Home » 2013 » August

“SYURGA DI BUMI” JIUZHAIGOU DAN HUANGLONG

Oleh Wang Jin

Tanyalah sesiapa sahaja yang ingin melawat ke provinsi Sichuan, kedua-dua destinasi Jiuzhaigou dan Huanglong pasti merupakan destinasi dalam agenda lawatan mereka.Apakah keistimewaan dan tarikan kedua-dua tempat ini?Mengapakah Jiuzhaigou dan Huanglong dikenali sebagai “Syurga di Bumi”?Ikutilah catatan penulis yang berkunjung ke Jiuzhaigou dan Huanglong baru-baru ini.

Jiuzhaigou terletak di daerah autonomi etnik Tibet dan Qiang Aba, kawasan barat provinsi Sichuan.Perkataan Jiuzhaigou bermaksud lembah dengan sembilan buah kampung, dan sembilan buah kampung itu merujuk kampung etnik Tibet di kawasan ini.

Jiuzhaigou terkenal dengan airnya. Di kawasan lembah, terdapat lebih 100 buah tasik yang berwarna-warni, dan orang tempatan menyebut tasik di dataran tinggi ini sebagai Haizi yang bermaksud anak laut.

Air tasik di sini jernih.Apabila berdiri di tepi tasik, kita dapat melihat batu, rumput, dan batang pokok yang tumbang di dasar tasik ini.Air di sini juga berwarna-warni.Ada yang kelihatan biru, dan ada yang hijau bercampur dengan kuning, sehinggakan air dianggap sebagai jiwa Jiuzhaigou.

Apabila berdiri di tepi Changhai, tasik terbesar di Jiuzhaigou, air di tempat yang dekat dengan kita kelihatan berwarna hijau dan amat jernih, manakala air di tempat yang jauh kelihatan biru.

Air yang berwarna-warni di sini terjadi secara semula jadi. Oleh sebab air di sini mengandungi elemen kalsium, magnesium, dan asid karbonik, dan elemen ini mempunyai daya pantulan yang kuat terhadap cahaya biru dan hijau, serta jumlah rumpai di dalam tasik di sini amat banyak hingga melebihi 200 jenis, maka tasik ini kelihatan berwarna-warni. Apabila air tasik yang tenang ini terjun dari cenuram, air terjun yang terhasil bagaikan hidupan yang riang gembira hinggalah kolam di bawah.

Terdapat 17 kumpulan air terjun di Jiuzhaigou. Walaupun kurang tinggi, namun air terjun ini amat lebar. Apabila kita memandang ke arah air terjun ini dari tempat yang jauh, kelihatan seperti tirai air yang berkilau-kilauan. Air terjun Nuorilang terkenal sebagai air terjun yang paling lebar di China.

***

Rencana ini dipetik dari majalah Dewan Budaya keluaran Ogos 2013.

Posted in: Bingkisan CRI

SHISHA PENENTU HIDUP ATAU MATI?

Oleh Muhamad Rafiq Abdul Rahman

Fenomena menghisap shisha sudah menjadi trend masyarakat di negara ini sama ada lelaki atau pun wanita, kedua-duanya tanpa segan silu menghisap shisha di khalayak ramai dengan penuh bangga. Ada pula pandangan yang mengatakan jika tidak menghisap shisha seperti tidak mengikut trend semasa.

Shisha atau nama lainnya, hookah, lula atau lulava, narghile, nargella, argeela dan bermacam-macam lagi nama yang diberi dikatakan berasal dari negara Timur Tengah. Realitinya bentuk shisha itu sendiri, sudah boleh dijangkakan asal-usulnya. Namun begitu, persoalan utamanya bukanlah dari negara mana asalnya, tetapi kesan negatif yang bakal menimpa penghisap shisha!

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dalam laporannya pada tahun 2008, menyatakan bahawa tembakau rokok membunuh 5.4 juta orang setiap tahun. Pecahan statistik ini menunjukkan kira-kira 98 000 orang mati setiap bulan, 14 000 orang mati setiap hari, dan kira-kira 583 orang mati setiap satu jam! Malahan yang paling menakutkan ialah sekiranya hal ini tidak dibendung, angka ini akan meningkat kepada 10 juta orang setahun menjelang tahun 2020.

Di Malaysia, kajian mendapati bahawa 1.5 peratus wanita (daripada 13.77 juta orang wanita) di negara ini menghisap rokok dan hal ini akan meningkat kepada 18 peratus pada tahun 2014 sekiranya tiada kekangan atau usaha untuk mengekang aktiviti menghisap shisha ini.

Fakta ini amat mencemaskan semua pihak kerana belum pun selesai budaya menghisap rokok, fenomena menghisap shisha seakan-akan menjadi duri dalam daging masyarakat dan negara ini.

Shisha dikatakan telah pun bertapak di negara ini seawal tahun 1970-an, tetapi ketika itu tabiat ini masih tidak mendapat sambutan sehinggalah menjelang tahun milenium ini seolah-olah menjadi fenomena yang sukar dibendung.Buktinya, pergilah kedai-kedai mamak, kedai yang menjual makanan Arab, atau kedai tepi jalan sekali pun, shisha merupakan antara daya tarikan yang mengundang kehadiran pengunjung terutama golongan belia.

Bayaran sekitar RM10 hingga RM15 untuk satu sesi shisha yang mengambil masa purata 30 minit hingga 45 minit ini cukup menguntungkan si ketagih shisha. Menurut seorang penjual shisha, Malik Ahmad, 35 tahun, pendapatan yang diperoleh hasil menjual shisha cukup menguntungkan.

“Setiap hari saya boleh dapat sekitar RM100 hingga RM200 hanya empat hingga enam jam berniaga,” jelas Malik yang ditemui oleh penulis di Ampang baru-baru ini.

Mungkin bagi peniaga, hal ini merupakan salah satu sumber rezeki yang sedikit-sebanyak dapat membantu menjana pendapatan keluarga.Malangnya pula bagi si penghisapnya yang dikatakan berdepan dengan risiko penyakit berbahaya, malahan mendapat tentangan yang hebat daripada ulama tempatan.

Ketika kempen “Henti Merokok” sedang giat dijalankan di seluruh negara, ada pihak yang mewartakan di setengah-setengah kawasan sebagai zon larangan merokok, gejala menghisap shisha pula menghantui penduduk di negara ini.Kalau diperhatikan, penjualan shisha semakin mendapat tempat di kawasan bandar dan pekan besar.

Komponen tembakau yang terdapat dalam shisha juga dikatakan mengandungi tidak kurang daripada 4000 bahan toksik, seperti nikotin, karbon monoksida, tar, logam berat, bahan radioaktif, karsinogen, bahan kimia pertanian, racun serangga, dan banyak lagi. Hal ini disahkan sendiri oleh beberapa syarikat tembakau dunia yang menyatakan bahawa kebanyakan tar dikeluarkan dari tembakau shisha.

***

Rencana ini dipetik dari majalah Dewan Budaya keluaran Ogos 2013.

Posted in: Fokus

KEBEBASAN DAN KEHARMONIAN HIDUP BERNEGARA

Tulisan di Facebook yang mempersendakan kemuliaan bulan Ramadan oleh dua orang remaja, iaitu Alvin Tan, 24 tahun, dan Vivian Lee, 25 tahun membangkitkan kemarahan masyarakat Islam di negara ini. Apatah lagi api kemarahan tersebut belum lagi padam semenjak isu Namewee yang juga menghina masyarakat Melayu dan agama Islam. Tindakan meminta maaf nampaknya tidaklah memberikan natijah ketakutan kepada khalayak untuk menghormati agama lain, malahan atas nama kebebasan sikap prejudis diterjemahkan dengan beraninya. Laman media sosial menjadi alat untuk membangkitkan sentimen dan sensitiviti kaum dan agama tanpa rasa malu dan hormat.

Di manakah pembudayaan nilai dalam kalangan generasi muda hari ini?Adakah mereka tidak menyedari tentang peri pentingnya keharmonian hidup bernegara dalam masyarakat berbilang kaum di negara ini?Perpaduan menjadi kunci utama keharmonian yang menjadi mangkin kemakmuran ekonomi melalui interaksi sosial masyarakat tanpa mengira latar belakang agama, kaum, dan fahaman politik.

Pengumuman Perdana Menteri tentang Akta Keharmonian Nasional bagi menggantikan Akta Hasutan 1948 yang tidak menjejaskan kuasa kerajaan untuk menangani perbuatan mengganggu-gugat perpaduan dan keharmonian masyarakat disambut baik segenap masyarakat lantaran kelompangan perundangan yang menyebabkan ada pihak yang menangguk di air yang keruh bagi mencetuskan suasana kacau bilau.

Tegas Perdana Menteri, tiga prinsip utama dikekalkan, iaitu; pertama, menangani perbuatan dan perlakuan yang mendatangkan kebencian, penghinaan atau membangkitkan perasaan tidak setia terhadap Yang di-Pertuan Agong atau raja-raja; kedua, menangani perbuatan dan perlakuan mengembangkan niat jahat dan permusuhan antara kaum atau golongan penduduk berlainan di negara ini, dan; ketiga, menangani perbuatan dan perlakuan yang mempersoalkan apa-apa perkara, hak, taraf, kedudukan, keistimewaan, kedaulatan prerogatif yang ditetapkan atau dilindungi oleh peruntukan Bahagian III Perlembagaan Persekutuan atau Perkara 151, 153, dan 181.

Namun begitu, kita perlu ingat bahawa undang-undang tanpa penghayatan nilai kehidupan, tidak ada maknanya. Hari ini dihukum, esok mereka akan mengulanginya. Maka, pengukuhan nilai dalam kalangan generasi muda amat penting. Memetik kata-kata tokoh pendidikan negara, Profesor Dr. Sidek Baba, “Manusia membina sikap dan pendirian berasaskan nilai yang dipegangnya.”

Pembudayaan nilai menjadi cabaran terbesar dalam sistem pendidikan negara sama ada melalui pendidikan secara formal, melalui penerapan aktiviti di luar bilik darjah, ataupun peranan mendidik yang dimainkan oleh ibu bapa. Hal ini disebabkan oleh penyejagatan budaya transnasional dan hegemoni budaya negara luar semakin mengukuh di negara ini yang dimangkin oleh revolusi teknologi maklumat.Secara halusnya, unsur luar ini mempengaruhi anak muda tentang hak kebebasan.

Namun begitu, hak kebebasan ini bukanlah hak mutlak. Sebaliknya, lima prinsip rukun negara memayungi kesejahteraan rakyat negara ini. Maka, ketegasan terhadap tuntutan hak kebebasan oleh sesetengah pihak perlu diambil serius.Nilai persamaan seharusnya menjadi interaksi sosial yang mengharmonikan dan nilai perbezaan menjadi sempadan yang perlu dihormati.Suara yang membantah pembelajaran mata pelajaran Tamadun Islam dan Tamadun Asia (TITA) di institusi pengajian tinggi swasta sewajarnya tidak harus dilayan. Bukan isu indoktrinasi yang menjadi persoalan, sebaliknya membudayakan sikap dan nilai memahami masyarakat lain melalui kajian silang budaya tamadun bangsa mampu menjadi alat yang ampuh untuk membentuk generasi muda yang mendukung keharmonian hidup bernegara.

Salam Kemerdekaan Ke-56 Tahun

- Abdul Ghani Abu

***

Rencana ini dipetik dari majalah Dewan Budaya keluaran Ogos 2013.

Posted in: Nota Editor