Home » 2011 » December (Page 2)

Kepelbagaian Kaum Kekuatan Malaysia

OLEH JOHARI AMIN

Di mana-mana negara, rakyat menjadi penentu kestabilan politik dan ekonomi. Rakyat yang bersatu padu dan hormat-menghormati akan membentuk peradaban yang akhirnya menentukan kedudukan rakyat dan negara di “mata” dunia. Banyak kuasa dunia yang satu ketika dahulu menguasai ekonomi dan politik, tetapi akhirnya tidak dapat mengekalkan kekuasaannya kerana tidak wujud persefahaman dan perpaduan dalam kalangan rakyatnya. Sebaliknya, negara yang hampir berkubur akibat kecundang dalam peperangan hari ini bangkit mendahului kuasa dunia yang lain. Jepun pada hari ini maju dan antara kuasa ekonomi yang terpenting di dunia.

Kekalahan Jepun dalam Perang Dunia Kedua ternyata tidak melunturkan semangat bersatu padu rakyat Jepun untuk kembali membangunkan bangsa dan negaranya. Hari ini, Jepun dilihat sebagai bangsa yang sukar digugat. Aspek kesepakatan dan bantu-membantu yang menjadi tulang belakang rakyat Jepun akhirnya menyebabkan Jepun maju. Bangsa Jepun tidak pernah mengalah dalam apa-apa keadaan sekalipun, bangsa Jepun tetap positif untuk membangunkan bangsanya. Bencana alam yang melanda Jepun tidak sekalipun menyebabkan rakyatnya mengalah.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Budaya Disember 2011.

Posted in: Uncategorized

Wajah Sebenar Filem Melayu

OLEH KU SEMAN KU HUSSAIN

Seorang teman secara sinis berkata, industri filem kita terencat kerana terkena sumpahan hantu. Filem kita penuh dengan kisah-kisah hantu hingga memaksa bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menegur fenomena filem hantu. Kata teman itu, Mahathir bimbang sekiranya semakin banyak filem yang “dihantukan”. Teguran Tun Dr. Mahathir kurang disenangi segelintir pihak lantas penerbit serta pengarah filem tampil dengan hujah mereka untuk mempertahankan filem hantu. Seperti biasa hujah mereka tidak kukuh dan hanya mengulangi modal lama; filem hantu juga ada nilai pendidikan kepada masyarakat.

Tahun ini dianggap sebagai tragedi malang filem Melayu kerana semakin banyak penerbit dan pengarah filem mengukur filem daripada sudut untung rugi. Hal ini suatu yang amat malang kerana penanda aras kehebatan sesebuah filem bukanlah diukur dari segi untungnya, tetapi isi kandungannya. Hal ini berkaitan dengan tinggi atau rendah pemikirannya yang disulam-seli dalam media yang paling berpengaruh ini. Tahun ini dianggap oleh sesetengah pihak sebagai “sangat berjaya” kerana jumlah kutipan dan penonton semakin bertambah.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Budaya Disember 2011.

Posted in: Uncategorized

Diaspora Gurdwara

OLEH YUSRIE YUSOF

Sekali pandang, pusat ibadat orang Sikh mirip masjid. Walau bagaimanapun, terdapat perbezaan reka bentuk bangunan tersebut. Pusat ibadat orang Sikh dikenali sebagai gurdwara. Sehingga tahun 1950, kebanyakan gurdwara berstruktur ringkas dan diperbuat daripada kayu. Secara beransur-ansur, gurdwara lama dirobohkan untuk memberikan laluan kepada pembinaan bangunan berbatu-bata setingkat mahupun dua tingkat, dengan unsur tradisional seni bina Sikh, termasuk kubah emas atau berwarna kuning.

Gurdwara bukan sahaja menjadi tempat ibadat, malahan sebagai pusat komuniti Sikh. Tidak hairanlah jika di mana-mana sahaja ada penganut Sikh, di situ juga terdapatnya gurdwara. Hal ini dikatakan demikian kerana tanpa gurdwara, penganut Sikh tidak dapat mewujudkan hubungan kolektif antara mereka dan sekali gus tidak dapat mempelajari peraturan hidup sebagai orang Sikh. Semua fungsi orang Sikh, sama ada yang kolektif atau individual, umumnya dilakukan di gurdwara, yang memainkan peranan penting dalam membangunkan komuniti Sikh. Orang Sikh berkumpul di gurdwara untuk mendengar puji-pujian kebaktian daripada Guru Granth Sahib, kitab suci mereka. Guru Hargobind bertanggungjawab memperkenalkan perkataan gurdwara.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Budaya Disember 2011.

Posted in: Uncategorized

Budaya Songsang Diiktiraf?

Golongan lesbian, gay, biseksual dan transeksual (LGBT) di seluruh dunia mengangkat bendera kemenangan apabila pada 17 Jun lalu, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menerusi Majlis Hak Asasi (UNHRC) meluluskan resolusi yang mengiktiraf hak asasi LGBT. Resolusi ini mengiktiraf hak yang berkaitan dengan orientasi seksual, kesamarataan jantina dan gender yang seterusnya mengiktiraf perkahwinan sejenis.

Dalam konteks agama Islam, resolusi ini sudah tentu bertentangan dengan hukum dan fitrah manusia. Islam tidak sesekali mengiktiraf hubungan sejenis atau perkahwinan sejenis. Menurut perspektif Islam, apa-apa yang didakwa “hak asasi” dalam resolusi ini bukan “hak” dalam erti kata yang sebenar. Bahkan, agama lain turut menolak perkahwinan sejenis. Hal ini jelas berdasarkan kecaman yang diterima oleh Ou Yang Wen Feng, 41 tahun, paderi gay warga Malaysia, yang tetap mahu berkahwin dengan teman lelakinya, warga Afrika-Amerika. Pasangan itu tetap melangsungkan majlis resepsi mengikut budaya Cina di negara ini. Beberapa pemimpin agama di Malaysia mengecam tindakan paderi gay itu, termasuklah masyarakat Islam dan Persatuan Hindu Sangam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Sementara itu, negara anggota Pertubuhan Persidangan Islam (OIC), termasuk Malaysia, tetap tegas menentang resolusi ini. Afrika dan Rusia juga mengambil berpendirian yang sama. Lantas, resolusi terbabit diluluskan dengan 23 buah negara menyokong, 19 buah negara menentang dan tiga buah negara mengambil pendirian berkecuali (termasuk China).

Cadangan resolusi hak golongan LGBT dibawa kepada perhatian PBB pada Disember 2008 oleh Belanda dan Perancis. Terdahulu, pendirian UNHCR dapat dilihat dalam keputusan kes Nicholas Toonen pada tahun 1994. Jawatankuasa Hak Asasi PBB menyatakan bahawa undang-undang Tasmania (Australia) yang meletakkan homoseksual sebagai jenayah merupakan diskriminasi yang bertentangan dengan Perkara 2, 17 dan 26 Perjanjian Antarabangsa Mengenai Hak Sivil dan Politik International (ICCPR). Ekoran keputusan itu, Tasmania diarah memansuhkan undang-undang tersebut kerana Australia perlu sentiasa patuh kepada peruntukan ICCPR yang ditandatanganinya. Inilah kesannya jika negara menandatangani ICCPR – segala undang-undang yang bertentangan dengan instrumen ini perlu dimansuhkan walaupun keputusan tersebut bertentangan dengan nilai agama, budaya, falsafah dan ideologi negara terbabit.

Malaysia tidak terikat dengan resolusi tersebut, tetapi golongan LBGT di negara ini menggunakan resolusi tersebut sebagai “tiket” untuk memperjuangkan hak mereka dengan pendirian bahawa resolusi PBB tersebut sebagai pegangan masyarakat dunia yang bersifat universal dan seharusnya diterima di negara ini. Meskipun resolusi ini mustahil untuk diterima atas kekuatan kedudukan Islam sebagai agama rasmi, moral, budaya pelbagai kaum di negara ini, perkara yang dibimbangkan ialah promosi terhadap resolusi ini dilakukan secara terbuka serta mendapat sokongan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tertentu dan golongan LGBT.

Terbaharu, pada 2 November lalu, berlangsung program Seksualiti Merdeka di Kuala Lumpur, yang kononnya memperjuangkan hak asasi LGBT. Meskipun mendapat kecaman hebat daripada pelbagai pihak termasuklah pemimpin negara, program tersebut meletakkan pendirian bahawa tidak semua rakyat di Malaysia berpeluang menzahirkan diri mereka yang sebenar dan program tersebut berusaha membebaskan golongan LGBT daripada diskriminasi seksual dan identiti jantina.

Pada dasarnya, undang-undang Malaysia jelas menolak perkahwinan sejenis ataupun permohonan menukar nama dan jantina seperti dalam MyKad. Misalnya, pada 19 Julai lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu, menolak permohonan menukar nama dan jantina Mohd. Ashraf Hafiz Abdul Aziz. Malaysia mempunyai beberapa peruntukan undang-undang yang menghukum perlakuan seumpama itu ke dalam Kanun Keseksaan, sebagai contoh Seksyen 377A, 377C serta 377D. Undang-undang Jenayah Syariah juga menetapkan bahawa hubungan sejenis seperti liwat dan musahaqah (lesbian) sebagai kesalahan. Seksyen 69 Akta Pembaharuan (Perkahwinan dan Perkahwinan) 1976 menegaskan bahawa perkahwinan hendaklah antara pasangan lelaki dengan perempuan sahaja.

Apabila melihat dari sisi budaya, penulis percaya kekuatan budaya dan agama rakyat di negara ini dapat menjadi benteng yang kukuh untuk memastikan LGBT tidak menular sehingga boleh merosakkan agama dan bangsa Malaysia.

-Aninah Janang

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Budaya Disember 2011.


Posted in: Nota Editor

14 Jam di Kelong Selayar, Lingga

OLEH MUHAMMAD HAJI SALLEH

(Foto Penulis)

Di pantai utara, di bahagian hujung timur Pulau Selayar, Singkep, ada dua tanjung yang berhadapan dengan laut lepas utara, ke panorama Pulau Daik yang dramatis dan romantis di timur, dan Pulau Pandan seperti yang diabadikan lukisannya dalam pantun, jauh ke tengah. Daik tersergam, tetapi Pulau Pandan lebih kecil, sepi dan berapung di atas gelombang. Petang mula tua. Kami berjalan ke barat, ke suatu teluk kecil yang terlindung daripada badai, yang sering mengamuk di sini. Bakau menyederhanakan hentaman air, jadi banyak juga perahu yang ditambat di sini, berserta bagannya yang berdiri tinggi di air dan sebuah bilik kecil tempat perlindungan dan berehat.

Saya diajak saudara Amran, seorang Pegawai Jabatan Pelancongan Lingga, yang berasal dari Selayar, ke sebuah kelong. Ini suatu jemputan yang sangat langka. Biasanya orang mengajak saya ke kedai buku, pertunjukan drama noh, atau jaz, tetapi inilah jemputan pertama ke kelong. Bagaimana akan saya menolaknya? Walaupun saya sedikit gentar melihat kelong ini ramping dan ringan di atas garis gelombang, setengah kilometer dari pantai yang lebih pejal dan meyakinkan orang kota yang seperti saya. Tambahan pula saya hanya dapat berenang seperti anjing kepenatan sahaja.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Budaya Disember 2011.

Posted in: Uncategorized