Home » 2012 » March

Dari Pasar Seni ke Gedung Harrods

Pada 2 Oktober 2009, Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), mengiktiraf seni batik sebagai tradisi kesenian dan warisan Indonesia.

“Sejak pengiktirafan tersebut, permintaan batik Indonesia di peringkat antarabangsa meningkat lebih daripada 36 peratus dan permintaan banyak dibuat dari gedung fesyen mewah di Eropah, Afrika dan Asia Timur,” kata Dr. Maria Wronska Friend (pensyarah  antropologi di Universiti James Cook, Australia), semasa membentangkan kertas kerjanya bertajuk, “Indonesian Batik: Intangible Cultural Heritage” dalam World Batik Summit 2011 yang berlangsung di Jakarta pada 28 September hingga 2 Oktober 2011.

Bekas Presiden Afrika Selatan, Nelson Mandela, sehingga sekarang sering memakai batik Indonesia dalam banyak acara rasmi antarabangsa. Beliau begitu cinta akan batik, sehingga bersungguh-sungguh menggalakkan kakitangan awam di negara itu memakai batik Indonesia ketika menghadiri majlis rasmi. “Pakailah baju batik Indonesia di Afrika Selatan, maka anda akan mendapat penghormatan yang luar biasa daripada warga Afrika,” kata salah seorang diplomat Indonesia yang bertugas di Kedutaan Besar Indonesia di Afrika Selatan, ketika ditemu bual oleh akhbar harian Kompas semasa berlangsungnya World Batik Summit 2011.

Namun, jika direnungkan Malaysia juga mempunyai kesenian batik buatan tangan yang tidak kurang cantiknya, malah sering kali pula diperagakan dalam perutnjukan fesyen antarabangsa. Namun, sayangnya dunia sekarang mengakui bahawa batik berasal dari Indonesia.

Menyedari hakikat ini, Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Utama Dr. Rais Yatim, menjelaskan bahawa sudah tiba masanya warisan tidak ketara di Malaysia seperti tenunan (songket, tekat, manik dan sebagainya), anyaman, bunyi-bunyian, muzik, dan tarian diberikan pengiktirafan oleh UNESCO sebagai warisan dari Malaysia.

“Sudah tiba masanya kita menandatangani Konvensyen Melingdungi Warisan Budaya Tidak Ketara 2003 supaya pelbagai warisan kita diperakui UNESCO dan diterima oleh dunia antarabangsa,” kata Rais kepada media selepas merasmikan Pameran Warisan Malaysia di ibu pejabat UNESCO, Paris, Perancis, pada 15 Februari lalu.

Pameran Warisan Malaysia selama lima hari anjuran Jabatan Warisan Negara tersebut merupakan usaha permulaan untuk memperkenalkan warisan tidak ketara Malaysia di peringkat antarabangsa.

Pada masa yang sama, perakuan daripada UNESCO juga cukup penting bagi memastikan tidak wujud lagi kontroversi tentang asal usul sesuatu jenis warisan atau kesenian seperti yang berlaku dalam beberapa kes sebelum ini. Perakuan “pihak ketiga”  yang berautoriti seperti UNESCO mungkin jalan terbaik untuk meredakan sebarang konflik.

Menurut Rais, Malaysia memerlukan sokongan tempatan dan antarabangsa untuk membolehkan warisan negara diberikan pengiktirafan sewajarnya. “Dalam usaha mengekalkan warisan, kita perlu menjadikannya sebagai elemen perpaduan dan kemanusiaan yang dihargai semua pihak,” jelas Rais.

Langkah yang dibuat oleh Rais ini wajar dipuji kerana tepat pada masanya. Lihat sahaja kejayaan yang dicapai oleh batik Indonesia yang sudah diiktiraf oleh UNESCO dan mula meluaskan pasaran ke seantereo dunia.

Malaysia juga mempunyai pelbagai warisan bertaraf antarabangsa. Daripada ukiran patung kayu Orang Asli Mah Meri sehinggalah keseniaan tekat benagn emas orang Melayu, semuanya mempunyai kualiti tersendiri dan berpotensi dipromosikan di seluruh dunia. Cuma semua itu bergantung pada usaha kita untuk menentukan  ke mana sebenarnya mahu kita bawa hasil seni dan warisan kita.

Jika kena gayanya, tekat benang emas yang banyak dijual di Pasar Seni, Kuala Lumpur, boleh laris dijual di gedung Harrods, London, bahkan sulaman manik halus kaum Iban yang dijual di Pasar Satok, Kuching, tidak mustahil menjadi trend fesyen terbaharu koleksi musim panas yang laris dijual di butik mewah di Milan. Negara jiran kita sudah membuktikan semua itu boleh berlaku. Kita bila lagi?

-Mohd Shukri Mohd Arif

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Budaya Mac 2012.

Posted in: Nota Editor

Ketajaman Pemikiran Johan

Oleh Mohd. Fadzly Mohd Fairuz

Tajuk: Nota Kaki Johan Jaafar
Pengarang: Johan Jaafar
Penerbit: Balang Rimbun Sendirian Berhad
Tahun Terbitan: Cetakan Pertama (2010)
Harga: RM60.00 (Semenanjung Malaysia) RM65.00 (Sabah/Sarawak)

Buku Nota Kaki merupakan sebuah buku yang menghimpunkan makalah penulis tersohor tanah air iaitu Johan Jaafar sejak dari mula beliau menghasilkan ruangan “Nota Kaki” di akhbar Utusan Malaysia. Sememangnya ruangan tersebut dikenali dengan mutu makalahnya yang baik sejak diperkenalkan dan menjadi tumpuan pembaca.

Semuanya bermula pada Mei 1994 dengan makalah bertajuk, Siapa Yang Lebih “Barbaric”?. Makalah tersebut menjadi penghasilan makalah pertamanya dan beliau terus menulis sehingga Julai 1998 menerusi makalah terakhir, “Antara Kati dan Kilo”. Sememangnya penulisan makalah dalam ruangan “Nota Kaki” diterima baik ketika itu kerana penggunaan bahasanya yang mudah untuk difahami pembaca.

Kerjaya Johan bermula dalam dunia kewartawanan majalah di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Pernah memimpin majalah Dewan Siswa, Johan mencapai kemuncak kecemerlangannya apabila dilantik sebagai Ketua Bahagian Majalah, DBP. Seterusnya Johan meneruskan perjalanan kerjayanya apabila beralih ke Utusan Melayu dan mencapai tahap tertingginya sebagai Ketua Pengarang Utusan Melayu.

Ruangan “Nota Kaki”  dalam akhbar tersebut banyak menyingkap peristiwa berlainan dari pelbagai sudut yang menarik dan pentingnya pada zaman itu. Jika dilihat daripada rencana yang beliau hasilkan, gaya penulisannya bersahaja tetapi penuh dengan gaya, mesej, dan input intelektual yang menampilkan ketokohan beliau sebagai karyawan dan wartawan berpengalaman.

Melalui 206 buah makalah yang terdapat dalam buku ini, pembaca dapat melihat bagaimana Johan memandang sesuatu isu secara menyeluruh dan meluas. Hal ini demikian kerana isu yang dibawa dalam rencananya bukan sahaja berkisar dengan apa-apa yang terjadi dalam negara, malahan juga makalah mengenai peristiwa yang terjadi di negara luar contohnya menerusi makalah berjudul, “Hillary Clinton”, ”Isu Moral dan Hipokrasi” dan “Sebuah Kota Bernama Almaty di Kazakhstan”.

Sememangnya penulisan makalah apabila dibukukan, dapat membawa pembaca kembali ke zaman makalah tersebut dihasilkan. Pembaca dapat membaca dan memahaminya dari kaca mata Johan yang menulis pada zamannya, dan merasainya pada zaman sekarang.

Kerjaya Johan dalam bidang penulisan bukanlah semudah yang dijangka pembaca kerana beliau melalui saat-saat sukar ketika bergelar Ketua Pengarang Utusan Melayu. Oleh hal yang demikian, buku Nota Kaki ini dianggap pengiktirafan terbaik yang dihasilkan bagi menghargai jasa dan kesungguhan Johan dalam memartabatkan bidang penulisan berbahasa Melayu di Malaysia.

___

Ulasan buku ini dipetik daripada Dewan Budaya Mac 2012.

Posted in: Ulasan Buku

Garapan Budaya di Tangan Aznan

Oleh Azian Haji Tahir

Karya yang diinspirasikan daripada kesusasteraan Melayu sebenarnya terlindung dari pelbagai sudut. Sama ada dari sudut ruangan pameran yang bertemakan kesusasteraan secara menyeluruh atau dari sudut pameran berteraskan “tema” atau “isu” yang tidak khusus ke arah kesusasteraan.

Dr. Mohamed Najib Ahamad Dewa, mantan Ketua Pengarah Balai Seni Visual Negara (BSVN), mengatakan bahawa BSVN jarang-jarang menganjurkan pameran berinspirasikan kesusasteraan.

Antara pameran bertemakan kesusasteraan yang kekal dalam ingatan penggiat seni negara ini ialah pameran “Manistasi Tiga Seni”, hasil kerjasama Persatuan Pelukis Malaysia serta Dewan Bahasa dan Pustaka pada 1988; pameran oleh Siti Zainon Ismail di Pusat Kreatif, Balai Seni Lukis Negara (BSLN) pada 1992; dan terbaru,Pameran “Tampannya Budiyang” dianjurkan bersama oleh BSVN, Institut Alam dan Ketamadunan Melayu (ATMA), Institut Kajian Etnik (KITA) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 2009.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Budaya Mac 2012.

Posted in: Seni Lukis

Realisme Wanita dalam Aku Manusia Berdosa

Oleh Maisarah Mansor

Roh teater dinyalakan sebaik-baik sahaja cahaya merah tertumpu pada watak Dah. Teknik pencahayaan membangkitkan makna marah dan berani, sifat yang akhirnya mencipta watak Dah sebagai makhluk berdosa.

Aku Manusia Berdosa merupakan frasa rintihan seorang hamba yang hina kepada Tuhannya serta jiwa manusia yang menyesali dosa lalu sekali gus mengaku kejelekan diri. Teater ini mengajak khalayak bermuhasabah diri, membuka topeng wajah, dan mengenal pasti erti pengembaraan hidup.

Dipentaskan kali pertama di Johor Bahru, teater ini sekali lagi dihidupkan di atas lantai Stor Teater Dewan Bahasa dan Pustaka oleh pengarah Azmi Bahron dan pengarah bersama, Mislina Mustaffa. Mislina, anak teater yang bercita-cita tinggi untuk meletakkan semangatnya padaproduksi kecil ini atas dasar cinta akan format feminisme.

Walau bagaimanapun, Mislina gagal meraih puncak agenda feminisme dalam teater ini berikutan pemilihan skrip yang paradoks dengan prinsipnya.

Skrip teater Aku Manusia Berdosa, karya Nur Ahmad, masihmundur dalam menyatakan kebebasan seorang wanita. Namun uniknya, dalam pementasan teater, Aku Manusia Berdosa, terdapat dua buah teater mini yang dipentaskan bersama iaitu Kampung Chetek serta Ju & Meo.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Budaya Mac 2012.

Posted in: Teater

Meniti Sisi Gelap Kota

Oleh Fadli al-Akiti

Songlap, filem yang amat “menyakitkan” untuk ditonton. Bukan kerana teknikal, cerita, ataupun lakonan, tetapi isu yang diketengahkan. Dua jalinan cerita membuka sisi gelap filem ini.

Cerita pertama ialah kisah abang dan adik, Am (Saheizy Sam) dan Ad (Syafie Naswip). Mereka bekerja sebagai “orang tengah” dan “songlap” bayi luar nikah, kemudian dijual kepada pasangan suami isteri yang mahukan anak. Mereka juga membawa si ibu yang melahirkan anak luar nikah tersebut kepada sindiket perdagangan orang untuk pelacuran, yang diketuai Abang Mat (lakonan Hasnul Rahmat).

Kerja yang dilakukan oleh Am dan Ad amat menakutkan. Penonton tidak dihidangkan jenayah itu sahaja, malah dibawa untuk mengenali kisah peribadi dua watak utama ini. Am, abang yang menyayangi adiknya dengan cara realistik. Dia juga egois serta mempercayai kuasa duit menentukan kejayaan hidupnya.

Ad pula seorang remaja yang kekurangan kasih sayang ibu bapa, dan mencari kasih sayang tersebut daripada seorang kawan, Razak. Apabila Razak meninggal dunia secara tiba-tiba Ad menghampiri seorang pelacur wanita yang sebenarnya ialah ibunya.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Budaya Mac 2012.

Posted in: Filem

Samarinda di Tebing

OLEH MUHAMMAD HAJI SALLEH

FOTO PENULIS

Di Borneo, tarikan yang paling unik ialah budaya “Dayak”, tetapi orang Dayak tidak tinggal di tepi sungai, mereka lebih suka daerahpendalaman dan berbukit bukau. Saya kira, tanpa mengalami kehidupan orang Dayak, maka saya masih belum sampai penuh di pulau ini. Jadi pada suatu pagi yang tidak berhujan, kami ke Pampang, suatu penempatan khusus Kenyah, ke utara Samarinda, lewat bukit dan lembah.

Kami melalui kawasan yang baru dibangunkan, mulanya dengan pondok atau rumah sederhana, dengan papan yang dicat putih. Rumah asal ini sudah mula diganti oleh rumah yang separuh simen, seperti di selatan. Sangat jelas pergelutan sengit penduduk untuk menangkap masa kini dan masa hadapan. Peluang terbuka luas, walaupun sedikit serebeh dan saingannya cukup sengit dan dasar. Rezekinya juga kelihatan bersifat “kais pagi makan pagi”. Sesiapa sahaja boleh menangkap peluang yang lewat di depannya, menjinakkannya hingga menjadi ruang hidup dan rezeki yang lebih bertentu.

Binaan di mana-mana, yang kecil dan besar, yang dasar dan mewah. Di kanan jalan ada sebuah kampung, Akiyah namanya – yang berpintu gerbang dan berpagar. Jalan terus berliku sampai ke puncak bukit, tapi setelah itu jalan menurun lagi. Membelok dan menurun tajam, sehingga 45 darjah. Hutan simpan atau yang masih belum disentuh tangan rakus manusia menghiasi pemandangan. Ada warung buah di kiri kanan, ada sebuah dua kedai. Dan ada pula kandang kambing yang didahului oleh baunya. Malah beberapa buah kandang semuanya.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Budaya Mac 2012.

Posted in: Kolumnis

Keunikan Motif Pantun Bo’or Dusun Kimaragang

Oleh Jafreyson b. Mullin

Dusun Kimaragang merupakan subetnik Kadazan-Dusun di Sabah yang menggunakan bahasa Dusunik. Orang Dusun Kimaragang ini merupakan majoriti penduduk di daerah Kota Marudu. Daerah yang berkeluasan 1917 kilometer persegi ini turut didiami pelbagai etnik lain seperti Bajau, Suluk, Brunei dan Cina. Dari segi kegiatan ekonomi, majoriti orang Dusun Kimaragang menjalankan aktiviti pertanian, penternakan, perikanan dan pembalakan.

Yang menariknya, orang Dusun Kimaragang memiliki khazanah sastera rakyat dalam bentuk pantun (dikenali sebagai bo’or) yang begitu masyhur di Sabah. Namun berikutan proses modenisasi, bo’or semakin dilupakan oleh generasi muda Dusun Kimaragang.

Akibatnya, bo’or hanya dituturkan semasa majlis keramaian tertentu tanpa memikirkan nilai estetika dan motif yang terkandung dalam pantun tersebut. Sebenarnya bo’or penting dalam kehidupan seharian orang Dusun Kimaragang kerana banyak menyelitkan unsur didaktik yang mampu mendisiplinkan perwatakan seseorang dan menyerlahkan nilai budaya.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Budaya Mac 2012.

Posted in: Tradisi

Terendak Merentasi Zaman

Oleh Azlin Ahmad Zabidin

Terendak kepala ialah sejenis topi atau penutup kepala berbentuk kon dan biasanya dibuat daripada daun nipah, buluh atau rotan. Tujuan pemakaiannya adalah sebagai penutup kepala daripada hujan dan panas. Tidak dapat di pastikan dari mana asalnya terendak kepala. Bukti sejarah menunjukkan bahawa terendak kepala wujud sejak kurun yang ke-13 di seluruh dunia.

Dahulu di Malaysia, orang Cina memakainya ketika mendulang bijih timah; wanita Melayu memakainya ketika melakukan kerja-kerja di sawah; manakala nelayan daripada pelbagai kaum pula memakainya ketika turun ke laut.

Suku kaum Melanau di Sarawak memakai terendak yang dikenali sebagai “Terendak Matu”. Mereka memakai terendak ini ketika menghadiri Pesta Kaul atau Pesta Memuja Pantai. Terendak Matu dibuat daripada dahan pokok sagu atau rumbia. Bahagian bingkai terendak dianyam dengan batang buluh yang diraut nipis, sehingga menutup keseluruhan permukaannya.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Budaya Mac 2012.

Posted in: Warisan

Upacara Perkahwinan Orang Melayu

Oleh Mohd. Syukri Anwar

Orang Melayu sangat berpegang teguh pada adat dan tradisi. Daripada majlis pertunangan kepada perkahwinan, orang Melayu sangat mementingkan setiap tatacara adat kerana mereka percaya kepatuhan tersebut mempengaruhi masa hadapan pasangan yang bakal berkahwin. Malah, upacara perkahwinan bukan sekadar penting kepada pengantin, tetapi turut dititikberatkan oleh ibu bapa,  sanak saudara dan sahabat-handai.

Dahulu, bagi orang Melayu, ibu bapa pihak lelaki mencarikan calon pengantin perempuan untuk anak lelaki mereka setelah sampai waktunya. Ada juga yang meminta bantuan daripada sanak saudara bagi membantu mencari calon yang baik.

Walau bagaimanapun perkara ini hampir sukar ditemui pada zaman sekarang kerana bimbang banyak calon yang dipilih tidak serasi dengan mereka. Setelah calon perempuan dijumpai, upacara merisik dan pertunangan dilangsungkan.

Majlis pertunangan diadakan di rumah pihak perempuan. Hanya ahli keluarga dan sanak saudara menjadi wakil pihak lelaki terlibat dalam majlis ini.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Budaya Mac 2012.