Home » 2014 » May

KEAKRABAN DAN KEMESRAAN HUBUNGAN CHINA-MALAYSIA

Oleh Zhang Hong

Bulan ini menyaksikan sambutan ulang tahun ke-40 terjalinnya hubungan diplomatik China–Malaysia. Yang dapat disaksikan sekarang ialah hubungan mesra antara rakyat dengan kerajaan kedua-dua buah negara telah terbukti mencapai tahap yang tinggi. Hal ini terpancar berasaskan persahabatan rakyat kedua-dua buah negara itu yang terjalin sejak beratus-ratus tahun yang lampau. Pada masa yang sama, kita juga patut berasa kagum terhadap pandangan jauh pemimpin kedua-dua buah negara dalam empat dekad yang lalu sehingga berjaya mengatasi kesukaran dalam menjalin hubungan diplomatik.

Pada tahun 1971, Dr. Henry Kissinger, Penolong Hal Ehwal Keselamatan Negara Presiden Amerika Syarikat ketika itu, melawat China. Lawatan beliau itu memberikan isyarat kepada dunia bahawa China dan Amerika Syarikat akan menjalin hubungan diplomatik. Ekoran daripada itu, banyak negara turut menyatakan kesediaan untuk menjalin hubungan diplomatik dengan China.

Pada masa yang sama, Perdana Menteri Malaysia ketika itu, Tun Abdul Razak Hussein, mengemukakan pandangan bahawa ASEAN perlu mengekalkan sikap berkecuali dalam hubungan dengan kuasa besar, termasuk Amerika Syarikat, Kesatuan Soviet dan China. Dengan hal yang demikian, Malaysia terlebih dahulu menyemai bibit hubungan dengan kuasa besar Asia itu. Yang dapat dikatakan ialah bahawa semua halangan hubungan antara kedua-dua buah negara berjaya dihapuskan. China dan Malaysia seperti sepasang kekasih yang baru jatuh cinta dan mula mencuba untuk saling mendekati.

Pada bulan Mei 1971, Pengerusi Pernas, Tengku Razaleigh Hamzah, mengetuai rombongan perdagangan Malaysia menyertai Ekspo Perdagangan Guangzhou di China. Perdana Menteri China ketika itu, Zhou Enlai, dan Naib Perdana Menteri, Li Xiannian, telah mengadakan pertemuan dengan rombongan Malaysia itu. Pertemuan itu menandakan bahawa China telah mengubah pendirian dan mengiktiraf kedudukan Malaysia sebagai negara yang berdaulat. Sebagai lanjutan pertemuan itu, China menghantar rombongan pertama ke Malaysia pada bulan Ogos 1971. Rombongan itu mewakili Persatuan Penggalakan Perdagangan Antarabangsa China.

Dalam lawatan rombongan China tersebut, kedua-dua pihak telah menandatangani beberapa perjanjian perdagangan dua hala. Lawatan tersebut memainkan peranan besar dalam mendorong proses penjalinan hubungan diplomatik China–Malaysia. Ketika Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu yang diadakan pada bulan Oktober tahun itu, Malaysia menyokong pemulihan kerusi Republik Rakyat China dalam organisasi tersebut.

Dalam sejarah diplomatik China, tindakan yang disebut sebagai “diplomasi pingpong” sangat terkenal kerana peranan pentingnya dalam usaha menjalin hubungan diplomatik China–Amerika Syarikat . Sebenarnya, diplomasi pingpong juga pernah memainkan peranan penting dalam penjalinan hubungan diplomatik China–Malaysia. Pada tahun 1971, Pengerusi Persatuan Pingpong Malaysia, yang juga rakan baik Abdul Razak, Tan Sri Michael Chen Wing Sum, mengetuai pasukan pingpong Malaysia menyertai Kejohanan Pingpong Asia, Afrika, dan Amerika Latin yang diadakan di Beijing. Beliau mengambil peluang menyampaikan surat Perdana Menteri Malaysia itu, yang ditulis atas nama Pengerusi Majlis Olimpik Malaysia, kepada Zhou Enlai.

Diplomasi pingpong bukan sahaja meningkatkan hubungan antara rakyat kedua-dua buah negara, malah terus mendorong proses jalinan hubungan diplomatik China–Malaysia. Bermula pada bulan Jun tahun itu, rundingan bagi menjalin hubungan diplomatik antara China dengan Malaysia diadakan di New York. Sebagai hasilnya, satu persetujuan berjaya dicapai.

Artikel ini dipetik dari majalah Dewan Budaya keluaran Mei 2014.

MELESTARIKAN HUBUNGAN MALAYSIA-CHINA

Oleh Awang Sariyan

Tarikh 31 Mei 2014 menandai ulang tahun ke-40 hubungan diplomatik antara Malaysia dengan Republik Rakyat China, sebagai hasil langkah berani dan proaktif Perdana Menteri kedua Malaysia, Tun Abdul Razak Hussein. Sejak terjalinnya hubungan diplomatik itu, kerjasama antara kedua-dua buah negara kian hari kian mekar dalam pelbagai bidang, antaranya politik, ekonomi, pendidikan dan kebudayaan. Musibah kehilangan pesawat MAS MH 370 yang sebahagian besar penumpangnya warganegara Republik Rakyat China, meskipun tampak ada kesannya, terutama dalam kalangan sebahagian warganegara negara itu, setakat ini tidak menjejaskan hubungan baik pada peringkat kepemimpinan negara.

Sejarah interaksi antara tamadun Melayu dengan tamadun China cukup panjang. Pembicaraan yang dapat dikira tuntas tentang hal itu terdapat dalam buku Hubungan Empayar Melaka-Dinasti Ming Abad Ke-15 karangan Prof. Liang Liji, Profesor Pengajian Melayu/Indonesia di Universiti Peking. Beliau menyandarkan kupasannya pada sumber China yang dicatat dalam zaman dinasti China dahulu kerana semenjak zaman dinasti Xia (2140-1711 SM) Dinasti Shang (1722-1066 SM), sudah wujud tradisi pencatatan sejarah oleh pegawai istana yang dikenal sebagai Shi Guan. Sistem pencatatan sejarah diraja itu mencapai kesempurnaan pada zaman dinasti Han (206 SM-220 M).

Dalam hubungannya dengan interaksi tamadun Melayu-China, Ming Shi Lu (Rekod Hal Ehwal Dinasti Ming) menjadi sumber utama yang memerikan hubungan dengan kesultanan Melaka pada abad ke-15. Di samping itu, banyak sumber lain dalam bentuk buku sejarah rasmi dan tidak rasmi yang mencatat hubungan dengan Melaka, seperti Ming Shi (Sejarah Dinasti Ming), Ming Tong Dian (Almanak Umum Dinasti Ming), Ming Hui Dian (Kumpulan Dokumen Dinasti Ming), Xian Bing Lu (Rekod Tetamu Negara) dan Deng Tan Bi Jiu (Catatan Hal Ehwal Kerajaan). Ada pula tulisan cendekiawan China yang mendampingi Laksamana Zheng He (Ceng Ho) dalam kunjungan ke alam Melayu.

Namun begitu, beberapa lama sebelum abad ke-15 yang menandai hubungan China dengan Melaka sebagai kerajaan Melayu yang paling masyhur, telah wujud hubungan antara dua wilayah itu, yang menurut Liang Liji telah berlangsung selama 1500 tahun lebih. Sumber sejarah China terawal yang mencatat hubungan China dengan alam Melayu ialah Han Shu-Di Li Zhi (Kepustakaan Dinasti Han-Catatan Geografi).

Sumber itu memerikan pelayaran utusan Maharaja Wu Di (140 SM-87 SM). ke India yang melalui Semenanjung Tanah Melayu dan sambil itu melakukan perniagaan barter dengan negeri di Asia Tenggara dan Asia Selatan. Hubungan yang khusus merujuk alam Melayu berlaku dalam zaman dinasti Han. Dicatat dalam Hou Han Shu (Kepustakaan Dinasti Han Zaman Kemudian) dengan pemerian bahawa pada tahun 131 Masihi, kerajaan Ye Diao yang dipercayai berada sama ada di Jawa ataupun Sumatera telah mengirimkan ufti kepada maharaja China dan kemudian maharaja China menganugerahkan hadiah kepada raja itu pula.

Sumber sejarah China memerikan hubungan kerajaan China dengan kerajaan di alam Melayu dengan agak rinci, dari permulaan yang dirintis secara jelas dalam dinasti Han itu dan diikuti siri hubungan dalam dinasti sesudahnya. Namun begitu, menurut Liang Liji, oleh sebab sesudah dinasti Han kestabilan dalam negara China kurang baik, maka hubungan dengan alam Melayu sering terputus-putus dan tidak bersinambung. Demikian pula pada waktu belum ada kerajaan Melayu yang betul-betul besar sehingga hubungan tidak begitu akrab. Hubungan China dengan alam Melayu melonjak ke peringkat yang lebih tinggi sesudah munculnya dinasti Tang (618-907 M) dan empayar Sriwijaya di alam Melayu pada abad ke-7.

Hubungan antara dua buah kerajaan besar, yang satu di Asia Timur dan yang satu di alam Melayu, itu mempunyai signifikan yang khusus dalam konteks interaksi tamadun, yang bukan hanya terbatas pada hubungan dagang semata-mata, malah menjangkau hubungan kebudayaan, pemikiran dan sistem kepercayaan. Bagi dinasti Tang, kesuburan kegiatan pendeta Buddha di Sriwijaya menjadi pangkalan terbaik untuknya mengembangkan ajaran agama itu di luar wilayahnya dan pada waktu itu, bahasa Melayu kuno yang sangat kuat dipengaruhi oleh bahasa Sanskrit menjadi wahana pemahaman bahasa Sanskrit bagi para pendeta Buddha.

Kegiatan Pendeta Yi Jing (I-Cing) yang tinggal selama enam bulan di ibu kota Sriwijaya dengan misi memperdalam pengajian agamanya, di samping membantu memperluas kegiatan agama Buddha di negara itu, dengan jelasnya memperlihatkan keakraban hubungan antara dua buah negara dan tamadun itu. Selain soal agama, aspek adat istiadat, budi bahasa, dan aspek kebudayaan lain di alam Melayu turut mendapat perhatian Yi Jing sehingga empayar Sriwijaya dipandang begitu tinggi oleh dinasti Tang sebagai pusat tamadun besar di alam Melayu.

Keakraban hubungan antara China dengan alam Melayu dilanjutkan oleh dinasti Song (960-1279 M.) dan dinasti Yuan (1206-1368 M.). Dalam tempoh kedua-dua dinasti itu, hubungan dengan Sriwijaya dan Jawa lebih tertumpu pada bidang perniagaan meskipun aspek kebudayaan tetap berlangsung terus. Zaman gemilang hubungan antara dua tamadun itu berlaku dalam zaman dinasti Ming pada abad ke-15, sehingga Liang Liji mengungkapkan bahawa “lembaran sejarah ini patut dicatat dengan tinta emas kerana pencapaiannya tiada tandingannya lagi dalam sejarah kedua-dua bangsa.”

Artikel ini dipetik dari majalah Dewan Budaya keluaran Mei 2014.

Posted in: Fokus, Pilihan Utama

BERUANG MATAHARI DAN BERUANG PANDA

Di kedua-dua buah negara, ada spesies beruang. Negara ini mempunyai beruang matahari, yang tidak begitu dikenali berbanding dengan harimau, kancil atau penyu. China pula memiliki beruang panda, yang lebih terkenal di seluruh dunia kerana kerap digunakan sebagai wahana diplomasi, dan lebih besar fizikalnya berbanding dengan beruang matahari.

Pada hari ini, hubungan persahabatan Malaysia-China sedang melalui fasa paling yang getir sejak terjalin 40 tahun yang lalu atau sejak abad ke-15 jika diambil kira hubungan antara kesultanan Melaka dengan dinasti Ming. Ada dua peristiwa yang menjadi puncanya, yang dijangka memberikan kesan yang tidak baik jika gagal ditangani dengan bijaksana.

Yang pertama, kehilangan pesawat MAS MH 370 sejak 8 Mac yang lalu. Hal ini dikatakan demikian kerana 153 orang daripada sejumlah 227 orang penumpang warga China. Sehingga makalah ini ditulis, pesawat itu telah 38 hari hilang. Pasukan pencari dan penyelamat masih berusaha keras untuk mengesannya di Lautan Hindi.

Yang kedua, penculikan seorang pelancong China, bersama-sama seorang pekerja warga Filipina, di sebuah pusat peranginan di perairan Semporna, Sabah, pada 2 April yang lalu. Kumpulan yang dikaitkan dengan Abu Sayyaf menuntut wang tebusan berjumlah RM36.4 juta untuk pembebasan warga China itu sahaja. Yang menariknya, daripada 61 orang pelancong di situ, 59 orang warga China.

Penangguhan kedatangan Feng Yi dan Fu Wa ke negara ini dikatakan diambil sebagai langkah untuk menenangkan keadaan kerana kedua-dua peristiwa yang tidak dijangka itu. Kedua-dua ekor beruang panda itu, yang dijadualkan tiba pada hari terakhir bulan ini, akan menginap di “kediaman” bernilai RM25 juta di Zoo Negara selama 10 tahun. Anak pasangan ini pula akan menjadi “pemegang MyKad”.

Pada hakikatnya, hubungan persahabatan Malaysia-China tidak boleh dibiarkan merosot hanya kerana kedua-dua peristiwa itu. China rakan dagang terbesar Malaysia dalam kalangan negara ASEAN. Syarikat China banyak melakukan pelaburan di negara ini. Sebagai contoh, Great Wall Motor Company Limited membuka kilang pemasangan kenderaan yang mampu menjanakan 4000 pekerjaan menjelang tahun 2018. Yang pasti, kesan negatif tetap ada, terutama dalam sektor pelancongan, tetapi kesan itu perlu diminimumkan.

Kunjungan Perdana Menteri ke Beijing pada akhir bulan ini kini kelihatan lebih penting selain meraikan sambutan 40 tahun hubungan diplomatik Malaysia-China. Hubungan persahabatan yang baik, yang telah terjalin sejak sekian lama, perlu ditingkatkan dengan tidak membiarkan apa-apa sahaja masalah berlarutan. Kedua-dua buah negara perlu menilai hubungan itu kembali, terutama manfaat yang diperoleh, dan memandang jauh ke hadapan.

Jika Beijing bersetuju untuk menghantar beruang panda ke negara ini untuk mengukuhkan tali persahabatan, barangkali ada baiknya jika Kuala Lumpur membalas hantaran itu dengan mengirimkan beruang matahari pula. Hubungan antara kedua-dua buah negara akan terus wujud selagi ada kedua-dua spesies beruang itu.

Armin Azhari Saleh

Artikel ini dipetik dari majalah Dewan Budaya keluaran Mei 2014.