Home » 2012 » April

Bulan April

Artikel April

Layakkah Artis Menjadi Idola?

Oleh Mohd. Asri Mohama d dan Mohd. Fadzly Mohd. Fairuz

Mereka tampil dengan imej yang baharu. Jika dahulu mereka dikenali dengan imej seksi, menggoda, dan penuh glamor, sekarang imej mereka penuh bersopan, bersih dan “sejuk” mata memandang.

Akhil Abdul Hayy, Catriona Ross, Norzizi Zulkifli, Pot Innuendo, Azan Ruffedge, Sham Kamikaze, Wardina Safiyyah dan Azmil Mustafa, sekadar menyebut beberapa nama artis yang berubah secara keseluruhan imej dangaya hidup mereka sekarang berbanding dengan dahulu. Ada pihak yang mendakwa mereka ini sudah mendapat hidayah daripada Allah. Bahkan, ada dalam kalangan mereka sekarang menjadi pendakwah agama.

Namun begitu, bukan semua pihak yang senang dengan perubahan imej mereka. Dalam sebuah akhbar tempatan baru-baru ini memaparkan kisah beberapa orang artis yang sudah berubah imej ini dicerca dan dipulaukan oleh rakan artis lain dan peminat yang tidak boleh menerima perubahan imej mereka.

Ada pula pihak yang mendakwa bahawa mustahil seseorang artis itu boleh berubah dan meninggalkan godaan dunia seni yang penuh glamor, kemasyhuran dan kemewahan. Jadi, jika benar seseorang artis itu boleh menghadapi “godaan” dunia seni dan bersedia meninggalkan kehidupan yang penuh glamor setelah mendapat hidayah Allah sehingga sanggup mengubah gaya hidup mereka ke arah kebaikan, maka bukankah sewajarnya mereka diangkat sebagai idola kepada masyarakat?

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Budaya April 2012.

Posted in: Forum

Nilai Moral dalam Fahaman Confucius

Oleh Nik Azman NM

Fahaman Confucius merupakan salah satu fahaman yang menjadi pegangan masyarakat Cina di seluruh dunia hingga hari ini. Fahaman falsafah ini diasaskan oleh Kung Fu Tze yang terkenal sebagai seorangtokoh ulung falsafah peradaban China. Pada peringkat awal, beliau membentuk fahaman yang berlandaskan keinginan untuk mempertingkatkan moral dan menjaga etika manusia.

Selepas kematian Kung Fu Tze, muncul kumpulan pengikut yang terlalu memujanya melalui ritual tertentu. Pada masa yang sama, mereka mempercayai bahawa wujud dewa yang harus disembah sehingga akhirnya fahaman Confucius dianggap sebagai satu ajaran agama.

Di seluruh dunia sekarang dianggarkan terdapat lebih daripada enam juta orang yang mengaku diri mereka sebagai pengikut fahaman Confucius. Fahaman ini menjadi salah satu kepercayaan tradisional terbesar dalam sejarah sistem falsafah dan kepercayaan bangsa Cina.

Kawasan utama ajaran ini tersebar di sekitar Asia Tenggara, Asia, dan di wilayah tertentu di Eropah. Antara negara yang mempunyai banyak pengikut Confucius termasuklah China, Vietnam, Korea Utara, Korea Selatan, Hong Kong, Taiwan, Singapura, Malaysia dan Jepun.

Confucius merupakan fahaman yang membentuk satu sistem moral yang diasaskan oleh nilai akhlak, sifat kemanusiaan dan perasaan kasih sayang. Sistem ini terbentuk ekoran pengalaman yang dilalui Kung Fu Tze pada zaman pemerintahan yang kacau-bilau. Ketika itu pemerintah dikatakan menindas rakyat, mengamalkan rasuah, dan sistem pendidikan hanya ditawarkan kepada golongan bangsawan.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Budaya April 2012.

Posted in: Cermin Budaya

Tun Perak: Pencetus Wawasan Empayar Melaka

Oleh Mohd. Fad zly Mohd. Fairuz

Tajuk: Tun Perak : Pencetus Wawasan Empayar Melaka
Pengarang: Muhd. Yusof Ibrahim
Penerbit: Tinta Publishers
Tahun Terbitan: Cetakan Pertama (2009)
Harga: RM28.00

Sejarah menyatakan bahawa Tun Perak merupakan salah seorang tokoh yang bertanggungjawab dalam membentuk zaman kegemilangan Melaka. Tun Perak atau nama rasminya iaitu Bendahara Seri Paduka Raja Tun Perak bin Tun Perpatih Sedang merupakan Bendahara Kesultanan Melayu Melaka yang kelima.

Kemasyhurannya sebagai Bendahara Melaka menandingi Bendahara Melaka yang sebelumnya. Sememangnya Melaka merupakan kerajaan yang terkenal dengan aktiviti perdagangannya pada zaman tersebut dan individu yang bertanggungjawab dalam menjadikan Melaka sebagai pusat perdagangan terbaik ialah Tun Perak.

Buku bertajuk, Tun Perak Pencetus Wawasan Empayar Melaka, menceritakan perjalanan Tun Perak semenjak dari zaman remajanya sehinggalah menjadi seorang tokoh penting dalam Kesultanan Melayu Melaka. Buku ini merupakan naskhah yang melakarkan perjalanan hidup seorang tokoh agung kepulauan Melayu.

Buku ini dibahagikan kepada tiga latar masa berbeza bagi menampilkan ketokohan Tun Perak bermula dengan zaman remaja, kepimpinan awal dan pada era pencetus wawasan empayar. Penulis menghuraikan plot penceritaan melalui beberapa peristiwa penting seperti yang dihuraikan dalam subtajuk, “Kepulangan Sultan Dari Majapahit”, “Hang Tuah Diselamatkan” dan sebagainya seperti yang terdapat dalam buku tersebut.

Sememangnya banyak peristiwa penting yang berlaku pada zaman kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka terjadi ketika era kepimpinan Tun Perak sebagai Bendahara Melaka. Antara peristiwa yang menjadi sejarah penting Kesultanan Melayu Melaka ketika era kepimpinan Tun Perak adalah seperti kemunculan Hang Tuah dan juga pemberontakan Hang Jebat. Sememangnya kisah lagenda Hang Tuah lima bersaudara ini berkait rapat dengan era kepimpinan Tun Perak.

Dalam naskhah ini juga menceritakan tentang kebijaksanaan Tun Perak dalam menggalas tugas sebagai penasihat Sultan Melaka sehingga berjaya membawa banyak kemajuan kepada Kesultanan Melayu Melaka ketika itu. Selain pembaca diperjelaskan tentang strategi Tun Perak dalam mengawal dan membentuk perhubungan antarabangsa sehingga menjadikan Melaka sebuah empayar yang makmur dan masyhur. Pembaca juga didedahkan oleh penulis mengenai perhubungan Tun Perak dengan masyarakat Melayu dan beberapa cerita tentang keluarga Tun Perak.

Buku ini yang dihasilkan penceritaannya dalam bentuk novel ini mempunyai jalan cerita menarik dan mudah difahami. Dengan susunan latar masanya yang berperingkat, buku ini dapat memandu pembaca untuk lebih mengetahui perkembangan kehidupan Tun Perak dari usia mudanya sebelum bergelar Bendahara Melaka yang tersohor. Laras bahasa yang digunakan juga mudah untuk difahami dan diperjelaskan dengan baik setiap peristiwa yang ingin dinyatakan oleh penulis.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Budaya April 2012.

Posted in: Ulasan Buku

Dramatis Muda Sentuhan

Oleh Maisarah Mansor

Malam pertama teater Kompilasi IV di Black Box, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA), dibuka dengan pementasan teater bertajuk Boneka Hidup, arahan pelajar tahun akhir, Roydy Rokidi. Teater gaya boneka bertali (marionette) ini mengisahkan konflik kejiwaan yang dialami patung boneka dan perebutan kuasa untuk menjadi Tuk Dalang.

Boneka digambarkan sebagai orang bawahan dan Tuk Dalang merupakan gambaran cita-cita seorang pemimpin. Penjiwaan watak yang baik oleh pelakon teater ini disambut dengan semangat penonton yang sanggup berdiri lama untuk menyaksikan sentuhan persembahan Roydy.

Pengarah tidak melengah masa untuk menambat hati penonton. Pada awal pementasan, watak seorang gadis seksi ditampilkan dengan begitu mempesonakan. Memiliki kecantikan mirip Juliana Evans, penonton dikejutkan dengan serak suara gadis tersebut yang sebenarnya seorang lelaki.

Pelakon lelaki yang digunakan untuk melakonkan watak seorang “gadis’ merupakan strategi pengarah bagi “menjernihkan” adegan sentuhan menggoda “gadis” tersebut terhadap watak tauke panggung. Watak “gadis” yang dilakonkan oleh Nazs Othman menggeletek hati penonton dengan idea untuk menggunakan kata sapaan lelaki berperwatakan wanita sebagai “saudarari” iaitu gabungan istilah saudara dengan saudari. Cadangan tersebut dilafazkan dengan begitu yakin sekali gus mengundang suasana humor yang ketara di dalam dewan.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Budaya April 2012.

Posted in: Teater

Kembara ke Benggala (Siri Satu)

OLEH MUHAMMAD HAJI SALLEH

FOTO PENULIS

Dalam sejarah sastera Melayu moden, Ahmad Rijaluddin, yang berasal dari Kedah, seharusnya mendapat penghormatan yang sewajarnya. Beliau mendahului Abdullah

Munsyi lebih daripada 30 tahun dalam penerokaan pemerian dan bagaimana untuk mencatatkan pemerian itu melalui kaedah yang lebih tepat dan moden.

Semasa bekerja dengan Syarikat James Scott di Pulau Pinang, beliau dibawa melawat ke Benggala pada 1810. Beliau menyiapkan sebuah laporan perjalanan pada 1811. Kini tulisannya sudah ditranskripsikan oleh Cyril Skinner, dan diterbitkan dengan judul, Hikayat Perintah Negeri Benggala di KITLV, Leiden. Kata Ahmad,

Inilah hikayat diceterakan perintah negeri Benggala, tatkala masa zaman sinda (s.n.d.a. – Skinner – senda) Ahmad Rijaluddin ibni Hakim Long Fakir Kandu belayar membuang diri ke Benggala. Maka dikarang hikayat ini meninggal akan zaman, diperbuat surat pada sanat 1226 tahun Dalawal pada bulan Ramadhan. (Skinner menyamakan tarikh ini dengan 18 September – 18 0ktober, 1811).

Pemerian beliau cukup lengkap. Beliau memerikan bagaimana mereka bertolak dari Pulau Pinang dan masuk ke delta Sungai Hoogli, di daerah Sunderban, dan dari sana melalui beberapa buah kampung penduduk asal dan penduduk pendatang.

Menurut beliau, Kolkata terletak ke arah hulu sungai dan harus dilalui dengan perahu. Pada ketika itu, kota ini juga menjadi ibu Negeri Selat. Perdagangan antara wilayah Timur dengan Barat juga banyak terpegun melihat bangunan kolonial seperti Government House, Writer’s Building, dan rumah Gabenor General yang katanya indah seperti istana. Beliau mengelilingi kota untuk melihat budaya dan amalan agamanya – Hindu dan Islam serta Kristian. dikendalikan di sini. Di kota besar yang indah ini, Ahmad Rijaluddin

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Budaya April 2012.

Posted in: Kolumnis

Kuratis lawan Kurator?

Oleh Faizal Sidik

Istilah kuratis dicipta daripada gabungan perkataan “artis” dan “kurator”. Konsep kuratis menunjukkan perubahan praktis terhadap fungsi seorang artis yang mengambil peranan sebagai kurator.

Kelahiran kuratis bukan sahaja mengisi kelompangan apresiasi, malah membuka pendefinisian baharu terhadap kreativiti penciptaan artistik penggiat seni.

Transformasi ini berlaku kerana kebanyakan institusi seni di negara ini tidak mempunyai program sejarah dan persejarahan seni. Hal ini menyebabkan berlakunya ketidakseimbangan dari aspek praktis dan apresiasi.

Kuratis bukan sahaja berfungsi sebagai kurator sesebuah pameran. Kerja kurator yang dilakukan oleh kuratis mengambil kira aspek pengarahan artistik. Hakikatnya, kuratis lebih memahami mesej yang hendak disampaikan kepada khalayak terutamanya dari aspek pendekatan dan rekaan persembahan pameran.

Mutakhir ini banyak pameran di negara ini yang diuruskan oleh kuratis. Misalnya, pameran“Towards a Mystical Reality”, “Rupa  dan Jiwa”, “Rupa Malaysia”,

“Manifestasi Jiwa Islam”, “Seni dan Imejan”, dan “Seni Elektronik Pertama”. Semua pameran ini berjaya diuruskan oleh artis yang mengambil alih peranan kurator.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Budaya April 2012.

Posted in: Seni Lukis

Unsur Kekaguman dalam Hantu Kak Limah Balik Rumah

Oleh Mohd. Suhaimi Md. Yasin

Kesinambungan filem Zombi Kampung Pisang diteruskan oleh filem Hantu Kak Limah Balik Rumah (HKLBR) yang dianggap antara filem tempatan paling berjaya pada 2010. Filem ini merupakan arahan Mamat Khalid yang juga bertindak sebagai penulis cerita asal.

Seperti filem Zombi Kampung Pisang, filem HKLBR masih mengekalkan genre komedi seram. Bahkan, filem HKLBR dibintangi barisan pelakon daripada filem Zombie Kampung Pisang seperti Awie sebagai Hussein, Zami Ismail (Pak Abu), dan beberapa muka baharu, seperti Johan Raja Lawak (Abi Hurairah), Ummi Nazeera (Cik Nin), Pekin (Musalman), Delimawati (Kak Limah), Avaa Vanja (Ayu) dan banyak lagi.

Filem HKLBR mengisahkan Husin yang lama bekerja di Singapura mengambil keputusan balik ke kampung halamannya di Kampung Pisang. Apabila pulang ke rumahnya, Husin hairan melihat perangai pelik jiran sebelah rumahnya, Kak Limah yang langsung tidak bercakap dan berperwatakan aneh dengan rambut yang menggerbang dan tidak terurus.

Semasa hari pertama di rumahnya, beliau diganggu oleh Kak Limah sewaktu ingin tidur. Husin lari lintang-pukang ke warung Pak Munawer, lalu menceritakan kepada orang kampung bahawa Kak Limah sudah menjadi hantu.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Budaya April 2012.

Posted in: Filem

Matematik dalam Masyarakat Cina

Oleh Wendy Cho

Pada 2007, BBC News membuat perbandingan antara dua jenis soalan matematik. Satu daripadanya ialah ujian mata pelajaran Matematik untuk pelajar di China, manakala satu lagi ujian matematik untuk pelajar di United Kingdom (UK).

Hasil ujian itu menunjukkan jurang perbezaannya yang ketara (lihat Rajah 1). Pelajar di China sangat cemerlang dalam ilmu matematik sehingga pada satu tahap yang tidak pernah dibayangkan dalam pemikiran umum. Fakta ini mungkin salah satu faktor yang menjadikan China kini muncul sebagai salah satu kuasa ekonomi dunia.

Bentuk kedua-dua soalan itu sahaja mendedahkan betapa majunya pengajaran mata pelajaran Matematik di China. Pelajar di China mempelajari ilmu matematik kompleks sejak kanak-kanak sehingga berumur 18 tahun. Sedangkan pelajar di UK pula jarang-jarang mengkaji ilmu matematik kompleks sehinggalah mereka berumur 16 tahun.

Di Amerika Syarikat (AS) pula, pencapaian mata pelajaran Matematik pelajarnya sedang mengalami krisis. Bahkan, kualiti pendidikannya turut berada di ambang kontroversi. Akhbar, Washington Post, pernah mengeluarkan sebuah rencana yang bertajuk, “Keyakinan Diri Tidak Semestinya Menjamin Markah Tinggi”. Menurut laporan akhbar tersebut, keputusan ujian antarabangsa pada 2003 dan tinjauan di 46 buah negara menunjukkan bahawa pelajar peringkat menengah yang paling mempunyai keyakinan diri di seluruh dunia ialah di Timur Tengah, Afrika dan AS. Daripada 10 buah negara yang menduduki ujian peringkat keyakinan tertinggi, hanya pelajar Israel dan AS memperoleh markah lulus. Namun, skor ujian mata pelajaran matematik mereka jauh lebih rendah daripada penuntut yang dianggap kurang keyakinan di Jepun, Korea, China (Hong Kong) dan Taiwan.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Budaya April 2012.

Posted in: Fokus

Matematik dari Perspektif Budaya Melayu

Oleh Abdul Razak Salleh

Persuratan Melayu Jawi bermula sekurang-kurangnya sekitar awal abad ke-14. Buktinya tercatat di Batu Bersurat Terengganu yang dipahat pada 4 Rejab 702 Hijrah bersamaan dengan 22 Februari 1303.

Terdapat beberapa unsur matematik di batu bersurat tersebut yang boleh dibahagikan kepada beberapa kumpulan, iaitu nombor atau bilangan, nombor ordinal, waktu (hari, bulan, tahun), unit sukatan dan unsur mantik.

Orang Melayu dahulu mempunyai sistem ukuran (jarak, panjang, lebar, saiz dan sebagainya) serta sukatan (masa, amaun, berat dan isi padu) mereka tersendiri, seperti juga bangsa bertamadun lain yang sezaman dengannya. Unit ukuran dan sukatan yang digunakan dahulu berbeza daripada unit ukuran yang digunakan sekarang.

Unit tersebut berdasarkan pengalaman seharian, keadaan sekeliling, anggota badan dan sebagainya. Sebahagian besar sistem ukuran dan sukatan Melayu tersebut sudah tidak digunakan. Maka kebanyakan generasi muda Melayu sekarang tidak mengetahui bahawa nenek moyang mereka dahulu mempunyai sistem ukuran dan sukatan yang tersendiri.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Budaya April 2012.

Posted in: Fokus