Home » Catatan

TIADA LAMA ATAU BAHARU – HANYA TERKINI DAN SEMASA

Lebih kurang 30 tahun yang lalu, berebut-rebut orang membeli tiket di panggung wayang Cathay di pekan kecil itu. Filemnya Bukit Kepong – masih panas walaupun tiba lewat di pekan itu – dibarisi bintang ternama dalam dunia perfileman tanah air waktu itu – Jins Shamsuddin, A. Rahim, Hussain Abu Hassan, antaranya. Waktu tayangan lazimnya 3.00 petang dan 7.00 malam pada hari biasa dan tambahan 9.30 malam pada hujung minggu.

Kini panggung wayang itu sudah tiada lagi. Di tapaknya sudah didirikan pasar raya. Orang pekan itu tidak lagi menonton wayang di panggung wayang. Kini mereka dapat menonton wayang di rumah dengan lebih selesa kerana adanya kemudahan stesen televisyen berbayar. Ada saluran khusus untuk filem yang baru ditayangkan di panggung wayang, yang kini lebih kecil daripada panggung dahulu dan pastinya lebih selesa.

Untuk menonton filem terkini itu, mereka perlu berbelanja lagi, tetapi tiada sesiapa yang merungut, kecuali jika kadar bayaran dinaikkan – itu pun hanya seketika. Jika ada rasa tidak puas hati, mereka tidak perlu melanggan saluran itu. Mereka mempunyai pilihan kerana dapat menonton filem dengan menggunakan telefon pintar, yang mempunyai aplikasi tertentu secara percuma pada bila-bila masa di mana-mana sahaja.

Orang itu berstatus teraju utama organisasi. Dia berada di atas pentas kerana mengiringi tetamu kehormat majlis tersebut. Usianya sudah melepasi umur persaraan perkhidmatan organisasinya, tetapi khidmatnya terus ditagih kerana kepakarannya demi kepentingan organisasi dan negara.

Ketika tetamu kehormat menyampaikan ucapan perasmian majlis, orang itu kelihatannya membelek-belek sesuatu. Rupa-rupanya dia sedang menaip sesuatu pada telefon pintarnya. Mungkin dia sedang menaip isi penting yang disampaikan oleh tetamu kehormat untuk rujukan dan tindakan lanjutnya. Mungkin juga dia sedang melaporkan ucapan tetamu kehormat itu dalam media sosial secara langsung untuk kemaslahatan umum.

Begitulah situasi dunia sekarang. Dunia kini makin canggih, makin banyak memberikan kemudahan kepada penghuninya. Jika dahulu kita ke panggung wayang untuk menonton wayang terbaharu, kini kita dapat menontonnya di rumah atau dengan menggunakan telefon pintar. Jika dahulu kita membaca berita tentang sesuatu peristiwa pada esoknya atau mengetahuinya melalui berita radio atau televisyen selepas peristiwa itu tamat, kini kita tidak perlu lagi melakukan begitu.

Teknologi terkini mengubah cara kehidupan manusia sekarang. Teknologi terkini dikatakan mewujudkan budaya baharu dalam kehidupan masyarakat masa ini. Budaya baharu itu tidak mengenal generasi, baik lama mahupun baharu. Pada hakikatnya, tidak ada generasi lama atau generasi baharu, budaya lama atau budaya baharu. Yang ada hanyalah inovasi demi inovasi yang menghasilkan sesuatu yang terkini yang digunakan oleh generasi semasa.

*****

Pada kesempatan ini, saya mengucapkan “selamat jalan” dan terima kasih kepada Muhamad Rafiq Abdul Rahman yang berhijrah ke Bahagian Pengembangan Sastera Kanak-kanak dan Remaja pada 1 Disember 2015 yang lalu setelah dinaikkan pangkat. Muhamad Rafiq berkhidmat sebagai penolong editor Dewan Budaya mulai keluaran November 2012 hingga keluaran Januari 2016. Beliau banyak melakukan kerja lapangan. Marilah kita berdoa agar Muhamad Rafiq memperoleh kejayaan yang lebih cemerlang di tempat baharunya.

Selamat menyambut tahun baharu Masihi 2016.

Armin Azhari Saleh

***

Artikel ini dipetik dari majalah Dewan Budaya keluaran Januari 2016.

RETROSPEKTIF IPOH

Lorong itu tidak boleh dilalui oleh kenderaan besar. Jika dilihat lorong itu, diyakini bahawa tiada kenderaan besar dapat melaluinya sejak dahulu, kecuali basikal atau motosikal. Ketika melalui lorong itu, hanya kelihatan basikal di hadapan beberapa buah kedai. Ada kedai di situ yang kini beroperasi sebagai restoran – barangkali dahulu pun begitu. Namun demikian, tidak kelihatan pula keramaian pengunjung di situ. Mungkin pada petang itu, pengunjungnya kurang.

Pada suatu ketika dahulu, lorong itu dikunjungi oleh mereka yang ingin mendapatkan khidmat pekerja seks. Di situlah pekerja lombong mendapatkan “hiburan” mereka. Kini khidmat itu sudah tiada lagi, tetapi lorongnya tetap ada – mungkin lebih indah dari dahulu. Itulah lorong yang dikenali sebagai Concubine Lane – Lorong Gundik (terjemahan langsung daripada bahasa Inggeris) dalam bahasa Melayu. Bagi penggemar sejarah, lawatan ke Ipoh tidak lengkap jika tidak mengunjungi lorong tersebut.

Tidak jauh dari situ, di Jalan Sultan Yusuf, kelihatan bangunan kedai dua tingkat yang buruk dan lusuh. Tidak dicatatkan hal ini, tetapi besar kemungkinan bangunan ini dibina sebelum Perang Dunia Kedua semasa Ipoh rancak dibangunkan sebagai bandar terpenting di Lembah Kinta. Di tempat lain, barangkali, sudah ada tangan “gatal” yang mahu merobohkan bangunan sedemikian dan menggantikannya dengan bangunan baharu, dengan alasan yang pelbagai, seperti tidak selamat diduduki lagi.

Namun demikian, yang kelihatan buruk dan lusuh di luar tidak semestinya begitu di dalam. Semua kedai di situ masih beroperasi – ada kedai jahit baju, ada kedai makan. Di kedai makan itu, hiasan dalamannya seolah-olah gambaran pada suatu ketika dahulu. Perabotnya kayu (pastinya bukan perabot dahulu); warna dindingnya kelihatan seperti asal; tempatnya sempit tetapi tiada sesiapa yang merungut. Yang kelihatan baharu hanyalah juadahnya. Mungkinkah juadah tersebut dihidangkan pada suatu ketika dahulu?

Itulah sebahagian daripada warisan Ipoh yang bukan sahaja perlu dikekalkan, malah dihayati oleh generasi kini. Kegiatan pembangunan Ipoh moden bermula pada tahun 1886, dua tahun selepas Kulup Mohammad Yusuf dilantik sebagai Dato’ Panglima Kinta ke-10. Sebagai hartawan, Yusuf banyak membangunkan tanah miliknya untuk kemaslahatan penduduk. Pembangunannya termasuklah pembinaan bangunan konkrit menggantikan yang kayu.

Pada hakikatnya, tidak banyak orang yang tahu akan jasa dan sumbangan Yusuf kepada pembangunan Ipoh, khususnya, dan Perak, amnya. Kebanyakan orang berpandangan bahawa Ipoh dibangunkan oleh golongan dari negara tertentu dan pentadbiran British. Walaupun sumbangan mereka itu tidak dapat dinafikan, jasa dan sumbangan Yusuf kelihatannya telah diketepikan.

Yang diyakini ialah bahawa banyak lagi sejarah ibu negeri Perak ini yang masih “tertanam” dan hanya diketahui oleh orang tertentu. Pihak yang berkenaan di negeri tersebut harus mengambil langkah yang proaktif untuk menggali dan merakamkan sejarah Ipoh, khususnya, dan Perak, amnya. Hanya dengan cara itu, masyarakat yang tidak buta sejarah – sejarah Ipoh dan sejarah Perak dalam hal ini – malah menghargai sejarah dan warisan dapat dilahirkan.

Armin Azhari Saleh

***

Artikel ini dipetik dari majalah Dewan Budaya keluaran Disember 2015.

SELERA PENONTON WAYANG KITA

Saya baca bunyi syair; Sudin baca bunyi Arab; Ramli baca tak bunyi langsung.” Begitulah lebih kurang dialog dalam satu adegan filem Pendekar Bujang Lapok. Penonton lazimnya ketawa mendengar dialog tersebut, ditambah lagi dengan kelucuan lakonan bersahaja Aziz Satar, S. Shamsuddin dan P. Ramlee.

Dalam adegan tersebut, ketiga-tiga orang sahabat itu membawa sepucuk surat yang diterima daripada Ros, anak gadis tuan rumah tempat mereka menumpang tidur kerana ingin belajar silat. Oleh sebab mereka buta huruf – tidak tahu membaca dan kemudian dibuktikan pula tidak tahu menulis – mereka meminta Ani, pembantu rumah di situ, membaca surat tersebut.

Sebenarnya dalam dialog tersebut, ada mesej tersirat. Menurut Aziz, Ramlee menyindir golongan tertentu. Dalam dialog “saya baca bunyi syair”, teraju utama filem tersebut menyindir mereka yang membaca al-Quran secara berlagu. Dialog “Sudin baca bunyi Arab” ditujukan kepada golongan yang membaca al-Quran, tetapi tidak faham akan maksudnya kerana kitab suci itu ditulis dalam bahasa Arab. Kalangan yang tidak tahu langsung membaca al-Quran pula disindir melalui dialog “Ramli baca tak bunyi langsung”.

Namun demikian, berapa banyakkah penonton yang dapat mengesan mesej tersirat itu? Biasanya penonton hanya ketawa melihat telatah lucu ketiga-tiga orang bintang filem itu. Mungkin ada penonton yang dapat membaca mesej tersirat itu, tetapi dapatlah diandaikan bahawa 99 peratus daripada penonton tidak mengetahuinya.

Seorang rakan menyatakan bahawa dia menonton wayang kerana berasa tertekan. Jika dia berasa terlampau tertekan,dia akan menonton dua wayang secara berturut-turut di panggung yang sama. Hal ini bermakna bahawa wayang itu ditonton sebagai hiburan, untuk menenangkan diri kerana berasa tertekan – bukannya untuk berfikir atau mengesan mesej tersirat dalam wayang itu.

Seorang rakan lain pula mengatakan bahawa dia menonton wayang kerana skrinnya besar dan bunyi suara wayang itu yang jelas. Inilah, katanya, yang disebut sebagai pengalaman sinema. Pastinya juga rakan ini menonton wayang bukan untuk mengesan dan memikirkan mesej tersiratnya, tetapi sekadar untuk berhibur menenangkan diri.

Menurut Raja Yusoff Ariffin, David Teo pernah menegaskan bahawa dia membuat filem seumpama membuat “tauhu”. Bagi pemilik MIG Pictures Sdn. Bhd. itu, sesebuah filem itu bermutu tinggi jika “pecah panggung”. Oleh itu, tidak hairanlah kalau begitu banyak filem terbitan syarikat itu bertaraf “tauhu”.

Maka timbul persoalan tentang bentuk filem untuk disajikan kepada penonton. Yang dapat diandaikan ialah bahawa ada dua golongan penonton, iaitu yang suka berfikir ketika menonton wayang dan mengulasnya, baik membina mahupun sebaliknya, selepas itu dan mereka yang menonton wayang semata-mata untuk hiburan – tidak lebih

daripada itu.

Industri perfileman negara tidaklah besar. Oleh itu, tidak perlulah isu filem “tauhu” dan filem bukan “tauhu” diperbesar-besarkan. Jika mereka hendak berfikir ketika menonton wayang, biarlah mereka berfikir. Kalau mereka mahu berhibur semasa menontonnya, biarlah mereka berbuat demikian. Yang penting ialah selera mereka dipenuhi.

Armin Azhari Saleh

***

Artikel ini dipetik dari majalah Dewan Budaya keluaran November 2015.

ORANG KITA ARIF SEJAK DAHULU

Di pasar lambak itu, pemuda tersebut berteriak menagih perhatian orang yang lalu-lalang di situ. Dia menjual madu lebah. Madu lebah itu pula belum dibotolkan. Jika ada pembeli, barulah madu lebah itu dimasukkan ke dalam botol. Dia turut membawa sarang lebah bersama-samanya sebagai bukti bahawa madu lebah yang djualnya itu asli dan bukan tiruan.

Di sudut lain, ada juga orang yang menjalankan perniagaan yang sama seperti pemuda tersebut. Namun demikian, madu lebah yang dijual oleh orang itu sudah dibotolkan. Meskipun penjual itu menyatakan bahawa madunya asli, pernyataan itu kerap kali meragukan orang ramai. Betulkah madu itu asli kerana tiada bukti yang menunjukkannya begitu?

Madu lebah dicari dan digunakan kerana dikatakan mempunyai khasiat tertentu. Bukan hanya madu lebah, apa-apa sahaja yang ada di rimba semula jadi kelihatannya mempunyai fungsinya yang tertentu. Siapa sangka bahawa bisa ular mempunyai nilai perubatan kerana mampu menjadi penawar penyakit kanser? Sebagai contohnya, bisa ular tedung hitam mengandungi protein yang dikenali sebagai kontortrostatin yang bertindak menghalang sel kanser.

Sesekali kita membaca atau mendengar berita dalam media cetak atau media elektronik tentang serbuan oleh pihak berkuasa terhadap premis tertentu. Yang ditemukan dalam serbuan lazimnya bahagian satwa, selalunya yang dilindungi oleh undang-undang, yang telah dikerat-kerat – sudah sedia untuk dijadikan sebagai hidangan eksotik. Sebagai misalnya, harimau sering menjadi mangsa kerana masyarakat Cina percaya bahawa tulangnya dapat dijadikan sebagai ubat pelbagai jenis penyakit, termasuk malaria dan sengal-sengal tulang, selain sebagai afrodisiak walaupun tidak pernah kedengaran kajian tentang kebenaran kepercayaan itu.

Begitulah kayanya rimba negara. Segala-gala yang dimilikinya kelihatannya mempunyai peranan tertentu dalam kehidupan harian manusia. Banyak rahsia rimba yang masih tersembunyi, yang belum dijumpai, yang hanya menunggu masa untuk diteroka dan ditemukan oleh sebahagian besar masyarakat. Hanya segelintir masyarakat yang arif tentang rahsia rimba itu, yang barangkali diwarisi daripada generasi kepada generasi.

Pada hakikatnya, sejak sekian lama minda masyarakat dijajah oleh analogi yang menyatakan bahawa segala-gala yang datangnya dari Barat lebih baik daripada apa-apa yang berasal dari bahagian lain di dunia. Oleh itu, masyarakat lebih mempercayai perubatan moden, sebagai contohnya, yang datangnya dari Barat daripada mempercayai perubatan tradisional yang diwarisi turun-temurun. Barangkali hal ini berlaku kerana peredaran zaman. Tentunya tidak banyak orang yang tahu bahawa pokok dukung anak mampu merawat pesakit yang mengambil ubat hydrochloride-25.

Dari masa ke masa, selagi ada peredaran bulan dan bintang, selagi itulah akan ada musibah baharu. Apabila ada penyakit baharu, pasti ada usaha untuk mencari penawarnya. Maka bertungkus-lumuslah pasukan penyelidik mencari penawarnya. Kadang-kadang penawarnya berada tidak jauh daripada kita, berada di sekeliling kita, di rimba kita. Memang tidak mustahil jika penawarnya sudah ditemukan oleh orang dahulu kerana kearifan mereka, hanya menunggu masa untuk ditemukan oleh orang sekarang. Oleh itu, marilah kita meraikan kearifan tempatan yang kita miliki tanpa menidakkan kebijaksanaan orang lain.

Selamat menyambut Maal Hijrah 1437.

Armin Azhari Saleh

***

Artikel ini dipetik dari majalah Dewan Budaya keluaran Oktober 2015.

HANGAT-HANGAT TAHI AYAM?

Restoran ini terletak di Kampung Attap, Kuala Lumpur, dan menjalankan perniagaan dari pagi hingga tengah hari setiap hari, kecuali hari Ahad dan cuti umum. Biasanya selepas makan tengah hari, restoran ini ditutup. Daya penariknya ialah kari kepala ikan untuk makan tengah hari. Pelanggannya memang banyak – kenderaan diletakkan di tepi jalan sehingga kerap mengganggu kelancaran lalu lintas; ada pemilik yang kadangkala disaman oleh pihak berwajib. Harga makanan dan minuman dapat dikatakan berpatutan, tetapi hal itu tidak menjadi masalah kerana memenuhi cita rasa.

Sejak pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (CBP), yang tertera pada resit restoran ini hanyalah jumlah besar harga yang perlu dibayar oleh pelanggan. Tiada perincian tentang harga makanan dan minuman yang dibeli oleh pelanggan, termasuk CBP. Hanya pelanggan tetap yang mengetahui sama ada harga makanan dan minuman itu naik ataupun kekal – pastinya tidak turun – tanpa mengira CBP.

Lokasi restoran ini pula di Taman Rasa Sayang, Petaling Jaya. Waktu perniagaannya dari pagi hingga malam setiap hari – kadang-kadang tutup pada hari Ahad dan hanya bercuti semasa hari cuti umum. Pemiliknya merungut kerana terpaksa membeli mesin kira wang baharu yang berharga beribu-ribu ringgit oleh sebab pelaksanaan CBP. Walaupun tidak berpuas hati, pemiliknya tetap mematuhi arahan – mungkin takut dikenakan tindakan undang-undang. Dalam resit restoran ini, perincian tentang makanan dan minuman yang dibeli oleh pelanggan tertera dengan jelasnya, termasuk CBP.

Notis di pasar raya mini di Taman Intan Setia, Tanjong Malim, ini menyatakan bahawa CBP telah dimasukkan dalam harga barangan yang dipaparkan di rak. Dahulu pek malt coklat dua kilogram itu berharga RM17.99. Selepas dikenakan enam peratus CBP, harganya sepatutnya RM19.07. Walau bagaimanapun, harga yang dipaparkan di rak ialah RM19.10 – peningkatan tiga sen. Sebenarnya banyak orang yang tidak menyedari peningkatan harga tersebut, kecuali pengguna tetap malt coklat itu.

Pada hakikatnya, CBP menjadikan sebahagian daripada masyarakat lebih sedar terhadap hak mereka sebagai pengguna. Dahulu mereka tidak pernah atau jarang-jarang meminta resit pembelian di premis yang tidak mengeluarkannya atau yang mengeluarkannya jika diminta, tetapi kini resit itu diminta untuk diteliti. Bagi yang amat sedar, mereka akan mengira CBP yang dikenakan terhadap barangan tersebut sehingga mereka dapat mengesan berlakunya peningkatan harga barangan itu yang tidak sepatutnya terjadi. Bagi yang lebih amat sedar, hal sedemikian akan dilaporkan kepada pihak berwajib.

Sememangnya CBP sedikit banyak mengubah budaya kepenggunaan dalam kalangan masyarakat negara ini. Pada awal pelaksanaannya, kedengaran banyak omelan daripada masyarakat pengguna tentang itu dan ini. Setiap hari media, baik arus perdana mahupun alternatif, memainkan isu tersebut sehingga orang yang diberi tanggungjawab untuk memastikan kelancaran pelaksanaan CBP pada peringkat kabinet berubah status – daripada kurang atau tidak dikenali kepada amat dikenali.

Namun demikian, selepas lima bulan, keadaan kelihatannya telah kembali tenang. CBP tidak lagi dibincangkan secara meluas, apatah lagi menjadi isu utama dalam media kerana dibayangi isu lain. Adakah perubahan budaya kepenggunaan masyarakat negara ini sekadar hangat-hangat tahi ayam?

Salam Aidiladha 1436.

Armin Azhari Saleh

***

Artikel ini dipetik dari majalah Dewan Budaya keluaran September 2015.

SEHATI SEJIWA MENYAMBUT HARI KEBANGSAAN

Barangkali tidak banyak orang yang menyedari kewujudannya walaupun berada di tepi jalan utama. Ribuan orang melalui jalan itu setiap hari, tetapi tidak salah jika dikatakan bahawa sebahagian besar daripada mereka tidak menyedari kewujudannya. Itulah nasib yang dialami oleh Menara Jam Merdeka di Sungai Siput (U), Perak. Yang pasti, menara jam itu wujud sejak tahun 1957 berdasarkan tulisan tahun itu pada binaannya. Tentunya menara itu dibina untuk memperingati hari kemerdekaan negara.

Di simpang pertemuan di antara Jalan Tun Abdul Razak dengan Jalan Kolej Melayu, dahulu terdiri bangunan yang dikenali sebagai Dewan Merdeka. Daripada namanya, dapatlah diandaikan bahawa dewan tersebut dibina bagi memperingati hari kemerdekaan negara. Namun demikian, bangunan itu telah dirobohkan kerana kononnya mengganggu keindahan beberapa buah bangunan berseni bina Gothik yang menjadi jirannya, yang menjadi daya tarikan Kuala Kangsar.

Nasib Stadium Merdeka di Kuala Lumpur nampaknya lebih baik daripada nasib Dewan Merdeka itu. Pada tahun 1990-an, stadium itu diberikan kepada pemaju yang mengeluarkan belanja untuk membina Kompleks Sukan Negara di Bukit Jalil. Pemaju tersebut bercadang untuk mendirikan kompleks membeli-belah di tapak Stadium Merdeka. Seorang menteri pula dilaporkan sebagai berkata bahawa stadium itu akan dirobohkan untuk menyelesaikan masalah lalu lintas setiap kali berlangsungnya perlawanan bola sepak!

Kini Stadium Merdeka masih tersergam kukuh setelah diambil alih oleh Permodalan Nasional Berhad dan selepas diisytiharkan sebagai bangunan warisan oleh kerajaan. Yang menjadi mangsa hanyalah Stadium Merdeka apabila namanya ditukarkan kepada Perbadanan Stadium Malaysia. Barangkali pertukaran nama itu tidak banyak memberikan kesan kepada masyarakat berbanding dengan “kematian” Stadium Merdeka – itu pun jika masyarakat memahami maksud perkataan merdeka.

Belakangan ini, tidak salah jika dikatakan bahawa tidak banyak orang, terutama generasi kini, yang mampu memahami dan menghayati erti kemerdekaan. Tentu sekali hal ini berlaku oleh sebab mereka tidak melalui proses mendapatkan kemerdekaan. Oleh itu, dengan adanya bangunan, dan mungkin juga taman dan jalan, yang menggunakan perkataan merdeka, setidak-tidaknya golongan ini akan tertanya-tanya tentang signifikannya perkataan itu. Mungkin pihak yang berkenaan dan berwenang dapat menggiatkan usaha untuk menyemai semangat kemerdekaan dalam kalangan rakyat negara ini dengan lebih berkesan, terutama dari 17 Ogos hingga 16 September setiap tahun.

Pada tahun ini, polemik penggunaan perkataan kemerdekaan, yang berlangsung sekian lama, berjaya ditamatkan apabila kerajaan memutuskan untuk menggunakan ungkapan Hari Kebangsaan 2015. Sesetengah pihak enggan menerima penggunaan ungkapan Hari Kemerdekaan ke-58 atau Hari Kebangsaan ke-58, sebagai contoh, kerana penggunaannya dikatakan hanya untuk golongan tertentu. Tentunya dengan pertukaran itu, masyarakat Malaysia akan lebih “sehati sejiwa” membuang yang keruh, mengambil yang jernih, menyambut Hari Kebangsaan tahun ini dan tahun mendatang, tanpa sebarang prasangka.

Selamat menyambut Hari Kebangsaan 2015.

Armin Azhari Saleh

***

Artikel ini dipetik dari majalah Dewan Budaya keluaran Ogos 2015.

TANPA DIPAKSA ATAU TERPAKSA

Lelaki berbangsa Cina itu berjalan dengan pantasnya ke kaunter pertanyaan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Negeri Sembilan di Seremban. Setelah memperoleh maklumat yang dikehendakinya, sepantas itu jugalah dia meninggalkan kaunter dan memasuki auditorium. Memang aneh tindakannya kerana pada malam itu, berlangsung persembahan Muzika Negeri Sembilan dan Minang Serantau, bukannya pertunjukan opera Cina.

Seminggu sebelum itu pada 18 Mei 2015, di Tanjong Malim, Petronas dan Fakulti Muzik dan Seni Persembahan (FMSP) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), dengan kerjasama Nusa Centre, menganjurkan Festival Seni Persembahan FMSP-Petronas. Selain forum seni, persembahan makyung turut diadakan. Dalam kalangan pemain makyung, kelihatan seorang pemain yang cerah kulitnya. Ya, dia orang Cina – begitu kata pensyarah fakulti tersebut – dan dia pelajar seni persembahan tradisional Melayu itu.

Dua belas hari kemudian, Istana Budaya di Kuala Lumpur menjadi hos persembahan antarabangsa yang begitu menarik. Pusat Pertukaran Kebudayaan Antarabangsa China dan rakan strategiknya di negara ini, Yayasan Khidmat Bakti Masyarakat Malaysia, mempersembahkan “Taiji”. Dalam kalangan penonton yang rata-ratanya rakyat negara ini berketurunan Cina, kelihatan juga warga Malaysia yang lain menikmati persembahan yang begitu berkualiti itu.

Pada hakikatnya, sejak dahulu, dasar kebudayaan kebangsaan negara ini telah menjadi persoalan yang dibahaskan dalam pelbagai forum dan sering kali dikupas daripada perspektif yang berbeza. Dasar tersebut bukanlah dasar yang diluluskan oleh pemerintah untuk menjadi dasar yang biasanya dikepilkan dengan kuasa pelaksanaan yang jelas melalui Akta Parlimen. Dasar kebudayaan kebangsaan Malaysia, sebaliknya, diwujudkan melalui resolusi Kongres Kebudayaan Kebangsaan pada bulan Ogos 1971, yang dirasmikan oleh Perdana Menteri, Tun Abdul Razak Hussein.

Barangkali oleh sebab dasar kebudayaan kebangsaan negara ini bukan peraturan yang bersifat perundangan, maka pelaksanaannya agak terhad, bergantung pada budi bicara agensi yang berkaitan, termasuk kementerian, ibarat hidup segan mati tidak mahu. Barangkali juga kerana dua prinsip yang menjadi teras dasar tersebut membabitkan rakyat asal rantau ini, ada pihak, yang mungkin kurang waras fikirannya, yang enggan menuruti dasar itu walaupun unsur budaya lain yang sesuai dan wajar boleh diterima. Walau bagaimanapun, yang harus diingatkan ialah dasar tersebut, dasar tertinggi tentang kebudayaan negara ini, sebenarnya, mampu menonjolkan jati diri nasional.

Sehubungan dengan itu, tiga peristiwa yang berlaku di utara, selatan dan tengah tanah air pada bulan Mei yang lalu menunjukkan bahawa rakyat pelbagai etnik di negara ini, yang berfikiran rasional, dapat menerima kebudayaan etnik yang lain, tanpa dipaksa atau terpaksa. Inilah kekuatan yang dimiliki oleh sebahagian besar masyarakat Malaysia. Inilah juga kekuatan yang wajar disuburkan dan ditingkatkan oleh kita dari masa ke masa.

Salam Aidilfitri 1436.

Armin Azhari Saleh

***

Artikel ini dipetik dari majalah Dewan Budaya keluaran Julai 2015.

LANCANG KUNING MEREDAH SEGARA LUAS

Hingga kini, Ferdinand Magellan disebut sebagai manusia pertama yang berjaya belayar mengelilingi dunia oleh sejarawan berdasarkan bukti yang ada, terutama yang dikemukakan oleh sarjana Barat. Hal ini menyebabkan kita tidak melihat kemungkinan bahawa ada orang lain yang sepatutnya diangkat sebagai orang pertama yang mengelilingi dunia. Menurut Dr. H. M. Tuah Iskandar, oleh sebab terlalu mengagungkan Barat, kita lupa bahawa orang Melayu yang pertama mengharung samudera raya mengelilingi dunia.

Nama yang diberikan kepada orang Melayu ini, yang diketahui, banyak juga – Awang atau Hitam oleh cendekiawan tempatan; Enrique, Henry, Henrich, Ariberto atau Espinosa oleh pengkaji Barat. Nama Awang pun hanya diberikan oleh Harun Aminurrashid pada tahun 1958 dalam novel Panglima Awang. Nama sebenarnya memang tidak diketahui hingga sekarang dan besar kemungkinan tidak akan diketahui. Walau bagaimanapun, semua nama itu dikatakan merujuk lelaki yang sama – seorang pahlawan Melaka yang terbabit dalam peperangan antara Melaka dengan Portugis, yang kemudiannya belayar bersama-sama Magellan.

Menurut catatan Antonio Pigafetta, selepas kejatuhan Melaka ke tangan Portugis pada tahun 1511, Awang dijadikan sebagai hamba di dalam kapal Magellan. Kemudian Magellan membeli Awang daripada Alfonso de Albuquerque, panglima Portugis yang memimpin serangan terhadap Melaka, di Goa. Zabidin Ismail berpendapat bahawa Awang dibeli oleh Magellan kerana kebolehannya mengendalikan bahtera. Hal ini bukanlah aneh kerana bangsa Melayu memang memiliki ilmu pelayaran dan ilmu perkapalan yang tinggi. Kalau nakhoda kuranglah faham, alamatnya kapal akan tenggelam.

Menurut Hasrina Baharum yang memetik Mohd. Rohaizat Abdul Wahab, teks klasik China abad kelima dan ketujuh mendedahkan bahawa orang dari alam Melayu memiliki kapal yang mampu membawa 1000 orang, selain muatan antara 250 hingga 1000 tan. Kelihatannya kapal tersebut hampir-hampir menyamai kapal persiaran zaman sekarang, mungkin juga Titanic, pastinya lebih besar daripada Flor de la Mar jika kita melihat replikanya di Melaka atau kapal milik Jack Sparrow dalam filem The Pirates of the Caribbean.

Hal ini memberikan gambaran bahawa pembina kapal tersebut memang hebat orangnya, yang mempunyai kemahiran yang tinggi, yang memang arif dalam bidangnya. Inilah yang disebut sebagai kearifan tempatan. Oleh itu, tidak mustahil juga jika bahtera pada waktu itu digunakan bukan sahaja untuk urusan ketenteraan dan perdagangan serta pelanunan, malah perkhidmatan kapal penumpang yang menghubungkan beberapa buah petempatan, yang tentunya memerlukan kajian lanjut.

Bagai aur dengan tebing, laut dan bangsa Melayu memang tidak dapat dipisahkan. Bangsa Melayu bangsa maritim. Laut menjadi tempat permainan mereka. Sejarah maritim Melayu dikatakan wujud sejak zaman neolitik, lebih daripada 6000 tahun yang lalu – tempoh yang begitu lama. Tentunya banyak kejayaan maritim Melayu yang tidak tercatat kerana bangsa itu mungkin pencatat yang kurang baik. Maka tidak mustahil jika Lancang Kuning telah meredah segara luas meneroka benua Amerika lebih awal daripada Christopher Columbus.

Armin Azhari Saleh

***

Artikel ini dipetik dari majalah Dewan Budaya keluaran Jun 2015.

RAJA UNTUK RAKYAT, RAKYAT UNTUK RAJA

Dalam masa tujuh minggu, dua peristiwa bersejarah dan penting, yang jarang-jarang berlaku, berlangsung. Peristiwa pertama berlaku di Johor Bahru pada 23 Mac yang lalu apabila Sultan Ibrahim dimahkotakan sebagai Sultan Johor kelima dalam era moden sejak tahun 1886. Peristiwa itu dikenali sebagai istiadat kemahkotaan – yang keempat dalam sejarahnya – kerana hanya negeri Johor yang memahkotakan sultannya. Peristiwa tersebut kali terakhir berlangsung pada tahun 1955.

Peristiwa kedua berlangsung di Kuala Kangsar pada 6 Mei apabila Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ditabalkan sebagai Sultan Perak ke-35 sejak kesultanan negeri itu diasaskan pada tahun 1528. Majlis tersebut dikenali sebagai istiadat pertabalan kerana, kecuali Johor, negeri lain menabalkan sultan atau raja sebagai pemerintah negeri. Di Perak, istiadat itu berlangsung untuk kali terakhirnya pada tahun 1985.

Pada hakikatnya, bagi sebahagian besar rakyat negara ini, terutama orang Melayu, penghormatan mereka terhadap institusi raja masih tinggi. Bagi mereka, institusi tersebut masih mempunyai peranan penting dalam sistem pentadbiran dan kehidupan sosial hari ini. Meskipun kini negara mengamalkan sistem raja berperlembagaan, institusi raja masih mendapat perhatian yang tinggi, khasnya dalam kalangan orang Melayu.

Sejak negara mencapai kemerdekaan, raja Melayu menjadi raja berperlembagaan. Keadaan ini kekal hingga kini dan dijangka terus kekal kerana raja dan rakyat sedar dan insaf akan hakikat betapa masing-masing saling memerlukan dan lengkap-melengkapi. Hubungan yang terganggu atau tergugat mampu merosakkan dan meruntuhkan kedaulatan negara dan keharmonian yang dibina zaman-berzaman.

Oleh itu, sikap biadab golongan tertentu, yang didorong oleh emosi, terhadap institusi raja, seperti yang berlaku di Ipoh baru-baru ini, memang mendukacitakan dan sepatutnya tidak berlaku. Yang lebih mendukacitakan ialah golongan tersebut kelihatannya diketuai oleh orang Melayu, yang sepatutnya mempertahankan institusi raja. Enam tahun yang lalu, kalangan itu bertindak sedemikian juga terhadap institusi raja.

Biarpun era raja berkuasa mutlak telah digantikan oleh zaman raja berperlembagaan, fungsi institusi raja tetap relevan. Sebagai raja berperlembagaan, seseorang raja menjadi payung kepada rakyat dan negeri. Seseorang raja menjadi raja kepada semua pihak tanpa mengira fahaman, kepercayaan, anutan, atau keturunan dan kaum. Selagi hal itu diamalkan, selagi itulah hubungan antara raja dengan rakyat tidak akan terpisah. Raja untuk rakyat, rakyat untuk raja.

Sehubungan dengan itu, ada baiknya kita kembali kepada persetiaan antara Sang Sapurba, yang mewakili raja, dengan Demang Lebar Daun, wakil rakyat, seperti yang disebut dalam Sejarah Melayu. Persetiaan tersebut menerangkan peranan dan tanggungjawab masing-masing dengan jelasnya. Sistem beraja di negara ini akan terus kekal dan relevan selagi persetiaan itu difahami, dihayati, dihormati dan tidak dipertikaikan.

***

Armin Azhari Saleh

Artikel ini dipetik dari majalah Dewan Budaya keluaran Mei 2015.

SATU HUJUNG MINGGU DI BANDAR DIRAJA PERAK

Kejohanan ragbi di Kuala Kangsar itu bertaraf antarabangsa kerana disertai oleh beberapa buah pasukan dari luar negara. Ada dua perkara menarik yang dapat diketengahkan daripada kejohanan itu.

Yang pertama, irama lagu Tari Tualang Tiga, Tanjung Katong, dan Kenek-keneklah Udang berkumandang semasa kejohanan ragbi 7 sebelah MCKK itu. Mungkin hal itu mengejutkan sesetengah orang, tetapi bagi penduduk bandar diraja itu dan mereka yang terlibat dalam kegiatan sukan dengan MCKK, perkara itu biasa sahaja. Hal ini dikatakan demikian kerana ketiga-tiga lagu itu menjadi sebahagian daripada lagu sorak dan pembakar semangat oleh penyokong MCKK. Biarpun seni katanya diubah untuk disesuaikan dengan situasinya, melodinya tetap begitu juga – mungkin nyanyiannya lebih bersemangat oleh sebab keadaannya.

Pada hakikatnya, ketiga-tiga lagu tersebut diberi fungsi baharu sebagai lagu sorak dan pembakar semangat oleh penyokong MCKK sejak lebih daripada 30 tahun yang lalu. Tidak ada sesiapa yang tahu akan sebab lagu tersebut diberi fungsi itu kerana perkara tersebut tidak pernah ditanya dan diberitahukan. Walau bagaimanapun, hal ini menunjukkan bahawa lagu yang demikian, yang mungkin tidak lagi dikenali oleh sebahagian daripada generasi sekarang, akan mendapat tempat dalam kalangan mereka jika diberi nafas baharu yang tidak keterlaluan. Banyak juga lagu Melayu lama yang lain, seperti Tanggal 31, yang menerima nafas baharu dan sebagai akibatnya, kekal dinyanyikan hingga kini, justeru lebih dikenali oleh masyarakat.

Yang kedua, kejohanan ragbi itu dapat dijadikan sebagai satu daripada tarikan pelancongan di Kuala Kangsar. Dalam kejohanan terbaharu pada akhir bulan Februari yang lalu, kelihatan kenderaan dengan nombor pendaftaran negara jiran di utara dan selatan tanah air diletakkan di tepi jalan berhampiran dengan lokasi kejohanan. Tidak cukup dengan itu, kelihatan juga orang berkulit putih di situ, dalam keadaan yang kurang selesa kerana cuaca yang panas. Tentu sekali mereka berada di situ untuk menonton kejohanan tersebut, yang dianjurkan sejak tahun 2011, dan pastinya untuk memberikan sokongan tidak berbelah bahagi kepada pasukan harapan mereka.

Dengan pelibatan Tourism Malaysia sebagai satu daripada rakan kerjasama kejohanan itu (menterinya, Dato’ Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, turut singgah menyaksikan beberapa perlawanan), pelan pelancongan yang lebih teratur perlu disusun untuk menarik perhatian pelancong tempatan dan luar negara mengunjungi Kuala Kangsar dan sekitarnya. Banyak tempat menarik yang dapat dikunjungi, seperti Masjid Ubudiah, Jambatan Victoria, dan tinggalan pertahanan Inggeris ketika Perang Dunia Kedua di Jambatan Iskandar, selain menikmati masakan pindang ikan sungai dan melihat cara pembuatan labu. Manfaatnya dapat dikongsi oleh penduduk tempatan, dari segi ekonomi khususnya, dan pelancong, dari segi penambahan pengetahuan, misalnya.

*****

Daripada-Nya kita datang, kepada-Nya kita pulang. Sidang editor dan warga kerja Dewan Budaya merakamkan ucapan terima kasih kepada seorang pujangga Melayu tersohor yang telah memberikan sumbangan yang tidak ternilai kepada agama dan bangsa. Dr. Tenas Effendy dijemput oleh Penciptanya pada 28 Februari 2015 yang lalu di Pekanbaru, Riau, Indonesia. Pemergiannya akan dirasai, tetapi perjuangannya akan tetap diteruskan oleh mereka yang tinggal. Marilah kita berdoa agar rohnya ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman.

Armin Azhari Saleh

Artikel ini dipetik dari majalah Dewan Budaya keluaran April 2015.