Home » 2014 » January

Kepedulian dan Kebertanggungjawaban

…………..

Tolou: Bangunan Unik di Fujian

Filem The Knot mungkin kurang dikenali oleh peminat filem Malaysia. Walaupun cerita cinta semasa peperangan pada awal abad yang lalu itu amat menyedihkan, namun kampung yang indah dan bangunan rumah penduduk yang unik itu tetap meninggalkan kesan yang mendalam kepada para penonton. Tulou, sejenis bangunan rumah yang unik di Fujian mula dikenali ramai sejak filem tersebut ditayangkan.

Tulou atau “Bangunan Tanah” yang terdapat di provinsi Fujian, tenggara China dianggap sebagai sebutir mutiara yang bersinar dalam tamadun Timur. Kompleks kediaman masyarakat Hakka yang bersejarah ini, digelar “kastil kuno di Timur”, “bangunan dengan corak seni bina yang cukup mengagumkan”, dan “model bangunan di kawasan pergunungan yang paling unik di dunia”. Tulou telah diisytiharkan sebagai Tapak Warisan Dunia oleh Pertubuhan Pelajaran, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) pada tahun 2008.

Tulou yang mempunyai ciri seni bina dan gaya hiasan yang unik ini, terdapat berselerak di kaunti Yongding, Wuping, dan Shanghang di bahagian barat provinsi Fujian serta beberapa buah kaunti di barat dayanya. Jumlahnya melebihi 3000 buah. Kompleks bangunan kediaman ini mendapat nama yang sedemikian kerana dibina menggunakan tanah liat mentah sebagai bahan binaan utama. Oleh sebab kebanyakan Tulou dibina oleh orang Hakka, maka Tulou juga dipanggil “Tulou Hakka”.

Tulou mempunyai banyak bentuk. Selain bentuk bulat yang menyerupai kubus, ada juga yang berbentuk empat segi, lapan segi, segi empat tepat, dan bujur.

Setiap bangunan Tulou mempunyai satu halaman di tengah-tengah dan dikelilingi oleh rumah-rumah bertingkat empat atau lima, yang dapat menampung sehingga beratus-ratus orang penghuni. Kebanyakan keluarga yang tinggal di dalam satu bangunan berasal daripada keturunan yang sama. Maka apabila kita bertamu salah sebuah keluarga di dalam satu bangunan Tulou, semua penghuni di dalamnya akan menganggap kita sebagai tetamu kehormat mereka juga.

***

Rencana ini dipetik dari Majalah Dewan Budaya keluaran Januari 2014.

Posted in: Bingkisan CRI

Apa guna berkain batik,

Kalau tidak dengan sujinya;

Apa guna beristeri cantik,

Kalau tidak dengan budinya.

Kain sarung bunga emas, kain sarung doa ibu, kain sarung ayam serama, dan kain sarung Terengganu tiga lapis merupakan antara jenama kain batik sarung tempatan yang terkenal. Kain batik sarung sinonim dengan orang Melayu, khususnya kaum wanita sehingga diabadikan dalam pantun Melayu.

Kain sarung dijahit bertaut di tepi kainnya, cara memakainya pula dengan disarungkan ke badan separas pinggang hingga jatuh ke paras buku lali. Pada suatu ketika dahulu, kain limar lepas sutera merupakan kain yang digunakan untuk berkemban atau ikat pinggang yang dipakai oleh golongan bangsawan. Kain sutera terintik pula digunakan sebagai kain kelubung dan kain sarung. Kain songket, kain tenun biasa, kain telepuk, dan kain gerus merupakan antara jenis kain bermutu yang turut digunakan sebagai kain sarung.

Nilai keindahan kain batik atau kain sarung terletak pada suji yang menghiasi muka kainnya. Suji merupakan sulaman atau tekat bunga pada kain yang telah lama digunakan oleh tukang pandai jahit dahulu kala. Suji yang halus akan menyerlahkan estetika kain sarung. Kini, motif suji pada kain sarung bukan sahaja bermotif bunga-bungaan, malahan bermotif flora, fauna, geometri, dan organik.

Keunikan suji yang halus bukan sahaja menyerlahkan keindahan kain, malahan ditawarkan dengan harga yang cukup tinggi. Pada suatu ketika dahulu golongan istana sahaja yang mampu memakai kain bersuji benang emas sebagai pakaian, manakala rakyat biasa hanya memakai kain sarung benang kapas berkotak.

Oleh sebab itu, suji yang cantik pada kain sarung melambangkan simbol status, keindahan, kemanisan, kejelitaan, dan kesantunan wanita Melayu. Kain sarung tanpa suji tidak cantik dipandang mata, begitulah juga wanita yang memiliki kecantikan tidak akan membawa apa-apa makna tanpa kehalusan budi pekerti dan sopan santun.

Jika diteliti pantun pada awal tulisan ini, memberikan peringatan mesra kepada kaum lelaki agar berhati-hati memilih calon isteri kerana kecantikan semata-mata tidak akan menjamin kebahagiaan rumah tangga. Kecantikan itu perlulah seiring dengan keelokan tingkah laku calon isteri. Hakikatnya, keindahan pemakaian kain sarung tidak hanya terletak kepada corak sujinya tetapi simbolisme pada cara pemakaiannya yang tidak ramai mengetahuinya pada zaman ini, khususnya generasi muda.


***

Rencana ini dipetik dari majalah Dewan Budaya keluaran Januari 2014.

Posted in: Fokus

KEPEDULIAN DAN KEBERTANGGUNGJAWABAN

Purata jumlah berat sampah yang dibersihkan bagi sebuah rumah yang dilanda musibah banjir di Kuantan baru-baru ini ialah 1.5 tan! Bayangkan jika dikumpulkan sampah sarap daripada 10 ribu buah rumah, maka terdapat sejumlah 15 tan sampah. Angka ini memberikan gambaran kepada kita tentang kemusnahan dan kerosakan harta benda serta kesan psikologi yang dialami oleh mangsa banjir.


Kesempatan bersama-sama 40 orang teman sepejabat menyertai program Sukarelawan Kembara Bahasa 2013 anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka pada Disember yang lalu memberi peluang kepada saya merasai sendiri kesedihan dan kesengsaraan mangsa banjir. Destinasi misi bantuan kami ialah di Maahad Tahfiz Muhammadi, Jalan Pintasan Bukit Rangin, Kuantan, Pahang. Maahad yang terletak di Permatang Badak, Sungai Isap merupakan kawasan yang terjejas teruk akibat banjir.


Banyak sukarelawan dari seluruh pelosok negara yang datang membantu. Menurut salah seorang kakitangan Majlis Perbandaran Kuantan, banyak sukarelawan yang datang membantu, namun operasi pembersihan fizikal hanya dapat dilakukan secara berperingkat-peringkat memandangkan banyak kawasan yang perlu dibersihkan sementelah bilangan jentera pembersihan seperti lori mengangkut sampah terhad.


Atas keprihatinan rakyat Malaysia menghulurkan bantuan ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak dalam entri beliau di laman www.1malaysia.com.my berkata, “Semangat, usaha, dan keprihatinan rakyat Malaysia mencerminkan semangat 1Malaysia tanpa mengira agama, mahupun aliran politik masing-masing”.


Ada dua hal yang menyatukan semangat kepedulian rakyat negara ini, pertama semangat kesukanan dan kedua semangat kesukarelawanan. Namun begitu, kedua-dua semangat kepedulian ini hanya dapat terbentuk dengan rasa kebertanggungjawaban dalam diri setiap warganegara terhadap negaranya.


Sesungguhnya musibah banjir yang melanda memberikan hikmah kepada kita sesama rakyat Malaysia untuk membuka lembaran Tahun Baharu 2014 dengan semangat untuk menginsafi kepentingan sikap kepedulian dan kebertanggungjawaban. Semangat ini perlu dibajai dalam kalangan generasi muda sedari kecil. Tabiat yang positif ini akhirnya membentuk keutuhan budaya integriti dalam kalangan modal insan yang akan memberikan manfaat kepada negara.


Saya juga menyambut positif saranan Perdana Menteri supaya Standard Prosedur Operasi (SOP) bantuan menyelamat yang diselia oleh Majlis Keselamatan Negara pada peringkat daerah dan negeri ditambah baik.


Tidak dapat saya bayangkan pengorbanan seorang bapa yang terpaksa memindahkan sembilan orang anaknya yang masih kecil ke siling rumah kerana air naik dengan begitu cepat. Mangsa terpaksa menunggu sehingga tiga hari sebelum pihak berkuasa datang menyelamatkan mereka.


Bantuan yang lewat tiba ini mencetuskan persoalan kerana dengan kecanggihan teknologi maklumat khususnya dalam sistem penyampaian, bagaimanakah hal yang tidak sepatutnya ini berlaku? Namun begitu, sikap menuding jari hanya menenggelamkan semangat kepedulian dan kebertanggungjawaban, dan tidak langsung dapat menyelesaikan sebarang permasalahan.

***

Bersempena dengan Tahun Baharu 2014 ini, sidang editor Dewan Budaya mengucapkan Selamat Tahun Baharu!

- Abdul Ghani Abu

Posted in: Nota Editor