Home » 2013 » June

36 TAKTIK PEPERANGAN

Oleh Chang Shin

36 taktik Peperangan merupakan buku yang terkandung tentang perihal 36 taktik peperangan yang diguna pakai pada zaman purba di China dan diwarisi sehingga hari ini. Meskipun penyusunan dan penerbitan buku itu dilakukan lebih 60 tahun yang lalu, taktik peperangan yang terkandung di dalam buku ini telah diguna pakai di China dalam jangka masa yang panjang dan menjadi sebahagian inti pati kebudayaan tradisional China. Ketika ini, 36 Taktik Peperangan telah disesuaikan untuk kegunaan strategi dalam pelbagai bidang termasuklah politik, diplomasi, pengurusan, dan perdagangan.

Strategi yang terkandung dalam 36 Taktik Peperangan sudah wujud di China lebih 2000 tahun yang lalu dan disusun menjadi buku pada tahun 1940-an. Buku ini dianggap setanding dengan buku Seni Perang hasil karya Sun Zi dan saling melengkapi antara satu sama lain. Sun Zi merupakan pahlawan China, hidup sezaman dengan pendeta agung Konfusius kira-kira 2500 tahun yang lampau.Pemikiran beliau mengenai strategi perang sangat terkenal dan diakui hingga hari ini.

Berdasarkan catatan sejarah, cerita tentang 36 Taktik Peperangan telah muncul di China pada abad kelima Masihi.Pada ketika itu, wilayah China terpisah-pisah dan diduduki oleh beberapa kuasa tempatan. Mereka sering berperang antara satu sama lain dan mengakibatkan pemerintahan China silih berganti dari semasa ke semasa.

Kononnya, tentera yang diketuai oleh Hulubalang Tan Daoji dari kerajaan negeri Liusong berada dalam situasi yang sukar dalam satu peperangan. Beliau telah menggunakan tipu muslihat agar tenteranya berjaya berundur daripada medan peperangan tanpa kematian dan kecederaan. Setelah itu, banyak yang memperkatakan Hulubalang Tan Daoji pernah berkata, “Antara 36 taktik peperangan Hulubalang Tan Daoji, pelarian merupakan pilihan yang terbaik”.

36 Taktik Peperangan tersebut menggambarkan kecerdikan dan kebijaksanaan Hulubalang Tan Daoji.Manakala, strategi pelarian bukanlah salah satu taktik daripada 36 Taktik Peperangan itu, sebaliknya mempersendakan tindakan melarikan diri dalam perang.Dalam hal ini, 36 Taktik Peperangan merupakan istilah yang menyifatkan orang yang licik dan pandai menipu. Pada masa itu, 36 Taktik Peperangan bukan karya strategi peperangan yang mempunyai kandungan yang konkrit, tetapi hanya merupakan taktik yang sering diperkatakan dalam kalangan rakyat China dan diguna pakai dalam opera, novel, dan lain-lain.

***

Rencana ini dipetik dari majalah Dewan Budaya keluaran Jun 2013.

Posted in: Bingkisan CRI

TEATER EKSPERIMENTAL: BENTAKAN ORANG MUDA

Oleh Tasia Arlina Ismail

Teater konvensional telah bertapak di Barat begitu lama, iaitu antara kurun ke-18 dengan ke-19.Teater berbentuk realistik dan semula jadi ini telah mendominasi para penggiat teater pada ketika itu dan sehingga kini teater sebegini masih dijadikan aliran yang selamat untuk dipentaskan.Melalui konsep yang menggambarkan keadaan dunia realiti, dialog seharian, dan watak perwakilan (representative), teater begini telah ditolak oleh beberapa penggiat dan pemikir teater eksperimental Barat.Mereka menganggap teater begini melumpuhkan dan mengkhayalkan pemikiran penonton.Teater ini menarik empati penonton secara berlebihan serta menjadikan masyarakat tidak sedar bahawa kemelut kehidupan sebenar yang harus ditempuhi mereka sedang menunggu di luar panggung.

Kehadiran seni tradisional yang telah lama berakar umbi di Asia yang menjadi cetusan idea kepada kebanyakan penggiat dan pemikir teater eksperimental Barat sungguh menakjubkan. Melalui ilmu seni yang dipinjam dari Asia, muncul pelbagai aliran dan genre seni teater eksperimental Barat yang mencambahkan pelbagai ideologi sekali gus melonjakkan beberapa nama, seperti Antonin Artaud, Jerzy Grotowski, Meyerhold, Chaikin, Barba, Littlewood termasuk Stanislavki walaupun dipengaruhi oleh seni Asia. Beberapa teori dan pemikiran ini bersilang, berlanggar antara satu dengan yang lain, sesekali dicantum dan ditambah baik untuk membentuk identiti teater eksperimental yang baharu.

Kemunculan teater eksperimental di Barat telah dicetuskan hasil daripada pengamatan penggiat Barat terhadap kepelikan, keanehan seni yang terdapat di Asia, seperti Grotowski yang terpukau dengan seni perubatan di Asia dan dijadikan asas dalam Poor Theatrenya. Beliau menjadikan konsep ritual sebagai keindahan dalam persembahan lakonan oleh para pelakonnya.

Beberapa tokoh lain seperti Brecht Meyerhold dan Littlewood juga terpesona dengan teknik teater Asia dan memberikan cetusan idea kepada mereka untuk mewujudkan teater anti ilusi. Manakala, Grotowski, Chaikin, Stanislavsky, dan Barba dipengaruhi oleh seni mempertahankan diri serta seni yoga yang terdapat di Asia. Selain dipengaruhi oleh teknik lukisan berbentuk surealis, Antonin Artaud mengakui kerja-kerja seninya telah dipengaruhi oleh seni Asia, khususnya persembahan teater dari Bali.

Artaud melihat teater tersebut dapat mentafsirkan pemikiran dalamannya menerusi tubuh dan pergerakan.Walaupun ideologinya disifatkan sebagai bayang-bayang sahaja tetapi Artaud telah meletakkan teater di puncak yang baharu.Melalui sejarah teater eksperimental Barat ini, dapat disimpulkan bahawa teater berbentuk eksperimental Barat pernah menjadikan Asia sebagai rujukan dalam membentuk ideologi mereka.

***

Rencana ini dipetik dari majalah Dewan Budaya keluaran Jun 2013.

Posted in: Fokus

BUDAYA “CUBA-CUBA”

Pilihan raya umum ke-13 (PRU13) berlalu dengan pelbagai kisah menarik sama ada di bandar mahupun luar bandar. Beginilah kita hidup bernegara, setelah 56 tahun negara mencapai kemerdekaan, pilihan raya merupakan manifestasi demokrasi yang menjadi pilihan dan amalan rakyat negara ini.

Lebih 80 peratus daripada 13.2 juta rakyat negara ini yang layak mengundi telah membuktikan ketaatsetiaan mereka sebagai warganegara untuk keluar membuang undi! Satu lagi petunjuk jelas ialah semangat cintakan negara, lebih-lebih lagi dua juta orang pengundi muda keluar menunaikan tanggungjawab mereka.

Penerima Anugerah SEA Write Award 2011, SM Zakir dalam catatannya di laman media sosial Facebook tiga hari selepas PRU13 menyatakan, “Sebahagian besar daripada perubahan masyarakat pada era pasca moden hari ini bukan digerakkan oleh perubahan politik tetapi oleh perubahan budaya.”

Budaya cinta akan negara dalam kalangan generasi muda, sesuatu yang menjadi polemik sebelum ini sehingga merisaukan banyak pihak. Namun begitu, PRU13 menunjukkan kesungguhan dan komitmen anak muda untuk turut sama dalam pentas politik negara. Perkembangan yang positif dalam hal kesedaran sivik negara!

Pada zaman era internet ini, peranan media sosial amat berpengaruh kepada generasi muda. Budaya hidup generasi muda kini amat dipengaruhi oleh wahana komunikasi moden, seperti khidmat pesanan ringkas, blog, Twitter, dan Youtube. Kita sendiri dapat melihat cabaran kepada media konvensional dan arus perdana dalam menangani kebangkitan suara anak muda melalui laman media sosial ini.Namun, tindakan berbaur emosi yang melampaui rasional jika tidak dikawal mampu mencetuskan huru-hara dan memusnahkan keamanan yang kita nikmati dalam sekelip mata.

Anak muda sinonim dengan sikap suka mencuba sehingga lahir “budaya eksperimen” atau “budaya cuba-cuba” yang merupakan satu lagi kreativiti anak muda zaman ini. Di pentas teater, dunia muzik, atau layar perak, sememangnya nilai eksperimental membekas apabila sesuatu persembahan yang terbit daripada rasa “cuba-cuba” berjaya dilakukan. Maka sebab itulah dalam pentas teater, menjelang peralihan generasi sering kali wujud “bentakan peperangan idea” anak muda yang ingin lari daripada idea yang bersifat konvensional dan konservatif. Mereka lahirkan “teater eksperimental” yang membawa garapan idea baharu yang segar dan menepati cita rasa zaman. Yang dibimbangkan oleh kebanyakan pihak ialah “eksperimental” tersebut meminggirkan nilai dan jati diri bangsa yang selama ini didukung utuh.

Jika “budaya cuba-cuba” ini dieksperimenkan pula dalam pentas politik, bahana yang bakal menimpa! Tampaknya dalam istilah “penyatuan dalam kepelbagaian” kita masih memerlukan pendinding ampuh yang dapat mempertahankan keharmonian hidup bernegara. Elemen nilai dan norma yang merentas sempadan agama dan bangsa ternyata menjadi kayu ukur penting dalam menentukan perpaduan nasional. Pemupukan nilai dan norma yang menyempadani akal fikir dan kebijakan kita bertindak harus terus subur dibudayakan.

- Abdul Ghani Abu

***

  • Rencana ini dipetik dari majalah Dewan Budaya keluaran Jun 2013.

Posted in: Nota Editor