Home » 2013 » March

SI COMEL HITAM PUTIH

Oleh Nelawati Ngadul

Rupanya memang comel dan membuat kita geram dengan tubuhnya yang montel. Warnanya yang hitam dan putih (sebenarnya sedikit keperang-perangan apabila dilihat secara berhadapan) tidak asing lagi kepada kita. Malahan patung si comel ini sering menjadi pilihan kepada penggemar mainan lembut.Apabila melihat panda berjalan terkedek-kedek, memang lucu. Namun, mungkin tidak mustahil suatu waktu nanti, generasi akan datang hanya mengenali si comel ini melalui gambar atau rakaman.

Panda Gergasi atau xióng māo dalam bahasa Mandarin merupakan mamalia yang dikelaskan dalam keluarga beruang.Panda gergasi yang berasal dari Wilayah Tengah China ini hidup di kawasan pergunungan hutan buluh yang beriklim sederhana, seperti Sichuan dan Tibet.

Pada akhir separuh abad ke-20, panda menjadi lambang kebangsaan Republik Rakyat China (RRC), dan sekarang digunakan dalam syiling emas RRC.Panda Gergasi juga merupakan simbol Tabung Hidupan Liar Sedunia (WWF).

Pada tahun 1970-an, Panda Gergasi dipinjamkan kepada zoo Amerika Syarikat dan Jepun.Pinjaman berbentuk diplomatik ini penting bagi RRC yang menandakan pertukaran kebudayaan pertama antara RRC dengan negara Barat.Walau bagaimanapun, bermula pada tahun 1984, panda tidak lagi dijadikan ejen diplomatik. Sebaliknya, China mula menawarkan panda kepada negara lain hanya untuk pinjaman bagi tempoh 10 tahun. Program pinjaman ini melibatkan pembayaran yuran sebanyak AS$1,000,000 setahun bagi seekor panda.Selain itu, negara peminjam perlu menyediakan tempat tinggal panda yang mempunyai persekitaran seperti habitat asal haiwan comel ini. Syarat penting lain ialah setiap anak panda yang lahir semasa tempoh peminjaman tetap menjadi milik RRC.

Dalam usaha memastikan panda mendapat perlindungan yang sewajarnya, pada tahun 1998, WWF mengemukakan saman yang mendorong Perkhidmatan Hidupan Liar dan Perikanan Amerika Syarikat mengeluarkan syarat kepada zoo Amerika Syarikat yang mengimport panda bahawa separuh daripada yuran yang dikenakan oleh China disalurkan kepada langkah pemuliharaan panda liar dan habitat mereka sebelum perkhidmatan tersebut mengeluarkan permit import panda.

Program peminjaman panda yang dimulakan pada tahun 1984 bukan semata-mata untuk tujuan keuntungan.Jumlah panda yang semakin terancam menyebabkan haiwan ini perlu diberikan perlindungan yang sistematik, di samping usaha penyelidikan dan pembiakan bagi memastikan kelestarian haiwan yang menjadi simbol keamanan sejagat ini.

***

Rencana ini dipetik dari majalah Dewan Budaya keluaran Mac 2013.

Posted in: Bingkisan CRI

MALAYSIA DESTINASI UTAMA PELANCONGAN ISLAM

Oleh Abdul Ghani Abu

Statistik Pelancongan Malaysia (Tourism Malaysia) menunjukkan 21.75 peratus daripada 25 juta orang pelancong asing yang melawat Malaysia pada tahun 2012 terdiri daripada pelancong Muslim. Negara Indonesia dan Singapura menunjukkan jumlah pelancong Muslim yang tertinggi, iaitu masing-masing 2.10 juta orang dan 1.95 juta orang. Kemudian, disusuli oleh negara Timur Tengah (Emiriah Arab bersatu, Arab Saudi, Bahrain, Syria, Lubnan, Mesir, Yaman, Oman, Qatar, Iraq, Kuwait, Jordan, Maghribi, Algeria, Libya, Tunisia, Sudan, Habsyah, Djibouti, dan Mauritiana) sebanyak 138 869 orang pelancong Muslim. Manakala, negara Iran mencatatkan jumlah pelancong Muslim sebanyak 126 894 orang. Malaysia juga menjadi tumpuan pelancong Muslim dari Rusia (2910 orang).

Yang menariknya, kedatangan pelancong Muslim ini menunjukkan peningkatan ketara semenjak tahun 2000. Contohnya, pelancong Muslim Iran pada tahun 2000 hanyalah sebanyak 4496 orang, dan terus meningkat kepada 115 787 orang (2010), 139 059 orang (2011), dan 126 894 orang (2012).

Jika dilihat pada jumlah ketibaan pelancong, pendapatan purata penginapan dan per kapita tahun 2011, negara utama Timur Tengah, iaitu Arab Saudi mencatatkan peningkatan jumlah kedatangan pelancong, iaitu 86 771 orang (2010) kepada 87 693 orang (2011). Purata tempoh penginapan mereka pula ialah antara 9.3 hari dengan 9.6 hari, manakala purata perbelanjaan per kapita mereka meningkat, iaitu RM8047.1 (2010) kepada RM8154.8 (2011). Jumlah pendapatan daripada aktiviti pelancongan pula mencatatkan peningkatan, iaitu RM698.3 juta (2010) kepada RM717.1 juta (2011).

Sementara itu, 96.6 peratus orang pelancong Muslim dari negara Arab Saudi ini kebanyakannya sudah berkahwin.Mereka datang ke Malaysia dengan tujuan percutian (66.0 peratus), menjalankan perniagaan (21.8 peratus), dan menghadiri persidangan atau konvensyen (9.2 peratus).Aktiviti yang dijalankan pula adalah seperti membeli-belah (97.2 peratus), melawat bandar raya (92.1 peratus), melawat desa (66.4 peratus), dan mengembara (49.7 peratus).

Memang tidak dapat dinafikan peningkatan ketara pelancong Islam dari negara Timur Tengah ini disebabkan oleh peristiwa 11 September 2001. Bagi menyusun pelbagai program pembangunan pelancongan tempatan dan penyusunan strategi pemasaran produk budaya tempatan kepada pelancong Muslim, kerajaan melalui Pelancongan Malaysia (Tourism Malaysia) menubuhkan Islamic Tourism Malaysia atau Pusat Pelancongan Islam (ITC) pada 16 Mac 2009. ITC didaftarkan sebagai Syarikat Berhad menurut Jaminan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia di bawah Akta Syarikat 1965.

***

Rencana ini dipetik dari majalah Dewan Budaya keluaran Mac 2013.

Posted in: Fokus

OH BEGITU …

Dari pukul 11.00 pagi pak cik menunggu penumpang, baru sekarang dapat,” ujar seorang pemandu kereta sewa berusia awal 70-an di Kota Bharu ketika membawa saya dan dua orang rakan sepejabat, Kak Gee dan Rafiq menuju Kubang Kerian untuk melihat perusahaan madu kelulut.

“Maka ‘gelaplah’ kita hendak ke Kubang Kerian,” ujarnya.

“Mengapa, pak cik?” tanya saya.

“Sebab kita tak tahu tempatnya,” jawab pak cik.

“Sekarang ini sudah masuk waktu asar, dan kita akan sampai di sana selepas jemaah habis solat. Nanti kita boleh tanya jemaah di sana,” tambahnya lagi.

“Tidak mengapa pak cik, nanti saya belek-belek akhbar ‘ni,” ujar saya.

“O.K. Pak cik, sekarang kita dah ‘cerah’,” balas saya.

“Mengapa?” pak cik tertanya-tanya.

“Sebab kita dah tahu arah tempatnya,” jelas saya.

“Oh, begitu!” jawapan pendek pak cik itu menyebabkan kami bertiga seiring ketawa.

***

“Sekarang sudah sampai, pak cik pergi sembahyang dulu, ya.”

“Baiklah pak cik, lepas sembahyang nanti pak cik jangan lupa datang semula dan hantar kami balik hotel di Wakaf Che Yeh, ya.”

Kami pun terus mencari bahan berita.

***

Tepat pukul 6.30 petang, pak cik sudah siap menunggu kami.

“Pak cik pernah ke Kuala Lumpur?” tanya Kak Gee.

“Masa muda-muda, pak cik pernah menjadi askar wataniah dan tinggal di berek tentera di Padang Tembak. Pak cik pernah pergi Jalan Travers di Bangsar. Nak tahu apa yang pak cik jumpa masa itu?”

“Nak, pak cik,” jawab saya.

“Ada satu papan tanda berlatar belakangkan warna kuning dan bertulisan merah, Sekolah Latihan Keretapi.”

“Oh begitu!” jawab kami bertiga serentak, lantas berdekah-dekah kami berempat ketawa.

“Pak cik pernah bekerja di tempat pecah batu di Jurong, Singapura. Pak cik sewa teksi dari Kota Bharu ke Johor Bahru. Selepas itu, pak cik naik bas 170 ke Singapura,” cerita pak cik lagi.

“Berapa gaji pak cik masa di Singapura?” tanya Rafiq.

“Ha?” pertanyaan yang kurang jelas di pendengaran pak cik itu menyebabkan suaranya sedikit meninggi dan terpusing sedikit stereng kereta ke kiri menyebabkan kami terperanjat.

Sepanjang perjalanan kami asyik melayan borak dengan pak cik.

“Beginilah pemandu kereta sewa di Kota Bharu, kena tunggu pelanggan berjam-jam. Persptif, pepsi… Apa yang nak sebut ‘ni,” ujar pak cik.

“Persepsi, pak cik,” balas saya.

“Ya. Persepsi masyarakat terhadap pemandu kereta sewa amat rendah,” satu per satu pak cik menyusun ayatnya.

Terkejut saya mendengar perkataan persepsi terkeluar daripada mulut pak cik.

“Pak cik ada anak empat orang. Cucu pula ada dua orang.Semua tinggal dengan pak cik.Rumah pak cik pun dah nak roboh. Nanti ya…”

“Kenapa pak cik. Nak pergi rumah pak cik, ke?” tanya Rafiq.

“Tak. Nak tunjuk contoh rumah  pak cik,” jelasnya.

Sekali lagi kami tergelak bersama-sama mendengar kelucuan pak cik yang bersahaja.

“Nanti pak cik berhenti dekat depan 7-Eleven ‘tu, ya,” minta saya.

“Baiklah” jawab pak cik.

Apabila sampai, kami pun membayar tambang, dan pak cik itu pun meneruskan perjalanan.Yang pasti, mungkin kamilah satu-satunya pelanggan pak cik pada hari itu. Seperkara yang saya terlupa adalah untuk bertanyakan nama pak cik. Maka saya menggelarnya, “Pak Cik Oh Begitu!” yang berusaha bersungguh-sungguh untuk “kecek luar”.

Itulah rentetan sebahagian daripada kisah kehidupan si pemandu teksi yang gigih bekerja untuk mencari sesuap nasi.Walaupun sukar, mereka tetap melayan pelanggan mereka dengan senyuman, mesra dan ikhlas.Nilai murni inilah yang seharusnya menjadi amalan generasi muda pada hari ini.

Malah toleransi budaya turut terpancar dengan jelas melalui komunikasi. Kita akan berusaha menggunakan bahasa yang paling mudah untuk difahami bagi mengelakkan salah faham dan kekeliruan. Hal ini demikian kerana bahasa amat penting untuk kita bercerita tentang budaya, dan kita juga perlu luas pengetahuan tentang dialek tempatan bagi memudahkan komunikasi.Seperti “pak cik” nilai murni tersebut pasti telah membudaya dalam diri.

- Abdul Ghani Abu

***

Rencana ini dipetik dari majalah Dewan Budaya keluaran Mac 2013.

Posted in: Nota Editor