Home » 2014

Pokok Tuba Menghalau Kejahatan

Oleh: Jasman Bandar

Pengaruh sekitaran memberikan sumbangan kepada lahirnya perubatan tradisional yang mempunyai unsur spiritual dalam proses penyembuhan penyakit. Penelitian yang dilakukan oleh penulis mendapati bahawa terdapat unsur natural dan ghaib (supernatural) dalam tradisi perubatan orang Bajau Kota Marudu. Unsur natural dalam tumbuhtumbuhan itu dikaitkan dengan sesuatu yang bersifat praktikal yang dapat dilihat dengan mata kasar dan dapat ditanggapi oleh akal fikiran. Sebagai contohnya, penggunaan akar, daun, buah, kulit, dan batang bunga yang terdapat dalam spesies tumbuhan tertentu digunakan dalam tradisi perubatan dan penyembuhan penyakit orang Bajau Kota Marudu.

Unsur ghaib diperlihatkan melalui adanya kepercayaan yang meyakini bahawa proses penyembuhan penyakit mempunyai kaitan dengan pertolongan “semangat alap” (semangat baik) yang mendiami tumbuh-tumbuhan tersebut. Pertolongan itu membantu usaha memberikan penyembuhan, perlindungan dan keselamatan. Jika dilihat daripada konteks tradisi lisan, setiap tumbuhan yang digunakan dalam tradisi perubatan orang Bajau Kota Marudu mempunyai cerita lisan yang tersendiri.

Dalam penulisan ini, penyelidik memperincikan penggunaan pokok tuba dalam tradisi perubatan dan penyembuhan penyakit orang Bajau Kota Marudu. Hal ini disokong oleh wujudnya kepercayaan orang Bajau Kota Marudu bahawa Nabi Alias merupakan ketua dan penjaga segala tumbuhan di muka bumi ini. Oleh itu, tidak hairanlah jika tumbuh-tumbuhan ini dikaitkan dengan perubatan yang bersifat spiritual yang menggunakan unsur ghaib daripada tumbuh-tumbuhan untuk perubatan, perlindungan dan keselamatan.

Dalam tradisi lisan, orang Bajau Kota Marudu percaya bahawa pokok tuba mempunyai cerita yang tersendiri tentang kewujudan dan kekuatan semangat ghaib yang dimiliki oleh tumbuh-tumbuhan ini. Pada zaman dahulu, aktiviti berburu selalu dilakukan oleh orang Bajau Kota Marudu meskipun mereka terkenal dengan kehebatan beraksi sebagai nelayan di laut. Semasa berburu, mereka sering bertemu dengan pelbagai jenis tumbuhan yang mempunyai keunikan dan kegunaan yang tersendiri.

Apabila tiba di sungai, mereka berehat sambil makan dan minum sementara menunggu hasil buruan mereka, iaitu kijang atau pelanduk. Dalam waktu menunggu jerat mereka mengena haiwan tersebut, mereka singgah sebentar di tepi sungai untuk berehat setelah melalui perjalanan yang jauh dari kampung untuk masuk ke hutan.

Artikel ini dipetik dari majalah Dewan Budaya keluaran Disember 2014.

Posted in: Tradisi

Pasar Nostalgia

Oleh Muhamad Rafiq Abdul Rahman

RM80 ribu! Itu nilai harga yang diletakkan untuk sekeping duit syiling negara ini keluaran tahun 1969 yang dijual kepada seorang pengumpul barangan lama di Singapura. Bagi orang biasa, harga itu mungkin tidak masuk akal. Sudahlah mahal, dijual pula di tempat yang tidak langsung difikirkan oleh akal akan harganya. Mungkin bagi orang biasa, memang hal ini dikatakan tidak berbaloi! Namun demikian, bagi penggemarnya, itulah nilai yang sewajarnya diletakkan berdasarkan nilai dan kenadiran barang tersebut.

Pasar karat, kedai antik, kedai barangan terpakai, atau apa-apa pun nama yang diberikan, hal ini merujuk penjualan barangan yang dapat dikategorikan kepada dua, iaitu barangan antik dan barangan terpakai yang dijual pada harga yang cukup berbaloi. Yang menariknya, pasar ini menjanjikan 1000 kelainan kepada pengunjungnya. Hal ini dikatakan demikian kerana disinilah barangan yang sukar dicari dan jarang-jarang ditemui pasti dijumpai.

Di Malaysia, pasar karat sudah bertapak sejak sekian lamanya, kira-kira pada permulaan era 80-an. Walaupun begitu, perjalanan pasar ini kurang mendapat sambutan daripada masyarakat tempatan kerana sikap tipikal yang mengatakan bahawa pasar karat ialah lokasi yang menjual barang yang kurang standard dan terpakai, malah lebih buruk, dikatakan sebagai lokasi yang menjual barang curi.

Namun begitu, senario itu kian berubah. Akhir-akhir ini, pasar karat sudah mendapat tempat di hati pengunjung kerana kelainan yang dibawanya. Yang paling mengujakan, jika dikunjungi tempat penjualan barang antik dan barang terpakai ini, majoriti pengunjungnya golongan muda.

Penulis teringat ketika belajar di Ipoh sekitar tahun 2002 hingga 2005. Setiap hujung minggu, di tepi sungai berhampiran dengan Masjid Negeri, seawal pukul 7.00 pagi, sudah kelihatan deretan kereta di tepi jalan raya. Suasananya memang riuh dengan gelagat penjual pasar karat mencari pembeli. Bermacam-macam peralatan yang tidak pernah dilihat ada terjual di situ. Oleh itu, banyak orang yang mengatakan bahawa pasar ini unik dan ada keistimewaannya berbanding dengan pasar lain.

Baru-baru ini, penulis berkesempatan ke Melaka, Muar, dan Rengit yang dikatakan sebagai sebahagian daripada sarang utama pasar karat di negara ini. Di Melaka, penulis bertemu dengan seorang pakar yang mampu menilai barang antik sehingga dirinya memiliki sebuah kedai di Jalan Laksamana.

Azilan, 54 tahun, merupakan peniaga, pengumpul, dan pakar barang antik. Azilan, yang lebih mesra disapa dengan panggilan Allen oleh rakan dan pengumpul barang antik, sudah mempunyai pengalaman berniaga lebih daripada 20 tahun. Namun demikian, minatnya terhadap barang antik, terutama duit, mula menapak dalam diri sejak tahun 2008.

“Abang mula berniaga sejak tahun 1989. Ketika itu, berniaga kecil-kecilan sahaja. Lebih kepada barangan kraf tangan,” jelas Allen yang dilahirkan dan dibesarkan di Singapura. Jelasnya, minatnya terhadap barang antik ini bermula dengan mengumpul duit.

Pelbagai jenis duit daripada kesultanan Melayu Melaka hinggalah kini menjadi koleksi peribadinya. “Menjadi orang yang pakar dalam menilai duit bukanlah senang. Abang berjumpa dengan bermacam-macam orang dan mempelajari hal itu daripada mereka,” jelas Allen yang ditemui di kedainya, Laksamana Souvenir & Antique. Baginya, memiliki barang lama ini merupakan kepuasan yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Barang antik ini sesuatu yang lain daripada yang lain serta tidak makan dek zaman kerana lagi lama zaman itu berlalu, lagi bernilai tinggi sesuatu barang tersebut.

Artikel ini dipetik dari majalah Dewan Budaya keluaran Disember 2014.

Posted in: Uncategorized

Karat Bernilai dan Berharga

Daripada buku yang diterbitkan pada tahun 1877 yang bernilai RM2500 kepada setem Malaysia terpakai terkini yang dijual dengan harga 20 sen – itulah antara barang yang dapat diperoleh di pasar lambak Amcorp Mall, Petaling Jaya. Yang lebih menarik lagi, tempat duduk basikal turut dijual! Kadang-kadang agak sukar untuk dibayangkan pembelinya, apatah lagi tujuan tempat duduk basikal itu dibeli. Tentu sekali tempat duduk itu dibeli bukan sebagai pengganti tempat duduk yang rosak kerana kini tidak banyak orang yang menggunakan basikal, malah basikal hitam yang demikian sudah tiada dalam pasaran.

Itulah warna-warni pasar lambak Amcorp Mall dan barang kali juga pasar yang sedemikian di tempat lain. Pasar lambak Amcorp Mall hanya diadakan pada hari Ahad. Mungkin oleh sebab hanya beroperasi sehari, sambutan peminatnya begitu hebat, bukan sahaja daripada rakyat negara ini, bahkan masyarakat luar negara juga. Peminatnya pasti bukan sembarangan orang oleh sebab minat sahaja tidak cukup, malah poket mesti “berisi” kerana harga barang yang di luar jangkauan “orang biasa”. Begitu juga dengan peniaganya, yang bukan hanya rakyat Malaysia, bahkan kelihatan juga orang Arab.

Yang dapat diperhatikan dan disimpulkan ialah bahawa pasar lambak itu terbahagi kepada tiga kategori. Pasar karat menjual barang antik atau lama atau nadir yang dibeli oleh kalangan tertentu untuk dijadikan sebagai koleksi peribadi. Pasar terpakai pula menjual barang terpakai pada harga yang lebih murah, tetapi dicari oleh orang tertentu kerana masih dapat digunakan. Di pasar murah, barang dapat diperoleh pada harga yang lebih murah daripada harga pasaran semasa.

Bagi sesetengah barang, semakin lama usianya semakin tinggi nilainya. Buku yang bernilai RM2500 itu, jika disimpan untuk beberapa tahun lagi, pasti meningkat nilainya dan tentu juga harganya. The Malay Achipelago: The Land of Orang Utan dan the Bird of Paradise hanya diketahui dan dicari oleh kalangan tertentu. Setem Malaysia terpakai terkini, yang sekarang dijual dengan harga 20 sen sahaja sekeping, pasti akan berubah nilai dan harganya pada tahun 2034, sebagai contoh. Begitu juga dengan buku dan majalah DBP.

Kini beberapa buah Bandar mempunyai pasar karatnya. Melaka, Ipoh, Muar, dan Rengit sudah mempunyai pasar karat selain Petaling Jaya. Dari satu segi, pasar karat dapat dijadikan sebagai tarikan pelancongan, baik dalam mahupun luar negara. Dari segi yang lain, pasar karat mampu menjanakan ekonomi setempat kerana bersama-samanya, biasanya ada pasar terpakai dan pasar murah. Perancangan rapi dan bersepadu, yang melibatkan pelbagai pihak, termasuk pihak berkuasa tempatan, pusat pelancongan setempat dan peniaga, mampu merealisasikan hal ini.

*****

Daripada-Nya kita datang, kepada-Nya kita pulang. Sidang editor dan warga kerja Dewan Budaya merakamkan ucapan terima kasih kepada tiga orang insan yang telah memberikan sumbangan kepada agama, bangsa, dan negara dalam bidang masing-masing dengan cara mereka sendiri semasa hayat dikandung badan. Mereka ialah penggiat budaya Prof. Emeritus Tan Sri Ismail Hussein, pengarah filem Datuk Jamil Sulong, dan penulis dan penggiat teater Ali Jusoh. Pemergian mereka akan tetap dirasai, tetapi perjuangan mereka akan tetap diteruskan oleh mereka yang tinggal. Marilah kita berdoa agar roh mereka ditempatkan dalam kalangan orang beriman.

Armin Azhari Saleh

Artikel ini dipetik dari majalah Dewan Budaya keluaran Disember 2014.

Posted in: Nota Editor

MOHD. SHAIMY HASHIM: SUREALIS 1981-2014

Oleh: Faizal Sidek

Dilahirkan di Panchur, Pekan, Pahang, pada 61 tahun dahulu, nama Mohd. Shaimy Hashim bukanlah asing kepada dunia seni lukis di negeri itu, malah di Pantai Timur amnya. Mohd. Shaimy, yang telah berkarier selama lebih daripada 40 tahun, bukan sahaja artis beraliran surealisme, malah pentadbir persatuan seni yang disegani. Pengerusi Senika (Persatuan Seni Lukis dan Seni Reka Pahang) dan GAP (Gabungan Persatuan Pelukis Malaysia) ini hadir ke pameran solo kedua yang bertajuk “Mohd. Shaimy Hashim: Surealis 1981-2014”. Pameran ini menghimpunkan lebih daripada 30 karya sureal yang terpilih sepanjang kariernya.

Saya mula mengenali Mohd. Shaimy ketika diundang oleh Senika untuk mewakili kurator Balai Seni Visual Negara ke majlis pengkisahan 25 Tahun Senika di Kuantan tiga tahun yang lalu. Bersama-sama budayawan Dato’ Arifin Said dan Setiausaha SENIKA, Hasnah Yusof, saya membentangkan kertas kerja yang bertajuk “Pengkaryaan Pelukis Pahang dalam Koleksi Balai Seni Visual Negara”. Penulisan dan ulasan mengenai majlis pengkisahan ini diterbitkan dalam Senikini keluaran 19; saya juga sidang editorialnya. Pengkisahan saya dalam penulisan itu seputar mengenai bidang pengkoleksian amalan Balai Seni Visual Negara. Saya turut menyentuh perihal landskap seni lukis di Pantai Timur secara sepintas lalu dengan memberikan penekanan kepada pelukis Pahang dalam pengkoleksian Balai Seni Visual Negara.

Oleh sebab pada ketika itu saya kurator di Bahagian Koleksi, penyelidikan dan penulisan saya banyak menjurus kepada karya koleksi yang disimpan di Balai Seni Visual Negara sendiri, yang diterbitkan bukan sahaja dalam majalah terbitannya, malah dalam Dewan Budaya dan katalog pameran galeri swasta. Pada masa yang sama, saya menyatakan bahawa banyak lagi perkara yang dapat dikongsi dengan masyarakat melalui lebih daripada 4000 karya yang disimpan untuk dijadikan sebagai Khazanah Koleksi Negara, termasuklah pelukis dari Pahang yang merupakan kurang daripada 10 peratus daripada keseluruhan perolehan. Nama pelukis yang berasal Pahang, seperti Redza Piyadasa, yang merupakan guru saya sendiri, dapat dijadikan sebagai inspirasi oleh pelukis muda yang dilahirkan daripada produk institusi seni di sini, seperti Kolej Shahputra dan Institut Iktisas Negeri Pahang (IKIP).

Sungguhpun Piyadasa dapat dikatakan sebagai generasi pertama dari Pahang yang menerima formalisme dari Barat, lahir juga daripada generasi yang terkemudian yang menerima pendidikan tempatan hasil daripada kepulangan mereka yang belajar di luar Pantai Timur. Seorang daripada mereka ialah Mohd. Shaimy Hashim yang pernah melanjutkan pelajarannya di Pusat Seni, Universiti Sains Malaysia. Mohd. Shaimy telah bermula awal daripada itu pada sekitar tahun 1970-an dengan berkarya sendiri di sekitar Kuantan dan seterusnya menubuhkan Senika yang mewakili suara pelukis Pahang dan Pantai Timur umumnya.

Mohd. Shaimy bertugas sebagai guru di sekolah swasta di beberapa buah negeri di Pantai Timur. Pengkaryaan awalnya dapat dikatakan sebagai rakaman atau rekod masa terhadap sesuatu persekitaran dan kadangkala menerima komisen atau aktiviti berkumpulan untuk membuat lukisan potret di tempat awam. Namun begitu, setelah menamatkan kursus jangka pendek di Pusat Seni, terdapat kecenderungan dalam pengkaryaan Mohd. Shaimy pada masa itu yang mula memikirkan idea, metafora, simbolisme, subjek perlambangan yang konsisten, dan kandungan walaupun sebelum ini dia telah mahir dengan aspek kemahiran “membuat” lukisan.

Perkara ini pada dilihat pada awal tahun 1980-an apabila terdapat pengaruh pelukis aliran sureal dalam pengkaryaannya. Saya memberikan tajuk pameran ini sebagai “Mohd. Shaimy Hashim: Sureal 1981 hingga 2014” kerana tinjauan selama tiga dekad pelukis ini yang menghabiskan masa di ruang alam bawah sedar, alam mimpi, separuh sedar dan alam fantasi. Dalam istilah tempatan, mereka suka menyebut orang yang hidup atau masuk ke dalam “alam bunian”. Masuk ke alam bunian bukanlah bermaksud secara langsung berinteraksi dengan orang bunian, tetapi sebagai rakaman bentuk dan dokumentasi masa.

Ahli psikiatri, Sigmund Freud, dan rakannya,Carl Jung, merupakan dua orang doktor psikologi yang memperkenalkan cara rawatan dan penyembuhan oleh pesakit mereka secara klinikal yang dikenali sebagai psikoanalisis. Teori mereka berdua digunakan dan dikembangkan dalam bidang kesenian yang lain, terutama seni lukis. Nama artis surealis Barat, seperti Salvador Dali, Rene Magritte dan Sergei Apirin, bukan asing dalam perbendaharaan kata karya Mohd. Shaimy.

Satu daripada perbezaan ketara yang dapat dilihat secara sedar kelainan karya Mohd. Shaimy dengan artis tempatan yang juga sebelumnya sezaman dengannya, seperti Zulkifli Dahlan, Ali Mabuha atau Ali Rahmat dan Othman Mansor, ialah elemen patriotisme dan politik yang menyegarkan ingatan kita terhadap sesuatu isu untuk dijadikan sebagai peringatan. Dalam menelusuri pengkaryaan Mohd. Shaimy, saya dapat membahagikannya kepada tiga peringkat perjalanan, iaitu sureal pada sekitar tahun 1980-an, sekitar tahun 2000, dan ketiga karya yang dihasilkan dari tahun 2010 hingga kini.

Permulaan awal Mohd. Shaimy dalam aliran ini dapat dilihat menerusi karya siri mimpi dan pintu gerbang, seperti Sarapan Pagi (1982), Mimpi I 1982, dan Mimpi III (Gerbang di Jurang) (1986), serta karya lain, seperti Telur di Hujung Tanduk (1986) dan Khutbah (1989). Satu keunikan yang terdapat dalam karya Mohd. Shaimy yang mungkin tidak terdapat dalam kalangan pelukis lain, terutama artis yang berpangkalan di Lembah Klang, ialah lokasi. Topografi persekitaran ciri maritim di Pantai Timur amat kuat terdapat dalam karya Mohd. Shaimy – pengalaman berstudio penghasilan karyanya di pesisir Laut China Selatan, sama ada di Kelantan, Terengganu ataupun Pahang. Perihal ini dapat dilihat pada kebanyakan karya surealnya yang berlatarbelakangkan laut, pesisir pantai, ombak, teluk dan tanjung, seperti Gerbang di Tebing Juram (1989), Sunami I (2004) dan Sunami 2 (2004). Tidak menghairankan apabila logo Galeri Pantai Timur, tempat pameran ini dilangsungkan, mengambil lukisan ombak, seperti karya cetakan kayu The Great Wave (1829-32) oleh Katsushika Hokusai.

Artikel ini dipetik dari majalah Dewan Budaya keluaran November 2014.

Posted in: Uncategorized

PEMUZIK ATAU PENGEMIS JALANAN?

Oleh: Muhamad Rafiq Abdul Rahman

Suasana di KL Sentral pada tengah hari itu cukup bising dan pelbagai ragam. Mana tidaknya, masa bagi penduduk kota metropolitan ini cukup penting. Masa tidak akan berputar kembali ke masa silam, malah terus-menerus ke hadapan. Lebih-lebih lagi, masa sejam yang diperuntukkan oleh majikan untuk berehat digunakan dengan sebaik-baik mungkin oleh pekerja di sekitarnya untuk mencari menu bagi memenuhkan perut sebelum memerah kembali tenaga dan fikiran untuk bekerja. Ada juga yang datang ke situ semata-mata untuk melakukan transit kerana di situlah pusat transit bagi sistem kereta api ibu kota.

Dalam kesibukan dan keriuhan suasananya itu, kedengaran sayup-sayup suara lelaki mendendangkan sebuah lagu lama dengan petikan gitar kapuknya. Semakin lama semakin hampir dengan siulan tersebut, yang akhirnya ditemukan dengan seorang pemetik gitar yang lokasinya di bucu pintu keluar masuk stesen kereta api KTM. Dalam fikiran, tiadakah penguat kuasa yang melarangnya untuk terus bermuzik di sekitar ini? Atau lelaki ini, seperti dalam babak filem tempatan, apabila menemui penguat kuasa, maka ibarat lipas kudung, terus menghilangkan diri?

Itulah sebenarnya realiti dunia busker! Busker, dalam erti kata lain, ialah pemuzik jalanan. Mengapa mereka digelar pemuzik jalanan? Hal ini dikatakan demikian kerana pada kebiasaannya, mereka mempersembahkan pertunjukan secara spontan kepada khalayak yang lokasi popularnya ialah kaki lima atau tempat tumpuan pengunjung atau pelancong. Mereka tidak memerlukan set lampu, pentas utama, atau siar raya yang menelan belanja berpuluh-puluh ribu ringgit dalam sesuatu persembahan, tetapi mereka lebih menumpukan perhatian terhadap bakat dan kreativiti individu.

Walaupun begitu, ada juga persepsi masyarakat negara ini yang menganggap busker tidak kurangnya seperti peminta sedekah! Bezanya, peminta sedekah menghulurkan tangan dan mengharapkan simpati orang ramai. Paling tidak pun, mereka menjual tisu. Berbanding dengan busker, mereka bermain alat muzik sambil bernyanyi dan mengharapkan orang ramai menghargai penat lelah mereka itu dengan meletakkan wang di dalam bekas yang disediakan.

Adakah tanggapan ini benar atau sekadar pemikiran negatif yang dilemparkan oleh orang yang tidak tahu menghargai seni dan bakat semula jadi golongan busker yang tidak bersalah ini? Ada juga persepsi masyarakat yang melemparkan kata bahawa kumpulan busker merupakan kumpulan “berpenyakit” yang terjebak dalam gejala tidak sihat di negara ini. Persoalannya, adakah busker harus diangkat sebagai pemuzik jalanan atau pengemis jalanan?

Busker Bukan Sembarangan Penghibur

Busker bukan asing bagi yang mengenalinya. Hal ini dikatakan demikian kerana persembahan bersahaja ini sudah menjadi trend sejak tahun 1980-an lagi, malah dilakukan di seluruh dunia. Busker berasal daripada perkataan Sepanyol buscar yang bermaksud “untuk mencari”. Bahasa yang lebih mudah ialah mencari nama atau kekayaan melalui bakat diri yang sedia ada.

Istilah busking bermaksud mengadakan persembahan di tempat awam, seperti bermain alat muzik, bernyanyi, menari, dan bersajak, tanpa tempahan tempat, kontrak dan bayaran tetap. Sebaliknya persembahan dilakukan untuk orang ramai dengan harapan mereka terhibur dengan persembahan itu. Sekiranya penonton memberikan tip, itu dikira bonus; jika tidak, mereka tetap menghiburkan pengunjung –itulah prinsip seseorang busker.

Persembahan jalanan ini mempunyai sejarah yang panjang. Menurut catatan, sejak zaman Rom lagi, busker sudah wujud. Pada ketika itu, masyarakat Rom akan membaling duit syiling untuk penghibur yang membuat persembahan. Persembahannya pula biasanya diadakan di dataran bandar atau sepanjang jalan raya.

Rentetan daripada itu, zaman pertengahan di Eropah menyaksikan persembahan jalanan ini semakin berkembang dan mendapat tempat hingga istana. Mereka bukan sahaja dianggap sebagai penghibur biasa, tetapi golongan yang “membantu” membuka mata rakyat dan pemerintah.

Busker dianggap sebagai pengantara antara rakyat dengan pembesar kerana sering bernyanyi atau bersyair tentang kisah masyarakat, kemiskinan, korupsi, dan masalah sosial di sesuatu tempat itu. Yang menariknya, keluhan tersebut disampaikan dalam bentuk nyanyian yang lebih mudah mendapat perhatian orang ramai.

Pemuzik, seperti Bob Dylan dan Joan Baez, antara penyokong gerakan tersebut dan sering terbabit dalam aktiviti busking demi meningkatkan kesedaran masyarakat tentang masalah yang berlaku. Dylan, secara terang-terangan, mengkritik hierarki politik Amerika Syarikat pada masa itu, yang turut mendapat sokongan daripada pengunjung yang mendengar dendangan lagunya.

Sejak itu, persembahan jalanan ini terus berkembang ibarat cendawan tumbuh selepas hujan. Kini aktiviti ini mendapat sambutan yang cukup menggalakkan, malah bertaburan di seluruh dunia.

Artikel ini dipetik dari majalah Dewan Budaya keluaran November 2014.

Posted in: Uncategorized

PEMUZIK JALANAN MENGIMARAHKAN SENI MUZIK NEGARA

Dalam filem Mary Poppins, Bert bermain harmonika, menyanyikan lagu Chim Chim Cheree (lagu terbaik Anugerah Akademi 1964), dan menari mengikut irama muzik. Latar tempatnya di sebuah taman di London, sementara latar masanya awal abad ke-20. Di sekelilingnya, ada penonton. Setelah selesai persembahannya, Bert meletakkan topinya di kaki lima itu. Turut diletakkan di dalam topi itu beberapa keping duit syiling. Ada penonton persembahannya yang meletakkan duit syiling di dalam topi itu, sebagai tanda penghargaan; tidak ketinggalan juga yang berlalu pergi begitu sahaja, mungkin tidak menyukainya.

Di medan selera Tanglin, Kuala Lumpur, mereka terus mengadakan persembahan tanpa menghiraukan keadaan sekeliling, sama ada khalayak memberikan perhatian terhadap nyanyian mereka ataupun tidak. Orang ramai pula terus dengan aktiviti masing-masing – menikmati sarapan sambil berbual-bual dan mendengar – antara dengar dengan tidak – nyanyian kumpulan tersebut. Yang menghargai persembahan kumpulan itu akan meletakkan wang – mungkin wang lebih selepas membayar sarapan – di dalam kotak di hadapan penyanyi utama – biasanya ketua kumpulan.

Di KL Sentral, kelihatan seorang lelaki mendendangkan lagu sambil bermain gitar. Sebuah beg pakaian – tanpa pakaian – diletakkan terbuka di hadapannya. Di dalam beg itu, kelihatan beberapa keping wang kertas dan duit syiling. Yang agak menarik ialah ada juga buku, yang tertera nama lelaki itu pada halaman kulit, di situ. Harganya RM20 senaskhah. Rupa-rupanya lelaki itu juga penulis.

Pada hakikatnya, persembahan yang begitu belum mendapat tempat dalam kalangan masyarakat negara ini. Hal ini dikatakan demikian kerana konsep pemuzik jalanan – ada pihak yang melihat mereka sebagai peminta sedekah – dianggap sebagai masih baharu di negara ini walaupun kewujudannya sudah tiga dekad. Bert turut mengalami masalah yang sama kerana pemuzik jalanan dianggap sebagai baharu di ibu negara Britain itu pada awal abad ke-20 – lebih seratus tahun yang lalu. Barangkali pemuzik jalanan negara ini juga memerlukan masa yang begitu untuk diterima dan dihargai oleh masyarakat.

Belakangan ini, kelihatannya pemuzik jalanan mempunyai masa depan yang dapat dikatakan cerah. Hal ini dikatakan demikian kerana beberapa pihak, termasuk kementerian, agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan, telah merangka pelan yang tersusun agar pemuzik jalanan diterima oleh masyarakat, malah menjadikan persembahan mereka itu sebagai sumber pendapatan. Fasa awal ini memperlihatkan pewujudan MyBuskers Corner dan keperluan permit oleh pihak berkuasa tempatan.

Pada masa yang sama, pemuzik jalanan dapat dijadikan sebagai “duta” seni muzik tanah air. Orang ramai, termasuk pelancong, dapat menikmati “konsert” dengan bayaran yang minimum – percuma bagi sesetengah orang – berbanding dengan persembahan di tempat yang eksklusif. Sebagai penyanyi, mereka seharusnya mampu menyanyikan apa-apa juga lagu, termasuk lagu rakyat.

Zaman pemuzik jalanan telah tiba. Pemuzik jalanan akan terus wujud selagi mereka diperlukan. Yang diharapkan kini ialah mereka dapat memberikan sumbangan yang positif terhadap seni muzik watan.

Armin Azhari Saleh


Artikel ini dipetik dari majalah Dewan Budaya keluaran November 2014.


Posted in: Nota Editor

FALSAFAH DAN CORAK PEMIKIRAN MENCIUS

Oleh Azida Ishak

Satu daripada kaedah penting untuk mengkaji sesuatu tamadun ialah kaedah atau corak pemikiran yang digunakan untuk menyokong nilai masyarakatnya. Dalam tamadun Cina, corak pemikiran yang digunakan oleh Mencius meninggalkan pengaruh yang kuat dalam sistem moral, etika dan falsafah politik. Mencius mempercayai kelahiran setiap manusia dengan sifat semula jadi yang baik dan bermoral tinggi. Tulisan Mencius, dalam buku Mencius, telah mengangkat statusnya sebagai guru terpenting dalam fahaman Confucius selepas Confucius sendiri. Fahaman Mencius berserta Confucius ini menjadi asas ideologi rasmi di China dan menjadi ikutan segenap masyarakat.

Mencius dilahirkan di daerah Shandong yang terletak lebih kurang 30 kilometer dari tempat lahir Confucius. Nama sebenarnya ialah Meng Ke, tetapi dia lebih dikenali dengan nama Mengzi (Mahaguru Meng) di kawasan Asia. Mencius merupakan ahli falsafah dan pengajar fahaman Confucius yang sangat terkenal pada akhir zaman dinasti Zhou. Dia mula bergerak aktif semasa kejatuhan empayar Zhou dan pada ketika berlakunya pergolakan yang disebut sebagai Zaman Peperangan Daerah.

Semasa zaman itu, berlakulah perebutan kuasa yang hebat apabila daerah yang besar akan cuba menakluki daerah yang kecil. Oleh sebab ketidakstabilan dan ketegangan yang terlalu memuncak, pihak berkuasa daerah sering kali mendengar pandangan ahli falsafah dan melantik mereka sebagai penasihat atau pegawai rasmi bersama.

Menurut sejarah, Mencius berhasrat untuk meyakinkan mana-mana pemimpin daerah untuk menerima konsep Dao Confucius agar dapat menghentikan pergolakan dan seterusnya berdamai. Mencius percaya bahawa seseorang pemimpin yang mempunyai moral tertinggi berupaya menyemaikan semangat harmoni dan menyatukan seluruh negara China. Seperti Confucius, Mencius mengembara dari satu daerah ke daerah lain untuk menyebarkan fahaman serta tradisi Dao Confucius. Selepas beberapa tahun, dia dilantik sebagai cendekiawan dan pegawai rasmi di Akademia Jixia di daerah Qi, satu daripada daerah yang paling berkuasa di China.

Namun demikian, sebaik-baik sahaja pemerintah Qi berjaya menarik Mencius, dia melancarkan serangan terhadap daerah besar di kawasan utara, iaitu Yan. Tindakan ini mengecewakan Mencius kerana pemerintah Qi memberitahu orang ramai bahawa serangan ganasnya itu telah mendapat persetujuan Mencius. Mencius turut beranggapan bahawa pelantikan dirinya hanyalah helah politik untuk mewajarkan serangan sedemikian, sehingga menyebabkannya membuat keputusan untuk bersara dan kembali ke tempat asalnya.

Peranan Mencius begitu bermakna dalam tamadun Cina kerana dia memperkenalkan kaedah pengajaran yang inovatif daripada aspek pemahaman politik, perkembangan diri, serta sifat semula jadi manusia. Mencius mengajar dengan berdasarkan fahaman Confucius. Falsafah politiknya menjadi ikutan banyak pihak, terutama sekali pihak berkuasa kerajaan. Ajaran Mencius meninggalkan pengaruh yang kuat bukan sahaja terhadap golongan kelas atasan dan pemimpin, malah memberikan kesan kepada sistem kepercayaan dan nilai budaya masyarakat Cina.

Hasil penulisannya, Mencius, merupakan karya klasik yang mengkaji pemikiran Confucius, dengan berdasarkan anggapan bahawa setiap manusia akan dipengaruhi oleh keadaan sekeliling untuk menjadi baik. Mencius percaya bahawa seseorang itu haruslah mencuba dengan sedaya upaya untuk mengembangkan sifat baiknya melalui pendidikan dan tabiat moral. Mencius juga menzahirkan pendapat bahawa sifat semula jadi manusia memang istimewa dan tersendiri. Ciri yang unik itu memberikan keistimewaan kepada manusia berbanding dengan makhluk lain. Kehidupan moral menjadi sifat yang membezakan manusia daripada makhluk lain.

Dalam Mencius, dia mempertahankan pendapatnya dengan membandingkan sifat semula jadi manusia dengan air. Air akan menunjukkan kecenderungan mengalir dari tempat tinggi ke tempat rendah. Hal ini sama dengan sifat semula jadi manusia yang akan menunjukkan kecenderungan terhadap perbuatan baik.

Terdapat juga pihak yang memberikan hujah bahawa air boleh dipaksa naik ke tempat lebih tinggi, seperti memercikkan air dengan tapak tangan atau membina empangan di atas bukit. Namun demikian, lebih mudah bagi air mengalir ke kawasan yang lebih rendah daripada memaksanya mengalir atau berada di tempat tinggi. Hal ini selaras dengan proses semula jadi untuk mendidik manusia supaya melakukan perbuatan bermoral daripada mendidiknya agar melakukan perbuatan tidak bermoral.

Andaian terpenting dalam Mencius ialah konsep “sifat semula jadi manusia” (xing). Dalam kaedah falsafah moden, sesuatu andaian tidak boleh disampaikan sebelum dapat membina sesuatu hujah yang mampu membuktikan bahawa terdapatnya perkara yang boleh dianggap sebagai xing. Hal ini dikatakan demikian kerana keadaan yang boleh mempengaruhi xing itu berubah-ubah. Sebagai akibatnya, keadaan ini tidak mempunyai kecenderungan tertentu, sama ada ke arah melakukan perbuatan baik ataupun ke arah perbuatan jahat. I.A. Richards dalam tulisannya, “Mencius on the Mind”, berpendapat bahawa perbincangan dalam Mencius hanya ingin menekankan hujah yang meyakinkan pembaca dan bukannya bertujuan menyampaikan hujah bercorak analitis.

Artikel ini dipetik dari majalah Dewan Budaya keluaran Oktober 2014.

Posted in: Uncategorized

PELBAGAI WARNA, SATU BANGSA

Oleh Jeniri Amir

Selepas 57 tahun merdeka dan 51 tahun pembentukan Malaysia, bagaimanakah tahap kesepaduan sosial, perpaduan, dan integrasi nasional di negara kita? Bolehkah kita dengan pastinya mengatakan bahawa kita sudah mencapai perpaduan dan integrasi nasional? Berdasarkan perkembangan yang berlaku belakangan ini, ada pihak yang berasa bimbang apabila segelintir individu dan pemimpin politik, terutama pemimpin pembangkang, bagai tidak mengendahkan isu sensitif yang membabitkan etnik, agama, hak kaum Melayu dan bumiputera, serta isu mengenai kuasa dan hak raja dan sultan.

Sentimen agama dan kaum diapi-apikan, tanpa mempedulikan implikasinya terhadap hubungan etnik. Kini timbul juga suara sumbang dalam kalangan individu tertentu di Sabah dan Sarawak untuk mengeluarkan kedua-dua buah negeri terbabit daripada Persekutuan Malaysia, tanpa menyedari bahawa perbuatan itu bukan sahaja mampu menggugat keselamatan negara, tetapi jelas berunsur hasutan. Undang-undang dan Perlembagaan Malaysia perlu sentiasa dijunjung bagi menjamin keharmonian dan keamanan negara, lebih-lebih lagi Perlembagaan Persekutuan telah digubal dengan mengambil kira kepentingan dan perspektif semua etnik. Perlembagaan Persekutuan mengambil kira soal keseimbangan. Itulah sebabnya meskipun perkara yang termaktub dalam perlembagaan tersebut bagai memberikan kelebihan dan keistimewaan kepada sesuatu etnik, terdapat perimbangan bagi setiap perkara berkenaan. Hal ini perlu difahami dan diakui oleh rakyat Malaysia.

Seharusnya selepas lebih setengah abad merdeka dan Malaysia dibentuk, persekutuan, dan integrasi nasional semakin mantap. Walau bagaimanapun, pilihan raya umum ke-13 mengubah landskap sosiopolitik di negara ini. Dengan peningkatan celik politik dan penggunaan media sosial, terutama dalam kalangan generasi muda, ruang awam semakin terbuka luas, sekali gus memberikan cabaran kepada usaha untuk mewujudkan hubungan etnik yang harmoni, aman dan damai. Sekali-sekala seolah-olah kesepaduan dan perpaduan tercabar dan bergolak.

Bersatu teguh bercerai roboh. Perpaduan semakin penting ketika kita berhadapan dengan ancaman dari luar, termasuk pencerobohan anasir jahat, seperti yang berlaku di Sabah. Perpaduan juga amat penting ketika kita menghadapi saat-saat duka sebagai ekoran tragedi yang menimpa penerbangan MH370 dan MH17. Dalam suka atau duka, kita perlu bersatu.

Perpaduan semakin penting bagi membolehkan kita melaksanakan segala macam transformasi, termasuk transformasi ekonomi yang digagaskan oleh Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd. Najib Tun Abdul Razak. Ketika hanya tinggal enam tahun lagi untuk menuju Wawasan 2020, tentu kejituan hubungan dan kesepaduan dalam kalangan pelbagai etnik semakin penting dipelihara. Perpaduan dan keharmonian dalam hubungan etnik akan menjamin kestabilan sosiopolitik, serta pertumbuhan dan kemakmuran ekonomi negara.

Dalam tempoh kurang daripada 50 tahun, kita telah berjaya muncul sebagai negara yang berpendapatan sederhana, dan sudah pasti impian untuk menjadi negara maju yang berpendapatan tinggi akan dapat dicapai jika terdapat kesepaduan dan perpaduan sosial dan integrasi nasional. Kestabilan sosiopolitik merupakan prasyarat penting pertumbuhan dan kemakmuran ekonomi. Dalam usaha untuk mencapai keharmonian hubungan etnik di negara ini, kekayaan negara dan peluang ekonomi perlu diagihkan secara adil dan saksama. Hal ini dikatakan demikian kerana jika sesuatu etnik berasa kecewa dan dipinggirkan, dan wujud jurang besar dari segi ekonomi, maka perkara ini akan menjadi bom jangka yang mampu menjerumuskan negara ke dalam kancah krisis dan pergolakan sosial.

Kita perlu menerima hakikat bahawa kita hidup di negara yang dikenali sebagai Malaysia yang terdiri daripada Semenanjung, Sabah dan Sarawak, dengan latar belakang sejarah, budaya dan etnik yang berbeza. Malaysia, dengan 28 juta orang penduduk, mempunyai Sabah dan Sarawak sahaja mempunyai 65 etnik. Jika diambil kira kelompok yang mewakili subetnik, dialek dan subbahasa, sudah tentu jumlahnya melebihi 200 buah kumpulan. Ada daripada nama etnik minoriti di Sabah yang jarang-jarang atau mungkin tidak pernah didengar, seperti etnik Sungai, Tagal. Tengara, Paitan, Lobu, Kimaragang, Kagayan, Bonggi, Bookan dan Lotud. Etnik di Sarawak, seperti Lahanan, Lisum, Longkiput, Lun Dayeh, Remun, Saban, Sihan, Tabun dan Ukit, mungkin tidak pernah didengar oleh mereka di Semenanjung, malah di Sarawak. Kewujudan etnik berkenaan telah mewarnai dan memperkaya Malaysia dari segi sejarah, budaya, kepercayaan, dialek dan lain-lain.


Pada waktu yang sama, kepelbagaian ini menjadi cabaran untuk mewujudkan kesepaduan dan perpaduan sosial. Kepelbagaian etnik ini perlu diraikan dan diterima sebagai hakikat meskipun ada perspektif yang berpendirian bahawa kepelbagaian berkenaan berpotensi untuk mencetuskan konflik dan membawa ketegangan. Dari satu segi, kita telah berjaya mewujudkan kesepaduan sosial. Seyogia diingatkan bahawa kesepaduan ialah perjalanan menuju perpaduan. Kestabilan, keharmonian, dan keamanan yang dinikmati rakyat pelbagai etnik di negara ini diiktiraf oleh Global Peace Index 2001 yang menyenaraikan Malaysia di tangga ke-19 sebagai negara yang paling stabil dan aman di dunia. Sebagai negara yang mempunyai demografi heterogen, perkara ini merupakan pencapaian yang membanggakan kerana negara lain yang mendahului Malaysia pada umumnya bersifat homogen.

Mungkinkah cogan kata kesepaduan dalam kepelbagaian dapat direalisasikan atau hanya impian dan idaman yang sukar dipenuhi? Di negara ini, sesetengah pihak merujuk kewujudan pelbagai etnik dengan budaya, agama, dan bahasa yang berbeza itu sebagai many colours, one race. Kehadiran pelbagai elemen inilah yang mewarnai demografi Malaysia. Perbezaan ini tidak seharusnya sampai menimbulkan segregasi dan polarisasi, dan seterusnya pertentangan dan persengketaan dalam kalangan rakyat. Meskipun tugas ini mencabar, usaha untuk mencipta kebersatuan dan perpaduan tetap menjadi agenda utama negara. Program Transformasi Kerajaan: Pelan Hala Tuju, yang dilancarkan pada tahun 2010, menyatakan, “Malaysia telah memilih satu jalan penyelesaian yang unik – iaitu perpaduan dalam kepelbagaian dan keterangkuman sementara memastikan keadilan untuk semua dan masih patuh kepada Perlembagaan kita. Ini bermakna kita menerima kepelbagaian kaum, agama dan kepercayaan, dan dengan menjadi inklusif, kita membina perasaan saling menghormati dan penerimaan menjadikannya satu asas yang kukuh terhadap perpaduan dan kesalingpercayaan.”

Oleh itu, kita perlu bijak mengurus kepelbagaian, kelainan, dan perbezaan dengan tidak menganggapnya sebagai masalah dan hambatan, sebaliknya sebagai aset dan potensi untuk menguatkan negara. Kita bukan sahaja perlu mengekalkan dan melonjakkan pencapaian ekonomi, tetapi juga kerukunan dalam kehidupan bermasyarakat. Sebarang pergolakan sosial, sebagaimana terbukti di negara lain, seperti Republik Afrika Tengah dan Syria, akan memberikan kesan langsung kepada kesejahteraan dan kualiti hidup rakyat.

Artikel ini dipetik dari majalah Dewan Budaya keluaran Oktober 2014.

Posted in: Uncategorized

WARNA-WARNI KEHIDUPAN MASYARAKAT MALAYSIA

Suasana di luar auditorium mini itu ramai. Maka tidak hairanlah jika keadaan di dalamnya pun begitu juga. Mereka yang berada di situ pun kelihatan ramai, menunggu ketibaan tetamu kehormat dan permulaan majlis, sambil berbual-bual dengan kenalan lama atau kawan yang baru dikenali. Memang hawa di situ dipenuhi oleh “pelbagai warna”, baik orangnya, bahasanya, hiasan dalamannya mahupun beg cenderamatanya. Mereka “pelbagai warna” – pelbagai kaum dan etnik – tetapi satu bangsa – bangsa Malaysia.

Program #SaySomethingNice sudah berlangsung sejak tahun 2009. Walaupun bermula pada tahun tersebut, pelancarannya hanya dilakukan dua tahun kemudian. Kemudian program tersebut berkembang dari tahun ke tahun dan melibatkan banyak pihak, baik sektor awam, seperti Universiti Malaysia Sarawak dan Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional, mahupun sektor swasta, seperti Mydin dan Tropicana City Mall, yang menyokong usaha menyatupadukan masyarakat “pelbagai warna” di negara ini, yang diikhtiarkan oleh Zubedy (M) Sdn. Bhd.

Sejak bermula lima tahun yang lalu, program #SaySomethingNice hanya berlangsung selama 17 hari pada setiap tahun – dari 31 Ogos hingga 16 September, dari Hari Merdeka hingga Hari Malaysia. Pada tahun ini, pihak yang terlibat dalam program ini diberi sekurang-kurang sekeping poster. Poster tersebut akan dilekatkan pada dinding di tempat yang mudah dilihat oleh sesiapa sahaja. Pada poster itu, terdapat ruang untuk diisi dengan kata atau ungkapan yang menarik oleh sesiapa sahaja tentang apa-apa sahaja, yang tidak menyakiti pembacanya.

Pada hakikatnya, masyarakat negara ini harus mengetahui dan menghargai kekuatan yang dimilikinya. Kekuatannya tentu sekali, tidak lain dan tidak bukan, kepelbagaiannya. Nasi lemak, kuetiau goreng, roti canai, ayam pansuh, dan ambuyat dilahirkan dan dikenali kerana masyarakat negara ini bukan masyarakat “satu warna”. Begitu juga dengan kuda kepang, tarian naga, branya, sompotan dan kreb. Itulah kekuatan negara ini yang perlu terus dijaga, dihargai dan dipelihara.

Kini kedengaran suara sumbang yang mahu negeri tertentu meninggalkan Malaysia. Memang agak mendukacitakan apabila hal yang sedemikian, yang tidak sepatutnya berlaku, terjadi apatah setelah Tanah Melayu, Sabah, dan Sarawak bersusah payah bergabung untuk membentuk Malaysia 51 tahun yang lalu. Banyak negara berpecah kerana kegagalan untuk meraikan kepelbagaian, yang sebenarnya mampu melahirkan keharmonian dalam kehidupan masyarakat pelbagai kaum dan etnik.

Oleh hal yang demikian, program seperti #SaySomethingNice sewajarnya diperbanyak dan diperluas. Alangkah baiknya jika program sedemikian diadakan secara berterusan, bukan hanya untuk tempoh tertentu. Kita mahu masyarakat “pelbagai warna” negara ini bercakap baik tentang apa-apa sahaja kepada sesiapa sahaja pada sepanjang masa, bukan hanya selama 17 hari setahun. Kita mahu rakyat Malaysia pelbagai kaum dan etnik bersatu padu berdiri teguh di bawah satu bendera – Jalur Gemilang – membentuk dan membina sebuah negara bangsa yang kukuh, yang disegani dan dihormati seantero dunia.

Salam Aidiladha 1435.

Armin Azhari Saleh

Artikel ini dipetik dari majalah Dewan Budaya keluaran Oktober 2014.

Posted in: Nota Editor

RESAM PADI

Oleh Dania Zulkifli

Orang Melayu makan nasi, orang putih makan roti. Bagi masyarakat Melayu, memang jelas mereka “sebati” dengan padi, bukan sekadar sebagai makanan ruji, tetapi juga dari segi budaya. Perkara ini dapat dilihat dalam, misalnya, peribahasa dan pantun. Sebagai contoh, peribahasa “pagar makan padi” dan “bawa resmi padi, semakin berisi semakin tunduk” serta pantun “Kalau padi katakan padi, Jangan saya tertampi-tampi; Kalau jadi katakan jadi, Jangan saya ternanti-nanti.” dan “Dari mana punai melayang, Dari sawah ke batang padi; Dari mana mula sayang, Dari mata sampai ke hati.”

Walau bagaimanapun, agak sukar untuk mengatakan bahawa beras atau nasi ialah makanan ruji orang Asia, yang mendiami wilayah dari Asia Barat ke Asia Timur. Bagi penduduk Malaysia, selain beras atau nasi, gandum juga makanan ruji mereka. Seperti yang ditunjukkan dalam World Book (Ensiklopedia Dunia), tiga daripada 10 buah negara pengusahaan tanaman gandum utama terdiri daripada negara Asia, iaitu China (pertama), India (kedua), dan Pakistan (ke-10). Sementara bagi pengusahaan tanaman padi, lima buah negara utama dari Asia, ialah China, India, Indonesia, Bangladesh dan Vietnam. Akan tetapi, beberapa buah negeri di Amerika Syarikat, iaitu Arkansas, California, Louisiana, Mississippi, dan Texas, turut mengusahakan tanaman ini.

James C. Scott, dalam bukunya, Weapons of the Weak: Everyday Forms of Peasant Resistance, kajian di Sedaka (bukan nama sebenar), Kedah, pernah mencatatkan bahawa di Barat, konsep makanan dinyatakan lebih kerap dalam roti. Di kebanyakan Asia, makanan bermaksud nasi. (Huruf condong oleh Scott sendiri.) Walaupun dari segi geografi, pengusahaan dan penggunaan kedua-dua bijian ini agak kabur, tidak ada pemisahan yang jelas antara Timur dengan Barat. Kajian jurnal Science baru-baru ini menunjukkan bahawa wujud perbezaan budaya antara masyarakat yang menanam padi dengan masyarakat yang menanam gandum. Dengan kata lain, padi dan gandum mentakrifkan jati diri budaya.

Ahli psikologi silang budaya, menurut jurnal itu, sangat membezakan antara Asia Timur dengan Barat. Kajian dalam jurnal tersebut menunjukkan bahawa wujud perbezaan psikologi yang utama di China, antara penanam padi dengan penanam gandum. Kajian mengesyorkan bahawa sejarah penanaman padi menjadikan budaya lebih saling bergantung. Sebaliknya penanaman gandum menjadikan budaya lebih bebas dan legasi pertanian ini terus mempengaruhi orang di dunia moden. Kajian tersebut mendapati bahawa penanam padi di selatan China lebih saling bergantung dan mempunyai pemikiran holistik berbanding dengan penanam gandum di utara. Untuk mengawal kekeliruan, seperti cuaca, kajian itu menguji orang dari daerah jiran di sepanjang sempadan padi-gandum dan mendapati bahawa perbezaan yang wujud memang besar. Kajian juga mendapati bahawa teori pemodenan dan patogen tidak memadankan data.

Kajian yang dipetik secara meluas itu menemu bual 1162 orang pelajar Universiti Cina Han di utara dan selatan untuk melihat cara mereka berfikir. Kajian juga menguji pelajar yang tinggal di kawasan yang hanya bertentangan dengan utara-selatan yang dipisahkan oleh Sungai Yangtze. Kajian mendapati bahawa pelajar dari utara, walaupun hanya di utara sungai itu, menunjukkan pemikiran yang lebih analitis, manakala pelajar dari selatan lebih berorientasikan komuniti.

Beberapa tugas melibatkan pengambilan dua objek yang berkaitan daripada diagram asas rangkaian sosial pelajar berkenaan dan berurusan dengan kawan berbanding dengan orang asing dalam urus niaga perniagaan. Kajian mendapati bahawa orang di wilayah penanaman padi cenderung untuk memilih pasangan objek yang lebih abstrak, manakala orang daripada budaya gandum cenderung untuk memilih pasangan yang lebih analitis. Orang dari wilayah penanaman padi cenderung untuk melukiskan diri mereka lebih kecil daripada orang di wilayah penanaman gandum. Apabila membina diagram rangkaian sosial, hal ini menunjukkan bahawa orang gandum melihat diri mereka lebih penting daripada orang lain. Orang dari wilayah padi juga lebih berkemungkinan memberikan ganjaran kepada kawan mereka dan kurang berkemungkinan menghukum mereka. Hal ini menunjukkan cara hubungan dalam kelompok atau kumpulan wujud dalam interaksi sosial dan perniagaan.

“Kami mencadangkan bahawa teori padi dapat menjelaskan sebahagian daripada perbezaan Timur-Barat,” jelas ketua kajian, Thomas Talhelm, penuntut kedoktoran dalam psikologi budaya, University of Virginia. “Anda tidak perlu menanam padi sendiri untuk mewarisi budaya padi. Memang mudah untuk memikirkan China sebagai budaya tunggal, tetapi kami dapati bahawa China sangat berbeza dari segi budaya psikologi antara mereka di utara dengan yang di selatan, dan bahawa sejarah penanaman padi di China selatan dapat menjelaskan sebab orang di wilayah itu lebih saling bergantung berbanding dengan orang yang menanam gandum di utara.”

Artikel ini dipetik dari majalah Dewan Budaya keluaran September 2014.

Posted in: Uncategorized