Home » 2013 » December

KEMANUSIAAN DAN PENGIKTIRAFAN

Angka rasmi kematian akibat taufan Haiyan yang membadai wilayah tengah Filipina bulan lalu dianggarkan lebih 10 000 orang. Taufan selaju 315 kilometer per jam ini menjejaskan kehidupan lebih 11.3 juta penduduk di sembilan wilayah, dianggarkan 150 000 rumah rosak, dan 670 000 orang penduduk terpaksa dipindahkan.

Yang lebih malang, lapan orang penduduk tempatan maut akibat bersesak-sesak apabila ribuan penduduk menyerbu gudang kerajaan yang menyimpan beras. Sebanyak 33 000 guni beras yang setiap satunya seberat 50 kilogram dibawa lari oleh penduduk. Tindakan ini merupakan kemuncak desakan hidup setelah enam hari mereka terputus bekalan elektrik dan talian telefon, serta tidak mendapat rawatan perubatan.

Malaysia serta-merta menghantar pasukan perubatan dan bantuan kemanusiaan, serta meluluskan bantuan kewangan sebanyak RM3 juta bagi membantu mangsa taufan Haiyan. Beginilah cara Malaysia yang terus dipandang tinggi oleh masyarakat antarabangsa yang tidak mengenal sempadan agama dan ras dalam memberikan bantuan kemanusiaan. Bantuan Malaysia bukan sahaja dalam misi kemanusiaan, tetapi juga dalam misi keamanan, bantuan pendidikan, dan bantuan teknikal kepada negara-negara membangun.

Ketika makalah ini ditulis, salah satu Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) yang sinonim dengan misi bantuan kemanusiaan, Mercy Malaysia, dinobatkan sebagai penerima Anugerah Inovasi Perdana Menteri (AIPM) 2013. Penganugerahan ini mengiktiraf sumbangan Mercy Malaysia dalam memberikan bantuan perubatan dan kemanusiaan di lebih 19 buah negara dunia.

Sewaktu bencana Tsunami melanda Acheh pada Disember 2004, Mercy Malaysia adalah antara pasukan misi kemanusiaan yang paling awal tiba. Nama Mercy juga terpahat sebagai salah satu NGO antarabangsa yang membantu mangsa konflik peperangan di Iraq dan konflik kemanusiaan di Palestin. Malah, Mercy membantu mangsa konflik politik di Somalia. Banyak lagi kejayaan Mercy yang tidak dicatatkan di sini.

Secara tidak langsung, kejayaan Mercy ini sudah pasti dimangkinkan oleh budaya kerja berpasukan yang teratur dan terancang. Sikap baik hati rakyat Malaysia bukan sahaja dibuktikan oleh Mercy Malaysia melalui kata-kata, tetapi juga kerangka kerja yang sistematik dalam menjalankan misi kemanusiaannya. Kalau tidak, masakan Mercy mendapat pengiktirafan APIM 2013.

Pengiktirafan ini membawa mesej bahawa budaya berinovasi bukan sahaja disemai dalam institusi atau agensi kerajaan mahupun swasta, tetapi juga meluas dan terangkum dalam aktiviti kemasyarakatan. Asasnya ialah kesediaan dan kemahuan bersama setiap ahli dalam organisasi untuk berubah dan berdaya saing. Hal ini melibatkan pemupukan sikap dan nilai yang menjadi amalan seharian yang akhirnya mewujudkan budaya kerja yang cemerlang.

Budaya kerja yang cemerlang dalam kalangan rakyat Malaysia akan terus memacu kejayaan ekonomi negara pada masa hadapan. Kreatif dan inovatif akan menjadi teras sistem pendidikan bagi melahirkan generasi muda yang mampu bersaing pada tahap antarabangsa.

Budaya kecemerlangan ini akan menjadi tonggak kejayaan Malaysia dalam melaksanakan misi bantuan kemanusiaan dan misi pengaman. Pengiktirafan yang diberikan menjadi penanda aras dan lonjakan semangat untuk terus mengharumkan nama negara.

Hulurkan Tangan Ringankan Beban

– Abdul Ghani Abu

Rencana ini dipetik dari majalah Dewan Budaya Disember 2013.

Posted in: Nota Editor

HUTAN DARA SHENNONGJIA CHINA

Di Provinsi Hubei, kawasan tengah China, terdapat hutan dara Shennongjia. Oleh sebab terasing daripada gangguan aktiviti manusia, sistem ekologi di hutan ini dipelihara dengan baik. Shennongjia digelar sebagai salah sebuah pusat sumber flora dan fauna yang penting di China.

Nama hutan dara Shennongjia berasal daripada legenda pada zaman purbakala. Kononnya, pada zaman masyarakat primitif, manusia terperangkap dalam kesengsaraan wabak dan kelaparan. Shen Nong yang juga dikenali sebagai Raja Merah atau Yandi telah mencuba ribuan jenis herba untuk mencari ubat demi menyelamatkan rakyatnya. Apabila baginda tiba di kawasan hutan di provinsi Hubei (pada masa kini), perjalanan baginda telah terhalang oleh gunung dan cenuram yang terjal. Maka Shen Nong telah membina 36 buah tangga dan berjaya sampai puncak gunung. Oleh yang demikian, hutan ini dinamakan Shennongjia.

Monyet berbulu emas merupakan salah satu binatang perlindungan negara. Di hutan dara Shennongjia yang berkeluasan lebih 3000 kilometer persegi ini, terdapat lebih 4700 jenis flora dan fauna. Antaranya termasuklah lebih 60 jenis binatang perlindungan negara. Oleh hal yang demikian, tidak hairanlah Shennongjia digelar sebagai pusat sumber flora dan fauna di China.

Sejak tahun 1970-an, pokok-pokok di hutan dara Shennongjia banyak ditebang dan persekitaran hidup sistem binatang liar di sini turut terjejas. Kerajaan China telah memberikan perhatian terhadap ancaman sistem ekologi di sini. Pada bulan Mac tahun 2000, China mula melaksanakan rancangan perlindungan hutan dara Shennongjia dan melarang sebarang kegiatan penebangan pokok. Melalui perlindungan yang rapi selama lebih sepuluh tahun, kadar litupan hutan di Shennongjia mencatat 88 peratus dan kadar litupan hutan di kawasan pusatnya mencatat lebih 96 peratus. Pemuliharaan sistem ekologi di Shennongjia telah menyediakan persekitaran yang baik kepada binatang dan tumbuh-tumbuhan liar.

***

Rencana ini dipetik dari majalah Dewan Budaya keluaran Disember 2013.

Posted in: Bingkisan CRI

PEMBANGUNAN PRODUK PELANCONGAN: KHAZANAH ALAM SEMULA JADI

Sektor pelancongan telah berkembang pesat di seluruh dunia semenjak enam dekad yang lalu. Sebagai sektor global, masing-masing negara bersaing secara kompetitif mempromosikan produk pelancongan mereka sama ada destinasi pelancongan yang menarik, pusat membeli-belah, produk budaya yang mempunyai kelainan, program mega bertaraf antarabangsa seperti perlawanan bola sepak, sukan olahraga, dan sukan permotoran, atau pun penerokaan khazanah alam semula jadi.

Pada tahun 1950, hanya terdapat kira-kira 24 juta orang pelancong yang merentas benua. Pada tahun 2012, sektor pelancongan terus mencatatkan jumlah pelancong yang tinggi. Sejumlah 350 orang juta orang pelancong merentas benua dan akan mencecah 1.8 bilion pada tahun 2030!

Bagi Malaysia, tarikan utama pelancong sudah pastilah kekayaan khazanah alam semula jadinya selain destinasi membeli-belah dan kepelbagaian budaya yang terdapat di negara ini. Dalam perkembangan sektor pelancongan dunia yang terus digerakkan dengan kemajuan teknologi maklumat dan komunikasi, maklumat tentang tempat menarik untuk dikunjungi kini di hujung jari. Para pelancong luar negara mempunyai banyak pilihan destinasi dunia untuk dilawati. Dalam hal ini sudah pasti unsur kelainan dan pengalaman melancong yang berbaloi dengan wang yang dilaburkan menjadi pilihan pelancong.

Program inap desa yang merupakan sebahagian daripada konsep Pelancongan Berasaskan Masyarakat adalah antara wadah pelancongan yang kian mendapat perhatian pelancong asing. Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan mentakrifkan inap desa sebagai pelancong tinggal dengan keluarga angkat dan mengalami pengalaman kehidupan seharian bersama-sama dengan mereka, sama ada secara langsung atau tidak langsung. Ringkasnya, inap desa menyediakan pakej lawatan ekopelancongan dan kawasan tarikan kepada pelancong yang pada masa yang sama menjadi alat kemajuan pembangunan desa.

Inap desa memberikan banyak keuntungan, antaranya termasuklah memberikan peluang pekerjaan, memberikan pendapatan tambahan, mengukuhkan struktur organisasi sosial desa, memulihara warisan budaya, dan melindungi sumber tempatan.

Pada tahun 2012, sebanyak RM18.5 juta dicatatkan sebagai hasil jumlah pendapatan inap desa luar bandar di negara ini, iaitu peningkatan 17.9 peratus berbanding dengan tahun 2011. Manakala daripada 325 258 orang pengunjung inap desa, 20.4 peratus terdiri daripada pelancong luar negara.

Posted in: Fokus

KEMANUSIAAN DAN PENGIKTIRAFAN

Angka rasmi kematian akibat taufan Haiyan yang membadai wilayah tengah Filipina bulan lalu dianggarkan lebih 10 000 orang. Taufan selaju 315 kilometer per jam ini menjejaskan kehidupan lebih 11.3 juta penduduk di sembilan wilayah, dianggarkan 150 000 rumah rosak, dan 670 000 orang penduduk terpaksa dipindahkan.

Yang lebih malang, lapan orang penduduk tempatan maut akibat bersesak-sesak apabila ribuan penduduk menyerbu gudang kerajaan yang menyimpan beras. Sebanyak 33 000 guni beras yang setiap satunya seberat 50 kilogram dibawa lari oleh penduduk. Tindakan ini merupakan kemuncak desakan hidup setelah enam hari mereka terputus bekalan elektrik dan talian telefon, serta tidak mendapat rawatan perubatan.

Malaysia serta-merta menghantar pasukan perubatan dan bantuan kemanusiaan, serta meluluskan bantuan kewangan sebanyak RM3 juta bagi membantu mangsa taufan Haiyan. Beginilah cara Malaysia yang terus dipandang tinggi oleh masyarakat antarabangsa yang tidak mengenal sempadan agama dan ras dalam memberikan bantuan kemanusiaan. Bantuan Malaysia bukan sahaja dalam misi kemanusiaan, tetapi juga dalam misi keamanan, bantuan pendidikan, dan bantuan teknikal kepada negara-negara membangun.

Ketika makalah ini ditulis, salah satu Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) yang sinonim dengan misi bantuan kemanusiaan, Mercy Malaysia, dinobatkan sebagai penerima Anugerah Inovasi Perdana Menteri (AIPM) 2013. Penganugerahan ini mengiktiraf sumbangan Mercy Malaysia dalam memberikan bantuan perubatan dan kemanusiaan di lebih 19 buah negara dunia.

Sewaktu bencana Tsunami melanda Acheh pada Disember 2004, Mercy Malaysia adalah antara pasukan misi kemanusiaan yang paling awal tiba. Nama Mercy juga terpahat sebagai salah satu NGO antarabangsa yang membantu mangsa konflik peperangan di Iraq dan konflik kemanusiaan di Palestin. Malah, Mercy membantu mangsa konflik politik di Somalia. Banyak lagi kejayaan Mercy yang tidak dicatatkan di sini.

Secara tidak langsung, kejayaan Mercy ini sudah pasti dimangkinkan oleh budaya kerja berpasukan yang teratur dan terancang. Sikap baik hati rakyat Malaysia bukan sahaja dibuktikan oleh Mercy Malaysia melalui kata-kata, tetapi juga kerangka kerja yang sistematik dalam menjalankan misi kemanusiaannya. Kalau tidak, masakan Mercy mendapat pengiktirafan APIM 2013.

Pengiktirafan ini membawa mesej bahawa budaya berinovasi bukan sahaja disemai dalam institusi atau agensi kerajaan mahupun swasta, tetapi juga meluas dan terangkum dalam aktiviti kemasyarakatan. Asasnya ialah kesediaan dan kemahuan bersama setiap ahli dalam organisasi untuk berubah dan berdaya saing. Hal ini melibatkan pemupukan sikap dan nilai yang menjadi amalan seharian yang akhirnya mewujudkan budaya kerja yang cemerlang.

Budaya kerja yang cemerlang dalam kalangan rakyat Malaysia akan terus memacu kejayaan ekonomi negara pada masa hadapan. Kreatif dan inovatif akan menjadi teras sistem pendidikan bagi melahirkan generasi muda yang mampu bersaing pada tahap antarabangsa.

Budaya kecemerlangan ini akan menjadi tonggak kejayaan Malaysia dalam melaksanakan misi bantuan kemanusiaan dan misi pengaman. Pengiktirafan yang diberikan menjadi penanda aras dan lonjakan semangat untuk terus mengharumkan nama negara.

Hulurkan Tangan Ringankan Beban

Abdul Ghani Abu

Rencana ini dipetik dari majalah Dewan Budaya Disember 2012.

Posted in: Nota Editor