Home » 2014 » April

USAH BIARKAN TEATER DAN SASTERA LESU

Kumpulan teater Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) – nama asalnya Kumpulan Seni, kemudian bertukar kepada Badan Budaya – telah mengadakan lebih daripada 50 pementasan sejak tahun 1967 hingga kini. Sambutan yang diterimanya dapat dikatakan menggalakkan dan memuaskan. Naskhah yang dipentaskan pula diadaptasikan daripada karya sasterawan tanah air, seperti Tamu di Bukit Kenny karya Usman Awang, Salina oleh A. Samad Said, dan Hari-hari Terakhir Seorang Seniman nukilan Anwar Ridhwan.

Walau bagaimanapun, sejak dua hingga tiga tahun belakangan ini, kumpulan teater tersebut tidak melakukan apa-apa persembahan. Hal ini dikatakan demikian kerana setiap persembahan teater perdana memerlukan jumlah perbelanjaan yang tinggi. Oleh itu, dalam situasi kewangan agak mengekang sekarang, yang lebih penting perlu didahulukan dan yang kurang penting dikemudiankan. Sebagai akibatnya, kumpulan teater itu kini “berehat”.

Yang giat mengadakan persembahan – kerap kali dengan kerjasama DBP – ialah kumpulan teater penuntut universiti di Teater Stor, biasanya pada hujung minggu. Sering kali juga pementasan teater tersebut, yang tidak memerlukan peruntukan yang banyak, merupakan karya asli, tidak diadaptasikan daripada mana-mana karya. Walaupun begitu, dengan publisiti yang baik, pementasan itu berjaya menarik sejumlah hadirin walaupun mereka perlu membeli tiket.

Kita tidak menolak pementasan yang demikian, malah kita mengalu-alukannya. Walau bagaimanapun, kadang-kadang lebih baik jika kumpulan teater mengadaptasikan karya sasterawan tanah air, terutama naskhah Komsas atau Kesusasteraan Melayu yang ditekuni di sekolah. Dengan hal yang demikian, kumpulan teater dapat bergerak cergas, sementara pelajar mampu mempelajari Komsas atau Kesusasteraan Melayu melalui pementasan teater, yang pasti tidak akan membosankan mereka, seperti di kelas.

Yang diyakini ialah bahawa jika hal ini dapat dilaksanakan, teater pastinya tidak akan lesu, malah dapat dikembangkan, sastera kebangsaan pula akan bertambah subur, dan sasterawan tanah air akan lebih dikenali oleh masyarakat. Dengan hal yang demikian, masyarakat, terutama malas membaca, dapat menghayati naskhah sastera tanah air melalui persembahan teater. Yang diharapkan ialah agar dalam jangka masa panjang masyarakat akan lebih menghayati naskhah sastera negara walaupun tanpa pementasan teater.

*****

Daripada-Nya kita datang, kepada-Nya kita pulang. Pada kesempatan ini, sidang editor Dewan Budaya merakamkan ucapan terima kasih kepada lima orang insan yang telah memberikan sumbangan kepada agama, bangsa, dan negara dalam bidang masing-masing dengan cara mereka sendiri semasa hayat mereka. Mereka ialah Tokoh Warisan Hidup, Ali Badron Sabor, mantan Timbalan Ketua Pengarah DBP, Shaari Abdullah, dan tiga orang penulis – Datuk Alias Ali, Dr. Ibrahim Ahmad dan Zubaidi Abas. Pemergian mereka akan dirasai, tetapi perjuangan mereka tetap akan diteruskan oleh mereka yang tinggal. Marilah kita berdoa agar roh mereka ditempatkan dalam kalangan orang beriman.

Armin Azhari Saleh

***

Artikel ini dipetik dari majalah Dewan Budaya keluaran April 2014

TEATER PEMARTABAT BAHASAN DAN SASTERA KEBANGSAAN

OLEH: FADZIL AGUSSALIM DAN ARMIN A. SALEH

Saya masih ingat pada tahun 1967, saya telah diminta oleh Tun Syed Nasir Ismail, yang menjadi Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) waktu itu, supaya menulis sebuah skrip drama untuk dipentaskan bagi merayakan ulang tahun ke-10 DBP. Untuk menulis dan menyiapkan skrip tersebut, saya diberi cuti selama dua hari. Dengan itu, lahirlah skrip Tamu di Bukit Kenny, yang kemudiannya dipentaskan oleh kakitangan DBP melalui sebuah kumpulan yang dinamai ‘Keluarga Seni’ pada Julai 1967. Drama ini kemudiannya dipentaskan sekali lagi sewaktu peletakan bangunan tambahan DBP pada 5 April 1968.”

Begitulah catatan Usman Awang dalam buku cenderamata Teater Perdana Sungai Mengalir Lesu yang dipentaskan dari 16 hingga 19 September 1997 di Auditorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur. Tamu di Bukit Kenny menjadi drama sulung yang dipentaskan oleh sekumpulan manusia kreatif yang menamai diri mereka sebagai Kumpulan Seni. Drama karya Usman itu diarahkan oleh Baha Zain (Baharuddin Zainal) dan dipentaskan pada 26 Julai.

Kehebatan Kumpulan Seni dapat dilihat kerana kumpulan ini bukan sahaja mengadakan persembahan di Balai Budaya DBP, malah di beberapa buah tempat lain, seperti Universiti Malaya, Muzium Negara, Morib dan Melaka. Sebagai akibatnya, sejak persembahan pertamanya, kumpulan teater ini, walaupun sudah bertukar namanya, terus aktif hingga kini, dan telah berjaya mengetengahkan 40 buah drama pentas, hasil kreativiti beberapa orang aktivis teater.

Menurut Usman lagi, kesungguhan untuk menubuhkan sebuah kumpulan drama di DBP timbul atas kekecewaannya apabila melihat seni bangsawan tiba-tiba dilupakan oleh orang dengan bermulanya siaran televisyen pada tahun 1960-an. Keadaan itu membuatkan hati kecil Usman terpanggil untuk menghidupkan seni pentas kembali. Walau bagaimanapun, beliau memilih seni teater untuk disesuaikan dengan keadaan pada waktu itu.

Pada awal 1970-an, DBP sedang dalam proses untuk menjelmakan diri sebagai badan penerbitan yang membekalkan buku teks dalam bahasa kebangsaan ke sekolah. Teater jauh daripada matlamat DBP kerana organisasi tersebut tiada kena mengena dengan pengembangan budaya. Kakitangan DBP memberikan tumpuan terhadap tugas hakiki. Usman menumpukan perhatian kepada tugasnya sebagai Ketua Bahagian Pengembangan Sastera. Begitu juga dengan M. Noor Azam dan Abdullah Hussain – sebagai contoh – tumpuan mereka kepada penulisan. Oleh hal yang demikian, teater sebagai satu daripada aspek kebudayaan tidak menjadi perhatian DBP.

Itulah rungutan Othman Zainuddin yang menyertai DBP sebagai pelukis pada tahun 1971. Beliau memang berhasrat untuk bekerja di DBP, apatah lagi selepas mengadakan pementasan teater Kuala Deli karya Zain Ariff di Balai Budaya. Selepas menyertai DBP, Othman berusaha untuk mendampingkan diri dengan tokoh besar organisasi tersebut, seperti Usman, Abdullah dan Keris Mas.

Kemudian Othman bertemu dengan Ismail Dahaman, pegawai bahasa yang aktif dalam Badan Keluarga DBP. Jika Keluarga Seni lebih menjurus kepada aktiviti kesenian, Badan Keluarga memberikan tumpuan terhadap kegiatan rekreasi, seperti sukan, lawatan dan hari keluarga.

“Dengan adanya Ismail di situ, satu seksi yang dinamai Seksi Budaya dan Sastera telah dibentuk. Bersama-sama Ismail, saya giat dalam pementasan teater secara kecil-kecilan,” tulis Othman buku cenderamata Teater Perdana Sungai Mengalir Lesu. Beberapa buah pementasan diadakan pada waktu itu, termasuklah Monyet, karya Shahnon Ahmad, Mendung, karya Othman, dan Matinya Seorang Pahlawan, karya Usman.

Pada waktu itu, latihan teater tidak diadakan di tempat khusus. Latihan terpaksa diadakan di padang letak kereta atau di tempat letak kereta bawah tanah di bangunan DBP. Kadang-kadang latihan dapat diadakan di ruang pejabat jika ada ketua bahagian yang bersimpati dengan nasib kumpulan teater itu.

“Saya pernah diberi amaran oleh ketua bahagian saya untuk memilih sama ada hendak terus bergiat dalam drama ataupun sebagai pelukis dan kakitangan DBP,” tulis Othman lagi. “Saya pernah menolak jawatan kenaikan pangkat untuk terus giat dalam teater.”

Awal dekad 1980-an sebenarnya merupakan zaman gerhana dalam sejarah perkembangan teater Melayu. Hal ini dikatakan demikian kerana jumlah drama yang dipentaskan amat sedikit sebagai akibat tindakan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan menghentikan pertandingan drama dan tarian tahunan yang telah diadakan sejak sekian lama.

***

Artikel ini dipetik dari Majalah Dewan Budaya keluaran April 2014.

Posted in: Fokus, Pilihan Utama

TEMBOK BESAR MENGGAMIT PELANCONG

Oleh Zhang Hong

Mereka, yang tidak pernah mendaki Tembok Besar, bukanlah pahlawan!” Pepatah China ini cukup untuk menggambarkan betapa pentingnya Tembok Besar dalam kehidupan rakyat negara ini.

Tembok Besar merupakan projek pertahanan pada zaman purba China. Binaan yang masyhur ini didirikan dengan darah, peluh, kebijaksanaan, dan semangat nenek moyang orang China. Kini Tembok Besar menjadi lambang bangsa China. Sejarah yang begitu lama dan projek yang begitu besar menjadikan Tembok Besar sebagai keajaiban dunia yang sama terkenal dengan piramid di Mesir dan Taj Mahal di India.

Tembok Besar China mula dibina pada abad kesembilan sebelum Masihi. Untuk menghalang pencerobohan kaum di bahagian utara, pemerintah di kawasan tengah China pada waktu itu telah membina tembok yang menyambungkan kubu pertahanan di garisan sempadan pelbagai negeri. Itulah Tembok Besar yang paling awal.

Ketika Zaman Negeri Berperang pada abad keempat sebelum Masihi, perang terus berlaku antara pelbagai negeri. Bagi menghalang serangan dari negeri lain, negeri tersebut membina Tembok Besar masing-masing di kawasan pergunungan. Pada tahun 221 sebelum Masihi, Maharaja Qinshihuang dari negeri Qin telah menyatukan China selepas mengalahkan enam buah negeri lain. Baginda menyambungkan Tembok Besar yang dibina oleh pelbagai negeri sepanjang lebih 5000 kilometer itu untuk menangkis serangan kaum nomad di padang rumput Mongolia di utara.

Selepas Dinasti Qin, pemerintah dinasti Han telah memanjangkan Tembok Besar itu hingga lebih 10 ribu kilometer. Dalam masa selama lebih 2000 tahun yang lalu, pemerintah pelbagai dinasti di China masing-masing telah membina Tembok Besar, hingga panjang keseluruhannya mencatat 50 ribu kilometer, lebih panjang daripada satu lingkaran bumi. Sebagai contoh, sewaktu pembinaan Tembok Besar pada zaman dinasti Ming (1368–1644), penggunaan batu dan bata mencatat 5000 meter padu, sementara tanah sebanyak 150 juta meter padu. Jika diturap menjadi jalan yang selebar 10 meter dan setebal 35 sentimeter, panjangnya mampu mencapai dua kali lingkaran bumi! Projek Tembok Besar memang sungguh megah.

Jumlah pekerja yang membina Tembok Besar ini pun banyak sekali. Menurut catatan sejarah, selain 500 ribu orang askar, 1.5 juta orang pekerja juga dikerah dalam pembinaan Tembok Besar pada zaman dinasti Qin (221–206 sebelum Masihi). Dalam buku sejarah dinasti Sui (581–618 Masihi) juga, banyak kali dicatat pengerahan pekerja daripada puluhan ribu orang hingga beberapa juta orang untuk membina Tembok Besar.

***

Artikel ini dipetik dari majalah Dewan Budaya keluaran April 2014.