Home » 2012 » February

Untung Nasib Novelis Malaysia

Oleh Aninah Janang

Filem yang diadaptasi daripada novel tibatiba menjadi fenomena yang luar biasa di negara ini. Selepas adaptasi novel Lagenda Budak Setan ke filem berjaya sehingga mencatat kutipan sebanyak RM4.3 juta, Ombak Rindu pula “berombak” di pawagam sehingga mencecah kutipan RM14 juta. Banyak air mata yang tumpah menyaksikan karya adaptasi daripada penulis novel terkenal, Fauziah Ashari.

Namun belum pun tempoh penayangan filem tersebut tamat, Fauziah meluahkan ketidakpuasan hatinya berhubung terma perjanjian penerbitan novelnya. Soal royalti dan hak cipta pengkarya bukanlah isu yang baharu. Banyak penulis novel yang “makan hati” apabila karya yang dihasilkan daripada titik peluh dan penat akal mereka hanya menguntungkan pihak yang lain. Royalti yang diberikan pula bergantung pada syarikat yang menerbitkan karya mereka.

Sebagai penerbit, syarikat memiliki hak untuk menguruskan naskhah novel sekiranya mahu diadaptasi ke pementasan teater, filem dan sebagainya. Apabila novel beralih ke filem, penerbit tidak menganggap penulis skrip novel sebagai orang  penting bagi mengadun jalan cerita meskipun hanya sebagai pemerhati dalam menghasilkan skrip. Akhirnya, apabila filem ditayangkan, penulis terkedu kerana apa-apa yang dipaparkan bukanlah adaptasi dalam konteks yang sebenar.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Budaya Februari 2012.

Posted in: Forum

Perbandaran Berteraskan Islam

Oleh Norlaili Samsuddin

Perbandaran di Timur Tengah: Kesannya terhadap Masyarakat Islam Abad I-III Hijrah (Edisi Kedua), memaparkan kecemerlangan umat Islam sekitar abad pertama hingga ketiga Hijrah dalam pembangunan perbandaran di Timur Tengah. Penulis buku ini, Profesor Madya Dr. Ahmad Zaki Haji Abd. Latiff, berjaya menghuraikan, secara terperinci, konsep perbandaran Islam, kepentingan dan implikasinya terhadap masyarakat Islam.

Buku ini memaparkan kecemerlangan umat Islam pada zaman awal Islam dalam perbandaran di Timur Tengah. Sesungguhnya Islam menjadi pendorong kepada mereka untuk membangunkan bandar. Kehidupan bandar yang diasaskan oleh mereka telah berjaya mencorakkan tamadun Islam yang berasaskan al-Quran dan al-Sunnah. Umat Islam berjaya melahirkan pelbagai institusi berbentuk sosial, politik, ekonomi dan kebudayaan yang membentuk mereka menjadi masyarakat madani, mengalahkan masyarakat Barat pada ketika itu yang masih berada dalam zaman kegelapan.

Perkara yang menarik dalam buku ini ialah peranan institusi masjid dalam mencorakkan pembangunan bandar dan masyarakatnya. Masjid menjadi pusat ibadah dan kebudayaan Islam yang berjaya melahirkan tokoh yang berwibawa dalam semua bidang kehidupan masyarakat ketika itu. Dengan kewibawaan Islam, mereka membina kota dan membangunkan masyarakatnya menjadi maju, makmur, sejahtera, aman, adil dan berakhlak mulia.

Selain itu, buku ini turut membincangkan konsep bandar Islam. Menurut Jurji Zaydan, bandar Islam ialah bandar yang dibina sendiri oleh umat Islam dan tidak termasuk bandar Rom dan Parsi yang dibuka oleh mereka. Bandar Islam terdapat di Iraq, Syam, Mesir, Afrika, Andalus dan lain-lain lagi. Dari segi sejarah, bandar Islam pertama yang unggul dan menjadi model ikutan ialah bandar Madinah pada zaman Nabi dan Khulafa’ al-Rasyidin kerana pada zaman itulah masyarakat Islam yang tulen berjaya dibentuk oleh baginda. Pada ketika itu, bandar Madinah merupakan manifestasi secara langsung daripada konsep tauhid dalam Islam dan menjadi wadah kepada pelaksanaan syariat Islam.

Oleh hal yang demikian, dapat disimpulkan bahawa bandar Islam adalah berteraskan agama Islam. Akidah penduduk kotanya adalah mentauhidkan Allah, syariat kekotaannya berteraskan al- Quran dan akhlak penduduknya bermodelkan sunnah Rasulullah SAW. Idealisme bandar Islam berjaya direalisasikan dengan penuh cemerlang semasa hayat Nabi dan pada zaman Khulafa’ al-Rasyidin.

Dari segi pembentukan bandar, perkembangan bandar Islam pada zaman awal Islam berubah daripada bentuk pemusatan, iaitu daripada pusat pemerintahan kepada bandar wilayah . Perkembangan bandar Islam seperti juga perkembangan bandar Rom dan Greek, yang terdiri daripada tiga keadaan, iaitu sama ada berasal daripada penempatan baharu tentera amsar, yang muncul kemudiannya sebagai pusat utama perbandaran seperti Basrah, atau menduduki penempatan bandar yang sedia ada seperti Damsyik, atau merancang penempatanbaharu seperti Baghdad. Menurut Grunebaum, bandar Islam boleh dibahagikan kepada dua, iaitu terbangun secara spontan dan dibangunkan secara terancang.

Sebuah bandar Islam tidak hanya dinilai dari sudut keislaman pada nama, pengasas dan ciri fizikal yang lestari, tetapi yang lebih penting ialah penghayatan nilai kudus penghuninya atau pegangan agama yang kukuh. Hal ini dianggap sebagai ciri utama tamadun sebagaimana yang ditegaskan oleh Ibnu Khaldun dalam kitabnya yang terkenal, Muqaddimah.

Antara ciri utama masyarakat Islam atau bandar Islam, yang menjadi bukti pegangan agama yang kuat termasuklah bandar yang dibina hendaklah bersumberkan bandar suci Nabi iaitu Madinah al-Munawwarah. Hal ini sepatutnya menjadi model rujukan perbandaran dunia Islam dari semua sudut seperti sudut  perlembagaan, model penyatuan masyarakat berteraskan masjid, model kebersihan, keindahan dan kecantikan, model perancangan dan pengurusan Islam yang kulliy.

Kesan utama perbandaran terhadap masyarakat Islam ialah kelahiran institusi politik, ekonomi dan sosial bagi pembangunan tamadun. Institusi tersebut dicetuskan daripada pengaruh dinamik agama Islam. Daripada institusi tersebut juga dapat diukur sejauh mana kesan perbandaran terhadap kejayaan masyarakat Islam di kota-kota Islam.

Sesungguhnya perbandaran Islam melambangkan kehidupan masyarakat kota yang maju dari aspek keagamaan dan keduniaan. Dari sudut keagamaan, mereka ialah masyarakat yang patuh dan taat hanya kepada Allah, dengan penuh keyakinan dan patuh kepada syariat dan akhlak. Dari sudut kekotaan, mereka mengutamakan perancangan yang ideal dan rapi, dan memberikan perhatian kepada kedamaian, kebersihan, kesihatan, perhubungan yang erat antara penghuni kota, keselamatan dan keselesaan persekitaran.

Buku ini diharapkan menjadi pendorong kepada generasi muslim kini, khususnya para perancang bandar dan pemimpin masyarakat, supaya dapat menggabungkan kelebihan zaman silam (zaman keagungan Islam) dengan kelebihan zaman kini (zaman moden) dalam membangunkan sesebuah bandar.

Pembangunan institusi bandar mestilah bercirikan kesepaduan, dan masjid merupakan nadi penggerak kemasyarakatan umat Islam.

Perbandaran di Timur Tengah: Kesannya terhadap Masyarakat Islam Abad I-III Hijrah dapat merangsang masyarakat Islam untuk melihat proses perbandaran terkini dengan lebih prihatin supaya masyarakat Islam dapat memanfaatkan pembangunan perbandaran kini bagi mewujudkan suasana yang kondusif dalam kehidupan berteraskan Islam.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Budaya Februari 2012.

Posted in: Ulasan Buku

Songkok, Tanjak dan Serban

Oleh Azlin Ahmad Za bidin

Songkok, tanjak dan serban merupakan busana yang dipakai di kepala. Pemakaiannya sering dikaitkan dengan upacara keagamaan, kepahlawanan dan adat istiadat. Dipercayai bahawa songkok, tanjak dan serban dipengaruhi pedagang India yang datang ke Tanah Melayu untuk berniaga.

Songkok lazimnya dipakai oleh masyarakat Melayu Islam ketika pergi menunaikan solat ataupun menghadiri upacara rasmi. Songkok amat popular ketika Hari Raya Aidilfitri.

Reka bentuk songkok hampir sama dengan fez atau tarbus yang amat popular di Turki. Tarbus sebenarnya berasal dari Greek Purba dan diterima pakai oleh kerajaan Turki Uthmaniyyah. Pada asalnya, serban panjang akan dililit pada bahagian tepi tarbus, tetapi lama-kelamaan tidak lagi diguna pakai. Tarbus berbentuk bulat, tetapi kini sedikit panjang dan keras. Di Turki, tarbus berwarna merah.

Dikatakan tarbus menjadi pendahulu kepada songkok yang popular di kepulauan Melayu. Cuma tarbus diubah suai menjadi sedikit bujur dan permukaan bahagian atasnya menjadi rata. Reka bentuk ini menjadi ikutan pada zaman ini, cuma ada penambahbaikan dari segi jahitannya.

Songkok diperbuat daripada kertas, kain baldu dan satin. Pada mulanya, sekeping kertas disusun di antara lapisan satin agar songkok tersebut menjadi kukuh. Kini, penggunaan kadbod menggantikan penggunaan kertas tersebut. Songkok dijahit rapi mengikut bentuk, ketinggian dan saiz kepala yang sesuai, barulah kain baldu dijahit. Kini, zaman semakin berubah, songkok semakin bertambah variasinya mengikut peredaran fesyen. Lazimnya, songkok berwarna hitam, tetapi kini boleh ditemui dengan pelbagai warna.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Budaya Februari 2012.

Posted in: Tradisi

Mengenal Erti Tanjak

Oleh FATIMAH AMAT

Menurut laman web sultan.perak.gov.my, antara pakaian kebesaran raja Melayu ialah tanjak. Semenjak beberapa kurun lamanya raja-raja Melayu memakai kain yang ditenun dengan sutera yang diikat dengan pelbagai solek di hulunya sebagai pakaian kebesaran. Bentuk ikatan (solek) dan warnanya berlainan antara negeri dengan negeri yang lain. Tanjak hampir sama dengan tengkolok.

Ada pihak menggelarnya tanjak, tengkolok atau destar. Umumnya, ketiga-tiga istilah ini merujuk bentuk yang sama, iaitu busana yang dipakai di bahagian kepala. Tanjak dipakai oleh lelaki Melayu dan sering dikaitkan dengan istana, kepahlawanan dan dipakai dalam pelbagai acara adat istiadat bangsa Melayu. Tanjak dipakai untuk melengkapkan pemakaian pakaian tradisional Melayu. Biasanya, tanjak dipadankan dengan bengkung, samping dan baju Melayu berserta keris selit.

Tidak ada tarikh yang tepat tanjak mula dipakai. Walau bagaimanapun, pada zaman Kesultanan Melayu Melaka, tanjak yang dipakai sedikit berbeza daripada tanjak yang dipakai pada hari ini. Dipercayai bahawa tanjak pada zaman Kesultanan Melayu Melaka hanyalah sehelai kain yang diikat di kepala untuk menutup rambut supaya kelihatan kemas. Ikatan kain ini lama-kelamaan berubah dan menjadi semakin cantik mengikut peredaran zaman, diolah dan diubahsuai mengikut kedudukan dan taraf seseorang.

Orang Melayu Melaka menggunakan kebijaksanaan mereka untuk mengubah kain untuk dipakai sebagai penutup kepala. Tanjak dahulunya merupakan lambang status seseorang. Hanya golongan yang berada sahaja mampu memakai tanjak. Maka tidak hairanlah, ketika itu tanjak menjadi sebahagian daripada pakaian raja atau sultan. Tanjak raja pada zaman Melaka dibuat daripada kain sutera dari China atau India. Orang kebanyakan menggunakan tanjak daripada kain biasa.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Budaya Februari 2012.

Posted in: Warisan

Kuih Cina Buatan Melanau

Oleh Fala Pade

Kuih Cina, tetapi bukan buatan masyarakat Cina. Itulah keunikan kuih Cina yang terdapat di Sarawak. Kuih Cina ialah biskut tradisional buatan masyarakat Melanau yang enak. Kuih ini dihasilkan secara tradisional dan menggunakan ekstrak daun pandan yang menyelerakan. Banyak pembuat kuih Cina berasal dari daerah Dalat, Sarawak.

Menurut sejarah, kuih Cina dihasilkan sejak turun-temurun oleh kaum Melanau. Kuih ini menjadi kuih tradisional yang dihidangkan pada setiap kali musim perayaan. Dalam majlis perkahwinan, kuih Cina turut menjadi hidangan wajib kepada tetamu yang datang.

Keenakan kuih Cina tersebar luas di Sarawak. Hal ini menjadikan banyak usahawan kuih Cina muncul bagai cendawan tumbuh selepas hujan. Hari ini produk kotej ini dijual dengan harga RM1 hingga RM2 sebungkus. Setiap bungkus mempunyai enam biji kuih Cina. Kebiasaannya, kuih Cina dijual di pasar kering serta pasar tamu, khususnya sekitar Mukah, Sibu, Bintulu, Miri dan Kuching.

Menurut seorang pengusaha Kuih Cina, Mero Jaya, sambutan terhadap kuih Cina semakin hari semakin meningkat. Keenakan kuih Cina yang dihasilkan menggunakan tepung  beras sebagai bahan utama telah meningkatkan jumlah permintaan terhadapnya. Secara puratanya, Mero menerima tempahan sebanyak 5000 hingga 6000 bungkus sebulan. Pada musim perayaan Hari Raya Aidilfitri, Krismas dan Pesta Kaul Muka, tempahan untuk kuih Cina meningkat kepada 12 000 bungkus.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Budaya Februari 2012.

Posted in: Cermin Budaya

Lukisan Badan Sebuah Ekspresi Seni

Oleh Hasan Baseri Budiman

“Seni ialah ungkapan perasaan. ”Jika direnungkan, sesungguhnya ungkapan tersebut memiliki kebenarannya, kerana seni itu sendiri sememangnya merupakan ungkapan daripada pengalaman batin. Pengalaman itu kemudian dituangkan melalui pelbagai medium seni yang akhirnya dinikmati sebagai sebuah karya. Cuma akhir-akhir ini sahaja apabila daya imaginasi seniman berjaya melahirkan pelbagai idea yang berteraskan prinsip bahawa kreatif ialah suatu proses yang menghasilkan sesuatu yang baharu, maka lahirnya karya seni yang agak tidak terbatas sifatnya yang terhasil dalam pelbagai medium seni yang dipilih oleh mereka sendiri.

Melukis misalnya, merupakan satu cabang seni yang melibatkan kegiatan mengolah medium dua dimensi atau permukaan daripada objek tiga dimensi untuk mendapatkan kesan tertentu melalui medium asalnya yang cuma terdiri daripada kanvas atau kertas.

Kemunculan seni lukis kontemporari dan berkembangnya aliran seni lukis abstrak ekspresionisme menyebabkan ada pelukis yang dilihat mula menukar arah dan cuba membina kelainan. Antaranya termasuklah tidak lagi menjadikan hanya kanvas tempat untuk “mencurahkan” karya, sebaliknya memilih tubuh mulus wanita sebagai media lukisan yang baharu.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Budaya Februari 2012.

Posted in: Seni Lukis

Apresiasi Teater di Pentas Kecil

Oleh Maisarah Mansor

Kecil-kecil cili padi. Frasa ini sesuai menggambarkan keberanian teater di pentas kecil yang dengan lantang menyuarakan isu yang besar dalam masyarakat.

Teater di pentas kecil merujuk persembahan drama modenyang dibangunkan oleh produksi berskala kecil. Perkembangannya dimanipulasikan oleh generasi yang baru melangkah masuk dalam industri seni persembahan. Walaupun produksi ini mempunyai dana yang terhad, ahlinya mengekspresikan idea yang segar dan memiliki “perisai semangat” yang berkobar-kobar.

Teater di pentas kecil memikul tugas penting sebagai tapak semaian bakat baharu dunia teater. Proses menterjemahkan deria rasa penggiat teater bertaraf amatur kepada dunia luar umumnya direalisasikan di pentas sebegini. Pentas mini, seperti Stor Teater Dewan Bahasa Pustaka (DBP) dan Black Box ASWARA, mungkin kurang popular dalam kalangan masyarakat luar, tetapi ruang inilah yang memberikan nafas kepada bakat baharu untuk membuktikan minat mereka terhadap penciptaan drama moden. Penggiat teater, A. Wahab Hamzah, menjelaskan bahawa Stor Teater DBP sebagai pemangkin dramatis muda. Dramatis muda beraksi di pentas kecil dengan jiwa yang besar. Golongan amatur ini bertindak berdasarkan minat dan bukannya mendamba pulangan wang ringgit.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Budaya Februari 2012.

Posted in: Teater

Gasing Uri Ligat Berpusing

Oleh Fazil Mohd.

Apabila melihat wajah penonton yang hadir ke Pertandingan Gasing Uri antara Kelantan dengan Terengganu yang diadakan pada November lalu di Kota Bahru, Kelantan, penulis tertanya-tanya tentang keistimewaan permainan ini sehingga ada dalam kalangan mereka yang sanggup datang seawal pukul 7.00 pagi kerana tidak mahu ketinggalan menyaksikan kehebatan pemain gasing dari kedua-dua buah negeri. Sorakan yang kedengaran daripada kedua-dua buah pasukan menggamatkan lagi suasana.

Bagi pembuat dan pemain gasing uri yang terkenal di Kelantan, Ismail Mohamad, yang juga merupakan Ketua Kumpulan Gasing Uri Kubang Che Ayu, setiap pertandingan gasing yang diadakan sentiasa mendapat sokongan daripada peminat. Ada yang datang dari Kuala Lumpur semata-mata mahu menyaksikan kehebatan pemain gasing dan teknik permainan gasing tradisional yang kini jarang-jarang dapat disaksikan.

Permainan gasing di Kelantan umpama irama dan lagu yang tidak dapat dipisahkan. Gasing menjadi permainan yang cukup popular di Kelantan. Sebagai permainan rakyat, gasing menjadi wadah perhubungan sosial yang utuh apabila banyak pertandingan dan persembahan permainan gasing diadakan di sekitar Kelantan sentiasa mendapat sambutan. Permainan gasing juga menjadi salah satu daya tarikan pelancong ke Kelantan. Lebih menarik, permainan tradisional ini turut dikongsi dengan negeri jiran Kelantan, iaitu Terengganu.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Budaya Februari 2012.

Posted in: Warisan

Ombak Rindu Melodrama di Tangan Osman Ali

Oleh Fadli al-Akiti

Filem Ombak Rindu dibuka dengan beberapa montaj yang menjemukan, tetapi ditangkap dengan latar luas yang statik dan teliti. Dalam babak ini, gunung menjadi

gunung dan awan menjadi awan. Kamera kemudiannya menangkap deruan ombak yang menderu dan membanting Maya Karin yang terkulai, patah hati di atas hamparan batu.

Babak ini sahaja sudah menyuarakan bahawa filem ini sebuah filem bergenre wanita. Terdapat dua genre kontemporari yang amat popular di hati wanita seluruh dunia, komedi romantik dan melodrama. Dengan paparan Maya sebagai Izzah, watak utama filem ini, terdampar di atas batu, kita sudah dapat mengagak filem ini menyelusur ke arah melodrama.

Osman Ali dikenali sebagai pengarah muda yang sebaris dengan Amir Muhammad, Deepak Menon, James Lee, Namron, Yasmin Ahmad dan Bernard Chandran, sekumpulan anak berdarah muda yang bermula dengan penghasilan filem bebas yang berjaya menembusi festival antarabangsa. Kini mereka giat dalam pembikinan filem perdana di bawah beberapa syarikat produksi filem besar Malaysia.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Budaya Februari 2012.

Posted in: Filem

Filem Medium Pembinaan Bangsa

OLEH DHANIA ZAMAN

Kajian yang dilakukan oleh Ken Auletta, penulis buku terlaris mengenai televisyen (TV) dan media di Amerika Syarikat (AS) mendapati bahawa hasil daripada 3000 kajian mengenai pertalian TV terhadap tingkah laku dan sikap penonton, terutamanya golongan muda dan kanak-kanak, wujud pertalian antara sikap agresif dengan kekerapan menonton filem ganas. Hal tersebut turut diperakui Persatuan Psikologi AS.

Pada tahun 1979, tiga pembunuhan kejam berlaku di AS dipercayai selepas seminggu filem The Warriors ditayangkan. Penerbitnya, Lawrence Gordon, serta syarikat Paramount segera menarik balik filem tersebut. Gordon tidak menafikan bahawa filem dapat merangsang penonton untuk meniru apa-apa yang ditonton menyebabkan banyak penonton meniru tindakan, cara berpakaian, gaya rambut dan cara hidup yang dipaparkan menerusi filem.

Hasil kajian William F. Fore memberikan pengamatan bahawa TV menyaingi gereja dalam usaha memupuk jiwa dan semangat warga dan seterusnya bangsa di AS. Dalam hal ini, TV berperanan sebagai saluran penting untuk menyatakan pandangan alam yang mencerminkan nilai dasar, asas perlakuan, makna sikap dan landasan cara hidup. Pengasas pertubuhan Forum Antarabangsa, Jerry Mander, mendedahkan bahawa peranan penting TV sebagai perantara proses kesejagatan diterajui badan korporat Barat. Dalam hal ini, pengiklanan berupaya mempengaruhi fikiran penonton sehingga penonton sukar untuk memadam gambaran iklan yang ditonton dari fikiran mereka. TV turut menyeragamkan fikiran manusia menerusi himpunan nilai budaya konsumerisme yang bakal menguntungkan rangkaian korporat di Barat, seperti AOL-Time Warner, Disney, dan News Corporation. Tidak hairanlah pendapatan yang diperoleh rangkaian korporat ini mencecah dua kali ganda daripada pendapatan dalam negeri. Hal ini mengakibatkan dunia dilambakkan dengan filem aksi, ganas dan seram yang menguntungkan syarikat perfileman.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Budaya Februari 2012.

Posted in: Fokus