Home » 2012 » November

TRANSFORMASI PENDIDIKAN MENGUNGKAP PERADABAN BANGSA

Oleh Abdul Ghani Abu

Kita mewarisi legasi sistem pendidikan negara daripada pimpinan terdahulu.Justeru kita perlu bijak menguruskan legasi sistem pendidikan ini,” demikian antara ucapan Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Mohd.Najib Tun Abdul Razak pada Majlis Pelancaran Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan, di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Timbalan Perdana Menteri, YAB Tan Sri Haji Muhyiddin Haji Mohd. Yassin pula dalam baris awal ucapannya menyatakan, “Sistem pendidikan di Malaysia telah menempa banyak kemajuan sepanjang lebih lima dekad yang lalu. Hasil daripada Laporan Razak (1956), kemudiannya Laporan Rahman Talib (1960), Laporan Jawatankuasa Kabinet (1979), penggubalan Akta Pendidikan 1996, sehinggalah yang terakhir Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (2006-2010), sistem pendidikan kita telah mencatat beberapa kejayaan yang membanggakan.”

Masyarakat Malaysia yang berbilang kaum dan budaya melalui pengalaman bersama-sama dalam sejarah. Setiap kelompok etnik memiliki set nilai sendiri yang mengikat anggota-anggota kelompoknya. Tambah unik lagi apabila negara ini melalui pengalaman sejarah dijajah selama lebih 400 tahun, iaitu oleh Portugis, Belanda, Inggeris, kemudian ditakluk oleh Jepun, dan akhirnya kembali kepada penjajah Inggeris sebelum negara mencapai kemerdekaan pada tahun 1957.

Tentu dalam tempoh beratus tahun ini, negara mewarisi kepelbagaian budaya yang ditunjangi oleh penduduk majoriti, iaitu masyarakat Melayu, diikuti oleh masyarakat Cina, India, dan etnik utama di Sabah dan Sarawak. Kepelbagaian ini merupakan manifestasi kepada kedudukan geografi negara sebagai negara perdagangan maritim ulung pada masa dahulu.

Sutan Takdir Alisjahbana lebih dua dekad yang lalu menyatakan, kedudukan strategik Asia Tenggara (termasuk Malaysia) di persimpangan jalan antara Timur dengan Barat telah membolehkan rantau ini menjadi “pusat pertembungan dan peleburan” tradisi budaya besar dan menghasilkan “budaya tinggi sekunder” yang dibina berasaskan agama-agama besar, khususnya Islam sehingga berupaya melahirkan kehidupan agama, sastera, dan intelektual yang subur di rantau ini.

Maka wujudlah kepelbagaian bangsa yang mendiami negara ini yang disatukan melalui semangat toleransi dan dimanifestasikan menerusi kontrak sosial.Hal inilah legasi yang kita warisi dan terus hormati. Dalam hal sistem pendidikan ini, walaupun pada peringkat sekolah rendah terdapat dua jenis sistem pendidikan, iaitu sekolah kebangsaan dan sekolah vernakular, namun melalui sistem pendidikan nasional dibayangkan bahawa satu kesatuan jiwa, ketaatan, dan pemusatan, tumpuan terhadap kegiatan atau keperluan negara dalam kalangan rakyat boleh diwujudkan. Hal ini dilaksanakan melalui penggunaan sukatan pelajaran yang seragam, dengan matlamat akhirnya untuk “menyeragamkan” rakyat yang nantinya akan digembleng sebagai suatu bala tentera untuk kemajuan negara dan berjuang mempertahankan negara dalam peperangan.

Lima prinsip rukun negara, iaitu Kepercayaan Kepada Tuhan, Kesetiaan kepada Raja dan Negara, Keluhuran Perlembagaan, Kedaulatan Undang-undang, dan Kesopanan dan Kesusilaan, menjadi teras utama dalam penyatuan bangsa. Doktrin ini disampaikan dan diserapkan ke dalam jiwa murid bagi memastikan kelangsungan identiti masyarakat Malaysia terus diwarisi oleh setiap murid.Rukun Negara diperkenalkan selepas negara mengalami kegoyahan perpaduan yang serius selepas Peristiwa 13 Mei 1969.

Walaupun sebelum itu, terdapat penggubalan dua sistem pendidikan, iaitu Laporan Razak pada tahun 1956, dan Laporan Rahman Talib pada tahun 1960, namun proses pengukuhan perpaduan pada peringkat akar umbi perlu dimantapkan. Hal tersebut merupakan cabaran awal sistem pendidikan negara, iaitu melahirkan generasi yang mengakar dalam diri mereka kepentingan perpaduan.

***

Rencana ini dipetik dari majalah Dewan Budaya keluaran November 2012.

Posted in: Fokus

ADAT MAGTIMBANG SUKU KAUM SULUK

Oleh Maslijan Abul Rasad

Sabah mempunyai lebih daripada 30 etnik yang berlainan budaya. Kepelbagaian etnik ini menjadikan Sabah sebagai destinasi pelancongan yang menarik dikunjungi oleh pelancong sama ada dari dalam ataupun luar negara. Antara etnik terbesar yang mendiami Sabah termasuklah Kadazandusun, Bajau, Suluk, Murut, Banjar, Rungus, Orang Sungai, Bisaya, dan Iranun. Kepelbagaian etnik ini menyebabkan kewujudan secara tidak langsung adat, kepercayaan, budaya hidup, pakaian, makanan, hasil kraf tangan, dan tarian yang berbeza mengikut etnik yang mengamalkannya.

Antara etnik yang terkenal di Sabah termasuklah etnik Suluk yang banyak menetap di kawasan pantai timur.Walaupun mereka berasal dari Filipina, mereka merupakan bumiputera Sabah yang beratus-ratus tahun tinggal di negeri ini.Tekanan daripada pemerintahan Filipina terhadap golongan Islam, seperti Bajau, Suluk, dan Iranun menyebabkan penghijrahan masyarakat Suluk ke negeri Sabah.

Masyarakat Suluk masih kaya dengan adat dan budaya tradisi mereka. Di Sabah pusat penempatan mereka banyak terdapat di kawasan daerah Kunak, Tawau, Semporna, Sandakan, Lahad Datu, Kota Kinabalu, Menggatal, Tuaran, dan Telipok. Mereka masih lagi mengamalkan adat dalam kehidupan mereka walaupun telah lama berhijrah.Antara adat yang diamalkan oleh masyarakat Suluk termasuklah adat kematian, adat perkahwinan, adat magtimbang, dan adat bercukur rambut.

Suku kaum Suluk atau Sulu berasal dari Kepulauan Sulu dan Borneo (Sabah) sejak zaman Kesultanan Sulu.Masyarakat Suluk menggunakan bahasa Tausug sebagai bahasa pertuturan mereka.Agama rasmi yang dianuti ialah agama Islam.Suku kaum Suluk ini juga mempunyai budaya yang unik dan tersendiri.Antara yang popular termasuklah pakaian tradisionalnya, iaitu Kupot dan tarian “Daling-daling”. Tausug berasal dari dua suku kata “Tau” (sbt Ta’u) bermaksud “orang” dan “Sug” bermaksud “Arus”. Istilah “Orang Arus” bermaksud orang yang menongkah arus atau pekerjaannya mempunyai kaitan terhadap pasang surut air laut.

Kepulauan Sulu terdiri daripada ratusan pulau. Pekerjaan utama penduduknya ialah nelayan dan memungut hasil laut, seperti mutiara, agar-agar laut, kerang, gamat serta menjalankan perniagaan secara sistem Barter antara Borneo Utara (Sabah) dengan Zamboanga serta kawasan lain di Nusantara. Gelaran “Orang Arus” sesuai dengan kehidupan harian masyarakat Suluk yang menjadikan lautan sebagai sumber ekonomi dalam kehidupan mereka.

Dalam suku kaum Suluk, adat Magtimbang merupakan kewajipan yang perlu dilaksanakan oleh masyarakat Suluk setiap kali kelahiran bayi. Hal ini bertujuan untuk menolak perkara yang tidak diingini daripada berlaku ke atas bayi.Adat Magtimbang dalam masyarakat Suluk di Sabah khususnya daerah Kunak masih diamalkan hari ini. Adat ini merupakan upacara yang sangat sinonim dalam masyarakat Suluk, tidak kira Suluk yang menetap di Kunak, Lahad Datu, Tawau, Tuaran, atau Telipok.

Dalam erti kata lain adat Magtimbang merupakan upacara “naik ayun”. Jika diamati secara mendalam, adat Magtimbang ini mirip upacara bercukur rambut bayi bagi masyarakat Melayu.Mengikut dapatan kajian, adat Magtimbang merupakan warisan golongan para nabi yang mengadakan kenduri sebagai menyambut kelahiran bayi. Adat ini dijalankan selepas seminggu melahirkan anak. Namun demikian, jika keluarga tersebut kurang berkemampuan, mereka boleh melakukan adat ini pada bila-bila masa yang sesuai mengikut kemampuan masing-masing. Magtimbang bererti melakukan timbangan anak yang baharu dilahirkan di atas buaian bersama-sama keperluan lain semasa Magtimbang.

***

Rencana ini dipetik dari majalah Dewan Budaya keluaran November 2012.

Posted in: Cermin Budaya

BERMULA DARIPADA YANG KECIL

Usaha kerajaan untuk menambah baik kualiti perkhidmatan awam mendapat sambutan dingin daripada orang awam,”demikian ujar Suruhanjaya Khas Mengkaji Transformasi Perkhidmatan Awam, Tun Zaki Tun Azmi.

Bernama melaporkan, sejak ditubuhkan pada Jun lepas, suruhanjaya tersebut hanya menerima 1200 e-mel aduan, iaitu 95 peratus pengadu merupakan penjawat awam yang membuat aduan berkaitan gaji dan elaun.

Hal ini merupakan satu lagi senario yang biasa berlaku dalam masyarakat kita, iaitu apabila diminta untuk membuat cadangan atau teguran untuk menambah baik sistem penyampaian sektor awam melalui saluran yang disediakan, kurang mendapat sambutan. Namun begitu, cadangan dan teguran yang datangnya dari cerita di kedai kopi, amatlah hangat!

Di corong-corong radio kini, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi sedang rancak membuat kempen membudayakan sains dan teknologi yang akan mencetuskan pula inovasi dan kreativiti. Masyarakat diajak untuk keluar dari kepompong pemikiran biasa menjadi “luar biasa”.

Kedua-dua cerita di atas sebenarnya menonjolkan budaya menegur.Budaya menegur dalam kalangan masyarakat Malaysia ini amat unik disebabkan oleh kepelbagaian bangsa yang mendiami tanah air ini.Kita selalu mendengar, “tegurlah dengan cara yang sopan dan berhemah”. Dalam masyarakat Melayu dahulu, budaya menegur ini dilakukan dengan sulaman kata indah sama ada menerusi perumpamaan, pantun, atau puisi.

Sasterawan Negara Dato’ Dr. Usman Awang, dalam sajaknya yang berjudul, Melayu, melahirkan jiwa rasa beliau terhadap bangsanya dengan mengungkapkan bahasa yang indah.

Melayu itu orang yang bijaksana

nakalnya bersulam jenaka

budi bahasanya tidak terkira

kurang ajarnya tetap santun

jika menipu pun masih bersopan

bila mengampu bijak beralas tangan.

Ungkapan bahasa yang indah ini menimbulkan kesan psikologi yang mendalam kepada pembaca yang akhirnya akan menyebabkan pembaca berfikir setiap baris yang diungkapkan oleh penulis.

Sasterawan Negara Dato’ Dr. Usman Awang, terus menulis:

Melayu itu kaya falsafahnya

kias kata bidal pusaka

akar budi bersulamkan daya

gedung akal laut bicara.

Malangnya Melayu itu kuat bersorak

terlalu ghairah pesta temasya

sedangkan kampung telah tergadai

sawah sejalur tinggal sejengkal

tanah sebidang mudah terjual.

Zaman terus berubah seiring peredaran masa. Pun begitu, budaya menegur secara berhemah dalam kalangan masyarakat kini semakin pudar. Pelbagai wahana komunikasi moden yang menyingkatkan perkataan menjadi ayat yang sukar difahami. Sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan pada bulan lalu juga merupakan budaya menegur dan budaya saling mengingat dalam kalangan masyarakat tentang kepentingan bahasa kebangsaan.Bahasa yang menjadi pengikat perpaduan dan bahasa yang mengungkap peradaban serta ketamadunan bangsa.

Justeru melalui sistem pendidikan kita serapkan budaya menegur secara berhemah ini.Transformasi dalam sistem pendidikan bukan sahaja menuntut anjakan paradigma berorientasikan kemajuan sains dan teknologi, malahan membina jati diri dan personaliti unggul dalam kalangan murid-murid melalui pemupukan identiti nasional.

Maka jelaslah budaya menegur ini bermula dari yang kecil, iaitu sama ada kecil usianya, kecil tempatnya atau kecil peranannya. Dari yang kecil itu akan membesar, lantas membentuk keunggulan tamadun bangsa.

- Abdul Ghani Abu

***

Rencana ini dipetik dari majalah Dewan Budaya keluaran November 2012.

Posted in: Nota Editor