Home » 2014 » August

WUYUAN KAMPUNG TERCANTIK DI CHINA

Oleh Dong Xia Ping

Senja sudah berlabuh ketika saya tiba di Kampung Likeng. Saya melihat sebatang pokok kapur barus besar yang daunnya hijau dan subur. Batang pokoknya ditempel dengan tangkal yang telah dibaca doa untuk keselamatan dan sebilah pisau kecil yang dibalut benang sutera merah untuk menghalau hantu. Pokok besar ini bagaikan pelindung kampung tersebut.

Saya tinggal di inap desa milik Pak Yu. Pada awal pagi lagi, saya terjaga daripada tidur apabila terdengar bunyi rintik hujan yang menimpa kaca tingkap. Saya cepat-cepat turun ke bawah dan mendapati bahawa Pak Yu sekeluarga sudah bersiap untuk upacara memuja nenek moyang mereka. Anak sulungnya menjinjing beberapa ikat mercun; anak bongsunya mengangkat sebuah meja kuno yang panjang tempat menghidang makanan; dan Pak Yu sendiri membawa dupa dan lilin. Saya bersama-sama mereka berjalan di atas jalan batu yang berliku-liku itu hingga tempat pemujaan. Hari masih gelap, cahaya lampu yang berwarna jingga di kedua-dua belah jalan memberikan sedikit kehangatan pada waktu subuh ini.

Selepas berjalan kira-kira 10 meter, terdapat jambatan batu yang menuju ke sebuah bangunan kuno. Inilah rumah kuno milik keluarga Pak Yu. Rumah ini besar dan luas dengan atapnya berwarna hitam dan dindingnya yang putih. Ketika pintu itu dibuka, saya seolah-olah seperti kembali ke zaman purbakala. Mata saya terpaku menatap ukiran yang diperbuat daripada kayu-kayan yang sangat halus yang dianggarkan berusia ribuan tahun.

Di Wuyuan, ukiran kayu bukanlah hal yang luar biasa. Di mana-mana sahaja, rumah penduduk pasti terdapat tingkap dan tiang berukir. Pelbagai jenis ukiran dapat ditemukan di sini – pintu besar diukir dengan huruf Cina, atau ukiran bunga-bungaan dan burung yang tampak hidup di permukaan perabot. Sesiapa pun pasti akan mengagumi keunikan seni itu.

Pak Yu menyalakan dupa dan lilin yang diletakkan di atas meja kuno yang panjang. Anaknya membakar mercun di luar. Keluarga ini mula menjalankan upacara memuja nenek moyang mereka.

Selepas upacara itu, kami bersama-sama balik untuk bersarapan. Qingmingguo (sejenis makanan yang rupanya macam ladu) menjadi makanan kegemaran saya. Kulitnya berwarna hijau, rasanya enak dan lembut, serta berbau wangi herba menyegarkan.

Hari yang gelap sudah terang. Hujan gerimis menyapa jalan batu di kampung ini dan kabus nipis kelihatan menyelubungi puncak bukit. Setelah sarapan, Pak Yu meletakkan dupa, lilin, mercun, qingmingguo, dan arak beras ke dalam bakul, lalu memanggil saya dan anaknya untuk bersama-sama menziarahi dan membersihkan kubur kaum keluarga mereka di sebuah bukit kecil.

Ketika saya berada di lereng bukit, saya dapat melihat pemandangan panoramik kampung ini. Pak Yu dan anaknya menyalakan colok, meletakkan makanan di hadapan jirat kaum keluarga, dan menimbunkan tanah di atas jirat lama supaya jirat itu menjadi lebih tinggi dan kukuh. Bunyi mercun bergema di seluruh lembah. Mereka menjalankan upacara penyembahan dan mencurahkan arak beras di hadapan jirat sebagai doa agar memperoleh tuaian yang baik.

Semasa dalam perjalanan balik, saya terpesona dengan alam sekitar Kampung Wuyuan yang terpelihara dengan amat baik. Pemandangan indah kampung ini dihiasi pokok yang subur, anak sungai yang bening, jambatan batu yang melewati anak sungai, dan laluan sempit yang melalui deretan rumah yang bercirikan seni bina Huizhou.

Pak Yu memberitahu saya bahawa sebenarnya feng shui telah memberikan banyak pengaruh kepada orang tempatan. Amalan feng shui bukan sahaja digunakan dalam pemilihan tapak bangunan, tetapi juga memberikan kesan terhadap tingkah laku mereka setiap hari.

Menurut amalan feng shui, qi (tenaga) akan dibawa oleh angin, manakala air akan menampungnya. Orang kuno pandai mengumpulkan qi supaya tidak akan tersebar dan menjadi tenaga yang positif. Sejak zaman dahulu, penduduk Wuyuan mula memelihara gunung naga dan hutan di belakang kediaman kampung secara sukarela.

Hal ini dilakukan kerana mereka percaya bahawa gunung naga dan hutan ini mengumpulkan angin dan qi di “gua naga” (iaitu tapak kampung), menjadikan kampung ini stabil dan makmur. Perkara ini dikekalkan turun-temurun. Oleh itu, pemandangan ini menjadi satu daripada faktor penting yang menyebabkan Wuyuan diberi gelaran kampung yang paling cantik di negara ini.

Artikel ini dipetik dari majalah Dewan Budaya keluaran Ogos 2014.

MEMBINA JAMBATAN MUHIBAH

Oleh Eh Dheng Eh Chik

Malaysia didiami oleh masyarakat majmuk. Apabila sesebuah negara itu bersifat majmuk, sudah pasti akan wujud jurang perpisahan antara pelbagai golongan masyarakat dengan etnik yang memiliki bahasa, budaya, kepercayaan, dan adat resam yang berbeza. Di Malaysia, perpisahan secara fizikal sudah wujud pada zaman kesultanan Melayu Melaka lagi. Keadaan ini diwujudkan untuk memudahkan sistem pentadbiran dengan golongan pendatang itu diletakkan di bawah ketua masing-masing. Oleh sebab itu, muncul penempatan kaum Cina, India, Jawa, Arab dan lain-lain.

Penempatan pada zaman kesultanan Melaka agak berbeza jika dibandingkan dengan penempatan pada zaman penjajah. Kaum pendatang pada masa itu tidak banyak jika dibandingkan dengan zaman penjajah Inggeris. Walaupun pada peringkat awalnya kedatangan kaum ini hanya untuk sementara waktu, akhirnya ada antara mereka yang terus menjadi penduduk tetap sehingga banyak menimbulkan masalah, khususnya dalam soal perkauman. Oleh sebab kaum pendatang ini ditempatkan di kawasan fizikal yang berbeza, dengan corak ekonomi yang tidak sama dan penggunaan bahasa yang tidak serupa, timbullah berbagai-bagai isu tidak kepuasan antara kaum. Mereka jarang-jarang berinteraksi antara satu sama lain kerana jurang perpisahan dalam pelbagai aspek.

“Interaksi budaya merupakan satu proses yang penting dalam memupuk persefahaman dan perpaduan kaum. Sekiranya etnik-etnik tidak bergaul antara satu dengan yang lain, malah berpisah-pisah, tanpa berinteraksi antara budaya, maka kemungkinan besar akan timbul salah faham dan syak wasangka antara satu sama lain.” Demikian kata Profesor Madya Dr. Ting Chew Peh (sekarangTan Sri).

Rukun Negara merupakan elemen penting dan khazanah yang paling berharga untuk rakyat Malaysia yang berbilang kaum. Untuk mencapai tahap negara maju, sudah pasti sesebuah negara itu perlu aman dan damai. Bagi mencapai hasrat negara yang aman dan damai, rakyat Malaysia wajib mengamalkan Rukun Negara secara tulus dan ikhlas. Oleh sebab itu, semua bangsa yang mendiami bumi Malaysia perlu memahami inti pati dan falsafah yang tersirat dalam Rukun Negara secara mendalam dan menyeluruh.

Bagi mencapai hasrat ini, rakyat Malaysia perlu menghormati sensitiviti kaum dan bangsa tanpa menyentuh perkara yang berkaitan dengan agama, budaya, ideologi, cara hidup, serta kepercayaan masing-masing. Langkah ini perlu diteruskan sampai bila-bila supaya generasi baharu dapat memahami isi yang terkandung dalam Rukun Negara dan meneruskan amalan ini supaya Malaysia sentiasa aman dan damai.

Menurut UNESCO, pada masa ini, dianggarkan terdapat lebih daripada 6000 bahasa yang digunakan di seluruh dunia. Telah diketahui umum bahawa bahasa merupakan alat perhubungan antara manusia. Mereka berkomunikasi dalam satu atau dua atau tiga bahasa. Di samping itu, bahasa juga mempunyai pengertian dan makna yang dapat menggambarkan tradisi dan budaya kehidupan sesuatu masyarakat. Bahasa dianggap sebagai jambatan yang dapat menjadi alat perpaduan yang paling penting dalam menghubungkan pelbagai bangsa dan menjadi alat perpaduan antara kaum yang ada di bumi ini.

Sebagai negara yang didiami oleh penduduk berbilang kaum, Malaysia menentukan keamanan dan kesejahteraan melalui perpaduan antara kaum yang amat kukuh. Tanpa perpaduan, tidak wujud kestabilan dan keutuhan negara menjadi rapuh dan lumpuh. Rakyat Malaysia yang cinta akan tanah air sudah pasti tidak lupa akan peristiwa 13 Mei yang memusnahkan negara, menghancurkan harta benda, melumpuhkan ekonomi, dan menghancurkan perpaduan. Sudah pasti semua rakyat tidak mahu peristiwa ini berulang. Oleh sebab itu, semua pihak harus memikirkan kewujudan perpaduan nasional yang berterusan, dengan semua bangsa dan kaum menghormati antara satu sama lain demi menjaga perpaduan.

Malaysia negara maju, aman, dan makmur yang memiliki perlembagaan yang menjadi teras undang-undang yang kukuh yang mempunyai kerajaan yang dipilih oleh rakyat melalui sistem pilihan raya. Namun demikian, walaupun kita melihat dengan mata kasar bahawa Malaysia sudah memiliki asas ekonomi yang teguh dan perpaduan yang kukuh, hal ini belum pasti dapat berdiri dengan sempurnanya kerana keteguhan ini dikongsi bersama oleh berbagai-bagai etnik dan kaum yang memiliki perbezaan agama, budaya bahasa dan fahaman. Permasalahan ini memang timbul di serata dunia dan tetap akan menjadi agenda penting dalam menyusun sesuatu dengan sempurnanya supaya semua etnik akan mendapat kepuasan dalam semua aspek.

Dalam aspek penyusunan ini, pihak yang terlibat dalam soal keamanan dan kemakmuran negara perlu mengambil jalan yang cukup halus, licin, teratur, dan sempurna tanpa menggores dada mana-mana pihak. Yang terbaik sekali ialah dalam proses penyusunan itu, tidak ada pihak yang tidak berpuas hati dan syak wasangka. Untuk menjamin keutuhan dan kekuatan Malaysia, rakyat wajib bersatu padu serta berkongsi aspirasi negara yang sama. Perpaduan itu dapat dicapai melalui pembentukan bangsa Malaysia yang, sungguhpun mempunyai pelbagai etnik, agama, kepercayaan, kelas dan wilayah, masih mampu berkongsi satu bahasa dan satu budaya dengan menekankan konsep integrasi dan perpaduan nasional.

Artikel ini dipetik dari majalah Dewan Budaya keluaran Ogos 2014.

Posted in: Fokus, Pilihan Utama

MALAYSIA MUHIBAH

Suasana di restoran itu agak panas walaupun kipas siling berputar seligat-ligatnya, cuba menyamankan keadaan. Namun begitu, pengunjung – Melayu, Cina dan India serta warga asing – memenuhi setiap meja di dalam kedai itu tanpa mengira hawa yang kurang nyaman itu. Tidak ketinggalan juga pengunjung yang tercegat, cuba mencari meja kosong walaupun mengetahui keadaan yang tidak begitu selesa di dalam kedai itu.

Tauke pemilik kedai – berdiri di belakang kaunter bayaran – sibuk melayan pelanggan yang membuat bayaran selepas menikmati hidangan. Si penjual sate ligat mengipas satenya, untuk hidangan mereka yang sudah berada di dalam kedai dan mereka yang sedang berbaris – barisan semakin panjang dan sate semakin sedikit. Penjual nasi pula diam – mungkin berfikir sama ada masakan akan habis ataupun tidak kerana hari sudah petang, sungguhpun keuntungan pada hari itu pastinya telah diperoleh.

Itulah senario di Capital Cafe di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur. Setiap hari, kecuali hari Ahad, restoran itu kerap penuh dengan masyarakat Malaysia pelbagai kaum; tidak ketinggalan juga warga asing. Ada masanya mereka berkongsi meja walaupun tidak mengenali antara satu sama lain – kadangkala “terpaksa” berbual-bual untuk mewujudkan kemesraan – kerana tiada meja yang kosong. Secara tidak langsung, restoran itu menjadi mangkin pembinaan hubungan muhibah masyarakat negara ini.

Secara realitinya, selepas 57 tahun merasai nikmat kemerdekaan, hasrat untuk menyatupadukan masyarakat berbilang kaum di negara ini kelihatannya belum dapat dijayakan dengan sempurnanya. Hal ini dikatakan demikian kerana setiap kaum kelihatannya masih memperjuangkan kepentingan masing-masing tanpa melihat gambaran keseluruhannya. Yang anehnya, setiap kaum itu memahami, menerima, dan menegaskan kepentingan perpaduan kaum untuk keamanan, kestabilan, kemakmuran dan kemajuan negara. Walau bagaimanapun, pada hakikatnya, kelihatannya kepentingan kaum masih mengatasi kepentingan nasional.

Akhir-akhir ini, perpaduan yang sememangnya tidak begitu kukuh itu kelihatan dicabar dan semakin terungkai. Hal ini dikatakan demikian kerana ada pihak yang tidak mahu menghormati resam yang telah lama wujud, seperti penggunaan kalimah Allah, sehingga menyebabkan kes dibicarakan di mahkamah. Ada juga pihak yang mempertikaikan keputusan yang telah diambil – pastinya selepas mengambil kira kepentingan nasional – seperti penempatan guru bahasa Cina di beberapa buah sekolah. Inilah contoh yang dapat menimbulkan kegusaran dan kegelisahan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum yang seterusnya mampu menjejaskan keamanan, kestabilan, kemakmuran dan kemajuan negara.

Yang tidak dinafikan ialah bahawa kerajaan telah menjalankan pelbagai program untuk memastikan kegusaran dan kegelisahan yang demikian diketepikan agar tidak menjejaskan keamanan, kestabilan, kemakmuran dan kemajuan negara. Pada hakikatnya, tidaklah sukar untuk mewujudkan suasana masyarakat Malaysia yang muhibah. Cara yang paling mudah ialah menghormati antara satu sama lain. Hal ini termasuklah menghormati adat setiap kaum dan menjunjung resmi zaman-berzaman. Yang paling tidak mudah, barangkali, ialah upaya untuk melaksanakannya.

“Malaysia … di sini lahirnya sebuah cinta.” Selamat menyambut Hari Kebangsaan.

Armin Azhari Saleh

Artikel ini dipetik dari majalah Dewan Budaya keluaran Ogos 2014