Home » 2012 » January

Ambuyat Pelik tetapi Sedap

Oleh: Mohd. Salim

Warna  dan  tekstur  makanan memainkan  peranan yang penting  dalam membangkitkan selera  dan keterujaan seseorang untuk  menjamah   makanan.  Tidak  hairanlah banyak makanan yang  disediakan, khususnya yang  dijual menggunakan pewarna  tiruan yang bertujuan untuk  menarik perhatian pembeli. Hari  ini, dalam penyediaan makanan  tradisional, pelbagai perwarna  tiruan turut digunakan yang  akhirnya mengubah rasa asli kuih  atau makanan tradisional.

Bagi masyarakat Bisaya di Sabah,  warna tidak memainkan peranan  yang penting dalam makanan  tradisional  mereka.  Mereka  memiliki makanan tradisional  yang bentuk dan teksturnya tidak  menarik, tetapi rasanya cukup  enak. Ambuyat merupakan makanan  tradisional kaum Bisaya di Sabah  dan di Brunei. Ambuyat berwarna  putih cair dan teksturnya seperti  gam.  Ambuyat menjadi hidangan  wajib ketika kenduri perkahwinan  dan ketika hari keramaian bagi  penduduk Bisaya. Ada ketikanya,  ambuyat dimakan bersama-sama  sebagai hidangan makan tengah  hari bagi menggantikan nasi.  Bagi kanak-kanak kaum Bisaya,  mereka turut menyukai ambuyat dan membesar dengan makanan  tradisional nenek moyang mereka  itu.

Ambuyat diperbuat daripada  pokok rumbia yang diproses  menjadi  sagu  rumbia.  Bagi  masyarakat Bisaya yang tinggal  di Beaufort, Sabah, untuk membuat  ambuyat, mereka perlu meredah  hutan mencari pokok sagu. Pokok  sagu akan ditebang dan dibawa  ke pondok pemprosesan sagu. Di  pondok tersebut, kebiasaannya  kaum lelaki bertanggungjawab  mengupas kulit batang sagu  tersebut. Batang sagu yang telah  dikupas, dibelah bagi mengeluarkan  isi sagu yang terdapat di bahagian  tengah batang sagu.  Kemudian, isi  sagu yang berwarna putih  dipotong  kecil dan halus. Sagu yang dipotong  ditapis dan direndam untuk tempoh  tiga hari di dalam baldi yang berisi  air. Secara keseluruhannya, proses  ini memakan masa selama sehari  untuk disiapkan. Selepas tempoh  satu atau dua hari,  isi sagu yang  direndam akan menjadi sebatian.  Sebatian ini ialah sagu yang  dimasak menjadi ambuyat.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Budaya Januari 2012.

Posted in: Warisan

Penjajahan Politik dalam Karya

Oleh: Rosnani A. Hamid

Kesusasteraan  pascakolonial  mer upakan  bidang kesusasteraan yang  masih baharu kerana istilah  pascakolonial hanya tercatat  dalam Oxford English Dictionary  yang terbit pada tahun 1959,  iaitu selepas kebanyakan negara  Barat mencapai kemerdekaannya.  Pembicaraan  tentang  pascakolonial termasuk bidang  kesusasteraan ini baharu menjadi  rancak sekitar tahun 1980 apabila  orang mula memperkatakan di  Afrika, India dan Amerika Selatan.

Buku ini bertujuan untuk  mengisi kekurangan penulisan  tentang  kesusasteraan  pascakolonial dengan melihat  cerpen dan novel pascakolonial  karya dua orang pengarang  iaitu Keris Mas (Malaysia) dan  Mochtar Lubis (Indonesia).  Terdapat beberapa rasional  pemilihan kedua-dua tokoh  ini, namun yang utamanya  ialah mereka berminat terhadap  politik. Oleh itu, penglibatan  kedua-dua pengarang ini dalam  politik dan penghasilan karya  yang berkaitan dengannya telah  mempengaruhi dan menyumbang  kepada penciptaan karya kreatif  yang  mendukung  wacana  pascakolonial.

Sejarah telah memaparkan  lebih kurang dua per tiga daripada  negara di dunia pernah merasai  pengalaman dijajah. Antara  kuasa kolonial zaman purba  termasuklah  Mesopotamia,  Yunani, Romawi, Mesir, Parsi,  Turki, India dan China. Kuasa  kolonial tersebut berjaya membina  empayar politik yang hebat dan  digeruni dalam fasa tertentu  perkembangan tamadun dunia.  Kegiatan penjajahan oleh beberapa  kuasa kolonial menyebabkan  Malaysia dan Indonesia, dua  buah negara di Asia Tenggara,  tidak terlepas daripada menerima  nasib dijajah.

Oleh sebab kesusasteraan  merupakan salah satu cabang  kebudayaan, maka pihak kolonial  telah mendominasi bidang ini  sebagai satu daripada cara untuk  mengukuhkan penguasaan,  pentadbiran, dan mendukung  matlamat mereka di negara tanah  jajahan. Hal ini menunjukkan  bahawa bidang kesusasteraan   pernah memainkan fungsi yang  penting dan mendasar dalam  mendukung usaha dan matlamat  penjajah  Barat.  Meskipun  demikian, teknik dominasi yang  digunakan oleh kolonial Barat itu  disedari penulis anak watan, lantas  mereka secara agak sengit telah  bangkit memberikan reaksi. Karya Keris Mas dan Mochtar  Lubis  dipilih  untuk  dikaji  secara perbandingan kerana kedua-dua orang pengarang ini  merupakan tokoh sasterawan  yang terkemuka. Lagipun mereka  mempunyai latar belakang dan  pengalaman pascakolonial yang  lebih kurang sama. Karya yang  dihasilkan oleh mereka pernah  melalui pengalaman hidup  dalam era kolonialisme Barat  dan era sesudahnya. Ciri jaya  diri tersendiri tampil melalui  pemikiran, pegangan politik,  kebudayaan, nilai kemanusiaan,  ketamadunan  dan  bahasa  sendiri.

Di samping itu, karya mereka  juga memperlihatkan penolakan  terhadap sikap, pemikiran dan  budaya Barat yang bercanggah  dengan situasi kehidupan anak  watan di negara masing-masing.  Mereka berusaha menjadikan  karya kreatif sebagai wadah  bagi membangkitkan ketokohan,  kemampuan dan jati diri anak  watan  untuk  membentuk,  membangunkan dan memajukan  negara mengikut acuan sendiri.  Bentuk karya sebegini dapat  mewakili dan memperlihatkan  kedudukan korpus kesusasteraan  pascakolonial di Malaysia dan  di Indonesia, hubung kaitnya  dengan bidang kesusasteraan  bandingan dan kedudukannya  dalam perkembangan bidang  kritikan di negara ini.

Sehubungan dengan itu, buku  ini bertujuan untuk mengisi  kekurangan tersebut dengan  melihat  cerpen  dan  novel  pascakolonial hasil karya Keris  Mas dan Mochtar Lubis, yang  memperlihatkan  pertembungan  dua wacana, iaitu kolonial dan  pascakolonial. Selain itu, buku  ini juga membuat perbandingan  antara fiksyen karangan Keris  Mas dengan Mochtar Lubis  daripada dua aspek. Pertama,  pertembungan yang terjadi  antara anak watan dengan penjajahannya. Pertembungan  tersebut diteliti daripada empat  tema, iaitu politik, ekonomi,  sosial dan bahasa. Kedua, cara  anak watan memberikan  reaksi  terhadap pertembungan itu.  Akhirnya, kesimpulan secara  perbandingan dikemukakan  untuk menilai pengarang yang  lebih menyerlah keupayaannya  dalam menyampaikan mesej  dan  menghasilkan  karya  pascakolonial yang mengesankan  pembaca.

Antara rasional pemilihan  mereka termasuklah kedua-dua  orang pengarang ini dilihat  berminat terhadap politik.  Keris Mas umpamanya, pernah  menyandang jawatan Pegawai  Penerangan Parti Kebangsaan  Melayu Malaya, Cawangan  Pahang, dan mengetuai Angkatan  Pemuda  Insaf.  Oleh  sebab  minatnya  yang  mendalam  terhadap politik, Keris Mas  banyak menulis esei yang berbau  politik dengan tujuan untuk membangkitkan  kesedaran  nasional dan kecintaan rakyat  terhadap negara. Esei lain yang  berkaitan yang ditulis olehnya  adalah tentang kepentingan  ilmu pengetahuan, kebudayaan  nasional dan pendaulatan bahasa  Melayu.

Mochtar Lubis pula, meskipun  tidak melibatkan diri secara  khusus dalam gerakan politik,  banyak menyumbangkan idea  tentang bidang ini melalui  tulisannya dalam pelbagai akhbar  dan majalah. Oleh sebab hasil  tulisannya begitu tajam dan  mampu mempengaruhi pemikiran  rakyat jelata, beliau dianggap  berbahaya kepada keselamatan  negara. Sehubungan dengan  itu, semasa pemerintahan Orde  Lama, Mochtar Lubis dikenakan  hukuman  tahanan  rumah  beberapa kali. Kemudiannya, beliau dipenjarakan pada tahun  1956 dan dibebaskan sembilan  tahun kemudiannya.

Jadi, penglibatan kedua-dua  pengarang ini dalam politik  dan penghasilan tulisan yang  berkaitan  dengannya  telah  mempengaruhi dan menyumbang  kepada penciptaan karya kreatif  yang  mendukung  wacana  pascakolonial.  Keris Mas dan Mochtar Lubis  amat terkenal di negara masing-masing sebagai pengarang  karya kreatif yang berwibawa  dan prolifik  kerana banyak  menghasilkan karya kreatif yang  bermutu tinggi, sama ada dalam  bentuk novel ataupun cerpen.  Antara karya kreatif hasil tulisan  Keris Mas termasuklah Saudagar  Besar dari Kuala Lumpur, Rimba  Harapan dan Anak Titiwangsa.  Mochtar Lubis menghasilkan  novel seperti Jalan Tak Ada  Ujung, Tak Ada Esok, Harimau!  Harimau!, Maut dan Cinta, dan  Senja di Jakarta.

Untuk  membandingkan  ketegangan hubungan yang  timbul daripada pergeseran  dan pertembungan nilai antara  anak watan dengan penjajah  atau bekas penjajahnya seperti  yang diperlihatkan oleh Keris  Mas dan Mochtar Lubis melalui  karya mereka, pendekatan dalam  kesusasteraan bandingan telah  dikenal pasti, iaitu pendekatan  tematik. Melalui pendekatan ini,  dua perkara akan difokuskan  sebagai subjek perbandingan  untuk meneliti karya kedua-dua  orang pengarang tersebut, iaitu  tema dan gaya bahasa. Tema yang  disorot mempunyai kaitan dengan  politik, ekonomi dan sosial.  Dalam buku ini, maksud yang  khusus itu adalah yang berkaitan  dengan ketegangan hubungan  dan penolakan yang dijajah  terhadap yang menjajah.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Budaya Januari 2012.

Posted in: Ulasan Buku

Tradisi Tahun Baharu Cina

Oleh: Goh Sang Seong

Tahun Baharu Cina merupakan  perayaan masyarakat Cina  yang penting. Perayaan ini  bermula pada hari pertama dalam  bulan pertama, dalam kalendar Cina  dan berlanjutan sehingga perayaan  Yuen Xiao yang juga dikenali sebagai  Chap Goh Meh (malam ke-15) dalam  dialek Hokkien. Tahun Baharu Cina  disambut selama 15 hari.

Perayaan Tahun Baharu Cina  dikatakan mula diraikan sejak  zaman Neolitik lagi. Menurut  legenda, tradisi perayaan Tahun  Baharu Cina bermula dengan  perjuangan menentang seekor  raksasa mitos, nien yang bermaksud  “tahun” dalam bahasa Cina.  Raksasa nien muncul pada hari  pertama dalam tahun baharu untuk  membaham ternakan dan manusia  serta merosakkan tanaman. Untuk  melindungi nyawa, penduduk  kampung meletakkan makanan di  hadapan pintu menjelang setiap  tahun baharu. Mereka mempercayai  bahawa nien tidak akan menyerang  orang selepas makan makanan yang  disediakan.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Budaya Januari 2012.

Posted in: Tradisi

Badai Semalam Menguji Kehebatan Pelakon

Oleh: Rosli MN.

Tirai pentas Istana Budaya  (IB) 2011 berlabuh dengan  penuh kejayaan. Pada  November lalu, pementasan Badai  Semalam mencatatkan kejayaan di  luar jangkaan apabila sebanyak 18  ribu orang penonton mengunjungi  IB untuk menyaksikan teater  yang diadaptasi daripada novel  karya penulis terkenal, Khadijah  Hashim. Pujian demi pujian  diberikan khususnya kepada  pelakon Badai Semalam yang  berjaya mengimbau kembali  nostalgia penonton terhadap  novel tersebut. Maka, tidak  hairanlah apabila Badai Semalam  berjaya mencatat kutipan tiket  melebihi RM800 000 untuk tempoh  sembilan hari pementasan.

Badai Semalam diarahkan oleh  Khairunazwan Rodzi, mengisahkan  Mazni (lakonan Erra Fazira) anak  pembantu rumah yang membesar  bersama-sama ibunya yang tua dan  uzur di banglo milik Encik Haris  dan Puan Rohana. Majikan ibunya  amat berbesar hati membenarkan  mereka tinggal di situ dan Mazni  membesar di dalam rumah tersebut  dengan penuh kesederhanaan dan  tidak pernah lupa bahawa dirinya  dan ibunya hanya menumpang  berteduh di situ. Hal tersebut  ternyata membawa pandangan  yang kurang senang dalam kalangan  jiran tetangga. Kebanyakan mereka  berasa iri hati dan cemburu dengan  kecantikan dan kebijaksanaan  Mazni apatah lagi apabila Karim  (lakonan Aaron Aziz), anak Encik  Haris dan Puan Rohana, mula jatuh  hati kepada Mazni.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Budaya Januari 2012.

Posted in: Teater

Mengejar Pantai Kata, Phuket

Oleh: Muhammad Haji Salleh

Perjalanan udara saya ke  Pulau Phuket (nama asalnya  Bukit) membawa dua citra  tipis berkabus. Satunya citra  seluruh bahagian Pulau Pinang,  dari sisi barat, yang meleper, seperti  kelawar sedang terbang, dengan  kaki pendeknya kejang ke depan  dan ke belakang. Ada Pulau Jerejak,  Pulau Betong dan Pulau Aman  di sebelah timurnya. Sayang, ada  selapis tipis awan dan jarak terlalu  jauh untuk membolehkan saya  mengambil foto yang baik.

Sejurus selepas Pulau Pinang  bermulalah suatu pameran indah  batu kapur yang berpawai antara  biru tua dengan biru hijau karang.  Pertama kali saya memantau  kepulauan lebih 100 buah ini, dari  sisi barat.

Kapal terbang menuju ke  utara. Di deretan tingkap kanan  pantai panjang ialah Semenanjung  Kra, sekurang-kurangnya 20  kilometer pasir dan tebing memalit  kaca penglihatan. Ada pantai  pasir dan ada pula tebing yang  muncul dari laut, kebiru-biruan  dan ada pula yang menjelma  sebagai segugus pulau batu atau  zamrud hijau – inilah Kepulauan  Langkawi. Demikian pula sewaktu  kita memasuki ruang udara di  atas pantai sebelah barat Pulau  Phuket. Tebing batu (yang lebih  keras) berdiri tegak di tepi laut,  air asinnya menggigit kalsium  sehingga ada semacam skirt di  kakinya. Gugusan Pulau Phuket  menawarkan wajah bumi yang lain  lagi, kepejalan tanah dicairkan dan  diimbangkan oleh laut. Inilah tanah  dan air – suatu kesatuan tanah  air – pertiwi yang menawarkan  dua bahagian wajah dan dirinya.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Budaya Januari 2012.

Posted in: Kolumnis

Representasi Lukisan Awal Kanak-kanak

Oleh: Saiful Akram Che Cob

Kanak-kanak merupakan seniman dan pengkarya awal yang wujud dalam meluahkan apa-apa yang mereka lihat, menyamai konsep simbolik lukisan gua manusia primitif. Kanak-kanak mempraktikkan seni konseptual berbanding dengan seni persepsi. Ekspresi mereka diluahkan secara simbolik dalam representasi sesuatu bentuk dan elemen di dunia realiti. Kecenderungan kanak-kanak menggambarkan objek dalam bentuk geometri dan simbolik mejadi justifikasi pengamatan konseptual mereka, di samping keupayaan motor yang masih terbatas jika dibandingkan dengan manusia dewasa. Secara umumnya dipersetujui bahawa manusia tahu dan memahami dunia realiti, iaitu melalui bahasa dan representasi. Dalam konteks teori, terma ini biasanya dijelaskan melalui tiga cara iaitu:

-          Meniru atau menyerupai sesuatu

-          Menjelaskan terhadap sesuatu atau seseorang.

-          Mempersembahkan buat kali kedua.

Representasi bermula melalui teori kesusasteraan terawal daripada pemikiran ahli falsafah Plato dan Aristotle yang kemudiannya berkembang kepada komponen signifikan dalam kajian bahasa, komunikasi dan seni dalam dunia kontemporari.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Budaya Januari 2012.

Posted in: Seni Lukis

Seni Pertukangan Logam Melayu

Oleh: Shamsiah Abd. Kadir

Muzium  merupakan  “destinasi” yang kaya  dengan ilmu. Pelbagai  maklumat  boleh didapati di muzium,  termasuklah sejarah peninggalan  nenek moyang yang merangkumi  aspek seni, budaya, sosial dan  ekonomi, yang boleh dipelajari dan  dikongsi bersama-sama.

Muzium Perak, yang terletak  di Taiping, merupakan salah satu  muzium yang kaya dengan ilmu  sejarah. Muzium Perak merupakan  institusi muzium tertua di Malaysia.  Diasaskan oleh Sir Hugh Low  dan kurator pertamanya, Leonard  Wray Jr., pada tahun 1883, yang  menempatkan pelbagai koleksi  spesimen zoologi, herbarium dan  alat budaya masyarakat Melayu.  Antaranya  termasuklah  alat  pertukangan logam seperti cutam,  perak dan tembaga.

Penggunaan  bahan  logam  dalam kehidupan harian manusia  bermula sejak zaman purba lagi.  Kebijaksanaan menggunakan  bahan logam pada zaman purba  merupakan sesuatu yang sangat  menarik.  Hal  ini  dikatakan  demikian kerana logam ialah  bahan yang tidak boleh dipecahkan  untuk menghasilkan sesuatu alat,  seperti alatan yang diperbuat  daripada batu. Penggunaan alat  yang diperbuat daripada logam  yang berukir berterusan sehingga  kini.  Orang  Melayu  banyak  menghasilkan alat yang diperbuat  daripada logam. Seni ukiran pada  alat logam yang dihasilkan oleh  tukang Melayu dapat dilihat pada  senjata tradisional, peralatan rumah  dan perhiasan diri.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Budaya Januari 2012.

Permata yang Diharapkan

Oleh: Aninah Janang

Ketika penubuhannya pada tahun 2007, ada suara  sumbang yang cuba mempertikaikan penubuhan  Program Asuhan dan Didikan Awal Kanak-kanak  (Permata). Namun, bagi Penaung Permata, Datin Seri  Rosmah Mansor, Permata mempunyai matlamat yang  tersusun dan terarah dalam menyediakan pelapis muda  negara yang bakal membarisi kepimpinan kelak.

Hasil idea yang dicetuskan oleh Rosmah pada tahun  2006, sehingga kini, Permata telah berjaya menubuhkan  sebanyak 478 buah pusat Permata. Rentetan daripada  usaha itu, Permata melangkah ke hadapan lagi dengan  mengembangkan empat program, iaitu Permata Pintar,  Permata Seni, Permata Insan dan Perkasa Remaja. Semua  program ini disusun mengikut keperluan program  masing-masing dalam skala yang berbeza disulami  pendekatan yang terancang dan menyeluruh.

Permata Pintar merupakan program yang khusus  bagi mengurus bakat kanak-kanak yang dikenal pasti  sebagai kanak-kanak pintar, cerdas dan berbakat dalam  akademik melalui program yang boleh mengembangkan  keupayaan mereka secara optimum. Dalam menjayakan  program Permata Pintar, Universiti Kebangsaan Malaysia  (UKM) telah diberi kepercayaan oleh Jabatan Perdana  Menteri untuk melaksanakan program pendidikan ini  melalui Pusat PERMATApintar Negara, UKM yang  ditubuhkan pada bulan Januari 2010. Program yang  bermula pada 17 Januari lalu menerima sebanyak 116  orang pelajar yang berumur 16 tahun dari seluruh  Malaysia yang berjaya melalui tiga ujian saringan, iaitu  Ujian PERMATApintar UKM1, Ujian PERMATApintar  UKM2 dan Ujian Kompetensi Matematik dan Sains  (Ujian UKM3).

Kanak-kanak merupakan pemangkin pembangunan  sesebuah negara dalam membina khazanah ilmu  serta kepakaran bagi menjamin kemajuan bangsa.  Kecemerlangan ini mencakupi pelbagai bidang,  termasuk bidang seni yang menjurus kepada kanakkanak berumur tujuh hingga 12 tahun yang memiliki  bakat dan berpotensi dalam bidang seni iaitu koir,  muzik dan tarian.

Menurut Rosmah, anak yang berbakat dalam  bidang seni diibaratkan seperti kuntuman bunga yang  belum mekar. Maka, Permata mengambil langkah  untuk menyediakan persekitaran yang kondusif bagi  membentuk bakat kanak-kanak ke peringkat yang  lebih cemerlang. Atas dasar itu, Permata telah pun  melaksanakan tiga program bimbingan di bawah  Permata Seni. Program bimbingan tersebut melibatkan  Permata Seni Koir, Permata Seni Muzik dan Permata  Seni Tari. Anak ini merupakan golongan yang terpilih  berdasarkan kriteria yang menekankan bakat, keyakinan  dan keterampilan diri.

Bagi Permata Insan, program tersebut lebih menjurus  kepada pembangunan insan dalam kalangan kanakkanak berumur lapan hingga 12 tahun untuk memahami,  mentafsir, menghafaz dan mengaplikasikan al-Quran  dan sunnah. Program Perkasa Remaja memberikan fokus  kepada belia berisiko tinggi yang mudah terjerumus ke  dalam kegiatan yang tidak sihat dengan memberikan  keutamaan kepada golongan mat rempit yang berusia  18 tahun hingga 23 tahun.

Kanak-kanak di bawah Permata Seni dilatih oleh  tenaga pengajar profesional dari dalam dan luar negara.  Latihan berterusan sepanjang tahun serta kem atau  bengkel ternyata memberikan pengalaman pembelajaran  yang cukup bermanfaat yang menampakkan  peningkatan mutu persembahan, keyakinan diri,  disiplin dan nilai positif dalam kalangan kanak-kanak  terlibat. Hal ini sejajar dengan usaha kerajaan untuk  mentransformasikan negara ke arah memupuk, menarik  dan mengekalkan modal insan yang unggul.

Meskipun usia Permata baru menjangkau empat  tahun, program tersebut mula menampakkan benihnya.  Pada Disember 2010, penulis berpeluang menyaksikan  Konsert Permata Seni 2010 di Istana Negara. Penonton  bersorak apabila kumpulan Permata Seni Koir  mengadakan persembahan dengan menyanyikan  lagu Kain Pelekat dan Tepuk Amai-amai. Di atas  pentas, kanak-kanak pelbagai kaum dan latar belakang  berpadu suara menghiburkan penonton. Sekali lagi  pada 10 hingga 12 Disember yang lalu, bertempat di  Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC), Permata  menganjurkan Ekspo Permata 2011. Kanak-kanak  yang mendapat ilmu daripada program Permata  membuktikan bahawa program tersebut membawa  transformasi yang besar kepada mereka. Ketika kanakkanak Permata Seni membuat persembahan nyanyian  dan tarian, penulis melihat ada keyakinan, keberanian  dan kesungguhan dalam diri mereka. Inilah permata  yang diharapkan oleh negara.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Budaya Januari 2012.

Posted in: Nota Editor

Hala Tuju Dana Industri Kreatif

Oleh: Aninah Janang

Dasar Industri Kreatif Negara  (DIKN) yang dilancarkan  pada 21 Oktober lalu bukan  sahaja memperkasakan industri  kreatif negara, tetapi mampu  menjanakan perolehan secara  langsung sehingga RM7.2 bilion  setahun dan bakal mewujudkan 50  000 peluang pekerjaan menjelang  tahun 2020. Sumbangan dasar  industri kreatif kepada Keluaran  Dalam Kasar Negara (KDNK)  diyakini melonjak berbanding  dengan kira-kira dua peratus  ketika ini. Jumlah ini, walau  bagaimanapun, bergantung pada  pemasaran dan latihan yang  dilaksanakan oleh pemain dalam  industri ini.

DIKN digubal berpaksikan tiga  skop utama, iaitu multimedia,  seni budaya dan warisan, dengan  menggariskan 11 strategi dan 51  pelan tindakan bagi memenuhi  keperluan  industri.  Dalam  merealisasikan matlamat dasar  tersebut, amat penting untuk  memupuk bakat muda pada  peringkat sekolah menengah  dan menarik minat mereka  menceburkan diri dalam bidang  yang ditetapkan. Hal ini termasuk  menyediakan pelbagai peluang,  latihan serta bimbingan selain  pemasaran. Selain itu, usaha  sama dengan universiti awam  dan swasta wajar digembleng  bagi mengetengahkan bakat mereka dalam menghasilkan  produksi yang berkualiti. Kerajaan  juga menyediakan pelbagai  program dan dana yang bertujuan  menggalakkan pertumbuhan  industri kreatif termasuklah  pinjaman Dana Industri Kreatif  RM200 juta yang dilancarkan pada  2009. Selain itu, dana pendigitalan  bernilai RM119 juta serta geran  RM100 juta yang diuruskan  Suruhanjaya Komunikasi dan  Multimedia Malaysia untuk  penghasilan kandungan kreatif  multimedia.

Persoalannya, sejauh manakah  DIKN mampu mengubah landskap  industri kreatif di Malaysia?  Adakah sekolah dan institusi  penggajian tinggi bersedia memikul  tanggungjawab untuk memastikan  DIKN berjaya dilaksanakan?  Dewan Budaya menjemput dua  orang ahli panel, Pengetua Sekolah  Seni Malaysia Kuching, Sluhi  Lamat dan Timbalan Dekan Fakulti  Kreatif Multimedia, Universiti  Multimedia, Khairul Hazrin untuk  membincangkan isu ini dengan  lebih lanjut.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Budaya Januari 2012.

Posted in: Forum

Nasi Lemak 2.0 Bicara Jati Diri dan Perpaduan

Oleh: Maisarah Mansor

Kejayaan menyatukan tiga  bangsa di dalam sebuah  pawagam menyaksikan  lahirnya  sebuah  lagi  filem  yang menyokong gagasan Satu  Malaysia. Uniknya, filem Nasi  Lemak 2.0 menggunakan elemen  muzikal sebagai penghibur utama  di samping lawak jenaka yang  masih segar.

Filem ini membuka tirai dengan  watak seorang pelajar sekolah  rendah membaca akhbar sebelum  terserempak dengan sekumpulan  samseng yang membuli seorang  lelaki. Selepas membantu mangsa,  pelajar tersebut dikejar lalu  melarikan diri ke rumah kedai  di kawasan tersebut. Namun  begitu, semua pemilik rumah  kedai segera mengunci pintu  bagi menyelamatkan diri masing-masing. Peristiwa ini merupakan  kritikan terhadap sikap sesetengah  warga kota yang mementingkan  diri  dan  semangat  seorang  anak kecil untuk menegakkan  kebenaran.

Konotasi Nasi Lemak 2.0 membawa  maksud  transformasi  nasi  lemak  yang  wujud  sekarang.  Filem  ini dilakonkan  oleh  Namewee  sebagai Hero Huang, seorang  tukang masak makanan tradisi  Cina,  dan Karen Kong sebagai  Xiao K, anak pemilik restoran  makanan Cina. Menariknya,  kedua-dua watak utama filem ini  menggunakan pelakon baharu,  tetapi untuk watak pembantu,  kerjasama diberikan oleh selebriti  kesayangan rakyat Malaysia,   seperti Adibah Noor, Afdlin  Shauki, David Arumugam dan  Reshmonu. Walaupun Namewee mula mencipta nama dengan  menimbulkan kontroversi di laman  web, langkahnya menghasilkan  filem yang menjernihkan kembali  hubungan antara kaum dan  mencipta persahabatan antara  lapisan masyarakat wajar dihargai.

Posted in: Filem