Home » Kolumnis

Kembara ke Benggala (Siri Satu)

OLEH MUHAMMAD HAJI SALLEH

FOTO PENULIS

Dalam sejarah sastera Melayu moden, Ahmad Rijaluddin, yang berasal dari Kedah, seharusnya mendapat penghormatan yang sewajarnya. Beliau mendahului Abdullah

Munsyi lebih daripada 30 tahun dalam penerokaan pemerian dan bagaimana untuk mencatatkan pemerian itu melalui kaedah yang lebih tepat dan moden.

Semasa bekerja dengan Syarikat James Scott di Pulau Pinang, beliau dibawa melawat ke Benggala pada 1810. Beliau menyiapkan sebuah laporan perjalanan pada 1811. Kini tulisannya sudah ditranskripsikan oleh Cyril Skinner, dan diterbitkan dengan judul, Hikayat Perintah Negeri Benggala di KITLV, Leiden. Kata Ahmad,

Inilah hikayat diceterakan perintah negeri Benggala, tatkala masa zaman sinda (s.n.d.a. – Skinner – senda) Ahmad Rijaluddin ibni Hakim Long Fakir Kandu belayar membuang diri ke Benggala. Maka dikarang hikayat ini meninggal akan zaman, diperbuat surat pada sanat 1226 tahun Dalawal pada bulan Ramadhan. (Skinner menyamakan tarikh ini dengan 18 September – 18 0ktober, 1811).

Pemerian beliau cukup lengkap. Beliau memerikan bagaimana mereka bertolak dari Pulau Pinang dan masuk ke delta Sungai Hoogli, di daerah Sunderban, dan dari sana melalui beberapa buah kampung penduduk asal dan penduduk pendatang.

Menurut beliau, Kolkata terletak ke arah hulu sungai dan harus dilalui dengan perahu. Pada ketika itu, kota ini juga menjadi ibu Negeri Selat. Perdagangan antara wilayah Timur dengan Barat juga banyak terpegun melihat bangunan kolonial seperti Government House, Writer’s Building, dan rumah Gabenor General yang katanya indah seperti istana. Beliau mengelilingi kota untuk melihat budaya dan amalan agamanya – Hindu dan Islam serta Kristian. dikendalikan di sini. Di kota besar yang indah ini, Ahmad Rijaluddin

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Budaya April 2012.

Posted in: Kolumnis

Samarinda di Tebing

OLEH MUHAMMAD HAJI SALLEH

FOTO PENULIS

Di Borneo, tarikan yang paling unik ialah budaya “Dayak”, tetapi orang Dayak tidak tinggal di tepi sungai, mereka lebih suka daerahpendalaman dan berbukit bukau. Saya kira, tanpa mengalami kehidupan orang Dayak, maka saya masih belum sampai penuh di pulau ini. Jadi pada suatu pagi yang tidak berhujan, kami ke Pampang, suatu penempatan khusus Kenyah, ke utara Samarinda, lewat bukit dan lembah.

Kami melalui kawasan yang baru dibangunkan, mulanya dengan pondok atau rumah sederhana, dengan papan yang dicat putih. Rumah asal ini sudah mula diganti oleh rumah yang separuh simen, seperti di selatan. Sangat jelas pergelutan sengit penduduk untuk menangkap masa kini dan masa hadapan. Peluang terbuka luas, walaupun sedikit serebeh dan saingannya cukup sengit dan dasar. Rezekinya juga kelihatan bersifat “kais pagi makan pagi”. Sesiapa sahaja boleh menangkap peluang yang lewat di depannya, menjinakkannya hingga menjadi ruang hidup dan rezeki yang lebih bertentu.

Binaan di mana-mana, yang kecil dan besar, yang dasar dan mewah. Di kanan jalan ada sebuah kampung, Akiyah namanya – yang berpintu gerbang dan berpagar. Jalan terus berliku sampai ke puncak bukit, tapi setelah itu jalan menurun lagi. Membelok dan menurun tajam, sehingga 45 darjah. Hutan simpan atau yang masih belum disentuh tangan rakus manusia menghiasi pemandangan. Ada warung buah di kiri kanan, ada sebuah dua kedai. Dan ada pula kandang kambing yang didahului oleh baunya. Malah beberapa buah kandang semuanya.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Budaya Mac 2012.

Posted in: Kolumnis

Mengejar Pantai Kata, Phuket

Oleh: Muhammad Haji Salleh

Perjalanan udara saya ke  Pulau Phuket (nama asalnya  Bukit) membawa dua citra  tipis berkabus. Satunya citra  seluruh bahagian Pulau Pinang,  dari sisi barat, yang meleper, seperti  kelawar sedang terbang, dengan  kaki pendeknya kejang ke depan  dan ke belakang. Ada Pulau Jerejak,  Pulau Betong dan Pulau Aman  di sebelah timurnya. Sayang, ada  selapis tipis awan dan jarak terlalu  jauh untuk membolehkan saya  mengambil foto yang baik.

Sejurus selepas Pulau Pinang  bermulalah suatu pameran indah  batu kapur yang berpawai antara  biru tua dengan biru hijau karang.  Pertama kali saya memantau  kepulauan lebih 100 buah ini, dari  sisi barat.

Kapal terbang menuju ke  utara. Di deretan tingkap kanan  pantai panjang ialah Semenanjung  Kra, sekurang-kurangnya 20  kilometer pasir dan tebing memalit  kaca penglihatan. Ada pantai  pasir dan ada pula tebing yang  muncul dari laut, kebiru-biruan  dan ada pula yang menjelma  sebagai segugus pulau batu atau  zamrud hijau – inilah Kepulauan  Langkawi. Demikian pula sewaktu  kita memasuki ruang udara di  atas pantai sebelah barat Pulau  Phuket. Tebing batu (yang lebih  keras) berdiri tegak di tepi laut,  air asinnya menggigit kalsium  sehingga ada semacam skirt di  kakinya. Gugusan Pulau Phuket  menawarkan wajah bumi yang lain  lagi, kepejalan tanah dicairkan dan  diimbangkan oleh laut. Inilah tanah  dan air – suatu kesatuan tanah  air – pertiwi yang menawarkan  dua bahagian wajah dan dirinya.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Budaya Januari 2012.

Posted in: Kolumnis

14 Jam di Kelong Selayar, Lingga

OLEH MUHAMMAD HAJI SALLEH

(Foto Penulis)

Di pantai utara, di bahagian hujung timur Pulau Selayar, Singkep, ada dua tanjung yang berhadapan dengan laut lepas utara, ke panorama Pulau Daik yang dramatis dan romantis di timur, dan Pulau Pandan seperti yang diabadikan lukisannya dalam pantun, jauh ke tengah. Daik tersergam, tetapi Pulau Pandan lebih kecil, sepi dan berapung di atas gelombang. Petang mula tua. Kami berjalan ke barat, ke suatu teluk kecil yang terlindung daripada badai, yang sering mengamuk di sini. Bakau menyederhanakan hentaman air, jadi banyak juga perahu yang ditambat di sini, berserta bagannya yang berdiri tinggi di air dan sebuah bilik kecil tempat perlindungan dan berehat.

Saya diajak saudara Amran, seorang Pegawai Jabatan Pelancongan Lingga, yang berasal dari Selayar, ke sebuah kelong. Ini suatu jemputan yang sangat langka. Biasanya orang mengajak saya ke kedai buku, pertunjukan drama noh, atau jaz, tetapi inilah jemputan pertama ke kelong. Bagaimana akan saya menolaknya? Walaupun saya sedikit gentar melihat kelong ini ramping dan ringan di atas garis gelombang, setengah kilometer dari pantai yang lebih pejal dan meyakinkan orang kota yang seperti saya. Tambahan pula saya hanya dapat berenang seperti anjing kepenatan sahaja.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Budaya Disember 2011.

Posted in: Kolumnis