Home » 2014 » March

JELAJAH PULAU BANGAU

Oleh Lin Ying

Xiamen merupakan satu daripada lima buah zon ekonomi khas di China. Kononnya, pada zaman purbakala, bandar ini menjadi tempat persinggahan bagi burung bangau. Oleh itu, Xiamen juga dikenal sebagai “Pulau Bangau”.Xiamen mungkin kurang dikenal oleh kebanyakan orang asing. Pada tanggapan mereka, bandar ini masih kurang maju. Namun demikian, jangkaan sebegini pasti meleset jika anda berpeluang untuk berkunjung ke Pulau Bangau.

Aktiviti menjamu selera di Xiamen tidak sukar bagi orang Islam kerana terdapat beberapa buah restoran masakan Xinjiang yang menyajikan makanan halal. Pelbagai hidangan enak yang unik pasti dapat memenuhi selera pengunjung Islam.

Ketika lawatan kelima ke Xiamen, barulah saya sempat merenung bandar berpulau ini dengan telitinya. Sebelum ini, agenda pelancongan saya di Xiamen sangat biasa – menaiki teksi di lapangan terbang terus ke jeti feri, lalu ke Pulau Gulangyu, masuk ke dalam hotel, mengurung diri pada waktu siang, dan keluar pada waktu malam. Seolah-olah Xiamen ialah Gulangyu, dan Gulangyu memaknakan segala-galanya di Xiamen.

Mujurlah Xiamen tidak marah kerana sikap tidak ambil peduli saya. Keterpesonaannya mula-mula umpama teh putih yang tawar, tetapi akhirnya bertukar menjadi wangi, seperti bunga ros, sehingga segera mencengkam nostalgia anda. Saya jatuh cinta kepada bandar berpulau ini bermula dari gerai kudapan malam di Kubu Baishi. Selepas jamuan perpisahan ketika lawatan keempat ke Xiamen, selain bermacam-macam makanan laut yang tinggal di dalam perut, gelombang ombak kuat yang menghentam tepi Kubu Baishi turut terpahat dalam ingatan saya. Cubalah anda bayangkan deretan meja berpaut kuat pada cenuram tepi laut – hanya beberapa langkah sahaja anda benar-benar akan jatuh ke laut – makan makanan laut di mulut, daun telinga ditampar angin laut; apabila air pasang kuat, seluar anda akan turut dibasahi. Itulah masanya yang membolehkan anda mengingati sesebuah bandar hanya dalam waktu satu minit.

Kehidupan santai di Xiamen tergambar di jalan dan lorong yang ditiup oleh angin laut. Keterpesonaan Pulau Bangau umpama semangkuk mi dengan sos sate yang tampak tidak kemas. Hanya selepas mengetepikan sup berwarna merah, merasainya dengan hujung lidah, barulah anda dapat menikmati keterpesonaannya yang sebenar.

Jika tidak berjumpa dengan jalan lama di Xiamen, saya tidak akan memahami makna sebenar “merayau-rayau”.Bandar berpulau ini sangat sesuai untuk membuat perjalanan jauh tanpa tujuan. Wayar yang bersilang seolah-olah mahu mengemaskan skor muzik bandar ini; rumah bata merah dengan corak seni bina selatan Fujian dan bangunan arked menggambarkan masa lama yang dilalui dua generasi; bot nelayan yang berlabuh di pelabuhan disinggahi beberapa ekor bangau; haruman mi dengan sos sate dan sup kacang tanah terserlah dalam angin laut yang berbau hanyir. Selepas perjalanan di jalan lama selesai, anda akan memahami keterpesonaan sebenar bandar berpulau ini.

***

Rencana ini dipetik dari Majalah Dewan Budaya keluaran Mac 2014.

Posted in: Bingkisan CRI

MUZIUM IALAH “MUZIUM”?

Oleh Marwan Arrayyan

Filem komedi arahan pengarah terkenal Shawn Levy, Night at the Museum, yang diterbitkan pada tahun 2006, dan Night at the Museum 2: Battle of the Smithsonian, tiga tahun kemudian, berjaya memberikan kutipan pecah panggung, iaitu masing-masing AS$574 juta dan AS$413 juta, kepada penerbitnya. Filem yang mengesahkan keadaan yang berlaku di dalam muzium itu berjaya menarik banyak penonton ke panggung berdasarkan jumlah kutipan tersebut. Penontonnya pula terdiri daripada pelbagai lapisan usia dan latar budaya.

Secara tidak langsung, hal ini membuktikan bahawa muzium merupakan lokasi utama dan penting bagi setiap peringkat umur untuk mengetahui, mempelajari, dan mengenali tamadun peradaban manusia. Muzium diibaratkan sebagai gedung ilmu yang menempatkan pelbagai maklumat, seperti sejarah, budaya, sains dan kemasyarakatan. Lantaran itu, suara yang mengatakan bahawa muzium tidak lagi relevan dikunjungi pada masa ini memang tidak tepat, malah individu tersebut dapat dikategorikan sebagai kurang bijak dan dangkal ketika bersuara.

Menurut mantan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan yang kini menyandang jawatan Penasihat Sosiobudaya Malaysia, Tan Sri Dr. Rais Yatim, muzium merupakan aspek yang sangat penting dalam mencemerlangkan peradaban bangsa dan negara. Peranan muzium bukan sahaja memaparkan persejarahan lampau negara, malah isu terkini yang wajar didekati dan difahami oleh masyarakat.

Pada ketika ini, terdapat lebih daripada 55 ribu buah muzium di 202 buah negara di seluruh dunia. Angka ini sudah cukup jelas menunjukkan kepentingan peranan muzium bagi setiap negara dalam mendidik anak bangsanya tentang sesuatu ilmu. Bagi sesebuah negara maju, peranan muzium sangat ditagih bagi membantu kanak-kanak dan remajanya memahami dan menghayati perjalanan dan liku yang dilalui sehingga tertubuhnya negara tersebut.

Walaupun banyak negara sudah sedar akan peranan muzium, hal ini agak berbeza di negara ini. Kanak-kanak dan remaja, malah ibu bapa, lebih gemar menghabiskan cuti hujung minggu mereka dengan memilih aktiviti yang betul-betul santai, seperti membeli-belah, menonton wayang, menghadiri konsert, dan berekreasi di taman tema, sebagai pilihan utama. Melawati muzium hanya dijadikan sebagai pilihan terakhir atau terus sahaja diserahkan secara bulat-bulat kepada pihak sekolah untuk mengadakan lawatan rasmi.

Persoalannya, adakah hal ini benar-benar berlaku atau sekadar polemik daripada sesetengah pihak yang beranggapan bahawa muzium semakin suram dan nasibnya juga bakal dijadikan seperti “muzium” atau sebaliknya? Apakah langkah pihak yang berkenaan untuk membudayakan aktiviti mengunjungi muzium?

Bagi Ketua Pengarah Jabatan Muzium Malaysia (JMM), Dato’ Ibrahim Ismail, persepsi masyarakat yang mengatakan bahawa muzium hanya untuk golongan tertentu memang tanggapan yang salah. “Pada masa dahulu, muzium terbatas kepada golongan bangsawan. Hal ini dikatakan demikian kerana golongan tersebut suka dan mengumpulkan barang,” jelas Ibrahim ketika ditemui di pejabatnya. “Namun begitu, keadaan sudah berubah dan muzium sudah terbuka kepada semua golongan.”

Ujar Ibrahim lagi, semua golongan masyarakat perlu melihat peri pentingnya muzium kepada peradaban sesebuah bangsa. Dengan melawati muzium, seseorang akan memperoleh ilmu baharu yang lengkap dan sahih untuk difahami dan dihayati.

Jika disoroti kembali filem arahan Shawn Levy itu, kisahnya bermula apabila seorang pengawal ditugaskan untuk mengawal persekitaran dan ruang pameran muzium tersebut. Yang menariknya, muzium yang menempatkan pelbagai pameran yang mewakili masyarakat dan budaya awal di Amerika ini “bernyawa” menjelang larut malam. Hal ini telah memberikan suatu pengalaman yang baharu serta cukup menarik kepada pengawal tersebut. Pengarah cuba menggambarkan betapa pentingnya muzium kepada masyarakat dalam mengenali dan menggali sejarah serta budaya terdahulu. Mungkin pengalaman seperti yang dialami dalam filem tersebut hanyalah cerita tahyul tetapi yang lebih utama masyarakat dapat merasai dan mengetahui sesuatu perkara yang berlaku sebelum ini dengan lebih dekat.

***

Rencana ini dipetik dari Majalah Dewan Budaya keluaran Mac 2014.

Posted in: Fokus

MUZIUM MENCERAHKAN ZAMAN SILAM

Oleh Jeniri Amir

Selain kedai buku, satu daripada tempat yang wajib saya kunjungi apabila melawat negara asing ialah muzium. Jika di kedai buku saya dapat membelek halamannya dan kalau berminat dengan kandungannya akan terus membeli buku berkenaan, di muzium pula saya dapat mengetahui hal yang berkaitan dengan demografi, sejarah dan budaya rakyatnya. Dengan kunjungan yang selalunya hanya beberapa hari ke negara luar, muzium merupakan jalan pintas untuk mengetahui sejarah silam dan budaya unik rakyatnya. Ketika mengunjungi Paris pada tahun lepas, selain melawat Menara Eiffel, Muzium Louvre, yang terletak di Rive Droite Seine di tengah kota berkenaan, menjadi tumpuan saya. Muzium yang dibina pada tahun 1793 itu mempunyai koleksi 35 ribu bahan pameran dari zaman prasejarah hingga abad ke-19, termasuk 537 lukisan di kawasan seluas 60 600 meter persegi.

Mengapakah muzium menjadi daya tarikan? Apakah yang dapat diperoleh daripada muzium? Benarkah muzium sekadar tempat menyimpan barang purba dan gambar bersejarah? Bagi sesetengah orang, muzium dipandang dengan sebelah mata, malah ditanggapi sebagai tempat yang statik dan muram, malah menyeramkan kerana menyimpan barang purba atau kuno. Meskipun muzium sudah wujud lebih daripada 100 tahun di negara kita, kesedaran dan pemahaman masyarakat tentang peranan muzium masih belum begitu membanggakan. Keadaan ini berbeza daripada masyarakat Barat kerana mereka sedar tentang peranan muzium sebagai wadah yang berkesan dalam menyebarkan ilmu tentang sejarah dan budaya.

Meskipun banyak orang masih keliru dengan peranannya, muzium sebenarnya bukan sekadar tempat untuk menyimpan bahan sejarah, objek, dan artifak budaya dan gambar bersejarah, tetapi berperanan sebagai perakam dan pendidik budaya bangsa. Setiap bandar utama di ibu negeri di negara ini mempunyai muzium, malah Malaysia mempunyai sekitar 150 buah muzium yang dapat dikategorikan kepada lima jenis, iaitu muzium persekutuan, muzium negeri, muzium institusi, muzium persendirian dan muzium swasta. Muzium Negara dianggap sebagai peneraju aktiviti pemuziuman dan pendukung terhadap pemuliharaan serta pengekalan warisan koleksi khazanah negara. Pembinaan Muzium Negara, yang mewakili jati diri nasional, ialah kemuncak kepada sejarah pembinaan muzium terawal di Malaysia, seperti Muzium Perak (1883), Muzium Sarawak (1883), dan Muzium Selangor (1889).

Muzium Louvre di Paris dan British Museum di London merupakan muzium yang paling banyak menarik pengunjung di dunia, masing-masing 8.5 juta orang pengunjung dan 5.93 juta orang pelawat pada tahun 2008. National Gallery of Art di Washington D.C berada di kedudukan ketiga dengan 4.96 juta orang pengunjung.

Pada tahun 2010, sejumlah 2.6 juta orang mengunjungi 21 buah muzium di bawah seliaan Jabatan Muzium Malaysia — peningkatan 100 ribu orang berbanding dengan tahun 2009. Muzium Negara mencatat jumlah pengunjung tertinggi, iaitu satu juta orang. Sementara itu, pengunjung ke muzium di seluruh Sabah, umpamanya, merekodkan peningkatan sebanyak 15 peratus pada tahun 2013 dengan 440 612 orang pengunjung berbanding dengan 373 794 orang pada tahun sebelumnya. Muzium lain di negara ini juga memperlihatkan peningkatan dari segi jumlah pengunjung, sekali gus merupakan petanda baik tentang minat orang ramai untuk mengunjungi muzium.

***

Rencana ini dipetik dari Majalah Dewan Budaya keluaran Mac 2014.

Posted in: Fokus

AYUH KITA KE MUZIUM!

Di New Delhi, pada setiap hujung minggu, muziumnya dipenuhi manusia, bukan pelancong asing, malah rakyat tempat juga. Majoriti pengunjung muzium penduduk ibu negara India itu. Mereka mengunjungi muzium kerana dua faktor. Pertama, keadaan rumah yang kecil menyebabkan mereka banyak menghabiskan masa di luar rumah. Kedua, pusat membeli-belah dibuka pada pukul 2.00 petang.

Sebagai kesan kedua-dua faktor itu, masyarakat New Delhi mengambil peluang untuk mengetahui sejarah negara mereka dengan mengunjungi muzium walaupun bukan percuma. Daripada situasi tersebut, mereka dididik untuk menghargai sejarah ketamadunan India, termasuklah zaman Islam dan era Hindu. Daripada keadaan itu juga, dapat dikatakan bahawa aktiviti mengunjungi muzium sudah membudaya (secara terpaksa?) dalam masyarakat negara itu.

Sejarah pemuziuman di negara ini bermula sejak tertubuhnya Muzium Perak di Taiping pada tahun 1885. Sejak itu, puluhan malah ratusan muzium sudah didirikan di seluruh negara. Jabatan Muzium Malaysia, sebagai contoh, hanya mentadbir 21 buah muzium. Perbadanan Muzium Melaka pula mengurus berpuluh-puluh buah muzium. Jumlah ini tidak termasuk muzium yang diurus oleh negeri lain, institusi dan swasta. Sebagai contoh, Universiti Pendidikan Sultan Idris mentadbir Muzium Pendidikan Nasional, Majlis Bandaraya Petaling Jaya memiliki Muzium Petaling Jaya, sementara pihak swasta mengurus Muzium Gopeng.

Walau bagaimanapun, aktiviti mengunjungi muzium belum membudaya dalam kalangan masyarakat negara ini. Di negara maju, kunjungan ke muzium dapat dianggap sebagai aktiviti budaya tinggi, seperti halnya dengan membaca buku dan menonton persembahan konsert. Dengan hanya tinggal enam tahun untuk mencapai wawasan negara maju, masyarakat negara ini masih jauh ketinggalan dari segi sosialnya walaupun sisi ekonominya dapat dikatakan membanggakan.

Satu daripada cara untuk membudayakan aktiviti mengunjungi muzium ialah dengan “menghidupkan” muzium. Pada hari ini, kebanyakan orang menganggap muzium sebagai tempat yang sepi–kadang-kadang kesepiannya melebihi kesunyian perpustakaan. Ya, memang kita tidak mampu “menghidupkan” muzium seperti Night at the Museum atau Night at the Museum 2: Battle of the Smithsonian – semua bahan pameran bernyawa pada sebelah malam; masing-masing mempunyai cerita untuk diberitahukan kepada pengunjung.

Namun begitu, yang diyakini ialah bahawa Jabatan Muzium Malaysia, Perbadanan Muzium Melaka, dan pemilik serta pengusaha muzium yang lain mampu memikirkan kaedah untuk “menghidupkan” muzium. Tidak mustahil jika pada suatu hari nanti, seseorang pengunjung muzium akan bertikam dengan Hang Jebat atau merasai kehidupan zaman Perak Man, yang bercawat yang menjadikan haiwan sebagai makanan. Mungkin juga pengunjung dapat berteriak “Merdeka! Merdeka! Merdeka!” atau tenggelam lemas bersama-sama Flor de la Mar. Idea ini mungkin kelihatan tidak waras – lebih mudah jika disebut gila – tetapi idea yang demikian, jika dapat direalisasikan, mampu membudayakan aktiviti mengunjungi muzium.

*****

Pada kesempatan ini, sidang editor Dewan Budaya merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Hasan Abdul Majid yang dijemput pulang pada 16 Februari 2014 yang lalu. Kisah kehidupan pelukis yang berusia 68 tahun itu sebagai anak seni ditampilkan dalam Dewan Budaya Bil. 2 2014. Secara peribadi, saya kerap berurusan dengannya ketika Allahyarham berkhidmat sebagai pereka di Dewan Bahasa dan Pustaka sebelum bersara 12 tahun yang lalu. Marilah kita bersama-sama berdoa semoga Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang beriman.

Armin Azhari Saleh

***

Rencana ini dipetik dari Majalah Dewan Budaya keluaran Mac 2014.

Posted in: Nota Editor