Home » 2013 » January

KEINDAHAN KOTA GUILIN DAN SUNGAI LI

Oleh Wang Jin

Di Wilayah Autonomi Zhuang Guangxi di kawasan barat daya China, terdapat sebuah kota yang tidak berapa besar. Bentuk bumi Karst istimewa, dengan sebatang sungai yang indah menjadikan kota ini sebagai tempat peranginan yang menarik dan terkenal di China. Kota ini ialah Guilin dan sungainya ialah Sungai Li.

Kota Guilin terkenal dengan gunung yang menghijau, sungai yang cantik, dan gua gunung yang beraneka jenis. Kawasan pemandangan Sungai Li bermula dari Kaunti Xing’an di utara, melalui kota Guilin sehingga Kaunti Yangshuo di selatan. Terdapat banyak destinasi pelancongan di sepanjang Sungai Li. Antaranya termasuklah Batu Ludi, Batu Qixing, Puncak Duxiu, Bukit Fubo, dan Bukit Diecai.

Antara semua destinasi yang terkenal di sini, Bukit Gajah menjadi lambang pelancongan Kota Guilin. Bukit Gajah terletak di pertemuan Sungai Li dengan Sungai Taohua (Bunga Pic) di kawasan kota Guilin. Bukit ini terbentuk daripada batu kapur dan bentuknya menyerupai seekor gajah besar dengan belalainya dimasukkan ke dalam air Sungai Li. Terdapat satu lubang yang besar antara belalai dengan tubuh gajah itu, dan air sungai mengalir melalui lubang ini.

Terdapat legenda yang menarik tentang Bukit Gajah ini.Kononnya maharaja langit mempunyai sekumpulan gajah.Setelah melihat pemandangan Guilin, gajah-gajah itu tertawan dengan pemandangan yang indah di sini dan tidak mahu pulang ke syurga lagi.Maka maharaja langit bertitah supaya gajah-gajah itu balik.Tetapi seekor pun daripada gajah tersebut tidak menurut perintah Maharaja Langit, dan enggan meninggalkan tempat yang indah ini.Maharaja Langit marah lalu membunuh gajah tersebut.Gajah itu pun tinggal di tepi Sungai Li untuk selama-lamanya.

Setelah melawat kota Guilin, kebanyakan pelancong meneruskan perjalanan mereka ke Kaunti Yangshuo dengan menaiki kapal dan perahu. Hal ini bukan sahaja kerana pemandangan di Yangshuo dikatakan lebih indah berbanding dengan kota Guilin, malahan dengan cara ini para pelancong boleh menikmati pemandangan yang indah permai di tepi Sungai Li.

Sungai Li yang panjangnya 400 kilometer itu berpunca dari Gunung Kucing di utara kota Guilin. Jarak dari kota Guilin ke Kaunti Yangshuo ialah 83 kilometer. Kawasan Karst di kedua-dua tepi Sungai Li ini merupakan kawasan batu kapur yang paling besar dan indah di dunia.

Antara semua destinasi pelancongan di kedua-dua tepi Sungai Li, Bukit Huashan yang bermaksud “bukit lukisan” merupakan tempat yang paling terkenal dan paling indah. Bukit yang tingginya lebih daripada 400 meter ini kelihatan berwarna-warni pada cenuramnya. Fosil hidup-hidupan laut yang menjadi batu kapur membentuk beberapa “lukisan semula jadi”, seperti kuda, ikan emas, dan lain-lain.

***

Rencana ini dipetik dari majalah Dewan Budaya keluaran Januari 2013.

Posted in: Bingkisan CRI

CATATAN DAN CATATAN DUA BARIS LATIFF MOHIDIN

Oleh Anwar Ridhwan

Sarjana Perancis, Francois Rene-Daillie yang juga pengkaji pantun Melayu, dalam bukunya Alam Pantun Melayu: Studies on the Malay Pantun (Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1988) memberikan tanggapan tentang hubungan pengalaman dengan pengkaryaan. Ujarnya:

“I have always conceived literature as an adventure that is, something that happened to you, that you have to go through, a series of events in which you get more or less deeply involved, happenings which have an impact on your intellect, your spirit, or even better, on your whole being, body, heart and brains. The adventure can be as brief as the explosion of surprise of the haiku, as long and complicated in its development and gradual in its action upon you as the novel at its best.”

Tanggapan tersebut boleh kita terapkan untuk menghubungkan pengalaman Latiff Mohidin dengan pengkaryaan seni visual, seni puisi, serta dua buah buku terbaharunya. Alam dan kehidupan adalah dua unsur yang sangat erat dengan pengkaryaan Latiff kerana alam dan kehidupan memberikan ruang kepada perkembangan pengalaman serta pengetahuan.

Pengalaman biasanya akan menambah pengetahuan dan “rasa” yang dikutip secara formal (umpamanya melalui pendidikan), ataupun secara tidak formal (umpamanya melalui pengembaraan, pembacaan, dan tontonan). Dalam konteks seni visual, pengalaman Latiff dan kembaranya membentuk rasa, rupa, dan jiwa tiga cabang seni visual yang dikuasainya, iaitu cat minyat, ukiran arca, dan goresan cetak, seperti karya-karyanya dalam siri “Pago-Pago”, “Mindscape”, dan “Langkawi.” Namun begitu, tulisan ini tidak akan menyentuh lebih lanjut sumbangan Latiff dalam seni visual kerana akan lebih memberikan fokus kepada dua buah buku terbaharunya, iaitu Catatan dan Catatan Dua Baris.

Latiff dilahirkan pada tahun 1941.Hal ini bererti beliau menempuh zaman remaja dalam era sebelum kemerdekaan. Namun, bakat tidak mengenal era. Oleh sebab itu, tidaklah menghairankan jika sejak sekitar tahun 1952, beliau mendapat gelaran “Boy Wonder” kerana bakatnya dalam bidang seni lukis. Bakat itu, di samping motivasi yang tinggi serta dokongan kewangan telah menghantarnya ke Hochschule fur Bildende Kunste di Jerman, seterusnya ke Atelier La Courriere di Perancis, dan Pratt Graphic Centre di Amerika Syarikat.

Negara tersebut terutamanya Jerman dan Perancis, memiliki tradisi seni, sastera, dan falsafah yang panjang, kukuh, serta mempengaruhi perkembangan estetik dan pemikiran Eropah moden, yang kemudian mengalir pula ke tanah-tanah jajahan mereka, serta negara lain. Puisi Eropah, khususnya karya penyair-penyair Perancis, seperti Charles Baudelaire, Arthur Rimbaud, dan Stephane Mallarme, sedikit sebanyak telah mempengaruhi kepenyairan Latiff.

Pendidikan seni di Jerman dan Perancis cenderung ke arah pendekatan yang holistik.Warna pengajian sejarah seni dicampurkan dengan rona sejarah falsafah, psikologi, sastera, dan dilakar bersama-sama cabang ilmu elektif yang mendorong penjanaan visual yang kaya teknik dan kaya lapisan makna. Latiff, sehubungan itu, bukan sahaja menguasai bahasa Jerman dan nuansanya, malahan bidang seni visual, serta dunia sastera khususnya dalam genre puisi. Sebagai seniman visual gerak, dan rentaknya terpancar dalam puisi-puisinya.

Puisi-puisinya turut menjadi dewasa kerana hasil kembara seninya ke dalam bait-bait puisi mempesona yang turut diterjemahkannya: Gitanjali (Tagore), Rubaiyyat (Omar Khayam) di samping puisi-puisi klasik Tao Te Ching karya Lao Tzu. Kemudian, mempengaruhi Latiff untuk mencipta ungkapan ringkas dan padat yang berkecenderungan pemikiran atau falsafah, sebagaimana mereka, seperti yang terpancar dalam dua buah buku terbaharunya.

Puisi-puisi Melayu tahun 1950-an dan 1960-an, yakni dekad-dekad yang belum merakamkan kemasukan Latiff dalam genre ini, pada umumnya sarat dengan mesej atau amanat.Tema nasionalisme dalam pelbagai cabang kehidupan, juga tema pengisian kemerdekaan, mendominasi kebanyakan puisi.Tema ini padat kata-kata, dan kadang kala penuh retorik, hingga yang lebih diutamakan ialah aspek pemikiran yang abstrak.Tiada salahnya puisi-puisi seperti ini, selagi dicipta berdasarkan strategi puisi yang menekankan keringkasan, kepadatan, keindahan serta kejayaan amanat yang mengetuk emosi serta pemikiran pembaca.

Namun begitu, melalui puisi-puisinya Latiff berusaha menawarkan lebih daripada itu.Melalui kata-kata, beliau berusaha untuk turut memvisualkan imejan di samping menawarkan pemikirannya.Hal ini turut terlihat dalam dua buah buku terbaharunya, Catatan dan Catatan Dua Baris.Karya-karya ini memperlihatkan keterikatannya pada akar budaya, konsep “sedikit itu mewah” serta kecenderungan untuk menua bersama-sama renungan yang berinti falsafah kehidupan.

***

Rencana ini dipetik dari majalah Dewan Budaya keluaran Januari 2013.

Posted in: Fokus

KREATIVITI, KEPUASAN, DAN KEBAHAGIAAN

Latiff Mohidin dalam bukunya Catatan Dua Baris, terbitan LM Studio Sdn. Bhd., 2012, mencatatkan:

“setiap zaman punya takrif

kebahagiaannya sendiri”

Saya mengaitkan kebahagiaan itu dengan fenomena “Gangnam Style” yang merupakan mania hiburan muda-mudi seluruh dunia pada masa ini. Sehingga makalah ini ditulis, tarian oleh Park Jae-Sang atau Psy, yang dimuat naik di YouTube mencecah angka 805 juta “penonton”. Semua orang mahu mencuba gaya tarian kuda Psy.

Psy memberikan isyarat kepada kita tentang kreativiti yang menjadi enjin penggerak perubahan dunia. Bayangkan, seorang daripada setiap lapan orang penduduk dunia menonton video Psy! Apakah keuntungan daripada aspek pemasaran budaya yang diperoleh oleh Psy yang berbangsa Korea?Apakah kita masih di takuk lama menyalahkan globalisasi?Sedangkan, kita mempunyai cara untuk mendahului.

Sementara itu, anak muda yang juga mahasiswa tahun akhir, Jabatan Pengajian Dakwah dan Kepimpinan, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Mohd. Muemin Mohd. Amin Japar, yang menjadi ahli panel “Wacana Ilmu Fenomena ‘Gangnam Style’ Hiburan Melampau Generasi Masa Kini di UKM” baru-baru ini, menyatakan bahawa Islam tidak menyekat hiburan selagi tidak melanggar batas-batas syariat, hiburan merupakan fitrah manusia, dan hiburan umpama garam, iaitu boleh merosakkan apabila berlebihan. Ekstremisme hiburan yang menolak langsung agama tidak boleh diterima, sebaliknya golongan reformis atau tajdid dalam hiburan amat disokong dalam menyediakan wadah hiburan yang baik kepada umat.

Dalam konteks ini, Latiff ada mencatatkan:

“kita cipta kemajuan

kemajuan cipta kita”

Maka kita tidak seharusnya cepat berasa puas dengan keselesaan sedangkan banyak lagi aspek lain yang harus diteroka, apatah lagi dalam dunia seni dan budaya. Kita mempunyai wadah untuk memasarkan seni dan budaya tempatan ke persada antarabangsa.Ya, kita tidak boleh memperdagangkan seni dan budaya semata-mata kerana komersial.Namun, kita harus memberikan nilai dan mengangkat seni dan budaya. Kata Latiff lagi:

“kita hanya tahu apa itu cukup

setelah ia melimpah ruah”

Latiff mengajak kita untuk terus mencari dan mencari, dan kemudian meletakkan sesuatu itu pada tempatnya. Lihatlah sendiri perjuangan Latiff seawal tahun 1951, yang kini lebih 62 tahun, dengan kreativitinya di pentas seni visual beliau terus disegani dan dihormati bukan sahaja dirinya, tetapi karya dan kata-kata bercetaknya. Dengan kreativiti, Latiff terus berkarya demi kepuasan yang melahirkan kebahagiaan.

***

Selamat Tahun Baharu 2013!

- Abdul Ghani Abu

Rencana ini dipetik dari majalah Dewan Budaya keluaran Januari 2013.

Posted in: Nota Editor