Home » 2011 » December

Yoyo Cina Menguji Fizikal dan Mental

OLEH DHANIA KAMARULZAMAN

Penulis hanya memerhatikannya dari jauh kelihatan beberapa orang anak muda berbangsa Cina, yang begitu bersungguh-sungguh memainkan sebuah permainan yang amat unik sekali. Penulis begitu tertarik melihat kesungguhan anak-anak muda tersebut dan cuba untuk menghampiri mereka dengan lebih rapat lagi. Setelah diamati, mereka memberitahu penulis bahawa mereka sedang bermain permainan tradisional masyarakat Cina, iaitu yoyo Cina.

Permainan ini memerlukan penggunaan kedua-dua belah tangan. Yoyo Cina, atau juga dikenali sebagai diabolo, amat berbeza daripada yoyo moden. Pada kebiasaannya, permainan yoyo moden memerlukan sebelah tangan, sama ada kiri atau kanan, mengikut keselesaan pemain.

Menurut sejarah, yoyo Cina yang berasal dari China wujud sejak zaman Dinasti Ming, iaitu sekitar tahun 1386 hingga tahun 1644. Yoyo Cina mempunyai dua cakera yang sama saiz yang dihubungkan oleh tali yang panjang. Yoyo Cina sentiasa berpusing pada tali yang diikat pada dua batang kayu kecil.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Budaya Disember 2011.

Posted in: Warisan

Rodat Pengisian Kehidupan

OLEH JAJA ALI

Terletak di pantai timur, Semenanjung Malaysia, Terengganu, yang berkeluasan 12 955 kilometer dan dihuni masyarakat pelbagai kaum, merupakan antara negeri yang kaya dengan pelbagai adat dan budaya. Salah satunya ialah rodat yang merupakan tarian tradisi yang berkembang di Terengganu. Rodat mempunyai fungsi sosial berhubung dengan pengisian kehidupan bermasyarakat. Pantun dan sajak yang dinyanyikan dalam persembahan rodat mempunyai peranan dan pengaruh yang signifikan.

Di Terengganu, rodat menjadi persembahan kesenian yang popular dalam majlis perkahwinan, kenduri, berkhatan, musim menuai, hari kebesaran diraja dan pelbagai pesta kebudayaan. Setiap persembahan rodat, diiringi tarian, nyanyian dan paluan rebana tar atau tar rodat. Asal usul Rodat di Terengganu tidak dapat dipastikan dengan tepat. Meskipun rodat dipercayai berasal dari Arab, Buletin Warisan (Mac 1979), Persatuan Sejarah Malaysia Terengganu menyebut bahawa pada awal abad ke-19, didapati pedagang dari Sambas dan Pontianak, Indonesia datang ke Terengganu untuk membeli budu, songket dan keperluan harian mereka.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Budaya Disember 2011.

Posted in: Warisan

Air Mata Raja Jejak Pewaris Istana Melaka

OLEH AKILAH ARIFFIN

Tajuk: Air Mata Raja
Pengarang: Shaharudin Haji Ali dan Norzailina Nordin
Penerbit: Dewan Bahasa dan Pustaka
Tahun Terbitan: 2011
Halaman: 963 halaman
Harga: RM55.00

Buku Air Mata Raja merupakan sebuah karya yang menjanjikan kelainan dalam seni penulisan dan yang mencetuskan satu kemungkinan dalam sejarah tanah Melaka. Karya ini melakarkan pewaris sebuah kesultanan yang telah sirna pada hakikatnya; pembaca dibawa mengintai ke alam mitos, namun tetap berpijak di bumi yang nyata.

Karya ini mengisahkan pelbagai peristiwa sebenar yang dialami oleh Datuk Paduka Bendahara Raja Tun Seri Lanang ketika menulis karya besar Sejarah Melayu. Di penghujung kesaksian Tun Seri Lanang, bermulalah perjalanan liku hidup pewaris Sultan Mahmud Syah, Melaka, selama 500 tahun yang merentasi dimensi masa dan peradaban, saling berputar antara realiti sedar dengan impian mistik dunia Melayu. Selain itu, buku ini juga merupakan nukilan yang bersandarkan kisah sebenar dalam sejarah kita dan lantas menjanjikan unsur kemelayuan yang penuh dengan debaran yang boleh memaku perhatian pembaca sehingga akhirnya.

Kisah Air Mata Raja bermula apabila terdapat beberapa orang raja Melayu di sembilan buah negeri yang sesungguhnya hebat dan handal. Nama mereka yang gah itu sering disebut orang semenjak zaman kegemilangan kesultanan Melayu Melaka, kira-kira lima abad yang lalu. Adapun baginda semua sesungguhnya merupakan raja yang bestari lagi adil, mulia lagi agung kedudukannya, serta tinggi ilmunya sehingga tiada bandingannya. Tanah Melayu menjadi aman di bawah pemerintahan raja Melayu dan mendapat penghormatan yang sejati rakyat jelata yang sentiasa menjulang titah.

Semua negeri di Tanah Melayu bernaung di bawah panji raja Melayu dan Tanah Melayu menjadi negeri yang sangat masyhur pada ketika itu. Raja Melayu juga memegang kuasa sebagai ketua agama Islam dan ketua segala adat resam dan budaya bangsa Melayu di Tanah Melayu. Baginda sesungguhnya yang berdaulat, disuluhdengan segala kebesaran dankemuliaan adatnya, dan pentadbiranke bawah duli tuanku raja Melayu membuatkan Tanah Melayu sebagai negeri yang sangat masyhur sehingga banyak negeri Barat cuba “menghampiri” Tanah Melayu, terutama Melaka.

Bermulanya di Pelabuhan Melaka, pada 29 September 1509, apabila kapal pedagang Portugis melabuhkan sauh di perairan pelabuhan. Bendera pelbagai warna berkibar tanpa henti dan sejurus kemudian kedengaran bedilan meriam dan tiupan trompet. Keadaan di tepi pantai sesak, dari serata pelosok kampung, banyak orang berkumpul untuk menyaksikan agenda yang berlaku. Ketibaan orang asing menimbulkan seribu tanda tanya.

Menurut pengarang, dalam masa 109 tahun semenjak Melaka dibuka, kemasyhuran Melaka meningkat dengan begitu mendadak. Agama Islam pula sudah mula bertapak di Melaka sekitar tahun 1414, apabila Parameswara atau Sultan Iskandar Syah memeluk agama Islam. Melaka turut menjadi pusat pengembangan Islam di kepulauan Nusantara.

Melaka menjadi pelabuhan dan pusat perdagangan antarabangsa yang terkenal di serata pelosok dunia.Hatta di bawah pemerintahan sultanMelayu, tanah jajahan Melaka bertambah luas dan pengaruh mereka semakin kuat. Kedudukannya yang strategik di Selat Melaka menjadi salahsatu faktor kejayaan. Beratus-ratus orang pedagang memenuhi perairan pelabuhan. Selain itu terdapat juga 150 buah perahu kepunyaan Sultan Mahmud dan lebih daripada 100 buah kapal kecil dan besar yang dimiliki oleh pedagang asing.

Beberapa buah perahu kecil kepunyaan pedagang Cina menghampiri kapal Portugis tersebut. Namun begitu, mereka tidak berani mendekatinya kerana mereka perlu menunggu arahan daripada kerajaan Melaka. Pihak istana berhak membeli yang terbaik dan mengikut keperluan mereka sebelum orang lain boleh berniaga.

Ramailah orang Melayu yangberperahu kecil dan besar mengerumuni kapal Portugis dan masing-masing dengan barang dagangan. Ada selaput biji pala, buah pala, gaharu dan ambar. Semuanya begitu berminat untuk berdagang dengan orang Portugis. Tujuan kedatangan orang Portugis adalah untuk menjalinkan persahabatan dan perdagangan dengan sultan Melaka. Begitu jugalah yang telah dilakukan oleh mereka di Pedir dan pelabuhan Sumatera. Selain itu juga, mereka inginmendapatkan hak monopoli perdagangan rempah-ratus di Melaka.

Rempah merupakan komoditi ulung yang menjanjikan pendapatan yang lumayan, terutama di pasaran benua yang jauh, seperti China, India, Timur Tengah dan Eropah. Di samping itu, tujuan sebenar mereka adalah untuk mengembangkan agamaKristian. Hal inilah yang menjadi misiulung mereka, malah mubaligh merekacukup megah kerana telah berjaya mempengaruhi penduduk Goa di India. Mereka mendirikan gereja dan mempelawa anak muda tempatan untuk turut serta dalam misi ke seluruh pelosok dunia.

Di Melaka, orang Portugis yang lainmelayani sesiapa sahaja yang ingin berniaga dengan baik. Suasana di sekitar tempat mereka berlabuh agak sibuk. Riuh-rendah suara pedagang tawar-menawar dengan perantaraan orang yang pandai kedua-dua bahasa. Masing-masing ingin menjual baranganatau hasil hutan dengan harga yang paling tinggi.

Buku Air Mata Raja yang berbentuk novel ini mempunyai jalan cerita sejarah yang sangat menarik. Kisah Sejarah Melayu diubah menjadi epilog cerita bagi memudahkan pembaca memahami sejarah Tanah Melayu sekali gus membawa pembaca “mengembara” ke alam jejak pewaris Istana Melaka.

Sesungguhnya, buku ini dapat menyuntik semangat – biar sesiapa pun anda, tidak kira di mana pun berada. Air Mata Raja menjadi lambang perjuangan yang menjanjikan sesuatu yang belum pasti, namun tetap wujud.

___

Ulasan buku ini dipetik daripada Dewan Budaya Disember 2011.

Posted in: Ulasan Buku

Berian Sampai Mati

OLEH SAHARUDDIN OMAR

Mendirikan rumah tangga tidak boleh dianggap perkara yang remeh. Masyarakat hari ini sangat mementingkan perancangan majlis perkahwinan. Perancangan yang rapi dipercayai dapat membantu memastikan majlis perkahwinan yang dirancang berjalan dengan lancar. Majlis perkahwinan yang lancar dapat memberikan kepuasan kepada tetamu yang datang di samping dapat menjaga imej pengantin dan keluarga kedua-dua belah pihak. Perancangan dari segi makanan, pakaian dan jumlah tetamu yang datang menyebabkan masyarakat hari ini mengetepikan adat dan budaya ketika melangsungkan perkahwinan.

Senario ini berbeza daripada masyarakat etnik Murut Tagol yang tinggal berhampiran dengan daerah Pensiangan, Sabah dan sempadan Kalimantan. Kehidupan mereka jauh daripada pembangunan khususnya pembangunan infrastruktur, kerana keadaan geografi yang menjadi penghalang menjadikan etnik Murut Tagol cukup unik dan istimewa dalam memelihara adat dan budaya dalam perkahwinan.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Budaya Disember 2011.

Posted in: Tradisi

Penghormatan Terakhir

OLEH LILY SAMSUDDIN

Setiap makhluk yang hidup pasti akan mati. Bagi rakyat Malaysia yang berbilang kaum, sudah pastinya setiap “pemergian” akan disemadikan mengikut kehendak agama, tradisi mahupun adat masing-masing.

Bagi masyarakat orang asli yang terdiri daripada pelbagai suku kaum, dalam menguruskan kematian, terdapat beberapa perkara yang dilakukan bagi memenuhi ritual kematian yang diamalkan oleh nenek moyang mereka.

Suku kaum Semai merupakan kumpulan penduduk yang tinggal bertaburan di kawasan Banjaran Titiwangsa, meliputi Perak Tengah, Perak Selatan dan Pahang Barat. Orang Semai merupakan suku kaum orang asli yang terbesar jumlahnya dan mereka hidup secara bermasyarakat. Kebiasannya, setiap kampung yang dihuni orang Semai mempunyai sekurang-kurangnya 60 hingga 300 orang penduduk yang diketuai seorang penghulu atau tuk batin yang dilantik daripada golongan berpengaruh, seperti pawang, bomoh dan ketua adat.

Apabila salah seorang penduduk kampung meninggal dunia, sanak-saudara yang berada jauh dan dekat akan dimaklumkan berita kematian tersebut dengan segera. Bukan suku kaum Semai sahaja yang dijemput untuk menziarahi kematian, malah penduduk kampung yang berdekatan turut dijemput bagi menziarahi dan membantu upacara pengebumian.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Budaya Disember 2011.

Posted in: Tradisi

Merungkai Teori Kedatangan Islam di Tanah Melayu

OLEH SHAMSIAH ABD. KADIR

Sejarah telah melakarkan pelbagai persoalan. Kenyataan dan tindak balas daripada persoalan yang terbit melahirkan pelbagai teori. Antara teori yang terhasil termasuklah kedatangan Islam ke Tanah Melayu. Terdapat tiga teori yang berbeza tentang kedatangan Islam di Tanah Melayu, iaitu kedatangan Islam dari India, China dan Arab. Teori ini banyak dikemukakan oleh sarjana terkemuka dunia, seperti Snouck Hugronje, B. Harisson, Thomas Arnold, dan R.O Winstedt. Teori yang dikemukakan oleh mereka ini sama ada berasaskan penemuan sumber sejarah atau rasional sarjana itu sendiri dalam menyusun kepelbagaian sangkaan sehingga lahir teori kedatangan Islam di Tanah Melayu.

Menurut sejarah, terdapat bukti yang menyatakan bahawa agama Islam itu dibawa secara langsung dari Arab. Sebagai contoh, raja Kedah, Maharaja Derbar Raja II, memeluk agama Islam pada tahun 1136 Masihi (M), oleh Sheikh Abdullah bin Sheikh Ahmad al-Qaumiri al-Yamani, seorang ulama berbangsa Arab yang datang dari Yaman.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Budaya Disember 2011.

Liku Seni Visual 2011


OLEH MULIYADI MAHAMOOD

Pameran, lelongan seni, kontroversi kartun, teater muzikal, pemergian seniman negara, seminar, bicara seni dan pertukaran nama institusi seni lukis negara membentuk sebahagian daripada liku seni visual negara pada tahun 2011. Seni visual kini merupakan wadah komunikasi terpenting, malah peranan dan kepentingannya sudah tidak dapat disangkal lagi. Hakikatnya, kini hidup kita dikelilingi dan dipengaruhi budaya visual lantaran itu, perkembangan, perubahan dan kemajuan bidang seni visual secara tidak langsung mempengaruhi gaya hidup, persepsi dan nilai budaya kita. Dalam konteks ini, seni visual yang dimaksudkan bukanlah hanya terbatas pada karya dalam konteks galeri seni semata-mata, tetapi merentasi bentuk penampilan yang lain, seperti media cetak dan elektronik. Tahun 2011 banyak menyaksikan perkembangan seni visual yang menarik dan bersejarah, dan tidak kurang juga yang kontroversi serta mengundang polemik.

Dalam dunia seni visual, pameran seni sudah menjadi budaya dan aktiviti rutin. Pada setiap bulan, pameran diadakan sama ada di galeri awam ataupun swasta, tetapi yang paling signifikan pada tahun 2011 ialah pameran Syed Ahmad Jamal dalam Kenangan dan Pameran Raja’ah: Art, Idea & Creativity of Sulaiman Esa (1950s-2011). Kedua-dua pameran itu berlangsung di Balai Seni Visual Negara (BSVN), nama baharu Balai Seni Lukis Negara (BSLN) yang dijenamakan semula pada 26 September 2011.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Budaya Disember 2011.

Posted in: Seni Lukis

Kelangsungan Dondang Sayang

OLEH ANINAH JANANG

Dondang sayang umpama nadi masyarakat Baba Nyonya. Hiburan berbalas pantun secara spontan dengan gaya santai dan lucu sudah sebati dalam budaya Baba Nyonya. Kekuatan dondang sayang terletak pada pemantun yang bijak menggunakan kiasan, kasih, budi dan sindiran menyebabkan tidak banyak pemantun dondang sayang dalam kalangan generasi baharu yang dapat mewarisi budaya ini. Hal ini mengakibatkan dondang sayang jarang-jarang dipersembahkan dalam kenduri perkahwinan atau majlis kebudayaan yang lain. Dalam kalangan Baba Nyonya, dondang sayang masih terpelihara, namun jumlah pemantun yang berkebolehan semakin berkurangan. Yang dibimbangkan ialah dondang sayang akan berkubur dan generasi muda tidak mengenali keunikan dondang sayang. Dewan Budaya (DB) menjemput tiga orang panel, untuk mengupas isu ini dengan lebih lanjut, iaitu Pengerusi Badan Kesenian Baba Nyonya Melaka (KEBAYA), Koh Kim Bok, Pengerusi Institut Seni Malaysia Melaka (ISMMA), Profesor Datuk Wira Dr. Abdul Latiff Abu Bakar, dan generasi muda Baba Nyonya, Cedric Tan.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Budaya Disember 2011.

Posted in: Forum

Menyingkap Harga Sebuah Maruah

OLEH RAZEMAN JAMALUDDIN

Hai merung mesuk nang semulai, lebih baik engkau jangan duduk dengan si anu itu. Dia nak pukul dan beri engkau, nak jual engkau pada orang lain. Duduklah dengan aku, aku dah siap tempat yang elok untuk engkau …”

Bait-bait tersebut merupakan mantera semangat menanam padi yang menjadi tradisi turun-temurun pesawah ketika tiba musim menuai padi. Mantera dan semangat padi yang terus mekar dan tersemat dalam jiwa serta kehidupan penduduk di Kertau, sehingga dianggap seperti maruah bagi penduduknya.

Bagi melihat sejauh mana“harga sebuah maruah” penduduk Kertau terbela dan dijaja, novel Harga Sebuah Maruah, nukilan Azizi Haji Abdullah, yang pernah memenangi tempat kedua Sayembara Mengarang Sempena Perayaan Jubli Emas Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), diadaptasi ke drama pentas sebagai Teater Perdana DBP 2011.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Budaya Disember 2011.

Posted in: Teater

Keistimewaan Subetnik Cina Malaysia

OLEH LEE YOK FEE

Malaysia merupakan sebuah negara yang mempunyai rakyat daripada pelbagai etnik. Dalam kumpulan etnik tersebut, terdapat subetnik yang lebih kecil yang menjadikan Malaysia kaya dengan pelbagai budaya. Masyarakat Cina di Malaysia merupakan salah satu kumpulan etnik yang bersifat demikian.

Masyarakat Cina di Malaysia berasal daripada masyarakat imigran, iaitu masyarakat yang dibentuk oleh orang Cina di luar China. Seperti yang dibincangkan oleh Yen, kewujudan masyarakat imigran bermula dengan kedatangan orang Cina dari selatan China, terutama Provinsi Fujian atau Hokkien, Guangdong dan Pulau Hainan ke Lautan Selatan, iaitu Nanyang, secara besar-besaran pada abad ke-18. Dengan berlatarbelakangkan demikian, pada umumnya, subetnik Cina boleh diidentifikasikan melalui sifat budaya terutamanya penggunaan bahasa dialek dan tempat asal-usul. Pengkategorian tersebut disebut dalam bahasa Cina sebagai fangyanqun.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Budaya Disember 2011.

Posted in: Fokus, Pilihan Utama