Home » 2012

MEMBUDAYAKAN SENI DI KAMPUS

Oleh Abdul Ghani Abu

Nilai sebuah lukisan M. F. Husain (1915-2011) kini $3 juta dolar Singapura.Nilai itu hanya setahun selepas kematiannya pada tahun lalu.Kini, tiga buah lukisannya berada di Universiti Nasional Singapura dan empat buah lagi berada di Universiti Malaya.Semasa di Universiti Malaya (universiti ini berpecah menjadi dua apabila pemisahan Singapura dari Malaysia pada tahun 1965), M.F. Husain menghasilkan tujuh buah lukisan.

Kehebatan pelukis seperti M. F. Husain dan rakan seangkatan seperti Abdul Latiff Mohidin, Ibrahim Hussein, Chen Wen Hsi, Cheong Soo Pieng, Chia Yu Chian, Syed Ahmad Jamal, Lai Foong Moi, Lee Joo For, Liu Kang, Redza Piyadasa, dan Ahmad Khalid Yusof dalam menghasilkan hasil seni memang tidak dapat dinafikan. Lukisan mereka kini bernilai ribuan ringgit malahan mampu mencecah jutaan ringgit setara dengan nama mereka yang tersohor di dalam dan di luar negara.

Selain itu, satu lagi penemuan seni di Universiti Malaya ialah lukisan mural Datuk Ibrahim Hussein di tembok bangunan lama pusat sukan universiti itu. Bayangkan, nilai semasa sebuah lukisan ikon pelukis negara ini boleh mencecah RM500 000! Berapakah pula nilai lukisan muralnya itu? Justeru Universiti Malaya telah mengambil langkah proaktif dengan memulihkan dan memulihara semula lukisan mural tersebut dengan kos RM100 000 dan dibantu oleh Balai Seni Lukis Negara. Bangunan lama itu kini menjadi tempat Residen Artis Universiti Malaya berkarya.

Sememangnya inilah warisan seni visual yang dimiliki oleh Universiti Malaya yang “terlepas pandang” oleh pihak pengurusan universiti selepas tampuk kepimpinan Profesor Diraja Ungku Aziz sebagai Naib Canselor pada tahun 1971 hingga tahun 1978. Semasa zaman tersebut, kegiatan kesenian, kebudayaan, dan kebahasaan berlangsung dengan meriah. Apatah lagi ketika itu, Muzium Seni Asia yang merupakan satu-satunya muzium seni di kampus di negara ini, dan diterajui pula oleh pelukis tersohor negara, Datuk Syed Ahmad Jamal, menjadi tumpuan penggiat seni, pelukis, ahli bahasa, dan budayawan seluruh tanah air. Ditambah pula dengan ketokohan Profesor Diraja Ungku Aziz yang bukan sahaja disegani di dalam negara, malahan terkenal di dunia luar. Kerancakan dunia akademik dan aktiviti seni, menyemarakkan nama Universiti Malaya (UM). Para ekspatriat luar negara yang berkunjung ke UM pasti meninggalkan buah tangan berbentuk lukisan yang amat bernilai.

Kini, dengan tampuk kepimpinan baharu, Naib Canselor UM, Tan Sri Dr. Ghauth Jasmon, mengorak langkah mengembalikan kegemilangan seni di UM dengan penubuhan Galeri Seni Universiti Malaya atau UMAG pada bulan Februari 2012. Antara matlamat penubuhan UMAG ini adalah untuk menginterpretasikan semula legasi seni yang diwarisi di UM melalui program seni dan pameran melalui sinergi bersama-sama golongan pendidik dan karyawan seni.

UM memiliki lebih 250 buah lukisan yang keseluruhannya mencecah nilai sebanyak RM30 juta.UM berasa bertuah kerana mempunyai Naib Canselor yang mencintai dan menghayati seni. Pengalaman berkunjung ke banyak universiti luar negara yang mengangkat seni dan menghargai seni terus menjadikan contoh terbaik kepada beliau untuk melakukan perkara yang sama di UM. Hal ini disemarakkan lagi dengan UM sendiri yang mewarisi legasi seni yang hebat daripada pelukis tersohor negara pada suatu masa dahulu.

Bagi menyemarakkan program seni visual di kampus, UM telah melantik empat orang residen artis, iaitu Soh Boon Kiong, Maamor Jantan, Mohd. Yusof Ismail atau Yusof “Gajah”, dan Juhari Said.Kali terakhir residen artis yang dilantik ialah Ibrahim Hussein pada tahun 1973.

***

Rencana ini dipetik dari majalah Dewan Budaya keluaran Disember 2013.

Posted in: Fokus

HAMAM DAN TARIAN DARWIS

Oleh Muhammad Haji Salleh

Di Capadoccia, kami menikmati bangunan yang tingginya hanya setingkat, yang berjarak di antara satu sama lainnya. Perasaan langka ini tidak mungkin lagi kita alami di banyak tempat di dunia.Melainkan di tempat terpencil dan di pulau-pulau Polinesia dan kawasan pergunungan Asia Tenggara dan di Kanada atau Siberia.Maka saya menghirup kelangkaan ini dan menyimpannya dalam kantung indah impian.Bangunannya terbuat daripada batu yang dipotong dari bukit, semurupnya ditambah dan disokong dengan tiang yang biasanya daripada kayu yang tidak begitu lurus, di daerah separuh kontang ini dan tidak berhutan.

Parit di depan rumah dan kedai-kedainya mengalir apabila hujan turun di hulu. Setelah hujan semalam, air bergumam dengan tebing, dan oleh itu sedikit bising.

Apa lagi yang ada pada Capadoccia, selain hasil kerja tangan dan barangan pelancong?

Saya temukan satu lagi – juga pada umumnya disediakan untuk pelancong, iaitu hamam, atauhammam, mandian atau urut tradisional Turki, yang juga dikenali dalam bahasa Inggeris sebagai Turkish Bath. Hal ini merupakan seni tua yang mengikut sejarahnya dipinjam dan disesuaikan daripada orang Rom dan Byzantine (Istanbul tua) yang pernah memerintah negara besar ini.Mandian dan urut ini ditambah baik pada zaman Seljuk serta Uthmaniah.Maka sejarahnya cukup tua, pendek kata, ribuan tahun.

Di Capadoccia rumah hamam ini dikeruk dan diukir dari bukit batu, dan di dalamnya ditebuk beberapa bilik yang khusus untuk dimakakan sebuah rumah mandian atau urut yang cukup unik.

Apabila kita memasuki bangunannya kita akan menemui penyambut tamu yang akan menanyakan pilihan kita daripada semua pakej mandian yang ditawarkan, iaitu mandian yang lengkap mengambil masa sekitar satu jam atau satu jam setengah, atau yang lebih singkat mudah, iaitu sekitar 30 minit.

***

Rencana ini dipetik dari majalah Dewan Budaya keluaran Disember 2012.

Posted in: Susur Budaya

RAJA DAN RAKYAT BERPISAH TIADA

Pada bulan lalu, Pemangku Raja Perak, Duli Yang Maha Mulia Raja Dr. Nazrin Shah berkenan menyampaikan titah Syarahan Perdana Budaya 2012 yang bertajuk, “Institusi Raja Berperlembagaan: Kelangsungan Negara Bangsa”. Antara petikan yang menarik pada awal titah Baginda termasuklah:

“Mauduk Raja dan Negara Bangsa, ada kaitan dengan ayat dua puluh enam, Surah Ali lmran, akan peringatan Ilahi dalam kalangan yang diangkat martabatnya dan diamanahkan sebagai Raja, dan ayat 13, Surah AI Hudjurat menyentuh seruan dan peringatan Ilahi terhadap seluruh umat manusia yang merupakan komponen mewujudkan negara bangsa. Mauduk ini menyentuh peranan dan tanggung jawab nakhoda, menakhodai sebuah bahtera untuk mengharungi gelombang pelayaran di maya luas. Raja laksana nakhoda, negara bangsa laksana bahtera, laluan yang ditempuhi laksana gelombang pelayaran. Yang diperlukan, kebijaksanaan dan kearifan nakhoda, melayari bahtera dalam keadaan padu dan selamat agar tidak tenggelam dalam badai gelombang samudera.”

Baginda mengimbas sejarah fungsi dan peranan institusi Raja dalam masyarakat Melayu yang akhirnya membentuk sebuah negara bangsa pada tahun 1957. Baginda menegaskan, peranan institusi Raja bukan sekadar memenuhi tuntutan ceremonial, sebaliknya Baginda mengingatkan kepentingan Raja yang dinyatakan dalam Perlembagaan:

“Sepuluh peratus atau 19 daripada 183 Perkara dalam Perlembagaan Persekutuan adalah Perkara-Perkara berkaitan Raja. Berpandukan Perlembagaan, adalah jelas dan nyata, Raja Berperlembagaan di Malaysia berperanan penting dalam struktur Kerajaan dan negara bangsa.”

Cabaran besar hari ini adalah untuk memberikan pemahaman kepada generasi muda tentang sejarah pembentukan negara bangsa yang penuh dengan keunikan dan semangat toleransi antara kaum.Baginda tidak menolak realiti semasa yang menuntut perubahan dalam landskap politik, ekonomi, dan sosial negara.Namun begitu, ada sesetengah pihak yang oportunis lantas bersifat dangkal dalam mentafsir sejarah demi kepentingan politik kepartian.

Baginda, dengan mengungkap bahasa bermadah, mengingatkan rakyat supaya mengekalkan kemakmuran dan menyelesaikan segala perselisihan atau persengketaan dengan bijak. Titah baginda:

“Benang yang kusut perlu dirungkai. Dirungkai dengan teliti, agar benang tidak bertambah kusut – dirungkai secara sabar agar benang tidak terputus; dirungkai, sedikit demi sedikit, sehari selembar benang supaya akhirnya menjadi kain. Merungkai benang kusut memerlukan jari jemari yang belum terluka.”

Menelusuri kebijakan cendekiawan bangsa bermadah menyusun kata, penulis mencatatkan sebahagian tulisan Raja Ali Haji dalam Gurindam 12 Fasal 12:

Raja muafakat dengan menteri,

seperti kebun berpagar duri.

Betul hati kepada raja,

tanda jadi sebarang kerja.

Hukum adil atas rakyat,

tanda raja beroleh inayat.

Demikianlah kita hidup bernegara yang kekal menjunjung adat dan budaya yang menjadi tunjang pembinaan negara bangsa.Hal ini merupakan juga keunikan negara ini yang sekian lama dicemburui oleh seteru.Maka, sebagai pewaris, kita harus kental mempertahankan leluhur budi, raja dan rakyat berpisah tiada.

- Abdul Ghani Abu

***

Rencana ini dipetik dari majalah Dewan Budaya keluaran Disember 2012.

Posted in: Nota Editor

TRANSFORMASI PENDIDIKAN MENGUNGKAP PERADABAN BANGSA

Oleh Abdul Ghani Abu

Kita mewarisi legasi sistem pendidikan negara daripada pimpinan terdahulu.Justeru kita perlu bijak menguruskan legasi sistem pendidikan ini,” demikian antara ucapan Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Mohd.Najib Tun Abdul Razak pada Majlis Pelancaran Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan, di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Timbalan Perdana Menteri, YAB Tan Sri Haji Muhyiddin Haji Mohd. Yassin pula dalam baris awal ucapannya menyatakan, “Sistem pendidikan di Malaysia telah menempa banyak kemajuan sepanjang lebih lima dekad yang lalu. Hasil daripada Laporan Razak (1956), kemudiannya Laporan Rahman Talib (1960), Laporan Jawatankuasa Kabinet (1979), penggubalan Akta Pendidikan 1996, sehinggalah yang terakhir Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (2006-2010), sistem pendidikan kita telah mencatat beberapa kejayaan yang membanggakan.”

Masyarakat Malaysia yang berbilang kaum dan budaya melalui pengalaman bersama-sama dalam sejarah. Setiap kelompok etnik memiliki set nilai sendiri yang mengikat anggota-anggota kelompoknya. Tambah unik lagi apabila negara ini melalui pengalaman sejarah dijajah selama lebih 400 tahun, iaitu oleh Portugis, Belanda, Inggeris, kemudian ditakluk oleh Jepun, dan akhirnya kembali kepada penjajah Inggeris sebelum negara mencapai kemerdekaan pada tahun 1957.

Tentu dalam tempoh beratus tahun ini, negara mewarisi kepelbagaian budaya yang ditunjangi oleh penduduk majoriti, iaitu masyarakat Melayu, diikuti oleh masyarakat Cina, India, dan etnik utama di Sabah dan Sarawak. Kepelbagaian ini merupakan manifestasi kepada kedudukan geografi negara sebagai negara perdagangan maritim ulung pada masa dahulu.

Sutan Takdir Alisjahbana lebih dua dekad yang lalu menyatakan, kedudukan strategik Asia Tenggara (termasuk Malaysia) di persimpangan jalan antara Timur dengan Barat telah membolehkan rantau ini menjadi “pusat pertembungan dan peleburan” tradisi budaya besar dan menghasilkan “budaya tinggi sekunder” yang dibina berasaskan agama-agama besar, khususnya Islam sehingga berupaya melahirkan kehidupan agama, sastera, dan intelektual yang subur di rantau ini.

Maka wujudlah kepelbagaian bangsa yang mendiami negara ini yang disatukan melalui semangat toleransi dan dimanifestasikan menerusi kontrak sosial.Hal inilah legasi yang kita warisi dan terus hormati. Dalam hal sistem pendidikan ini, walaupun pada peringkat sekolah rendah terdapat dua jenis sistem pendidikan, iaitu sekolah kebangsaan dan sekolah vernakular, namun melalui sistem pendidikan nasional dibayangkan bahawa satu kesatuan jiwa, ketaatan, dan pemusatan, tumpuan terhadap kegiatan atau keperluan negara dalam kalangan rakyat boleh diwujudkan. Hal ini dilaksanakan melalui penggunaan sukatan pelajaran yang seragam, dengan matlamat akhirnya untuk “menyeragamkan” rakyat yang nantinya akan digembleng sebagai suatu bala tentera untuk kemajuan negara dan berjuang mempertahankan negara dalam peperangan.

Lima prinsip rukun negara, iaitu Kepercayaan Kepada Tuhan, Kesetiaan kepada Raja dan Negara, Keluhuran Perlembagaan, Kedaulatan Undang-undang, dan Kesopanan dan Kesusilaan, menjadi teras utama dalam penyatuan bangsa. Doktrin ini disampaikan dan diserapkan ke dalam jiwa murid bagi memastikan kelangsungan identiti masyarakat Malaysia terus diwarisi oleh setiap murid.Rukun Negara diperkenalkan selepas negara mengalami kegoyahan perpaduan yang serius selepas Peristiwa 13 Mei 1969.

Walaupun sebelum itu, terdapat penggubalan dua sistem pendidikan, iaitu Laporan Razak pada tahun 1956, dan Laporan Rahman Talib pada tahun 1960, namun proses pengukuhan perpaduan pada peringkat akar umbi perlu dimantapkan. Hal tersebut merupakan cabaran awal sistem pendidikan negara, iaitu melahirkan generasi yang mengakar dalam diri mereka kepentingan perpaduan.

***

Rencana ini dipetik dari majalah Dewan Budaya keluaran November 2012.

Posted in: Fokus

ADAT MAGTIMBANG SUKU KAUM SULUK

Oleh Maslijan Abul Rasad

Sabah mempunyai lebih daripada 30 etnik yang berlainan budaya. Kepelbagaian etnik ini menjadikan Sabah sebagai destinasi pelancongan yang menarik dikunjungi oleh pelancong sama ada dari dalam ataupun luar negara. Antara etnik terbesar yang mendiami Sabah termasuklah Kadazandusun, Bajau, Suluk, Murut, Banjar, Rungus, Orang Sungai, Bisaya, dan Iranun. Kepelbagaian etnik ini menyebabkan kewujudan secara tidak langsung adat, kepercayaan, budaya hidup, pakaian, makanan, hasil kraf tangan, dan tarian yang berbeza mengikut etnik yang mengamalkannya.

Antara etnik yang terkenal di Sabah termasuklah etnik Suluk yang banyak menetap di kawasan pantai timur.Walaupun mereka berasal dari Filipina, mereka merupakan bumiputera Sabah yang beratus-ratus tahun tinggal di negeri ini.Tekanan daripada pemerintahan Filipina terhadap golongan Islam, seperti Bajau, Suluk, dan Iranun menyebabkan penghijrahan masyarakat Suluk ke negeri Sabah.

Masyarakat Suluk masih kaya dengan adat dan budaya tradisi mereka. Di Sabah pusat penempatan mereka banyak terdapat di kawasan daerah Kunak, Tawau, Semporna, Sandakan, Lahad Datu, Kota Kinabalu, Menggatal, Tuaran, dan Telipok. Mereka masih lagi mengamalkan adat dalam kehidupan mereka walaupun telah lama berhijrah.Antara adat yang diamalkan oleh masyarakat Suluk termasuklah adat kematian, adat perkahwinan, adat magtimbang, dan adat bercukur rambut.

Suku kaum Suluk atau Sulu berasal dari Kepulauan Sulu dan Borneo (Sabah) sejak zaman Kesultanan Sulu.Masyarakat Suluk menggunakan bahasa Tausug sebagai bahasa pertuturan mereka.Agama rasmi yang dianuti ialah agama Islam.Suku kaum Suluk ini juga mempunyai budaya yang unik dan tersendiri.Antara yang popular termasuklah pakaian tradisionalnya, iaitu Kupot dan tarian “Daling-daling”. Tausug berasal dari dua suku kata “Tau” (sbt Ta’u) bermaksud “orang” dan “Sug” bermaksud “Arus”. Istilah “Orang Arus” bermaksud orang yang menongkah arus atau pekerjaannya mempunyai kaitan terhadap pasang surut air laut.

Kepulauan Sulu terdiri daripada ratusan pulau. Pekerjaan utama penduduknya ialah nelayan dan memungut hasil laut, seperti mutiara, agar-agar laut, kerang, gamat serta menjalankan perniagaan secara sistem Barter antara Borneo Utara (Sabah) dengan Zamboanga serta kawasan lain di Nusantara. Gelaran “Orang Arus” sesuai dengan kehidupan harian masyarakat Suluk yang menjadikan lautan sebagai sumber ekonomi dalam kehidupan mereka.

Dalam suku kaum Suluk, adat Magtimbang merupakan kewajipan yang perlu dilaksanakan oleh masyarakat Suluk setiap kali kelahiran bayi. Hal ini bertujuan untuk menolak perkara yang tidak diingini daripada berlaku ke atas bayi.Adat Magtimbang dalam masyarakat Suluk di Sabah khususnya daerah Kunak masih diamalkan hari ini. Adat ini merupakan upacara yang sangat sinonim dalam masyarakat Suluk, tidak kira Suluk yang menetap di Kunak, Lahad Datu, Tawau, Tuaran, atau Telipok.

Dalam erti kata lain adat Magtimbang merupakan upacara “naik ayun”. Jika diamati secara mendalam, adat Magtimbang ini mirip upacara bercukur rambut bayi bagi masyarakat Melayu.Mengikut dapatan kajian, adat Magtimbang merupakan warisan golongan para nabi yang mengadakan kenduri sebagai menyambut kelahiran bayi. Adat ini dijalankan selepas seminggu melahirkan anak. Namun demikian, jika keluarga tersebut kurang berkemampuan, mereka boleh melakukan adat ini pada bila-bila masa yang sesuai mengikut kemampuan masing-masing. Magtimbang bererti melakukan timbangan anak yang baharu dilahirkan di atas buaian bersama-sama keperluan lain semasa Magtimbang.

***

Rencana ini dipetik dari majalah Dewan Budaya keluaran November 2012.

Posted in: Cermin Budaya

BERMULA DARIPADA YANG KECIL

Usaha kerajaan untuk menambah baik kualiti perkhidmatan awam mendapat sambutan dingin daripada orang awam,”demikian ujar Suruhanjaya Khas Mengkaji Transformasi Perkhidmatan Awam, Tun Zaki Tun Azmi.

Bernama melaporkan, sejak ditubuhkan pada Jun lepas, suruhanjaya tersebut hanya menerima 1200 e-mel aduan, iaitu 95 peratus pengadu merupakan penjawat awam yang membuat aduan berkaitan gaji dan elaun.

Hal ini merupakan satu lagi senario yang biasa berlaku dalam masyarakat kita, iaitu apabila diminta untuk membuat cadangan atau teguran untuk menambah baik sistem penyampaian sektor awam melalui saluran yang disediakan, kurang mendapat sambutan. Namun begitu, cadangan dan teguran yang datangnya dari cerita di kedai kopi, amatlah hangat!

Di corong-corong radio kini, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi sedang rancak membuat kempen membudayakan sains dan teknologi yang akan mencetuskan pula inovasi dan kreativiti. Masyarakat diajak untuk keluar dari kepompong pemikiran biasa menjadi “luar biasa”.

Kedua-dua cerita di atas sebenarnya menonjolkan budaya menegur.Budaya menegur dalam kalangan masyarakat Malaysia ini amat unik disebabkan oleh kepelbagaian bangsa yang mendiami tanah air ini.Kita selalu mendengar, “tegurlah dengan cara yang sopan dan berhemah”. Dalam masyarakat Melayu dahulu, budaya menegur ini dilakukan dengan sulaman kata indah sama ada menerusi perumpamaan, pantun, atau puisi.

Sasterawan Negara Dato’ Dr. Usman Awang, dalam sajaknya yang berjudul, Melayu, melahirkan jiwa rasa beliau terhadap bangsanya dengan mengungkapkan bahasa yang indah.

Melayu itu orang yang bijaksana

nakalnya bersulam jenaka

budi bahasanya tidak terkira

kurang ajarnya tetap santun

jika menipu pun masih bersopan

bila mengampu bijak beralas tangan.

Ungkapan bahasa yang indah ini menimbulkan kesan psikologi yang mendalam kepada pembaca yang akhirnya akan menyebabkan pembaca berfikir setiap baris yang diungkapkan oleh penulis.

Sasterawan Negara Dato’ Dr. Usman Awang, terus menulis:

Melayu itu kaya falsafahnya

kias kata bidal pusaka

akar budi bersulamkan daya

gedung akal laut bicara.

Malangnya Melayu itu kuat bersorak

terlalu ghairah pesta temasya

sedangkan kampung telah tergadai

sawah sejalur tinggal sejengkal

tanah sebidang mudah terjual.

Zaman terus berubah seiring peredaran masa. Pun begitu, budaya menegur secara berhemah dalam kalangan masyarakat kini semakin pudar. Pelbagai wahana komunikasi moden yang menyingkatkan perkataan menjadi ayat yang sukar difahami. Sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan pada bulan lalu juga merupakan budaya menegur dan budaya saling mengingat dalam kalangan masyarakat tentang kepentingan bahasa kebangsaan.Bahasa yang menjadi pengikat perpaduan dan bahasa yang mengungkap peradaban serta ketamadunan bangsa.

Justeru melalui sistem pendidikan kita serapkan budaya menegur secara berhemah ini.Transformasi dalam sistem pendidikan bukan sahaja menuntut anjakan paradigma berorientasikan kemajuan sains dan teknologi, malahan membina jati diri dan personaliti unggul dalam kalangan murid-murid melalui pemupukan identiti nasional.

Maka jelaslah budaya menegur ini bermula dari yang kecil, iaitu sama ada kecil usianya, kecil tempatnya atau kecil peranannya. Dari yang kecil itu akan membesar, lantas membentuk keunggulan tamadun bangsa.

- Abdul Ghani Abu

***

Rencana ini dipetik dari majalah Dewan Budaya keluaran November 2012.

Posted in: Nota Editor

Bulan April

Artikel April

Layakkah Artis Menjadi Idola?

Oleh Mohd. Asri Mohama d dan Mohd. Fadzly Mohd. Fairuz

Mereka tampil dengan imej yang baharu. Jika dahulu mereka dikenali dengan imej seksi, menggoda, dan penuh glamor, sekarang imej mereka penuh bersopan, bersih dan “sejuk” mata memandang.

Akhil Abdul Hayy, Catriona Ross, Norzizi Zulkifli, Pot Innuendo, Azan Ruffedge, Sham Kamikaze, Wardina Safiyyah dan Azmil Mustafa, sekadar menyebut beberapa nama artis yang berubah secara keseluruhan imej dangaya hidup mereka sekarang berbanding dengan dahulu. Ada pihak yang mendakwa mereka ini sudah mendapat hidayah daripada Allah. Bahkan, ada dalam kalangan mereka sekarang menjadi pendakwah agama.

Namun begitu, bukan semua pihak yang senang dengan perubahan imej mereka. Dalam sebuah akhbar tempatan baru-baru ini memaparkan kisah beberapa orang artis yang sudah berubah imej ini dicerca dan dipulaukan oleh rakan artis lain dan peminat yang tidak boleh menerima perubahan imej mereka.

Ada pula pihak yang mendakwa bahawa mustahil seseorang artis itu boleh berubah dan meninggalkan godaan dunia seni yang penuh glamor, kemasyhuran dan kemewahan. Jadi, jika benar seseorang artis itu boleh menghadapi “godaan” dunia seni dan bersedia meninggalkan kehidupan yang penuh glamor setelah mendapat hidayah Allah sehingga sanggup mengubah gaya hidup mereka ke arah kebaikan, maka bukankah sewajarnya mereka diangkat sebagai idola kepada masyarakat?

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Budaya April 2012.

Posted in: Forum

Nilai Moral dalam Fahaman Confucius

Oleh Nik Azman NM

Fahaman Confucius merupakan salah satu fahaman yang menjadi pegangan masyarakat Cina di seluruh dunia hingga hari ini. Fahaman falsafah ini diasaskan oleh Kung Fu Tze yang terkenal sebagai seorangtokoh ulung falsafah peradaban China. Pada peringkat awal, beliau membentuk fahaman yang berlandaskan keinginan untuk mempertingkatkan moral dan menjaga etika manusia.

Selepas kematian Kung Fu Tze, muncul kumpulan pengikut yang terlalu memujanya melalui ritual tertentu. Pada masa yang sama, mereka mempercayai bahawa wujud dewa yang harus disembah sehingga akhirnya fahaman Confucius dianggap sebagai satu ajaran agama.

Di seluruh dunia sekarang dianggarkan terdapat lebih daripada enam juta orang yang mengaku diri mereka sebagai pengikut fahaman Confucius. Fahaman ini menjadi salah satu kepercayaan tradisional terbesar dalam sejarah sistem falsafah dan kepercayaan bangsa Cina.

Kawasan utama ajaran ini tersebar di sekitar Asia Tenggara, Asia, dan di wilayah tertentu di Eropah. Antara negara yang mempunyai banyak pengikut Confucius termasuklah China, Vietnam, Korea Utara, Korea Selatan, Hong Kong, Taiwan, Singapura, Malaysia dan Jepun.

Confucius merupakan fahaman yang membentuk satu sistem moral yang diasaskan oleh nilai akhlak, sifat kemanusiaan dan perasaan kasih sayang. Sistem ini terbentuk ekoran pengalaman yang dilalui Kung Fu Tze pada zaman pemerintahan yang kacau-bilau. Ketika itu pemerintah dikatakan menindas rakyat, mengamalkan rasuah, dan sistem pendidikan hanya ditawarkan kepada golongan bangsawan.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Budaya April 2012.

Posted in: Cermin Budaya

Tun Perak: Pencetus Wawasan Empayar Melaka

Oleh Mohd. Fad zly Mohd. Fairuz

Tajuk: Tun Perak : Pencetus Wawasan Empayar Melaka
Pengarang: Muhd. Yusof Ibrahim
Penerbit: Tinta Publishers
Tahun Terbitan: Cetakan Pertama (2009)
Harga: RM28.00

Sejarah menyatakan bahawa Tun Perak merupakan salah seorang tokoh yang bertanggungjawab dalam membentuk zaman kegemilangan Melaka. Tun Perak atau nama rasminya iaitu Bendahara Seri Paduka Raja Tun Perak bin Tun Perpatih Sedang merupakan Bendahara Kesultanan Melayu Melaka yang kelima.

Kemasyhurannya sebagai Bendahara Melaka menandingi Bendahara Melaka yang sebelumnya. Sememangnya Melaka merupakan kerajaan yang terkenal dengan aktiviti perdagangannya pada zaman tersebut dan individu yang bertanggungjawab dalam menjadikan Melaka sebagai pusat perdagangan terbaik ialah Tun Perak.

Buku bertajuk, Tun Perak Pencetus Wawasan Empayar Melaka, menceritakan perjalanan Tun Perak semenjak dari zaman remajanya sehinggalah menjadi seorang tokoh penting dalam Kesultanan Melayu Melaka. Buku ini merupakan naskhah yang melakarkan perjalanan hidup seorang tokoh agung kepulauan Melayu.

Buku ini dibahagikan kepada tiga latar masa berbeza bagi menampilkan ketokohan Tun Perak bermula dengan zaman remaja, kepimpinan awal dan pada era pencetus wawasan empayar. Penulis menghuraikan plot penceritaan melalui beberapa peristiwa penting seperti yang dihuraikan dalam subtajuk, “Kepulangan Sultan Dari Majapahit”, “Hang Tuah Diselamatkan” dan sebagainya seperti yang terdapat dalam buku tersebut.

Sememangnya banyak peristiwa penting yang berlaku pada zaman kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka terjadi ketika era kepimpinan Tun Perak sebagai Bendahara Melaka. Antara peristiwa yang menjadi sejarah penting Kesultanan Melayu Melaka ketika era kepimpinan Tun Perak adalah seperti kemunculan Hang Tuah dan juga pemberontakan Hang Jebat. Sememangnya kisah lagenda Hang Tuah lima bersaudara ini berkait rapat dengan era kepimpinan Tun Perak.

Dalam naskhah ini juga menceritakan tentang kebijaksanaan Tun Perak dalam menggalas tugas sebagai penasihat Sultan Melaka sehingga berjaya membawa banyak kemajuan kepada Kesultanan Melayu Melaka ketika itu. Selain pembaca diperjelaskan tentang strategi Tun Perak dalam mengawal dan membentuk perhubungan antarabangsa sehingga menjadikan Melaka sebuah empayar yang makmur dan masyhur. Pembaca juga didedahkan oleh penulis mengenai perhubungan Tun Perak dengan masyarakat Melayu dan beberapa cerita tentang keluarga Tun Perak.

Buku ini yang dihasilkan penceritaannya dalam bentuk novel ini mempunyai jalan cerita menarik dan mudah difahami. Dengan susunan latar masanya yang berperingkat, buku ini dapat memandu pembaca untuk lebih mengetahui perkembangan kehidupan Tun Perak dari usia mudanya sebelum bergelar Bendahara Melaka yang tersohor. Laras bahasa yang digunakan juga mudah untuk difahami dan diperjelaskan dengan baik setiap peristiwa yang ingin dinyatakan oleh penulis.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Budaya April 2012.

Posted in: Ulasan Buku