Home » 2012 » February (Page 2)

Filem Tanpa LPF

Oleh ANINAH JANANG

Sudah 59 tahun Lembaga Penapisan Filem (LPF) berfungsi sebagai badan yang bertanggungjawab menapis kandungan rakaman filem dan video dari dalam dan luar negara sebelum layak ditayangkan di Malaysia. Dalam tempoh yang cukup matang itu, filem dan video yang ditayangkan di negara ini “bersih” dalam konteks bebas daripada unsur adegan ganas, seram, seks yang keterlaluan, atau menyentuh unsur sensitiviti politik, agama dan kepelbagaian kebudayaan kaum di negara ini. Meskipun tidak dinafikan ada yang terlepas pandang, apa-apa yang dipaparkan tidaklah sehingga mampu menimbulkan isu keruntuhan moral atau memberikan kesan yang buruk kepada keselamatan negara. Paling tidak, wujud perdebatan di dada akhbar, stesen televisyen (TV) atau blog yang menyelar penerbit filem, stesen TV dan kredibiliti LPF.

Kerja keras yang dilakukan oleh LPF sebelum ini menyebabkan ada filem tempatan dan banyak filem luar negara yang diharamkan penayangannya. Pada tahun 2005, filem tempatan, Lelaki Komunis Terakhir, karya Amir Muhammad tidak dibenarkan penayangannya kerana menyentuh sensitiviti kaum dan sejarah negara. LPF juga menyekat banyak filem Barat kerana kebanyakan filem tersebut bercanggah dengan budaya ketimuran dan agama rakyat di negara ini. Antara filem Barat yang diharamkan ialah American Pie yang menceritakan empat orang lelaki berhasrat menghilangkan teruna, Kill Bill lakonan Uma Thurman yang mengandung dan tersedar daripada koma mendapati kandungannya hilang.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Budaya Februari 2012.

Posted in: Uncategorized

Siam Pelindung Tanah Melayu

Oleh Shamsiah Abd. Kadir

Sejarah dan asal usul Thailand menunjukkan bahawa negara ini mempunyai pengaruh yang sangat kuat. Bermula pada awal tahun 1200, orang Siam mendirikan kerajaan kecil di Lanna, Phayao dan Sukhotai. Pada tahun 1238, mula berdirinya sebuah kerajaan Siam yang merdeka penuh di Sukhotai, yang membawa maksud Fajar Kebahagiaan. Sehingga tahun1300, Sukhotai dikuasai kerajaan Ayutthaya. Kerajaan itu akhirnya direbut oleh Burma pada tahun 1767. Jatuhnya Ayutthaya menjadi “pukulan” besar buat orang Siam ketika itu.

Namun begitu, tidak lama kemudian, Raja Taksin berjaya mengusir kerajaan Burma dan baginda mendirikan ibu kotanya di Thon Buri. Pada tahun 1782, raja pertama daripada Dinasti Chakri berjaya menguasai Thailand sehingga hari ini dan mendirikan ibu kota baharu di Bangkok. Sehubungan itu, Raja Mongkut (Rama IV) dan puteranya, Raja Chulalongkorn (Rama V), sangat dihormati kerana berjaya menyelamatkan Thailand daripada kuasa penjajahan Barat.

Siam berjaya menyebarkan kuasanya hampir di seluruh dunia. Salah satu daripadanya ialah Kota Ayudhya yang berkembang pesat dan dikenali sebagai “Kota Siam” di Barat dan kawasan sekitarnya. Pengaruhnya berhijrah jauh hingga selatan dan mengambil alih peranan Sukhothai, kerajaan Siam di Perak (Gangga Negara), Johor (Khlangkeo) dan Pahang (Inderapura) yang mempunyai kaitan rapat dengan Ayudhya.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Budaya Februari 2012.

Posted in: Uncategorized

Bersediakah Kita?

Senario hari ini: Murid-murid membawa beg sekolah yang beratnya beberapa kilo setiap hari. Saban tahun timbul perdebatan tentang hal ini. Murid-murid lebih suka membawa semua buku teks kerana khuatir dihukum oleh guru jika tertinggalnya; ibu bapa perlu bantu anak mengikut jadual yang disediakan dan alasan lain lagi.

Apa-apa pun anak-anak masih tidak dapat mengelak atau masih “suka” membawa semua buku yang beratnya tidak kurang daripada tujuh kilogram. Bayangkan jika tujuh kilogram dibawa pergi dan balik sekolah setiap hari, jumlah beratan yang ditanggung mereka bersamaan dengan 70 kilogram seminggu atau 280 kilogram sebulan atau kilogram setahun. Fikirkan kesannya kepada kesihatan, pertumbuhan fizikal dan malah emosi kanak-kanak.

Bayangkan situasi lima tahun akan datang: Murid-murid ke sekolah kelihatan tidak membawa apa-apa kecuali memegang sekeping peranti komputer tablet seumpama iPad. Di dalam peranti itulah terkandung semua buku teks. Proses pembelajaran dibuat di dalam peranti – menulis, membuat latihan, merujuk, menyelesaikan tugasan sekolah di rumah. Tidak ada pensel, pen, pemadam, pembaris, atau pengasah pensel. Semua fungsi peralatan itu diambil alih oleh jari.

Senario ini bukan lagi khayalan. Ia sudah pun menjadi kenyataan dalam sistem pendidikan di Amerika Syarikat (AS). Kini Apple Inc. akan melonjakkan pasaran buku teks konvensional. Steve Jobs, beberapa bulan sebelum meninggal

dunia, mengadakan perbincangan dengan penerbit untuk mereka cipta buku teks yang interaktif mengikut keperluan zaman. Apple telah pun mengeluarkan aplikasi IBooks 2 yang membolehkan pelajar mengakses dan membeli buku teks, malah boleh dimanfaatkan oleh guru dan penulis untuk menghasilkan buku teks dan rujukan interaktif bagi pelajar mereka.

Bersediakah kita berhadapan dengan realiti ini? Teknologi maklumat dan komunikasi (TMK) perlu dimanfaatkan – kini kita tidak khuatir akan sesat jalan, rujuk sahaja Google Maps atau guna kemudahan Sistem Kedudukan Sejagat [(GPS) Global Positioning System]. Siapa kata TMK hal keduniaan semata-mata? Orang Islam boleh diingatkan oleh komputer atau telefon bimbit tentang waktu solat, boleh mendengar sebutan bacaan al-Quran, malah boleh belajar mengaji mengikut tajwidnya melalui komputer.

Maka lupakanlah pemikiran untuk balik ke belakang dengan kaedah lama. Sikap sukar menerima benda baharu dan kos sering menjadi hambatan. Kos sebenarnya menjimatkan dalam jangka masa panjang. Bayangkan betapa negara dapat menjimatkan berjuta-juta ringgit untuk menyediakan buku teks jika tidak mencetak buku lagi. Bayangkan sumbangan yang besar terhadap penjagaan alam sekitar yang masalahnya semakin meruncing dan telah menimbulkan malapetaka

kepada dunia. Kita tidak berhadapan lagi dengan kecaman dunia tentang isu pembalakan yang sebahagian besarnya untuk penghasilan kertas.

Yang penting bersediakah kita melangkah masuk dalam revolusi TMK yang telah jauh ke hadapan? Bersediakah kita mengetepikan pemikiran dan kaedah lapuk yang hanya akan membantutkan usaha untuk maju dan memenuhi Wawasan 2020?

Kerajaan menyediakan prasarana yang canggih dan terkini bagi memastikan negara dapat terus menjanakan kejayaan. Kerajaan telah menyuntik insentif kepada penjawat awam melalui Skim Baharu Perkhidmatan Awam. Dato’ Sri Mohd. Najib Tun Abdul Razak menekankan transformasi dalam sektor awam dan swasta. Transformasi itu juga menjurus kepada sikap dan keberanian untuk berubah.

Maka, bersediakah kita menghadapi revolusi yang pasti berlaku ini? Dalam hal pembaharuan, pasti ada perkara yang terpaksa dikorbankan. AS telah memikirkan implikasi rekayasa pendidikan yang dilaksanakan terhadap pencetak,

pembekal kertas, dan yang berkaitan dengan industri penerbitan. Namun, ia juga tentu memikirkan keutamaan yang mendesak, iaitu penjagaan alam sekitar yang sangat penting untuk kelangsungan hidup manusia dan keperluan membina kreativiti generasinya.

Semasa iPad diperkenalkan, gergasi teknologi maklumat dunia, termasuk Bill Gates, ragu-ragu tentangnya. Namun, lihat sahaja yang berlaku sekarang! Kini dengan hala tuju baharunya untuk mereka cipta buku teks, dunia pendidikan memasuki dimensi baharu. Pelajar dari peringkat rendah hingga peringkat pengajian tinggi dapat menikmati pembelajaran yang jauh lebih menarik dan berkesan.

Inilah gaya hidup generasi zaman sekarang. Di peringkat kanak-kanak lagi, mereka sudah terdedah kepada dunia TMK. Mereka cepat bosan menghadap buku teks yang statik. Apple nampak peluang ini. Inilah bezanya antara yang mempunyai pandangan dan wawasan dengan yang tiada. Apple bukan sekadar selesa dengan e-buku, tetapi e-buku yang mempunyai elemen multimedia seperti bunyi, lagu, dan interaktiviti. Program inilah yang dinanti-nantikan pelajar zaman baharu dan boleh menyelesaikan masalah pembelajaran yang membosankan.

Bersediakah kita, dari segi mental dan fizikal, menerima revolusi yang besar ini dalam waktu terdekat? Jika kita masih selesa di takuk yang sama dengan pemikiran yang lama, dan lebih malang lagi jika berpatah balik kepada kaedah lama,

janganlah kita bercakap tentang transformasi. Harapan Perdana Menteri akan hanya tinggal dalam dokumentasi sejarah negara. Yang jauh lebih malang, kita menganiaya generasi yang datang.

-Padilah Haji Ali

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Budaya Februari 2012.

Posted in: Uncategorized