Home » 2013 » May

GUIZHOU PENEMPATAN ETNIK MIAO

Oleh Noraini Mohd. Idris

Nun jauh di Dataran Tinggi Yunnan-Guizhou desiran angin sepoi bahasa begitu menenangkan.Ibarat irama lagu yang syahdu terdengar sayup-sayup, gurindam memendam rasa, kesedihan begitu tersentuh.

Apa-apa yang dihiba seolah-olah mencari sesuatu yang mungkin tidak lagi tergapai.

Itulah suara dari gunung yang mengelilingi Guizhou, tempat ratusan kaum etnik minoriti Miao memanggilnya tempat tinggal. Jika disingkap sejarahnya, kaum ini mempunyai sejarah yang panjang di China dan boleh dikaitkan pada zaman Maharaja Yandi dan Huangdi, iaitu kira-kira lima hingga enam ribu tahun lampau. Pada ketika itu, pertempuran merebut takhta berlaku antara kaum asli Jiuli yang diketuai oleh Chiyou dengan bala tentera Maharaja Yandi Shennong, dan Maharaja Huangdi.Walau bagaimanapun Chiyou dapat ditewaskan dan terbunuh.Namun, keturunannya tetap memuja Chiyou.Keturunan Chiyou terpaksa berpindah randah selepas menjadi mangsa penindasan Maharaja Yandi Shennong dan Maharaja Huangdi.

Sejarah merakamkan pengusiran terbanyak dan terpanjang serta dianggap yang tertua dalam sejarah manusia.Mereka bergerak mengikut arah masing-masing sehinggalah ada yang sampai wilayah Guizhou.Melalui penghijrahan besar-besaran itu, kebanyakan ciri-ciri Miao hilang ditelan zaman.Sungguhpun begitu, ingatan mereka terhadap tanah dan adat resam masih menebal dan dapat dilihat melalui cara dan identiti pakaian, barangan kemas, dan lagu-lagu Yinluqu yang dinyanyikan ketika acara pemujaan.Pakaian tradisional Miao yang dianggap sebagai seni sebenarnya melambangkan perpindahan yang sukar dalam sejarah hidup masyarakat Miao.

Legenda Chiyou tetap terpahat dalam kalangan kaum Miao kerana mereka menganggapnya sebagai pemimpin yang gagah perkasa.Baju yang berwarna-warni itu menunjukkan kebijaksanaan masyarakat Miao. Terdapat tiga sulaman yang melambangkan Sungai Yangtze, Sungai Kuning, dan Qinghe serta lambang perkampungan yang pernah diduduki oleh nenek moyang suatu ketika dahulu tetapi kini tinggal impian. Atas dataran yang dingin, mereka menyanyi dan menari dengan iringan bunyi daripada seruling yang diperbuat dari daun.

Satu lagi mitos menggambarkan Chiyou sebagai manusia bertanduk yang memegang penukul dan pemahat di kedua-dua tangannya.Beliau disertai oleh empat orang sahabat setianya, iaitu burung phoenix, naga, unikorn dan kura-kura.Pada hari kematiannya, dikatakan kepalanya menjadi gunung, nafasnya menjadi angin dan awan, suaranya halilintar, mata kirinya menjadi matahari, dan mata kanannya pula menjadi bulan. Janggutnya menjadi bintang, empat sendinya menjadi paksi bumi, darahnya bertukar menjadi sungai, badannya menjadi tanah, kulit dan rambut bertukar menjadi pokok dan tanaman, peluhnya menjadi hujan, tulang belakangnya menjadi permata dan mutiara. Begitulah gambaran “panhu” atau simbol bagi kaum etnik Miao.

***

Rencana ini dipetik dari majalah Dewan Budaya keluaran Mei 2013.

Posted in: Bingkisan CRI

“SEN OI BEQ” MENJEJAK PUNCAK

Oleh Abdul Ghani Abu, Muhamad Rafiq Abdul Rahman dan Nur Ain Suraiya Farhana Mohmad Noor (Pelatih UiTM)

Pentadbiran secara khusus bagi masyarakat Orang Asli di negara ini telah dibentuk oleh Kerajaan Negeri Perak yang ketika itu ditadbir oleh Kerajaan British dengan melantik seorang Field Ethnographer yang bertindak sebagai Protector of Aborigines pada bulan Disember 1939. Pelantikan ini dibuat selepas penguatkuasaan enakmen negeri yang dikenali sebagai “Perak Aboriginal Tribes Enactment’, No. 3 pada tahun 1939.

Pada tahun 1954, di bawah undang-undang baharu Aboriginal Peoples Ordinance No. 3, Jabatan Orang Asli (JOA) diwujudkan dengan termaktubnya Akta Orang Asli 1954 (Akta 134). Akta ini diwujudkan ketika itu untuk mengadakan peruntukan perlindungan, kesentosaan, dan kemajuan Orang Asli di Tanah Melayu.Tujuan utama penubuhan JOA ketika itu atas faktor keselamatan bagi meraih sokongan masyarakat Orang Asli dan mengelakkan mereka dipengaruhi oleh fahaman dan anasir negatif serta ancaman pihak komunis.

Pembentukan Malaysia pada 16 September 1963 telah memberikan kesan yang amat bermakna kepada JOA, iaitu nama Jabatan Hal Ehwal Orang Asli Malaysia (JHEOA). Perubahan ini telah memberikan keutamaan kerajaan kepada usaha-usaha membangunkan taraf sosioekonomi dan hidup Orang Asli sebagai agenda utama pembangunan masyarakat Orang Asli.

Pengumuman Belanjawan 2011 sekali lagi memberikan dampak yang besar kepada pentadbiran masyarakat Orang Asli.Hal ini demikian kerana usaha pembangunan dibuat secara inklusif untuk meningkatkan taraf sosioekonomi ke arah kesejahteraan masyarakat Orang Asli.Selaras dengan itu, Jabatan Hal Ehwal Orang Asli disusun semula dan diperkukuhkan dengan memberikan nafas baharu sebagai Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA).

Secara umumnya, penubuhan sebuah jabatan secara khusus kepada masyarakat Orang Asli selama 57 tahun mempunyai kesan yang amat signifikan dengan perubahan sosioekonomi dan kualiti hidup kepada mereka.

Termologi Orang Asli sebagai kategori etnik bangsa hanya wujud selepas tahun 1960 (Suki Mee, 2007). Menurut Prof. Hasan Mat Nor (1996) sebelum ini terdapat banyak istilah yang digunakan oleh ahli antropologi dan pihak pentadbir, seperti istilah “Orang Darat”, “Orang Laut”, “Bersisi”, “Mantra”, dan “Orang Mawas”. Penggunaan istilah Orang Asal dan selepas itu Orang Asli hanya digunakan semasa ancaman komunis dan pada zaman darurat pada sekitar tahun 1948 hingga tahun 1960. Penggunaan istilah ini dikatakan bagi tujuan memujuk Orang Asli untuk membantu pihak kerajaan memerangi ancaman komunis.

Daripada definisi yang dinyatakan di atas, komuniti Orang Asli merupakan warga peribumi, iaitu golongan penduduk asal di Malaysia yang agak berbeza sedikit berbanding dengan kelompok yang diistilahkan sebagai masyarakat bumiputera. Peruntukan dalam Akta Orang Asli 1954 jelas menunjukkan bahawa istilah Orang Asli hanya digunakan bagi menjelaskan status penduduk asal di Semenanjung Tanah Melayu, manakala lain-lain kaum asal di Sabah dan Sarawak serta orang Melayu di Semenanjung diistilahkan sebagai bumiputera.

Orang Asli di Malaysia bukanlah kaum minoriti yang bersifat homogen.Mereka ini merupakan kaum yang heterogen, yang mana terdapat perbezaan unik dari segi sosiobudaya, dan psikososio-kognitif bagi setiap kaum. Rasional di sebalik perbezaan ciri ini berkaitan dengan latar belakang komuniti Orang Asli itu sendiri, yang mana terdapat tiga suku kaum utama dalam komuniti Orang Asli, iaitu Senoi, Melayu-Proto dan Negrito. Manakala setiap kaum itu pula mempunyai enam suku bangsa yang berbeza-beza.Hal ini menjadikan Orang Asli di Malaysia terdiri daripada 18 suku bangsa kesemuanya.


***

Rencana ini dipetik dari majalah Dewan Budaya keluaran Mei 2013.

Posted in: Fokus

HAK HIDUP BERSAMA

Isu Orang Asli merupakan antara isu hak asasi manusia yang mendapat perhatian umum semenjak penubuhan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) di negara ini pada tahun 1999. Walaupun Akta Orang Asli 1954 (Akta 134) Pindaan 1974 yang menetapkan garis panduan bagi pembangunan dan kemajuan Orang Asli, namun masih terdapat beberapa isu yang masih membelenggu Orang Asli sehingga hari ini.

Pada tahun 2008, dua program turun padang untuk mempromosikan kesedaran hak pendidikan telah dilakukan oleh SUHAKAM hasil dialog bersama-sama masyarakat Orang Asli. Antara masalah yang dikenal pasti termasuklah pengangkutan, bantuan peralatan sekolah, pendaftaran surat beranak dan kad pengenalan, bantuan kebajikan, masalah kewangan, dan persekitaran sekolah. SUHAKAM menggesa kerajaan mengambil tindakan terhadap aduan Orang Asli tentang isu kemiskinan, hak pendidikan, dan hak tanah.Hal ini memandangkan kebanyakan Orang Asli ini mencari nafkah dari hasil tanah dan hutan, penafian kepada hak tanah kerana undang-undang yang tidak mengiktiraf hak tanah adat mestilah dikaji semula.

Bagi memastikan Orang Asli terus tidak ketinggalan, pada tahun 2011 kerajaan telah memperkenalkan Pelan Strategik Kemajuan Orang Asli 2011-2015 yang merangka dasar pembangunan Orang Asli secara inklusif meliputi pembangunan modal insan, lonjakan ekonomi, prasarana, kualiti hidup, warisan, dan pemantapan sistem perkhidmatan dan tadbir urus yang baik. Pelan ini juga secara tidak langsung mengajak masyarakat Orang Asli untuk melakukan anjakan minda dan perubahan nilai hidup bagi sama-sama terlibat dalam arus pembangunan dan pemodenan negara.

Bagi masyarakat umum, hubungan dengan Orang Asli perlulah bersifat simbiosis, iaitu saling melengkapi.Perubahan sikap yang positif dalam kalangan Orang Asli boleh dipercepatkan sekiranya masyarakat sanggup menerima mereka sebagai rakan dan jiran dalam kehidupan seharian.Pandangan yang skeptikal dan negatif terhadap Orang Asli perlu dihapuskan.Mereka juga sebahagian daripada suku bangsa yang membentuk kemajmukan masyarakat di negara ini. Tun. Dr. Mahathir Mohamad dalam ucapan beliau semasa penyampaian Diploma dan Sijil INTAN pada tahun 1976 menyatakan:

“Kita perlu mencari lebih kekayaan tetapi janganlah sehingga kita lupa mereka yang tidak bernasib baik seperti kita. Janganlah kita tuntut dari masyarakat kekayaan yang tidak mampu diberi oleh masyarakat. Lebih-lebih lagi jangan kita ancam masyarakat yang telah memberi kedudukan istimewa kepada kita kerana kita mahu lebih daripada apa yang telah diberi kepada kita oleh masyarakat.”

Hari ini masyarakat Orang Asli boleh berbangga kerana ada dalam kalangan mereka yang sudah pun bergelar ahli profesional, seperti ahli akademik, jurutera, doktor, usahawan, guru, dan peguam. Keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia 2012 juga mencatatkan pelajar Orang Asli yang memperoleh keputusan cemerlang, 8A.

Oleh sebab itu, dalam berkongsi kemakmuran ekonomi negara ini, hak masyarakat minoriti tidak pernah dipinggirkan.Segala kekusutan, tuntutan, dan permasalahan dapat diselesaikan melalui dialog dan meja rundingan bagi merangka pelan pembangunan yang tuntas.Inilah budaya harmoni masyarakat Malaysia yang harus dikekalkan.

- Abdul Ghani Abu

***

Rencana ini dipetik dari majalah Dewan Budaya keluaran Mei 2013.

Posted in: Nota Editor