Home » 2013 » April

TASIK “GADIS JELITA”

Oleh Li Jian

Bandar Hangzhou, wilayah Zhejiang di timur China digelar syurga duniawi kerana pemandangannya yang indah permai. Tasik Barat merupakan destinasi pemandangan yang paling terkenal di bandar ini.Tasik seluas 6.5 kilometer per segi ini terletak di bahagian barat bandar Hangzhou.Tasik ini terpisah oleh Tambak Su dan Tambak Putih, yang mewujudkan tasik utama dan empat buah tasik kecil.

Keindahan Tasik Barat yang berbeza-beza rupanya dapat dilihat sama ada pada hari yang cerah, ataupun dalam kabus dan hujan. Antara pemandangan yang paling menarik para pelancong termasuklah bunga yang berwarna-warni, yang mekar pada musim bunga, teratai yang tumbuh dengan subur pada musim panas, bulan purnama yang terbayang pada permukaan air tasik pada musim luruh, dan salji yang melitupi kawasan tasik pada musim sejuk.

Tasik Barat Hangzhou mempunyai sejarah yang lama. Catatan paling awal terdapat dalam “Catatan Kaji Bumi” yang ditulis oleh Ban Gu pada zaman Dinasti Han Timur, iaitu pada tahun 25 Masihi hingga tahun 220 Masihi. Semenjak sekian lama tidak terbilang banyaknya sajak yang telah ditulis oleh sasterawan China untuk memuji keindahannya.

Banyak penyair yang termasyhur pada zaman purba China, seperti Meng Haoran, Bai Juyi, Su Dongpo, Su Shi, dan Liu Yuxi yang telah melukiskan keindahan Tasik Barat dalam sajak mereka. Su Shi dalam sajaknya menyifatkan Tasik Barat sebagai gadis jelita yang cantik baik dengan apa-apa juga solekan untuk melambangkan Tasik Barat yang sentiasa indah dalam cuaca yang berbeza-beza, baik pada hari yang cerah, ataupun dalam kabus dan hujan. Tasik Barat Hangzhou merupakan topik kekal kesusasteraan bagi sasterawan China.

***

Rencana ini dipetik dari majalah Dewan Budaya keluaran April 2013.

Posted in: Bingkisan CRI

ARKEOLOGI EVOLUSI TAMADUN MANUSIA

Oleh Abdul Ghani Abu

Penemuan Manusia Perak atau Perak Man di tapak arkeologi Gua Gunung Runtuh, Ulu Jepai, Lenggong, Perak melonjakkan nama Malaysia di pentas antarabangsa dalam bidang arkeologi. Rangka manusia yang dikebumikan pada 10 ribu tahun hingga 11 ribu tahun dahulu itu merupakan satu-satunya manusia prasejarah yang diketahui mempunyai kecacatan sejak lahir.Beliau dikebumikan dengan cermat dalam posisi fetus diiringi oleh alat batu, cangkerang, daging babi hutan, monyet, biawak, kura-kura, rusa, harimau bintang, dan ungka.

Penemuan ini penting bagi membuktikan manusia awal sudah berada di negara ini. Paparan sejarah dan urutan arkeologi Malaysia akan mendorong pemahaman masyarakat terhadap kajian sejarah sebenar negara. Melalui cara ini juga akan memupuk semangat mencintai sejarah sendiri kerana di sinilah terletak jati diri dan identiti terbukti. Usaha pembuktian yang dilakukan secara akademik ini akan membuka peluang perbincangan yang lebih tuntas melalui dapatan yang diperoleh di tapak kajian.

Malahan berlaku polemik dalam kalangan ahli akademik tentang pembuktian kewujudan Hang Tuah.Profesor Tan Sri Khoo Kay Kim berpendapat bahawa Hang Tuah tidak wujud dan lebih merupakan tokoh mistik. Namun pandangan ini disanggah oleh Yang Dipertua Ikatan Ahli Arkeologi Malaysia, Profesor Emeritus Datuk Dr. Nik Hassan Shuhaimi Nik Abdul Rahman yang mempertahankan kewujudan Hang Tuah berdasarkan bukti arkeologi.

“Saya percaya tokoh ini wujud. Nama Hang memang sudah wujud di alam Melayu.Panggilan Hang ada di Padang Lawasa Sumatera, Indonesia. Tetapi nama yang empat orang lagi itu (Hang Jebat, Hang Kasturi, Hang Lekir dan Hang Lekiu) mungkin boleh dikaji lagi,” ujar beliau.

Meskipun tiada kajian khusus dijalankan, namun kajian arkeologi membuktikan terdapat beberapa penemuan daripada tinggalan seramik atau tembikar yang menunjukkan kesan pada abad ke-15.Hal ini menunjukkan arkeologi penting dalam pembuktian sejarah masa silam.

Mengikut kajian arkeologi, Lembah Lenggong, Hulu Perak merupakan petempatan manusia terawal di Malaysia, iaitu lebih kurang 1.83 juta tahun dahulu. Kajian geologi di Bukit Bunuh, Lenggong, Perak menunjukkan kawasan ini pernah ditimpa bencana meteorit pada 1.83 juta tahun dahulu.Bukti meteorit ini boleh dilihat daripada kesan hentaman yang ditinggalkan, seperti batuan asal terlebur dan menjadi batuan impak yang dikenali sebagai suevite.Di dalam suevite ini ditemui banyak alat batu.Antaranya termasuklah kapak genggam.Penemuan ini menunjukkan bahawa telah ada kebudayaan Paleolitik di Bukit Bunuh sebelum impak bencana meteorit. Menerusi rekod pentarikhan ini didapati bahawa Lembah Lenggong yang terletak di kawasan ini merupakan pusat petempatan terawal, manakala di bahagian lain di Malaysia tidak dihuni sehingga masa yang lebih lewat.

Bukit Jawa merupakan petempatan manusia 200 000 tahun yang lalu.Kawasan ini merupakan kawasan kedua selepas Bukit Bunuh.Ahli arkeologi berpendapat bahawa penduduknya mengamalkan teknologi litik, iaitu kaedah cuba-cuba yang agak kurang matang kerana mereka telah membuang sejumlah besar bahan mentah setelah mengetahui jenis batu itu tidak boleh menghasilkan alat batu yang diingini.

Kota Tampan pula dihuni oleh manusia kira-kira 74 000 tahun dahulu.Tapak arkeologi di sini menyumbang pengetahuan tentang masyarakat Paleolitik dari segi paleoalam, klasifikasi alat batu Paleolitik, dan teknologi pembuatan.Hasil penyelidikan menunjukkan masyarakatnya beradaptasi dengan tasik dan merupakan bengkel pembuatan alat batu Paleolitik.

***

Rencana ini dipetik dari majalah Dewan Budaya keluaran April 2013.

Posted in: Fokus

SEJARAH MASIH RELEVAN

Polemik pembelajaran mata pelajaran Sejarah dua tiga tahun belakangan ini sampai kemuncak apabila pada tahun ini mata pelajaran Sejarah dijadikan mata pelajaran wajib lulus pada peringkat Sijil Pelajaran Malaysia. Sementara itu, para pemimpin negara ASEAN bersepakat mengisytiharkan Komuniti ASEAN pada tahun 2015 yang akan menguatkan lagi kedudukan ekonomi negara anggota selain memberikan dampak sosial dan politik. Hal ini membuktikan bahawa setiap negara khususnya negara anggota ASEAN ingin membangunkan modal insan yang bukan sahaja menguasai sains dan teknologi, sebaliknya mempunyai jati diri yang ampuh.

Wilayah Asia Tenggara ini sangat unik dengan kepelbagaian bangsa, budaya, dan agama. Sebelum kedatangan penjajah, nama Kepulauan Melayu atau Malay Archipelago menjadi magnet ekonomi kepada kuasa Barat disebabkan hasil mahsul bumi yang subur, hinggakan Tanah Melayu digelar Suvarnabumi. Penyatuan rumpun bangsa ini utuh hingga wujud istilah Nusantara.Sejarah mencatatkan keagungan kerajaan di wilayah sebelah sini, seperti kerajaan Langkasuka, Majapahit, Melaka, Pasai, Bugis, dan Brunei.

Namun begitu, kedatangan kuasa Barat yang mula-mula hanya datang untuk berdagang bertukar menjadi pemerintah.Sedikit demi sedikit keintelektualan rantau ini “dicuri” dan dibawa ke negara mereka. Natijahnya, generasi kita hari ini pula yang terpaksa “membeli” semula keintelektualan tersebut sama ada naskhah, surat, atau dokumen!

Lihat petikan dokumen Tauliah daripada Sultan Borneo yang melantik Gustavus Baron de Overbeck sebagai Maharaja Sabah (Borneo Utara) dan Raja Gaya dan Sandakan pada tahun 1877.

“Bahawasanya beta (Abdul Mumin ibni Al-Marhum Maulana Abdul Wahab) berasa perlu untuk menganugerahkan kepada sahabat beta yang setia serta yang dikasihi, Gustavus Baron de Overbeck dan Alfred Dent Esquire, bahagian tertentu negeri di bawah kekuasaan beta yang terdiri daripada seluruh bahagian utara Pulau Borneo dari Sungai Sulaman di sebelah pantai barat ke Teluk Maludu dan ke Sungai Paitan dan kemudiannya seluruh bahagian pantai timur sehingga ke Sungai Sibuko yang terdiri daripada Negeri Paitan, Sugut, Bangayan, Labok, Sandakan, Kinabatangan, dan Mumiang, dan tanah lain sejauh sehingga ke Sungai Sibuko sehingga meliputi wilayah Kimanis dan Binoni, wilayah Pappar dan wilayah Teluk Gaya dan Teluk Sapanggar dengan semua tanah daratan dan pulau yang menjadi sebahagian daripada kawasannya dan begitu juga Pulau Banguey, bagi balasan tertentu yang dipersetujui antara kami.”

Dalam perjanjian antara Great Britain dengan Siam, yang ditandatangani di Bangkok pada 10 Mac 1909, Perkara I mencatatkan:

“Kerajaan Siam menyerah kepada Kerajaan British segala hak dan apa-apa jua kekuasaan, naungan, pentadbiran dan kawalan yang dimilikinya ke atas Negeri-negeri Kelantan, Terengganu, Kedah, Perlis dan pulau-pulau bersebelahan.”

Tanpa disedari perjanjian seperti ini memisahkan rumpun bangsa.Lebih dahsyat lagi apabila pembentukan negara bangsa selepas perang dunia kedua, iaitu apabila tertubuhnya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 1945.Kuasa penjajah memberikan kemerdekaan kepada negara jajahan dengan legasi perundangan mereka yang menebal.Konflik bangsa yang terpisah pula wujud.Lihat sahaja pembentukan Malaysia 1963 yang mendapat tentangan daripada Filipina dan Indonesia.

Hal ini jelas menunjukkan bahawa mata pelajaran sejarah amat relevan dalam membina jati diri rakyat Malaysia.Sejarah mengajarkan erti kebenaran melalui pembacaan, penyelidikan, dan pemikiran kritis.Pembudayaan sejarah dalam masyarakat hari ini khususnya dalam kalangan generasi muda amat kritikal.Hal ini dikatakan demikian kerana penjajahan bentuk baharu melalui teknologi maklumat dan komunikasi amat meluas. Oleh itu, sebelum kita memadamkan sejarah yang melakari sebahagian dar kehidupan kita, sebaiknya kita selami kata-kata sejarawan, George Santayana, “Sesiapa yang melupai sejarah pasti akan mengulanginya!”.

- Abdul Ghani Abu

***

Rencana ini dipetik dari majalah Dewan Budaya keluaran April 2013.

Posted in: Nota Editor