Home » 2014 » June

BANK PERTAMA CHINA PINGYAO

OLEH LIN YING

Provinsi Shanxi, yang terletak tidak begitu jauh dari Beijing, merupakan destinasi utama saya dalam beberapa perjalanan dengan memandu kereta. Hal ini dikatakan demikian kerana terdapat begitu banyak tapak peninggalan sejarah dan artifak yang bernilai tinggi di provinsi itu. Antara tapak peninggalan sejarah di situ yang amat saya minati termasuklah kota purba Pingyao. Sudah tiga kali mengunjunginya, masing-masing pada tahun 2000, 2009 dan 2010.

Kota Pingyao mula dibina pada abad kesembilan sebelum Masihi. Kota yang berbentuk empat segi ini, berkeluasan 2.25 kilometer persegi. Bangunan utama di kota purba Pingyao, yang dipelihara sehingga sekarang, dibina pada 600 tahun yang lalu. Tembok kota, jalan, rumah kediaman, kedai, dan kuil dijaga dengan amat baik.

Reka bentuk dan susunan kota purba ini memperlihatkan kebudayaan tradisional China yang sudah diwarisi selama beberapa ribu tahun. Yang dapat dikatakan ialah bahawa kota purba ini merupakan muzium sejarah yang menggambarkan seni bina zaman dinasti Ming dan Qing, iaitu dari tahun 1368 hingga tahun 1911.

Tembok kota purba Pingyao mempunyai kepanjangan lebih daripada 6000 meter. Tingginya pula 12 meter. Terdapat enam buah pintu keluar masuk di empat belah tembok kota yang berbentuk umpama seekor kura-kura. Dalam kebudayaan tradisional China, kura-kura merupakan lambang umur yang panjang. Arkitek dan pembina kota purba Pingyao berharap agar kota purba ini dapat wujud dengan kukuhnya untuk selama-lamanya, seperti kura-kura. Seperti yang diharapkan oleh mereka, kota purba Pingyao telah berusia lebih daripada 2800 tahun.

Jalan yang dibina menyusur garis tengah dari utara ke selatan merupakan jalan utama kota purba Pingyao. Jalan bujur dan jalan lintang dibina dengan teraturnya. Hal ini menyebabkan susunan kota purba ini rapi dan menarik.

Kebanyakan rumah di kota purba Pingyao merupakan rumah kediaman yang dibina dengan menggunakan bata berwarna kelabu dengan pekarangan tradisional. Rumah dalam pekarangan dibina berbentuk simetri di kedua-dua belah garis tengah. Banyak yang hanya terdapat di bahagian barat laut China. Pahatan kayu dan bata yang halus dan guntingan kertas yang cantik, seni kraf tangan kalangan rakyat, memperlihatkan gaya tempatan yang unik.

Antara lebih daripada 4000 buah rumah yang dibina pada zaman dinasti Ming dan Qing yang masih wujud di sini, terdapat lebih daripada 400 buah rumah yang masih dijaga dengan baiknya. Begitu banyak rumah purba di satu tempat dan dijaga dengan baiknya – amat jarang-jarang terdapat di tempat lain di China.

Bangunan enam buah kuil dan kedai di kedua-dua belah jalan yang wujud sekarang merupakan bangunan yang dibina pada zaman purba. Bangunan rumah, yang dibina dengan bata kelabu dan beratap genting gelis berwarna kuning dan hijau, memperlihatkan sistem hierarki jawatan pemiliknya pada zaman purba. Bangunan lama tersebut menggambarkan kemajuan ekonomi, kemakmuran pasaran, dan kehidupan masyarakat di kota purba itu pada zaman silam.

Artikel ini dipetik dari majalah Dewan Budaya keluaran Jun 2014.

KESAN “ZAMAN GELITA” TERHADAP PERKEMBANGAN ILMU

Oleh Dzulkifli Abdul Razak

Rata-rata pusat ilmu terkemuka terletak di dunia Barat, di institusi pengajian yang ditubuhkan sekitar abad ke-14 dan menggunakan bahasa Inggeris sebagai asas penyampaian dan penjanaan ilmu tersebut. Hal ini bukannya kebetulan jika kita sorot kembali kesan perubahan tamadun terhadap perkembangan ilmu.

Pada satu ketika, lebih awal sebelum abad ke-14, halnya agak berbeza kerana pusat ilmu berada di dunia sebelah Timur dan bahasanya juga bahasa lain, termasuk bahasa Arab dan bahasa al-Quran. Persoalannya, bagaimana perubahan ini boleh berlaku dan apakah kesannya kepada perkembangan ilmu sejagat?

Jika diimbas semula perkembangan ilmu di dunia Barat dan di Eropah Barat, khasnya, kita akan lebih memahami cara perkara ini berlaku. Sekali gus keterangan ini akan membantu menyedarkan kita bahawa peradaban ilmu bukan Barat, khususnya Asia, memainkan peranan yang amat penting dalam pembentukan tamadun ilmu di dunia Eropah tersebut. Malangnya, lazimnya hal ini tidak diketahui umum kerana diselindungi oleh peristiwa yang dinamai “Zaman Gelita”.

Tamadun Awal

Seperti yang dimaklumi umum daripada sejarah awal, antara tamadun ilmu terawal muncul dari kawasan sebelah timur di daerah meliputi lembah dan sungai, amnya, termasuklah kawasan Timur Tengah, terutama Mesopotamia (Sumer) berdekatan dengan Sungai Euphrates dan Sungai Tigris di sempadan Iraq hari ini. Tidak ketinggalan juga di Mesir di sekitar Sungai Nil, selain tamadun di Lembah Indus, India, atau di Sungai Huang He di China (rajah 1). Umumnya dari kawasan Asia inilah merebaknya tamadun ke kawasan lain berserta dengan perkembangan ilmu hasil daripada berbagai-bagai penemuan yang dilakukan oleh cendekiawan dan sarjana Asia, baik Arab, India mahupun China.

Di samping itu, terdapat juga tamadun Yunani dan Rom yang turut berkembang, tetapi beransur-ansur merosot kerana beberapa sebab – pertembungan ketenteraan dan peperangan, isu sosioekonomi, seperti pembaziran sumber serta kekayaan, dan politik, seperti ketidakadilan dan penyelewengan tadbir urus. Kemerosotan ini membuatkan pusat tamadun di Asia menjadi lebih terserlah dan lebih berpengaruh kerana ilmu mula mengalir ke situ dan membolehkan berbagai-bagai penemuan penting dilakukan untuk memperluas bidang ilmu lagi.

Misalnya, antara penemuan yang dilakukan termasuklah sumbangan tamadun Mesir dalam bidang matematik, terutama geometri yang memungkinkan pembinaan struktur hebat, seperti piramid. Dari tamadun China, lahir bahan letupan, penggunaan wang, dan penciptaan kertas, selain sistem penulisan dan angka, termasuk “sifar” dari tamadun India.

Contoh yang lebih khusus lagi datangnya daripada pelayaran dan pengembaraan lebih daripada 700 tahun yang lalu oleh Ma He, orang berketurunan Islam yang lebih dikenal sebagai Zheng He (Cheng Ho). Pelayaran ini menampakkan betapa tingginya tamadun Timur berbanding dengan tamadun Barat, bukan sahaja daripada keupayaannya, tetapi juga kemampuan teknologi serta peralatan yang ada. Walau apa-apa pun, gambaran serta fakta seumpama ini jarang-jarang sekali diwara-warakan – seolah-olah hal ini tidak penting atau tidak berlaku. Keadaan sedemikian dibiarkan berleluasa kerana pegangan bahawa dunia Barat wajar terlebih dahulu memberikan tanda “mohor” sebelum ilmu tersebut dianggap “berguna” dari sudut ilmu. Jika tidak, tidaklah – tidak kira jika ilmu atau maklumat itu terkubur begitu sahaja.

“Zaman Gelita”

Mengikut pandangan alam Barat, sumber ilmunya berpunca daripada pengaruh Yunani dan Rom sejak abad kelima, khasnya ilmu falsafah Yunani dan perundangan Rom, dan bukan dari tamadun lain. Oleh sebab kefahaman Kristian juga berpengaruh dalam masyarakat Rom sejak awal, tidak dapat satu lagi asas pandangan alam yang dianjurkan oleh pandangan Barat mengikut apa-apa yang disimpulkan oleh gereja pada ketika itu. Hal ini bermakna berlakunya “loncatan” ilmu dari abad kelima hingga lewat abad ke-14 umumnya berasaskan adunan tiga dimensi (Yunani-Romawi-Kristian) tadi sebagai asas utama ilmu bagi dunia Barat. Keadaan ini menjangkau anggaran 1000 tahun antara abad kelima hingga ke-14 yang diandaikan oleh pandangan Barat sebagai tidak penting bagi mereka atas andaian bahawa tidak ada apa-apa yang dikira mustahak berlaku untuk diambil kira, apalagi sebagai sesuatu yang berpengaruh kepada masyarakat Barat.

Oleh itu, tidak hairanlah jika jangka masa 1000 tahun tersebut digelar oleh mereka sebagai “Zaman Gelita” untuk membayangkan kegelapan tamadun pada masa itu, yakni tidak terdapat tamadun lain (khususnya yang terbit daripada sumber bukan Barat) yang wajar diberi perhatian. Dengan kata lain, pada masa “Zaman Gelita” antara abad kelima hingga ke-14, tamadun Asia kurang berperanan memupuk tamadun dunia yang didominasi oleh tamadun Barat semata-mata (rajah 2). “Zaman Gelita” tersebut bermula agak serentak dengan kemerosotan empayar Rom yang kemudiannya dipengaruhi dengan lebih ketara oleh ajaran Kristian, terutama semasa Maharaja Constantine menjadi Kristian dan menjadikannya sebagai agama seluruh empayar pemerintahannya.

Ekoran daripada itu, tamadun Barat mentakrifkan berkembangan tamadunnya sendiri bermula dengan kemunculan fasa Renaissance (kebangkitan atau pembaharuan) sekitar abad ke-14 (rajah 2). Sekali gus hal ini menamatkan “Zaman Gelia” hasil daripada tercetusnya “revolusi saintifik” (pada abad ke-15 dan ke-16) serta muncul pula “Zaman Industri” selepas itu. Perkara ini ada kena-mengenanya dengan beberapa penemuan baharu yang mendorong perkembangan ilmu melalui hal yang dikenal sebagai “kaedah/pemikiran saintifik.” Pada tahun 1700-an, kaedah ini menjadi teras kerangka zaman kesedaran (age of enlightenment) apabila akal pemikiran saintifik diletakkan pada peringkat paling tinggi, merintis teori baharu dalam usaha mengenali alam semesta dengan lebih dekat.

Artikel ini dipetik dari majalah Dewan Budaya keluaran Jun 2014.

Posted in: Fokus, Pilihan Utama

LAKSAMANA ARMADA ILMU

Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dapat dianggap sebagai universiti tidak formal. Hal ini dikatakan demikian kerana institusi tersebut banyak menerbitkan bahan ilmiah dalam pelbagai bidang. Demikian pandangan yang dizahirkan oleh Tan Sri Dr. Yusof Noor, presiden Universiti Diraja Universiti Islam Malaysia, ketika melancarkan Tafsir Maudhu’iy di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur, pada 3 Mei 2014 yang lalu.

DBP sewajarnya mengambil peranan sebagai Baitul Hikmah yang wujud dari abad ketujuh hingga abad ke-15 di Baghdad. Hal ini dikatakan demikian kerana institusi itu merupakan gedung yang banyak menyimpan ilmu. Demikian pendapat yang disuarakan oleh Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak, presiden Persatuan Antarabangsa Universiti dalam Wacana Fikrah Ummah: Pengaruh Tamadun Terhadap Perkembangan Ilmu di DBP Kuala Lumpur pada 21 April 2014 yang lalu.

Testimoni kedua-dua orang tokoh ternama itu menjadi bukti kewajaran kewujudan DBP sejak tahun 1956. Sejak itu – lebih tepat lagi 22 Jun – hingga kini, DBP bergerak sebagai salah sebuah agensi utama bagi menjayakan program pengisian kemerdekaan. Dalam prakarsa ini, tugas, peranan, dan kegiatan institusi “tenaga jiwa bangsa” itu berbeza daripada agensi lain. Bidang tugas dan peranan institusi tersebut lebih terfokus pada segi pembinaan dan penyuburan ilmu pengetahuan, di samping merangsang kecendekiaan pemikiran. DBP berfungsi sebagai badan perancang bahasa dan sastera (kedua-dua fungsi ini memang diketahui umum), serta pengisi kepustakaan ilmu negara (fungsi ini sering terlepas perhatian banyak pihak) melalui penerbitan bahan bacaan dan rujukan pelbagai bidang dalam bahasa Melayu.

Tatkala segelintir penulis mapan dan orang yang rapat dengan golongan itu kelihatan “lari” meninggalkan DBP menujui tempat yang dapat memberikan lebih “kepuasan”, institusi “nyala membakar semangat rakyat” itu tetap berdiri kukuh berusaha untuk mengatasi masalah tersebut dengan melahirkan kumpulan pelapis – tidak merintih atas “kehilangan” tersebut – selaras dengan matlamat kedua penubuhannya. Ketika bahan bacaan terbitannya kelihatan semakin “tersembunyi” dalam pasaran, tanpa mengenal jemu dan penat lelah, DBP terus gigih melaksanakan penerbitannya – bahan bacaan yang kerap kali merugikan dari segi kewangan, tetapi menguntungkan dari sisi pembinaan dan penyebaran ilmu – selaras dengan matlamat ketiga penubuhannya. Yang pastinya, DBP tidak akan sama sekali berundur daripada menjalankan tugas dan tanggungjawab yang telah diamanahkan kepadanya sejak 58 tahun yang lalu walau apa-apa pun yang berlaku yang kelihatan tidak memihak kepadanya atau memudaratkannya – bujur lalu lintang patah.

Pada hakikatnya, negara ini masih “muda” jika dibandingkan dengan, sebagai contoh, United Kingdom, Amerika Syarikat dan Perancis. Oleh hal yang demikian, yang tidak dapat dinafikan ialah bahawa negara ini masih belum mempunyai tradisi budaya keilmuan yang kukuh. Maka di sinilah peranan yang akan dimainkan dan terus dimainkan oleh DBP dalam tahun-tahun mendatang, selagi hayat dikandung badan – membina dan menyebarkan ilmu dalam pelbagai ranah bagi memenuhi keperluan masyarakat negara ini, dan tentunya dalam bahasa Melayu. Institusi “api dari suatu zaman, kesaktian lidah rakyat” itu akan terus mendukung citra sebagai ejen pembangunan tamadun bangsa dalam bahasa Melayu.

DBP laksana laksamana yang mengemudikan armada di samudera yang luas terhampar. Dirgahayu, DBP!

Armin Azhari Saleh

Artikel ini dipetik dari majalah Dewan Budaya keluaran Jun 2014.