Home » 2013 » November

GUNUNG ARXAN DI WILAYAH AUTONOMI MONGOLIA DALAM

Oleh Wang Jin

Gunung Arxan terletak di bahagian timur Wilayah Autonomi Mongolia Dalam, China. Gunung Arxan yang panjangnya lebih kurang 200 kilometer merupakan bahagian tengah Banjaran Gunung Da Hingganling. Gunung Arxan juga digelar sebagai “Intan Hijau” dalam kawasan pergunungan Da Hingganling.

Gunung Arxan yang terdiri daripada hutan, mata air panas, salji, padang rumput, gunung berapi, sungai, dan tasik memperlihatkan keindahannya yang luar biasa kepada pengunjung yang datang ke sini.

Nama sebenar Gunung Arxan ialah Gunung Halon Arxan. Dalam bahasa Mongol, Halon bermaksud panas, manakala Arxan bermaksud air suci. Maka Gunung Arxan paling terkenal dengan mata air panas dan bukannya nama sesebuah puncak.

Di Gunung Arxan, terdapat 76 buah mata air panas dan keunikan ini jarang-jarang ditemui di tempat lain di dunia. Difahamkan bahawa pada pertengahan Era Senozoik, zon sesar terbentuk di kawasan pergunungan Arxan dan air bawah tanah menyerap ke dalam retakan batu. Melalui pemanasan geoterma dan mineral, maka terbentuklah mata air panas yang mengandungi pelbagai elemen mineral yang berlainan.

Terdapat juga cerita legenda mengenai mata air di Gunung Arxan. Kononnya beberapa ratus tahun yang lampau, seorang maharaja telah menghidap sejenis penyakit yang kritikal. Apabila kerabat diraja sibuk membuat persiapan bagi pengebumian maharaja itu, seorang sami yang berpengetahuan luas memasuki istana dan memberitahu tabib diraja supaya menghantar maharaja itu ke Gunung Arxan untuk dimandikan dalam mata air panas di gunung itu kerana dipercayai air tersebut dapat mengubati penyakit maharaja.

***

Rencana ini dipetik dari majalah Dewan Budaya keluaran November 2013.

Posted in: Bingkisan CRI

GEMA SENI KELANGSUNGAN TRADISI AL-OUD

Oleh Raja Zulkarnain

Dalam bahasa Arab, oud bermaksud ranting, tangkai kayu mudah lentur atau dalam erti kata lain sepotong kayu. Oud merupakan salah satu peralatan muzik klasik yang berasal dari Timur Tengah. Bagi membezakan alat muzik Barbat yang menggunakan kulit pada bahagian muka yang berasal dari Iran, orang-orang Arab mengadaptasikan terma tersebut berdasarkan penggunaan papan kayu bagi alat muzik ciptaan mereka ini.

Pada abad ke-14, Ibnu Khaldun berpendapat bahawa alat muzik barbat telah wujud lebih dahulu daripada oud dan nama barbat merujuk kepada panggilan bagi pemetik oud. Di Nusantara, oud dikenali dengan nama gambus. Ironinya, oud dan gambus merupakan dua peralatan muzik berlainan meskipun cara alat muzik ini dimainkan adalah sama. Di Malaysia, kita mengenali oud sebagai gambus, hakikatnya kedua-duanya merupakan alat muzik yang berbeza.

Kebanyakan Oud di Kepulauan Melayu terdapat di bahagian selatan Semenanjung Malaysia.Di Kepulauan Jawa dan Sumatera pula, oud lebih dikenali sebagai gambus. Di Semenanjung Malaysia, terutamanya di Johor, oud telah dibeza-bezakan dengan dua jenis panggilan iaitu “Gambus Melayu” yang merujuk kepada alat muzik Gambus dari Hadramawt, Yaman dan “Gambus Arab”.

Panggilan “Gambus Melayu” juga dikenali dengan nama-nama lain seperti qupuz, kobuz dan komuz, sementara “Gambus Arab” merujuk kepada alat muzik oud dari negara Timur Tengah. Dipercayai bahawa alat muzik gambus telah digunakan oleh masyarakat Melayu sejak kurun ke-14 terutamanya dalam kumpulan muzik yang mengiringi tarian zapin dan kesatuan muzik ghazal.Di negeri Johor, penggunaan gambus kian berkurangan dengan kedatangan alat muzik oud pada sekitar tahun 1960-an.

Sistem idea, iaitu satu terma akan merujuk semula kepada satu terma yang lain telah menjadikan oud lebih sinonim kepada barbat. Kini, perbezaan antara kayu dengan kulit sudah tidak dikaitkan lagi.Perbahasan menyeluruh ini jelas disebutkan oleh Ibnu Abd Rabbihi, seorang penulis dari Andalusia pada abad ke-10 yang menyatakan bahawa “oud ialah barbat”.

Ilmuwan Islam seperti Ibnu Khaldun dan Ibnu Sina sering membicarakan tentang sifat-sifat oud yang dimuatkan di bawah tajuk barbat. Di Yaman terdapat sebuah alat muzik yang dipanggil gambus yang menghasilkan suara yang mirip kepada oud dari negara Arab yang lain dan menggunakan sistem laras serta tali yang serupa dengan alat muzik oud.

***

Rencana ini dipetik dari majalah Dewan Budaya keluaran November 2013.

Posted in: Fokus

LONJAKAN PELANCONGAN DOMESTIK

Sebanyak RM18.5 juta dicatatkan perolehan daripada jumlah pendapatan inap desa luar bandar di negara ini pada tahun 2012. “Petuanya amat mudah untuk menarik kunjungan kali kedua, ketiga, dan seterusnya pelancong asing untuk menikmati keindahan alam, budaya, dan cara hidup masyarakat desa negara ini, iaitu sambutlah mereka dengan senyuman dan tangisi kepulangan mereka ke negara asal,” demikian ujar Profesor Dr. Amran Hamzah, Profesor Perancangan Pelancongan yang juga merupakan Pengarah Pusat Inovatif Perancangan dan Pembangunan, Universiti Teknologi Malaysia semasa membentangkan kertas kerja bertajuk, “Meningkatkan Skala Keuntungan dan Kelainan Inap Desa”, semasa Persidangan Pelancongan Sedunia 2013 di Melaka bulan lalu.

Jumlah penduduk dunia dijangka meningkat daripada 7.1 bilion pada tahun 2012 kepada 8.3 bilion pada tahun 2030. Peningkatan ini juga mendorong lonjakan kehadiran pelancong dunia ke wilayah Asia Pasifik, iaitu sebanyak 330 juta orang pada tahun 2010 kepada 535 juta orang pada tahun 2030. Peluang ini perlu disambut serius oleh pengusaha industri pelancongan tempatan dalam mempromosikan produk pelancongan negara.

Menjelang tahun 2020, industri pelancongan negara dijangka memperoleh pendapatan RM67 juta setahun dengan membuka lebih 500 000 peluang pekerjaan di pelbagai sektor, seperti pengangkutan, perhotelan, penyediaan makanan, agensi pelancongan, dan pemandu pelancong.

Korea Selatan merupakan rakan negara Asia yang proaktif membangunkan industri pelancongan negara itu dengan jenama produk “Gelombang Hallyu”. Menurut Presiden Pertubuhan Pelancongan Korea, Charm Lee (beliau berasal dari Jerman, dan telah lebih 30 tahun menetap dan menjadi warganegara Korea Selatan), jumlah pelancong ke Korea Selatan meningkat daripada 6.8 juta orang pada tahun 2008 kepada 12 juta pada tahun 2013. Unjuran hasil pendapatan pula terus dijangka meningkat, iaitu daripada AS$18.1 bilion pada tahun 2013 kepada AS$52.1 bilion pada tahun 2020.

Peningkatan drastik ini hasil daripada pembangunan pakej jenama produk Hallyu, iaitu fenomena budaya popular Korea Selatan di seluruh dunia, seperti drama, K-Pop, dan filem. Penyebaran budaya popular ini sebenarnya membawa industri hiliran yang lain, seperti fesyen, perubatan, pelancongan, makanan, hiburan, dan peranti elektronik. Sasaran pelancongnya pula lebih 90 peratus kepada golongan wanita, dan 10 peratus lelaki yang meliputi usia antara 20-an hingga 30-an. Golongan ini disasarkan akan menjadi bukan sahaja pelancongan semasa tetapi pelancong masa hadapan yang akan kembali melancong ke Korea Selatan.

Jelasnya, strategi pemasaran produk pelancongan ini berjaya mengeksport budaya Korea Selatan ke seluruh dunia, menyebarkan nilai dan sensitiviti Asia, dan meningkatkan imej negara Korea Selatan di persada antarabangsa.

Sejauh manakah pula negara ini bersedia membangunkan jenama produk pelancongan sementelahan kita mempunyai kepelbagaian budaya dan kepelbagaian biodiversiti? Apakah pula ciri utama kebudayaan yang akan kita tonjolkan kepada pelancong asing? Dan, apakah kita bersedia membangunkan jenama produk budaya kita secara berpakej seperti yang dilakukan oleh negara Korea Selatan? Semua itu akan terjawab dalam Tahun Melawat Malaysia 2014 dengan tema “Meraikan 1Malaysia…Asia Sebenar”.

Melancong Luas Pandangan

- Abdul Ghani Abu

Rencana ini dipetik dari majalah Dewan Budaya keluaran November 2013.

Posted in: Nota Editor