Home » 2013 » September

OPERA BEIJING

Oleh Xian Dazhong

Pada mata orang biasa, Opera Beijing hanyalah bunyi bising loceng dan gendang, atau nyanyian yang bernada tinggi, atau pun pergantian kostum yang berwarna-warni.Namun begitu, Opera Beijing bukan sekadar opera biasa, tetapi lebih dikenali sebagai opera kebangsaan China.Yang menariknya, opera ini menggambarkan perjalanan hidup perwatakan manusia yang berbeza-beza, iaitu yang cantik dan hodoh, yang berbudi bahasa mahupun yang jahat lagi kejam, dan yang jujur mahupun yang licik.

Opera Beijing merupakan antara sejarah kebudayaan kebangsaan China kerana sudah menjangkau usia lebih 200 tahun. Malahan disifatkan sebagai khazanah kebudayaan kebangsaan yang tiada tandingan.

Seawal zaman pemerintahan Raja Qianlong, semasa Dinasti Qing, iaitu lebih kira-kira 220 tahun yang lalu, baginda menunjukkan minat yang besar terhadap opera tempatan ketika mengadakan tinjauan ke beberapa tempat di bahagian selatan China. Bagi memenuhi minat yang tersemai sepanjang enam kali kunjungan ke bahagian selatan kerana melancong atau tinjauan kerja, baginda menitahkan rombongan opera tempatan itu agar datang ke Beijing bagi menyajikan persembahan khas sempena hari keputeraan baginda yang ke-80 tahun.

Setelah rombongan dari provinsi Anhui membawa Opera Hui ke Beijing, Opera Qin yang paling disukai oleh penduduk Beijing pada waktu itu dikalahkan oleh Opera Hui. Maka banyak seniman Opera Qin menyertai rombongan Opera Hui untuk mempelajari opera yang lebih popular itu.Hal ini turut menghasilkan gabungkan dua ciri opera, iaitu Hui dan Qin.

Opera Hui semakin mendapat sambutan baik, dan mendorong lebih banyak rombongan dan seniman opera dari bahagian selatan datang ke Beijing.Hal ini menyebabkan Opera Kunqu yang amat popular di Beijing semakin suram dan banyak seniman Opera Kunqu menyertai Opera Hui.

***

Rencana ini dipetik dari majalah Dewan Budaya September 2013.

Posted in: Bingkisan CRI

APAKAH YANG KITA MAHU?

Oleh Lokman Abdul Samad

Apakah lagi yang Cina mahu?Adakah soalan ini rasis?Ya, jika anda memang berfikiran perkauman.Namun begitu, jawapannya tidak jika anda mahu berfikir sejenak selepas 50 tahun Malaysia dibentuk sebagai sebuah negara merdeka.

Boleh juga kita menyoal begini, apakah lagi yang bangsa Melayu mahu selepas 50 tahun memerintah negara ini?Bukankah sejak merdeka hingga kini dominasi kuasa terletak pada orang Melayu?

Pasca Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13, tiba-tiba Melayu baharu terjaga daripada mimpi indah.Bangun dengan nada marah, seperti ada mutiara yang hilang daripada genggaman mereka. Yang peliknya, tidak pula mereka berani mengakui kelemahan diri, sebaliknya tanpa segan silu mencari salah orang lain pula. Lain yang sakit lain pula yang diubat, lain yang salah lain pula yang dihukum. Hukama berkata, sesuatu milik kita akan mula dihargai apabila yang dimiliki itu hampir terlepas atau sudah terlepas daripada genggaman. Malangnya, apabila ego kesombongan menafikan kelemahan kesalahan sendiri hingga membutakan mata hati untuk muhasabah diri. Mencari salah dengan menunding satu jari kepada orang lain memang mudah, sebaliknya yang susah adalah untuk mengerti tatkala empat batang jari menunjuk ke dalam diri sendiri.

Umur 50 tahun bagi hayat seorang manusia cukup bertuah kerana dipenuhi pengalaman berharga hasil daripada kehidupan yang dilalui. Uban yang memutih di kepala tanda kematangan seseorang yang terlebih makan garam, lalu terbuai-buai dengan rasa “perasan” bahawa orang tua sentiasa berbuat benar, bijaksana dalam memimpin dan tiada tolok bandingnya. Ilusi sebegini memang parah sekali.

Realitinya orang muda juga mempunyai pendapat, idea, dan pemikiran yang benar.Tidak semua orang muda pergi merempit atau hidup berkeliaran menagih dadah.Sindrom mengenepikan idea dan pandangan orang muda telah menyebabkan wujud jurang perbezaan yang luas terhadap persepsi asal usul sejarah bahkan pengiktirafan pada kebudayaan asal penduduk negara ini.

Ilusi manusia yang berumur setengah abad terhadap dirinya yang berasa sentiasa benar menghanyutkan bahtera negara yang sentiasa berada dalam zon selesa hingga hampir karam kehilangan kuasa pentadbiran.Hal inilah yang harus diakui secara jujur bahawa berpunca daripada kemelut kuasa dengan kemudi bangsa sebagai tonggak kapal keharmonian negara ini bakal hancur tenggelam diamuk badai politik dendam, benci, dan iri hati.

Jujurnya harus diakui tindakan berlebih-lebihan ahli politik dalam mengaut undi golongan muda seperti menghalalkan apa-apa jua cara demi mencapai matlamat politik mereka.Provokasi agama menunjukkan ketidakfahaman mereka terhadap kesan serius tindak balas sensitiviti umat Islam.Rukun negara dilahirkan semasa Malaysia menyambut ulang tahun kemerdekaan yang ke-13.

Kita harus mengakui bahawa apresiasi rukun negara yang seharusnya sudah terpateri sebati dalam diri setiap warganegara hanya tinggal kenangan belaka. Pasca PRU 13, pelbagai ragam bentuk penghinaan terhadap kedaulatan undang-undang dan keluhuran perlembagaan tanpa disedari sedikit demi sedikit dibicarakan secara terbuka, berani, dan berbaur provokasi.

***

Rencana ini dipetik dari majalah Dewan Budaya keluaran September 2013.

Posted in: Fokus

MENYATUKAN YANG SANGSI


Ramadan yang lalu saya sempat berkunjung ke beberapa pusat membeli-belah di ibu negara, dari yang sederhana tarafnya hinggalah yang mewah bertaraf lima bintang. Antaranya termasuklah The Mines, IOI Mall Puchong, Midvalley Megamall, Suria KLCC, dan Pavillion. Tujuan saya adalah untuk melihat reka bentuk dan hiasan sambutan Aidilfitri di pentas utama pusat membeli-belah tersebut dan melihat sejauh manakah kesungguhan pihak pengurusannya mewujudkan suasana Hari Raya yang menjadi sambutan perayaan yang utama di negara ini?

Rata-ratanya menunjukkan komitmen berdasarkan peruntukan kewangan masing-masing.Ada yang mengambil inisiatif dengan mengadakan persembahan kebudayaan seperti tarian, muzik, dan nyanyian.Hal ini menambahkan lagi suasana ceria sambutan Aidilfitri.

Ironinya, di sebalik pelbagai isu kontroversi cabar mencabar sensitiviti kaum dan agama yang panas selepas Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 yang lalu, aspek persembahan kebudayaan masih dilihat mampu menjadi agen pengikat perpaduan yang utama di negara ini. Masyarakat berbilang kaum yang datang ke pusat membeli-belah sama-sama meraikan sambutan Aidilfitri. Anak-anak kecil dari kaum yang lain diberikan pendedahan oleh ibu bapa masing-masing untuk mengenali budaya kaum Melayu melalui persembahan tersebut. Itu yang tersuratnya.

Namun begitu, kesangsian perpaduan antara kaum terus ditiupkan melalui laman sosial oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.Apatah lagi apabila timbul isu berat sebelah dalam penayangan filem The New Village dan Tanda Putera di pawagam September ini.Sensitiviti agama terus disemarakkan dengan memuat naik video dan kenyatan yang berbaur perkauman dan menyentuh sensitiviti agama. Isu sekolah yang menjadikan bilik persalinan sebagai tempat makan waktu rehat juga terus dimanipulasikan. Ketegasan pihak kerajaan untuk terus melaksanakan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013 – 2025 pada 6 September ini turut dipertikaikan. Atas nama kebebasan bersuara golongan ini seumpama menolak prinsip Rukun Negara yang kedua, iaitu Kesetiaan kepada Raja dan Negara.

Maka suasana masa kini, iaitu yang satu pihak mendukung aspirasi keharmonian melalui kebudayaan, dan yang satu lagi mencetuskan suasana ketidakharmonian, sebenarnya membawa kepada suasana kesangsian dalam masyarakat yang dapat menjadi barah kepada perpaduan yang selama ini kita kecapi.

Selama 50 tahun Malaysia dibentuk, rakyat di negara ini melalui proses integrasi budaya sama ada secara formal di sekolah ataupun tidak formal melalui pembacaan dan program budaya. Bahasa Melayu menjadi aset terpenting wahana komunikasi yang membolehkan kita memahami pelbagai etnik yang terdapat di negara ini.Kemakmuran ekonomi dan kemajuan teknologi pula kita kongsikan bersama-sama walaupun terdapat perbezaan. Atas prinsip keadilan dan Islam yang menaungi Perlembagaan negara ini, kita berjaya membentuk tamadun bangsa yang dipandang tinggi oleh negara lain, sekurang-kurangnya oleh negara membangun.

Pendidikan masih merupakan instrumen terpenting dalam pembudayaan perpaduan rakyat di negara ini. Situasi akan menjadi sukar jika perasaan sangsi ini terus menguasai masyarakat. Kesangsian akan mewujudkan perasaan syak wasangka dan tuduh menuduh tanpa asas yang menghalang pembinaan suasana yang harmoni. Kesangsian hanya dapat dipadamkan dengan manifestasi nilai toleransi yang dipupuk sejak kecil dalam diri individu yang bergelar rakyat Malaysia.

Selamat Ulang Tahun Malaysia Ke-50!

  • Abdul Ghani Abu

    ***

    Rencana ini dipetik dari majalah Dewan Budaya keluaran September 2013.

Posted in: Nota Editor