Home » 2013 » February

TAHUN BAHARU CINA LAMBANG KEJAYAAN ABADI

Oleh Lin Ying

Ucapan lazim Gong Xi Fa Cai atau Kong Hee Fatt Choy bermaksud “Semoga tahun baharu membawa rezeki yang melimpah ruah”. Tahun Baharu Cina, perayaan terpenting bagi masyarakat Cina, disambut bermula dari hari ke-23 bulan ke-12 hingga hari ke-15 bulan pertama dalam kalendar tradisional Cina. Malahan, di sesetengah kawasan di China, perayaan ini disambut bermula pada hari kelapan bulan ke-12 dan berakhir pada penghujung bulan pertama tahun baharu.Namun begitu, puncak sambutan adalah pada hari terakhir bulan ke-12 dan hari pertama tahun baharu dengan makan besar atau jamuan pertemuan semula sebagai tanda eratnya ikatan kekeluargaan, yang menjadi tunjang masyarakat yang harmoni. Tahun Baharu Cina yang mula dirayakan lebih 4000 tahun yang lalu ini dianggap sebagai lambang perpaduan, kemakmuran, dan harapan besar terhadap masa depan.

Tahun Baharu yang melambangkan titik permulaan dalam kehidupan ini diraikan dengan meriah.Rumah dibersihkan dan dihiasi dengan buah limau sebagai simbol murah rezeki selain kuplet yang ditulis huruf Cina yang bererti keamanan, kemakmuran, dan keberuntungan.Tanglung, kuplet, dan pakaian tradisi ceongsam yang berwarna merah, amat sinonim dengan kemeriahan sambutan ini dalam kalangan masyarakat Cina.

Menjelang Tahun Baharu, sanak saudara yang jauh akan kembali berkumpul di kampung halaman. Segala hutang piutang perlu dilunaskan agar tidak dikelilingi oleh hutang sepanjang tahun yang mendatang. Mercun dibakar pada tengah malam sebagai tanda bermulanya tahun baharu dan bagi menghalau puaka dan nasib malang. Tradisi ini dikaitkan dengan cerita asal usul perayaan ini, iaitu seekor haiwan ganas pemakan manusia, Nian (bermaksud “tahun” dalam bahasa Mandarin). Nian yang muncul pada setiap awal tahun baharu kononnya takut akan warna merah, cahaya terang benderang, dan bunyi bising. Justeru ketiga-tiga elemen inilah yang wajib mewarnai sambutan tahun baharu.

Makan besar amat penting dalam perayaan ini.Jai, sejenis hidangan sayur-sayuran yang biasanya terdiri daripada 18 bahan, menjadi makanan wajib bagi keluarga orang Fujian pada hari pertama Tahun Baharu. Antara makanan lain yang lazim dihidangkan termasuklah seekor ikan yang melambangkan penyatuan hati dan limpahan rezeki, atau seekor ayam yang tidak dibuang kepala dan kaki sebagai simbol kemakmuran dan keutuhan. Mi tanpa dipotong juga dihidangkan sebagai lambang panjang umur.

Di selatan China, hidangan paling digemari dan biasa ialah niangao atau kuih bakul yang bermaksud “kian tahun kian tinggi”. Di utara pula, jiaozi merupakan kemestian kerana bentuknya serupa dengan jongkong emas yang dianggap membawa tuah.

Posted in: Bingkisan CRI

LEGASI KEGEMILANGAN SENI UNIVERSITI MALAYA

Oleh Abdul Ghani Abu

Universiti merupakan penyambung tradisi ilmu dan tempat melahirkan cendekiawan serta cerdik pandai yang akan meneruskan kegemilangan tamadun bangsa. Universiti bersifat dinamik dan bukan sekadar bangunan yang gah, sebaliknya menjadi pusat kecemerlangan pelbagai displin ilmu yang diadun dengan garapan cara dan budaya tempatan dalam menangani pertembungan peradaban tamadun manusia dari pelbagai benua dari serata dunia.Hal ini menjadikan universiti sebagai destinasi penting dalam perjalanan kehidupan manusia.Namun, bagaimanakah menjadikan destinasi penting ini sebagai lokasi yang kondusif dan persuasif dalam melahirkan idea-idea kreatif dan inovatif?

Seawal dekad 1970-an, Profesor Diraja Ungku Aziz (atau lebih dikenali sebagai Pak Ungku) semasa menerajui universiti pertama dan ulung di negara ini, iaitu Universiti Malaya, mula menyerapkan budaya seni sebagai elemen yang menyatukan masyarakat kampus dalam konteks perkembangan idea dan pemikiran. Seperti yang diketahui pelbagai bidang ilmu ada di universiti, seperti ekonomi, perubatan, undang-undang, kedoktoran, kejuruteraan, sains sosial, dan sains kemanusiaan.Namun, apakah pemangkin yang boleh menyatukan kepelbagaian disiplin ilmu ini?

Sebagai tokoh akademik dan pemikir ulung, Pak Ungku semasa zamannya melihat bahawa seni mampu melonjakkan identiti dan imej University Malaya sebagai gedung ilmu terulung, bukan sahaja di rantau Asia Tenggara, malahan menjadi terkenal di seluruh dunia. Maka pada zaman Pak Ungku lahirlah institusi seni dan budaya di UM, seperti Muzium Seni Asia yang ketika itu diterajui tokoh budayawan, Datuk Syed Ahmad Jamal.

Sebagai saintis ekonomi, Pak Ungku turut mengangkat budaya bangsanya melalui minatnya yang amat mendalam untuk mengkaji pantun Melayu.Budaya bangsa Melayu terserlah melalui nukilan pantun yang sarat dengan mesej dan nilai yang tinggi.Selain itu, Pak Ungku merupakan pengumpul kendi air. Jika kita berkunjung ke Muzium Seni Asia, legasi koleksi kendi air yang dicetuskan oleh Pak Ungku masih tersimpan rapi hingga kini.

Kini, 42 tahun sejarah terakam dengan pelbagai peristiwa dan ragam manusia. Kemajuan sains dan teknologi mendominasi pemikiran dan tindakan manusia.Elemen nilai kemanusiaan, nilai seni, dan nilai budaya semakin dipinggirkan oleh masyarakat.Anak-anak muda pula tidak mengerti dan memahami kepentingan seni dan budaya dalam kehidupan mereka.Hanya sebahagian mereka yang mengikuti pengajian seni visual dan seni budaya yang memahami perjuangan “nilai manusia” mereka. Sebahagian lagi yang mendalami disiplin ilmu yang lain seolah-olah memandang sepi bidang seni. Apatah lagi kurikulum pembelajaran seni di sekolah tidak mengangkat mata pelajaran seni seperti mata pelajaran-mata pelajaran yang lain. Maka tidak menghairankan jika anak-anak ini melanjutkan pelajaran pada peringkat lebih tinggi, mereka langsung tidak menghargai nilai seni di institusi pengajian tinggi mereka.

***


Rencana ini dipetik dari majalah Dewan Budaya keluaran Februari 2013.

Posted in: Fokus

SERUMPUN 2015?

Dua tahun lagi dari sekarang, seluruh warga Asia Tenggara akan disatukan dan dikenali sebagai komuniti ASEAN. Siapakah pula Presiden atau Perdana Menteri bagi komuniti ASEAN ini? Adakah institusi beraja di negara ini akan tergugat? Adakah Bahasa Melayu bakal menjadi teras bahasa komuniti ASEAN? Adakah kita akan menyeberang negara tanpa perlu menggunakan pasport? Adakah akan ada “negara abang” atau “negara adik” dalam komuniti ini nanti? Apakah kaitannya pula dengan seni dan budaya? Budaya negara manakah pula yang akan mendominasi dan menerajui seni dan budaya komuniti ASEAN?

Pelbagai persoalan yang timbul.Dahulunya wilayah ini dikenali sebagai Kepulauan Melayu kemudian disebut Nusantara.Ada negara yang dipengaruhi fahaman komunis.Namun, sempadan ideologi tersebut sedekad demi sedekad luntur apabila demokrasi menukar cara haluan pemerintahan.

Inilah perubahan masyarakat yang sentiasa dinamik.Jika masyarakat Eropah bersatu atas tiket Kesatuan Eropah, kita di rantau sebelah sini juga tidak ketinggalan.Legasi penjajahan pelbagai kuasa dunia yang mengotakkan negara walaupun serumpun bangsa memberikan impak kepada penyatuan ini.Namun, hal tersebutlah tidaklah menjadi masalah besar sementelah sejarah mencatatkan kita pernah bersatu teguh dan tersohor pada suatu masa dahulu sebelum kedatangan penjajah.

Penyatuan komuniti ASEAN memberikan impak yang besar kepada warga Asia Tenggara yang mempunyai kebersamaan leluhur budi walaupun berbeza agama dan fahaman.Saya teringat semasa berada dalam tahun akhir pengajian universiti, saya mengikuti Seminar Isu dan Proses Pembukaan Minda Umat Melayu Islam anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka.Ketika itu urus setianya ialah Encik Zulkifli Salleh, mantan Pengarah Jabatan Penerbitan, tempat saya berkhidmat sekarang.

Saya menelefon beliau untuk menyertai seminar yang dirasmikan oleh mantan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad.Saya bertuah kerana dipilih walau ketika itu masih bergelar mahasiswa yang mentah. Dan, saya cukup kagum dengan ketokohan Dr. Surin Pitsuwan, ketika itu Menteri Luar Thailand, kin Setiausaha Agung ASEAN, menyampaikan syarahannya yang bertajuk, “Imperialisme, Globalisasi, dan Dunia Islam”.

Baru-baru ini beliau melancarkan siaran Bahasa Melayu untuk stesen televisyen di selatan Thailand, khususnya bagi orang Melayu di sana. Kata Dr. Surin, “Separuh daripada masyarakat ASEAN berbahasa Melayu, maka bahasa ini penting.” Walaupun pendek, kenyataan daripada tokoh wibawa ini signifikan terhadap perkembangan bahasa dan budaya Melayu dalam kita membentuk komuniti ASEAN menjelang tahun 2015.

Maka budaya itu berkembang melalui wadah bahasa. Malangnya kita kadang-kadang was-was terhadap keupayaan bahasa sendiri. Kita selalu sahaja menyebut kita memiliki pelbagai budaya yang unik, tetapi peliknya kita tidak berminat untuk memahami dan mengkaji keunikan budaya tersebut kerana kita tidak meletakkan nilai ekonomi pada bahasa pengkajian yang kita gunakan.Hal inilah yang harus kita fikir-fikirkan.

Selamat Tahun Baharu Cina.

-Abdul Ghani Abu

***

Rencana ini dipetik dari majalah Dewan Budaya keluaran Februari 2013.

Posted in: Nota Editor