Home » 2013 » October

HUTAN BATU DAN ETNIK YI DI YUNNAN CHINA

Oleh Wang Jin

Hutan Batu” terletak di wilayah Autonomi Etnik Yi Shilin, bandar Kunming, provinsi Yunnan di kawasan barat daya China. Hutan Batu ini terletak kira-kira 78 kilometer dari pusat bandar Kunming. Keseluruhan keluasan kawasan pelancongan Hutan Batu ini kira-kira 12 kilometer persegi.

Yang menariknya, Hutan Batu ini juga merupakan kawasan kars yang paling besar di China bahkan di dunia. “Hutan Batu Besar” yang terletak di tengah-tengah hutan batu tersebut merupakan kawasan paling bersejarah dan paling istimewa.Hal ini demikian kerana kebanyakan batu di sini berwarna kelabu kebiru-biruan.

Terdapat kisah yang menarik tentang pembentukan Hutan Batu yang tersebar dalam kalangan penduduk tempatan. Kononnya seorang wira etnik Yi yang bernama Jinfen Ruoge hendak membina empangan demi mencegah banjir, maka beliau telah mencuri “papan pengerahan gunung” serta “cambuk pemburuan gunung”.

Pada waktu malam, beliau mengerahkan batu di Lu Liang di kawasan selatan ke Nanpanjiang, Yi Liang di kawasan utara. Walau bagaimanapun, apabila melalui wilayah Shilin, iaitu Hutan Batu, matahari mula terbit dan kokokan ayam jantan yang mempunyai kesaktian telah menjejaskan tindakan wira tersebut.

Oleh sebab itu, semua batu yang dikerahkannya bertimbun di kawasan Hutan Batu lalu terbentuklah Hutan Batu yang menjadi destinasi pelancongan yang terkenal di Yunnan pada masa ini.

Yang sebenarnya pembentukan Hutan Batu ini telah melalui proses pembentukan yang sangat rumit sejak lebih kurang 300 juta tahun. Pakar warisan dunia, Profesor Liang Yongning, berpendapat bahawa pembentukan Hutan Batu boleh dianggap sebagai hikayat geologi dunia.

Menurut Yongning, lebih 270 juta tahun yang lampau, kawasan Hutan Batu merupakan kawasan lautan. Melalui gerakan kerak bumi, kawasan itu menjadi semakin tinggi, maka lautan bertukar menjadi daratan dan tanah datar menjadi gunung.

***

Rencana ini dipetik dari majalah Dewan Budaya keluaran Oktober 2013.

Posted in: Bingkisan CRI

ETNIK DAN SENI KONTEMPORARI

Oleh Amirah Syazwani Baderol Sham

Kraf tangan atau seni kraf acap kali dikaitkan dengan kehalusan dan lambang kesenian sesuatu bangsa.Hal ini demikian kerana pembuatan kraf tangan merupakan hasil peninggalan nenek moyang yang diperturunkan dari satu generasi ke satu generasi sebagai warisan budaya bangsa. Istilah kraf tangan dikatakan berasal daripada bahasa Jerman, kraft, yang bererti kekuatan, keteguhan, dan kecekapan.

Secara umumnya, kraf tangan mempunyai tiga ciri utama, iaitu hasil keluaran, kepercayaan budaya dan agama, serta keperluan tradisional.Ketiga-tiga ciri ini digabungkan untuk mewujudkan satu nilai estetika yang menggunakan tenaga manusia sendiri tanpa alat yang berteknologi tinggi. Biasanya hasil kraf tangan bersifat sederhana dan tidak terlalu kompleks seperti keluaran lain.

Seperti juga negara lain di dunia, Malaysia juga mempunyai kraf tangan tempatan yang boleh dibanggakan bahkan telah wujud sejak berabad lama dahulu. Walaupun sejarah kewujudan dan kesinambungannya tidak dicatat dengan jelas, namun beberapa penemuan menjadi saksi asal usul, sejarah kewujudan, dan budaya kraf tangan Malaysia.Buktinya, pada tahun 1954 satu ekspedisi yang diketuai oleh Dr. G.de.G.Sieveking dari Muzium Kebangsaan Persekutuan telah menemui beberapa peninggalan kraf orang zaman neolitik seperti pisau batu, barangan tembikar berkaki serta serpihan yang jarang-jarang ditemui di bukit kapur Perlis dan Kelantan (Beamish dalam Salsabila Tang Abdullah). Di samping itu, kesedaran manusia Melayu untuk membentuk barang-barang keperluan dikatakan sebagai titik tolak kepada penciptaan awal kraf tangan bagi masyarakat Melayu. Situasi ini dikatakan berlaku kira-kira 2000 hingga 1500 sebelum Masihi.

Menurut William Hunt (1952 dalam Dr. Othman Mohd. Yatim. 1989) dalam bukunya An Introduction to The Malayan Aboriginese menyatakan bahawa budaya kraf dan seni di Malaysia dibawa oleh pendatang keturunan Melayu dari Gugusan Kepulauan Melayu serta pendatang asing dari rantau Asia dengan asimilasi budaya peribumi sedia ada. Manakala, Tony Beamish dalam kajiannya The Art of Malaysia secara sinis menggambarkan bahawa seni kraf tangan di Malaysia pada mulanya dibuat oleh orang Asli dengan menggunakan buluh sebagai bahan. Hal ini disokong dengan kajian oleh Iskandar Carey, bekas Pengarah Hal Ewal Orang Asli Malaya yang mengesahkan bahawa orang Asli sebagai masyarakat peribumi di Tanah Melayu terkenal dengan “Budaya Buluh” mereka.Walau apa-apa pun definisi, sejarah, dan asal-usul kraf tangan Malaysia, keunggulannya merupakan lambang budaya bangsa selain membantu menjana ekonomi Malaysia.

***

Rencana ini dipetik dari majalah Dewan Budaya keluaran Oktober 2013.

Posted in: Fokus

TRADISI LISAN YANG DILUPAKAN

Apabila pulang ke kampung di Jasin, Melaka, aktiviti yang paling menyeronokkan saya ialah duduk bersembang sambil bercerita dengan nenek yang usianya mencecah 90 tahun. Walaupun usianya semakin dimamah usia dan menghadapi masalah fizikal pergerakan, namun syukur kepada Allah SWT kerana daya ingatannya masih kuat.

Saya suka mendengar cerita nenek, pertama cerita susur galur keluarga kami yang bermula di bumi Hang Tuah dan kedua cerita semasa nenek berada di Singapura (pada tahun awal tahun 1950-an Melaka merupakan sebahagian Negeri-Negeri Selat selain Pulau Pinang dan Singapura, dan banyak orang di Melaka yang berhijrah ke Singapura sama ada menjadi anggota pertahanan awam, seperti polis dan tentera laut, atau bekerja sebagai buruh di Pelabuhan Singapura).

Namun begitu, cerita yang memberikan kesan kepada saya ialah cerita nenek semasa Jepun datang menyerang Tanah Melayu pada tahun 1941.Ingatan nenek masih kuat. Orang kampung terpaksa membina lubang di bawah rumah sebagai kubu pertahanan serangan udara, orang Cina menyamar dengan memakai baju orang Melayu untuk menyelamatkan diri daripada dibunuh oleh orang Jepun, dan penderitaan orang kampung mencari makanan serta terpaksa membuat pakaian daripada kain guni yang keras. Yang tidak dapat saya lupakan ialah nenek yang terpaksa mengendong bapa saya dan merayu kepada tentera Jepun agar tidak diapa-apakan bayi yang masih kecil.

Nenek bercerita dengan penuh semangat! Lantas saya persis seperti sedang membuat kajian sejarah. Sumber sejarah itu ada tiga, iaitu sumber pertama melalui rekod, surat dan dokumentasi; sumber kedua melalui penerbitan akhbar, buku, dan makalah; dan sumber ketiga melalui sumber lisan.

Pada zaman moden hari ini, masyarakat kita semakin melupakan tradisi lisan yang selama ini mengangkat dan membentuk peradaban bangsa. Lupakah kita bahawa karya agung seperti Hikayat Hang Tuah, Sejarah Melayu, Sulalatus Salatin, Hikayat Raja Pasai, Hikayat Merong Mahawangsa, Hikayat Raja Ali Haji dan banyak lagi merupakan kegemilangan tradisi lisan bangsa ini yang didokumentasikan.

Agak malang kepada kita, apabila kuasa Barat yang datang ke negara kita menceroboh dan mencuri keintelektualan bangsa. Mereka membawa pulang manuskrip-manuskrip agung khususnya yang bertulisan Jawi ke tempat mereka. Dalam masa yang sama kita dikelirukan dengan kenyataan modenis bahawa keagungan peradaban bangsa seharusnya diukur dengan kajian atau dapatan yang bersifat empirikal. Maka, banyaklah anak-anak muda zaman ini yang tidak mengambil peduli tentang tradisi lisan, lebih malang lagi yang menolak sepenuhnya. Kesannya lahirlah kebimbangan kita hari ini bahawa generasi muda lupa sejarah.

Bersempena dengan sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan pada tahun ini, Dewan Bahasa dan Pustaka menganjurkan Kembara Bahasa 2013 dengan tema “Jelajah Negara, Semarakkan Bahasa”. Bahasa menjadi wahana tradisi lisan yang penting dalam mengungkap akal budi dan ketajaman pemikiran bangsa.Oleh hal itu, dalam mengejar arus kemodenan pupuklah dan semaikanlah semangat mencintai tradisi lisan ini dalam kalangan generasi muda.

Bahasa Jiwa Bangsa

-Abdul Ghani Abu

***

Rencana ini dipetik dari majalah Dewan Budaya keluaran Oktober 2013.

Posted in: Nota Editor