Home » Catatan » Nota Ketua Editor

Bersediakah Kita?

Senario hari ini: Murid-murid membawa beg sekolah yang beratnya beberapa kilo setiap hari. Saban tahun timbul perdebatan tentang hal ini. Murid-murid lebih suka membawa semua buku teks kerana khuatir dihukum oleh guru jika tertinggalnya; ibu bapa perlu bantu anak mengikut jadual yang disediakan dan alasan lain lagi.

Apa-apa pun anak-anak masih tidak dapat mengelak atau masih “suka” membawa semua buku yang beratnya tidak kurang daripada tujuh kilogram. Bayangkan jika tujuh kilogram dibawa pergi dan balik sekolah setiap hari, jumlah beratan yang ditanggung mereka bersamaan dengan 70 kilogram seminggu atau 280 kilogram sebulan atau kilogram setahun. Fikirkan kesannya kepada kesihatan, pertumbuhan fizikal dan malah emosi kanak-kanak.

Bayangkan situasi lima tahun akan datang: Murid-murid ke sekolah kelihatan tidak membawa apa-apa kecuali memegang sekeping peranti komputer tablet seumpama iPad. Di dalam peranti itulah terkandung semua buku teks. Proses pembelajaran dibuat di dalam peranti – menulis, membuat latihan, merujuk, menyelesaikan tugasan sekolah di rumah. Tidak ada pensel, pen, pemadam, pembaris, atau pengasah pensel. Semua fungsi peralatan itu diambil alih oleh jari.

Senario ini bukan lagi khayalan. Ia sudah pun menjadi kenyataan dalam sistem pendidikan di Amerika Syarikat (AS). Kini Apple Inc. akan melonjakkan pasaran buku teks konvensional. Steve Jobs, beberapa bulan sebelum meninggal

dunia, mengadakan perbincangan dengan penerbit untuk mereka cipta buku teks yang interaktif mengikut keperluan zaman. Apple telah pun mengeluarkan aplikasi IBooks 2 yang membolehkan pelajar mengakses dan membeli buku teks, malah boleh dimanfaatkan oleh guru dan penulis untuk menghasilkan buku teks dan rujukan interaktif bagi pelajar mereka.

Bersediakah kita berhadapan dengan realiti ini? Teknologi maklumat dan komunikasi (TMK) perlu dimanfaatkan – kini kita tidak khuatir akan sesat jalan, rujuk sahaja Google Maps atau guna kemudahan Sistem Kedudukan Sejagat [(GPS) Global Positioning System]. Siapa kata TMK hal keduniaan semata-mata? Orang Islam boleh diingatkan oleh komputer atau telefon bimbit tentang waktu solat, boleh mendengar sebutan bacaan al-Quran, malah boleh belajar mengaji mengikut tajwidnya melalui komputer.

Maka lupakanlah pemikiran untuk balik ke belakang dengan kaedah lama. Sikap sukar menerima benda baharu dan kos sering menjadi hambatan. Kos sebenarnya menjimatkan dalam jangka masa panjang. Bayangkan betapa negara dapat menjimatkan berjuta-juta ringgit untuk menyediakan buku teks jika tidak mencetak buku lagi. Bayangkan sumbangan yang besar terhadap penjagaan alam sekitar yang masalahnya semakin meruncing dan telah menimbulkan malapetaka

kepada dunia. Kita tidak berhadapan lagi dengan kecaman dunia tentang isu pembalakan yang sebahagian besarnya untuk penghasilan kertas.

Yang penting bersediakah kita melangkah masuk dalam revolusi TMK yang telah jauh ke hadapan? Bersediakah kita mengetepikan pemikiran dan kaedah lapuk yang hanya akan membantutkan usaha untuk maju dan memenuhi Wawasan 2020?

Kerajaan menyediakan prasarana yang canggih dan terkini bagi memastikan negara dapat terus menjanakan kejayaan. Kerajaan telah menyuntik insentif kepada penjawat awam melalui Skim Baharu Perkhidmatan Awam. Dato’ Sri Mohd. Najib Tun Abdul Razak menekankan transformasi dalam sektor awam dan swasta. Transformasi itu juga menjurus kepada sikap dan keberanian untuk berubah.

Maka, bersediakah kita menghadapi revolusi yang pasti berlaku ini? Dalam hal pembaharuan, pasti ada perkara yang terpaksa dikorbankan. AS telah memikirkan implikasi rekayasa pendidikan yang dilaksanakan terhadap pencetak,

pembekal kertas, dan yang berkaitan dengan industri penerbitan. Namun, ia juga tentu memikirkan keutamaan yang mendesak, iaitu penjagaan alam sekitar yang sangat penting untuk kelangsungan hidup manusia dan keperluan membina kreativiti generasinya.

Semasa iPad diperkenalkan, gergasi teknologi maklumat dunia, termasuk Bill Gates, ragu-ragu tentangnya. Namun, lihat sahaja yang berlaku sekarang! Kini dengan hala tuju baharunya untuk mereka cipta buku teks, dunia pendidikan memasuki dimensi baharu. Pelajar dari peringkat rendah hingga peringkat pengajian tinggi dapat menikmati pembelajaran yang jauh lebih menarik dan berkesan.

Inilah gaya hidup generasi zaman sekarang. Di peringkat kanak-kanak lagi, mereka sudah terdedah kepada dunia TMK. Mereka cepat bosan menghadap buku teks yang statik. Apple nampak peluang ini. Inilah bezanya antara yang mempunyai pandangan dan wawasan dengan yang tiada. Apple bukan sekadar selesa dengan e-buku, tetapi e-buku yang mempunyai elemen multimedia seperti bunyi, lagu, dan interaktiviti. Program inilah yang dinanti-nantikan pelajar zaman baharu dan boleh menyelesaikan masalah pembelajaran yang membosankan.

Bersediakah kita, dari segi mental dan fizikal, menerima revolusi yang besar ini dalam waktu terdekat? Jika kita masih selesa di takuk yang sama dengan pemikiran yang lama, dan lebih malang lagi jika berpatah balik kepada kaedah lama,

janganlah kita bercakap tentang transformasi. Harapan Perdana Menteri akan hanya tinggal dalam dokumentasi sejarah negara. Yang jauh lebih malang, kita menganiaya generasi yang datang.

-Padilah Haji Ali

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Budaya Februari 2012.

Antara Kegiatan Sukan dengan Kerohanian

Kontinjen Sukan SEA ke-26 di Indonesia pada  tahun ini membawa pulang 59 butir pingat  emas. Jika diteliti, tiada peningkatan yang  ketara berbanding dengan tahun-tahun sebelumnya.  Kedudukannya lebih kurang di tempat yang sama – di  belakang negara-negara seperti Indonesia, Thailand  dan Vietnam. Dengan Singapura kita tidak jauh  berbeza. Sasaran 60 butir pingat emas terlalu rendah  untuk sebuah negara yang sudah “veteran” dalam  temasya ini.

Untuk mengalihkan perhatian, kemenangan pingat  emas bola sepak dijadikan penawar. Emas bola sepak  dikatakan “ibu segala pingat” walhal pasukan yang  sama “tumbang mudah” ketika bertarung dalam kelayakan Olimpik pada minggu yang berikutnya.

Di negara kita, ahli sukan mendapat tempat yang  sangat istimewa. Mereka disanjung setiap kali menang.  Tidak ada hari tanpa berita sukan dalam media massa.  Sementelahan gosip ahli sukan bergaduh dengan  kekasih turut mendapat liputan luas.

Kerajaan juga memberikan perhatian yang luar  biasa kepada ahli sukan. Mereka ditatang bagai minyak  yang penuh. Peruntukan kewangan bukan sedikit,  walaupun kejayaan yang dihasilkan tidak seberapa.  Latihan diadakan di serata dunia, tetapi pencapaian  sesetengah ahli sukan tidak memberangsangkan.

Setiap kali menang, ada ganjaran yang menanti  ahli sukan. Contohnya untuk Sukan SEA ini, sebanyak  RM629 996 disediakan untuk 91 orang ahli sukan yang  mengutip pingat emas. Telekom Malaysia Berhad turut  menjanjikan durian runtuh kepada pasukan bola sepak  kerana mempertahankan “ibu segala pingat”.

Kerajaan negeri juga turut menjanjikan ganjaran  kepada atlet kelahiran negeri masing-masing. Ada  yang mendapat wang, tanah atau banglo.

Bandingkan senario di atas dengan kegiatan  intelektual atau yang membina kerohanian dan  ketamadunan. Kita biasa terdengar luahan golongan  aktivis budaya dan sastera tentang “keterpinggiran”  mereka. Mereka umpama “melukut di tepi gantang”  dalam dunia materialisme yang mengagungkan  kegiatan bersukan dan hiburan yang tiada  penghujung.

Cuba bandingkan pendapatan yang diperoleh oleh  sesetengah ahli sukan yang menjadi juara dengan  ganjaran yang diperoleh oleh budayawan/sasterawan  yang dinobatkan. Pengiktirafan kesusasteraan tertinggi,  iaitu Sasterawan Negara contohnya, hanya mendapat  RM60 000 sekali seumur hidup.

Hadiah sayembara penulisan sangat kecil jika  dibandingkan dengan hadiah pertandingan sukan  peringkat daerah. Ada penganjur yang mengurangkan  nilai hadiah atau enggan menaja sayembara penulisan  kreatif. Mereka lebih berminat menaja acara sukan  atau program realiti televisyen.

Nasib seniman kecil yang giat menghidupkan aktiviti  budaya lebih teruk lagi. Mereka terpaksa “mengemis”  untuk mendapatkan bantuan kewangan bagi menganjurkan aktiviti pada peringkat komuniti.

Mereka umpama lilin; membakar diri untuk  menerangi orang lain. Ada yang mengeluarkan duit  kocek sendiri. Hidup mereka belum tentu senang,  tetapi masih berminat untuk menggerakkan aktiviti  seni dan budaya demi kelangsungan seni tradisi agar  tidak pupus ditelan zaman.

Saya teringat kisah seorang aktivis boria yang  terkenal. Dia ke hulu ke hilir menyemarakkan kegiatan  berboria. Sangka kita tentulah pendapatannya  lumayan. Tidak sebenarnya, kerana apabila ada  penerbit melunaskan bayaran hasil kerjanya yang tidak  sebanyak mana, terus terang dia berkata, “Dapatlah  saya membaiki kereta yang telah lama tersadai!”

Begitulah nasib seniman dan sasterawan di Malaysia  yang tidak mendapat pengiktirafan yang sewajarnya.  Jika di negara maju, golongan ini dibela, hal yang  sebaliknya berlaku di negara kita.

Apabila generasi muda hanyut dalam gelombang  modenisasi, kita galakkan lagi dengan memperhebat  aktiviti sukan dan hiburan. Kita menolak aktiviti yang  membentuk kerohanian sebaliknya tunduk dengan  selera orang muda. Apabila berlaku kerosakan sosial,  masing-masing menyalahkan orang lain.

Kita perlu memberikan perhatian yang serius  tentang perkara ini. Jika tidak, kemajuan yang kita  capai pada tahun 2020 hanya bersifat luaran, sedang  dalaman kita masih di takuk lama.

-Padilah Haji Ali

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Budaya Januari 2012.