan diplomatik antara Malaysia dengan China. Sehubungan dengan itu, Jabatan Muzium Malaysia (JMM) telah menjalin hubungan kerjasama dengan Muzium Tapak Zhoukoudian, China bagi mengadakan pameran yang mengumpulkan artifak berkaitan Manusia Peking serta bahan fosil yang menjadi peninggalan sejarah pada suatu ketika dahulu.

*****
Artikel dipetik dari majalah Dewan Budaya Bil.7 2018

Posted in: Galeri