Kepedulian dan Kebertanggungjawaban

…………..

Unsur Kekaguman dalam Hantu Kak Limah Balik Rumah

Oleh Mohd. Suhaimi Md. Yasin

Kesinambungan filem Zombi Kampung Pisang diteruskan oleh filem Hantu Kak Limah Balik Rumah (HKLBR) yang dianggap antara filem tempatan paling berjaya pada 2010. Filem ini merupakan arahan Mamat Khalid yang juga bertindak sebagai penulis cerita asal.

Seperti filem Zombi Kampung Pisang, filem HKLBR masih mengekalkan genre komedi seram. Bahkan, filem HKLBR dibintangi barisan pelakon daripada filem Zombie Kampung Pisang seperti Awie sebagai Hussein, Zami Ismail (Pak Abu), dan beberapa muka baharu, seperti Johan Raja Lawak (Abi Hurairah), Ummi Nazeera (Cik Nin), Pekin (Musalman), Delimawati (Kak Limah), Avaa Vanja (Ayu) dan banyak lagi.

Filem HKLBR mengisahkan Husin yang lama bekerja di Singapura mengambil keputusan balik ke kampung halamannya di Kampung Pisang. Apabila pulang ke rumahnya, Husin hairan melihat perangai pelik jiran sebelah rumahnya, Kak Limah yang langsung tidak bercakap dan berperwatakan aneh dengan rambut yang menggerbang dan tidak terurus.

Semasa hari pertama di rumahnya, beliau diganggu oleh Kak Limah sewaktu ingin tidur. Husin lari lintang-pukang ke warung Pak Munawer, lalu menceritakan kepada orang kampung bahawa Kak Limah sudah menjadi hantu.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Budaya April 2012.

Posted in: Filem

Meniti Sisi Gelap Kota

Oleh Fadli al-Akiti

Songlap, filem yang amat “menyakitkan” untuk ditonton. Bukan kerana teknikal, cerita, ataupun lakonan, tetapi isu yang diketengahkan. Dua jalinan cerita membuka sisi gelap filem ini.

Cerita pertama ialah kisah abang dan adik, Am (Saheizy Sam) dan Ad (Syafie Naswip). Mereka bekerja sebagai “orang tengah” dan “songlap” bayi luar nikah, kemudian dijual kepada pasangan suami isteri yang mahukan anak. Mereka juga membawa si ibu yang melahirkan anak luar nikah tersebut kepada sindiket perdagangan orang untuk pelacuran, yang diketuai Abang Mat (lakonan Hasnul Rahmat).

Kerja yang dilakukan oleh Am dan Ad amat menakutkan. Penonton tidak dihidangkan jenayah itu sahaja, malah dibawa untuk mengenali kisah peribadi dua watak utama ini. Am, abang yang menyayangi adiknya dengan cara realistik. Dia juga egois serta mempercayai kuasa duit menentukan kejayaan hidupnya.

Ad pula seorang remaja yang kekurangan kasih sayang ibu bapa, dan mencari kasih sayang tersebut daripada seorang kawan, Razak. Apabila Razak meninggal dunia secara tiba-tiba Ad menghampiri seorang pelacur wanita yang sebenarnya ialah ibunya.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Budaya Mac 2012.

Posted in: Filem

Ombak Rindu Melodrama di Tangan Osman Ali

Oleh Fadli al-Akiti

Filem Ombak Rindu dibuka dengan beberapa montaj yang menjemukan, tetapi ditangkap dengan latar luas yang statik dan teliti. Dalam babak ini, gunung menjadi

gunung dan awan menjadi awan. Kamera kemudiannya menangkap deruan ombak yang menderu dan membanting Maya Karin yang terkulai, patah hati di atas hamparan batu.

Babak ini sahaja sudah menyuarakan bahawa filem ini sebuah filem bergenre wanita. Terdapat dua genre kontemporari yang amat popular di hati wanita seluruh dunia, komedi romantik dan melodrama. Dengan paparan Maya sebagai Izzah, watak utama filem ini, terdampar di atas batu, kita sudah dapat mengagak filem ini menyelusur ke arah melodrama.

Osman Ali dikenali sebagai pengarah muda yang sebaris dengan Amir Muhammad, Deepak Menon, James Lee, Namron, Yasmin Ahmad dan Bernard Chandran, sekumpulan anak berdarah muda yang bermula dengan penghasilan filem bebas yang berjaya menembusi festival antarabangsa. Kini mereka giat dalam pembikinan filem perdana di bawah beberapa syarikat produksi filem besar Malaysia.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Budaya Februari 2012.

Posted in: Filem

Nasi Lemak 2.0 Bicara Jati Diri dan Perpaduan

Oleh: Maisarah Mansor

Kejayaan menyatukan tiga  bangsa di dalam sebuah  pawagam menyaksikan  lahirnya  sebuah  lagi  filem  yang menyokong gagasan Satu  Malaysia. Uniknya, filem Nasi  Lemak 2.0 menggunakan elemen  muzikal sebagai penghibur utama  di samping lawak jenaka yang  masih segar.

Filem ini membuka tirai dengan  watak seorang pelajar sekolah  rendah membaca akhbar sebelum  terserempak dengan sekumpulan  samseng yang membuli seorang  lelaki. Selepas membantu mangsa,  pelajar tersebut dikejar lalu  melarikan diri ke rumah kedai  di kawasan tersebut. Namun  begitu, semua pemilik rumah  kedai segera mengunci pintu  bagi menyelamatkan diri masing-masing. Peristiwa ini merupakan  kritikan terhadap sikap sesetengah  warga kota yang mementingkan  diri  dan  semangat  seorang  anak kecil untuk menegakkan  kebenaran.

Konotasi Nasi Lemak 2.0 membawa  maksud  transformasi  nasi  lemak  yang  wujud  sekarang.  Filem  ini dilakonkan  oleh  Namewee  sebagai Hero Huang, seorang  tukang masak makanan tradisi  Cina,  dan Karen Kong sebagai  Xiao K, anak pemilik restoran  makanan Cina. Menariknya,  kedua-dua watak utama filem ini  menggunakan pelakon baharu,  tetapi untuk watak pembantu,  kerjasama diberikan oleh selebriti  kesayangan rakyat Malaysia,   seperti Adibah Noor, Afdlin  Shauki, David Arumugam dan  Reshmonu. Walaupun Namewee mula mencipta nama dengan  menimbulkan kontroversi di laman  web, langkahnya menghasilkan  filem yang menjernihkan kembali  hubungan antara kaum dan  mencipta persahabatan antara  lapisan masyarakat wajar dihargai.

Posted in: Filem

Wajah Sebenar Filem Melayu

OLEH KU SEMAN KU HUSSAIN

Seorang teman secara sinis berkata, industri filem kita terencat kerana terkena sumpahan hantu. Filem kita penuh dengan kisah-kisah hantu hingga memaksa bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menegur fenomena filem hantu. Kata teman itu, Mahathir bimbang sekiranya semakin banyak filem yang “dihantukan”. Teguran Tun Dr. Mahathir kurang disenangi segelintir pihak lantas penerbit serta pengarah filem tampil dengan hujah mereka untuk mempertahankan filem hantu. Seperti biasa hujah mereka tidak kukuh dan hanya mengulangi modal lama; filem hantu juga ada nilai pendidikan kepada masyarakat.

Tahun ini dianggap sebagai tragedi malang filem Melayu kerana semakin banyak penerbit dan pengarah filem mengukur filem daripada sudut untung rugi. Hal ini suatu yang amat malang kerana penanda aras kehebatan sesebuah filem bukanlah diukur dari segi untungnya, tetapi isi kandungannya. Hal ini berkaitan dengan tinggi atau rendah pemikirannya yang disulam-seli dalam media yang paling berpengaruh ini. Tahun ini dianggap oleh sesetengah pihak sebagai “sangat berjaya” kerana jumlah kutipan dan penonton semakin bertambah.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Budaya Disember 2011.

Posted in: Filem