Home » 2014 » October

FALSAFAH DAN CORAK PEMIKIRAN MENCIUS

Oleh Azida Ishak

Satu daripada kaedah penting untuk mengkaji sesuatu tamadun ialah kaedah atau corak pemikiran yang digunakan untuk menyokong nilai masyarakatnya. Dalam tamadun Cina, corak pemikiran yang digunakan oleh Mencius meninggalkan pengaruh yang kuat dalam sistem moral, etika dan falsafah politik. Mencius mempercayai kelahiran setiap manusia dengan sifat semula jadi yang baik dan bermoral tinggi. Tulisan Mencius, dalam buku Mencius, telah mengangkat statusnya sebagai guru terpenting dalam fahaman Confucius selepas Confucius sendiri. Fahaman Mencius berserta Confucius ini menjadi asas ideologi rasmi di China dan menjadi ikutan segenap masyarakat.

Mencius dilahirkan di daerah Shandong yang terletak lebih kurang 30 kilometer dari tempat lahir Confucius. Nama sebenarnya ialah Meng Ke, tetapi dia lebih dikenali dengan nama Mengzi (Mahaguru Meng) di kawasan Asia. Mencius merupakan ahli falsafah dan pengajar fahaman Confucius yang sangat terkenal pada akhir zaman dinasti Zhou. Dia mula bergerak aktif semasa kejatuhan empayar Zhou dan pada ketika berlakunya pergolakan yang disebut sebagai Zaman Peperangan Daerah.

Semasa zaman itu, berlakulah perebutan kuasa yang hebat apabila daerah yang besar akan cuba menakluki daerah yang kecil. Oleh sebab ketidakstabilan dan ketegangan yang terlalu memuncak, pihak berkuasa daerah sering kali mendengar pandangan ahli falsafah dan melantik mereka sebagai penasihat atau pegawai rasmi bersama.

Menurut sejarah, Mencius berhasrat untuk meyakinkan mana-mana pemimpin daerah untuk menerima konsep Dao Confucius agar dapat menghentikan pergolakan dan seterusnya berdamai. Mencius percaya bahawa seseorang pemimpin yang mempunyai moral tertinggi berupaya menyemaikan semangat harmoni dan menyatukan seluruh negara China. Seperti Confucius, Mencius mengembara dari satu daerah ke daerah lain untuk menyebarkan fahaman serta tradisi Dao Confucius. Selepas beberapa tahun, dia dilantik sebagai cendekiawan dan pegawai rasmi di Akademia Jixia di daerah Qi, satu daripada daerah yang paling berkuasa di China.

Namun demikian, sebaik-baik sahaja pemerintah Qi berjaya menarik Mencius, dia melancarkan serangan terhadap daerah besar di kawasan utara, iaitu Yan. Tindakan ini mengecewakan Mencius kerana pemerintah Qi memberitahu orang ramai bahawa serangan ganasnya itu telah mendapat persetujuan Mencius. Mencius turut beranggapan bahawa pelantikan dirinya hanyalah helah politik untuk mewajarkan serangan sedemikian, sehingga menyebabkannya membuat keputusan untuk bersara dan kembali ke tempat asalnya.

Peranan Mencius begitu bermakna dalam tamadun Cina kerana dia memperkenalkan kaedah pengajaran yang inovatif daripada aspek pemahaman politik, perkembangan diri, serta sifat semula jadi manusia. Mencius mengajar dengan berdasarkan fahaman Confucius. Falsafah politiknya menjadi ikutan banyak pihak, terutama sekali pihak berkuasa kerajaan. Ajaran Mencius meninggalkan pengaruh yang kuat bukan sahaja terhadap golongan kelas atasan dan pemimpin, malah memberikan kesan kepada sistem kepercayaan dan nilai budaya masyarakat Cina.

Hasil penulisannya, Mencius, merupakan karya klasik yang mengkaji pemikiran Confucius, dengan berdasarkan anggapan bahawa setiap manusia akan dipengaruhi oleh keadaan sekeliling untuk menjadi baik. Mencius percaya bahawa seseorang itu haruslah mencuba dengan sedaya upaya untuk mengembangkan sifat baiknya melalui pendidikan dan tabiat moral. Mencius juga menzahirkan pendapat bahawa sifat semula jadi manusia memang istimewa dan tersendiri. Ciri yang unik itu memberikan keistimewaan kepada manusia berbanding dengan makhluk lain. Kehidupan moral menjadi sifat yang membezakan manusia daripada makhluk lain.

Dalam Mencius, dia mempertahankan pendapatnya dengan membandingkan sifat semula jadi manusia dengan air. Air akan menunjukkan kecenderungan mengalir dari tempat tinggi ke tempat rendah. Hal ini sama dengan sifat semula jadi manusia yang akan menunjukkan kecenderungan terhadap perbuatan baik.

Terdapat juga pihak yang memberikan hujah bahawa air boleh dipaksa naik ke tempat lebih tinggi, seperti memercikkan air dengan tapak tangan atau membina empangan di atas bukit. Namun demikian, lebih mudah bagi air mengalir ke kawasan yang lebih rendah daripada memaksanya mengalir atau berada di tempat tinggi. Hal ini selaras dengan proses semula jadi untuk mendidik manusia supaya melakukan perbuatan bermoral daripada mendidiknya agar melakukan perbuatan tidak bermoral.

Andaian terpenting dalam Mencius ialah konsep “sifat semula jadi manusia” (xing). Dalam kaedah falsafah moden, sesuatu andaian tidak boleh disampaikan sebelum dapat membina sesuatu hujah yang mampu membuktikan bahawa terdapatnya perkara yang boleh dianggap sebagai xing. Hal ini dikatakan demikian kerana keadaan yang boleh mempengaruhi xing itu berubah-ubah. Sebagai akibatnya, keadaan ini tidak mempunyai kecenderungan tertentu, sama ada ke arah melakukan perbuatan baik ataupun ke arah perbuatan jahat. I.A. Richards dalam tulisannya, “Mencius on the Mind”, berpendapat bahawa perbincangan dalam Mencius hanya ingin menekankan hujah yang meyakinkan pembaca dan bukannya bertujuan menyampaikan hujah bercorak analitis.

Artikel ini dipetik dari majalah Dewan Budaya keluaran Oktober 2014.

PELBAGAI WARNA, SATU BANGSA

Oleh Jeniri Amir

Selepas 57 tahun merdeka dan 51 tahun pembentukan Malaysia, bagaimanakah tahap kesepaduan sosial, perpaduan, dan integrasi nasional di negara kita? Bolehkah kita dengan pastinya mengatakan bahawa kita sudah mencapai perpaduan dan integrasi nasional? Berdasarkan perkembangan yang berlaku belakangan ini, ada pihak yang berasa bimbang apabila segelintir individu dan pemimpin politik, terutama pemimpin pembangkang, bagai tidak mengendahkan isu sensitif yang membabitkan etnik, agama, hak kaum Melayu dan bumiputera, serta isu mengenai kuasa dan hak raja dan sultan.

Sentimen agama dan kaum diapi-apikan, tanpa mempedulikan implikasinya terhadap hubungan etnik. Kini timbul juga suara sumbang dalam kalangan individu tertentu di Sabah dan Sarawak untuk mengeluarkan kedua-dua buah negeri terbabit daripada Persekutuan Malaysia, tanpa menyedari bahawa perbuatan itu bukan sahaja mampu menggugat keselamatan negara, tetapi jelas berunsur hasutan. Undang-undang dan Perlembagaan Malaysia perlu sentiasa dijunjung bagi menjamin keharmonian dan keamanan negara, lebih-lebih lagi Perlembagaan Persekutuan telah digubal dengan mengambil kira kepentingan dan perspektif semua etnik. Perlembagaan Persekutuan mengambil kira soal keseimbangan. Itulah sebabnya meskipun perkara yang termaktub dalam perlembagaan tersebut bagai memberikan kelebihan dan keistimewaan kepada sesuatu etnik, terdapat perimbangan bagi setiap perkara berkenaan. Hal ini perlu difahami dan diakui oleh rakyat Malaysia.

Seharusnya selepas lebih setengah abad merdeka dan Malaysia dibentuk, persekutuan, dan integrasi nasional semakin mantap. Walau bagaimanapun, pilihan raya umum ke-13 mengubah landskap sosiopolitik di negara ini. Dengan peningkatan celik politik dan penggunaan media sosial, terutama dalam kalangan generasi muda, ruang awam semakin terbuka luas, sekali gus memberikan cabaran kepada usaha untuk mewujudkan hubungan etnik yang harmoni, aman dan damai. Sekali-sekala seolah-olah kesepaduan dan perpaduan tercabar dan bergolak.

Bersatu teguh bercerai roboh. Perpaduan semakin penting ketika kita berhadapan dengan ancaman dari luar, termasuk pencerobohan anasir jahat, seperti yang berlaku di Sabah. Perpaduan juga amat penting ketika kita menghadapi saat-saat duka sebagai ekoran tragedi yang menimpa penerbangan MH370 dan MH17. Dalam suka atau duka, kita perlu bersatu.

Perpaduan semakin penting bagi membolehkan kita melaksanakan segala macam transformasi, termasuk transformasi ekonomi yang digagaskan oleh Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd. Najib Tun Abdul Razak. Ketika hanya tinggal enam tahun lagi untuk menuju Wawasan 2020, tentu kejituan hubungan dan kesepaduan dalam kalangan pelbagai etnik semakin penting dipelihara. Perpaduan dan keharmonian dalam hubungan etnik akan menjamin kestabilan sosiopolitik, serta pertumbuhan dan kemakmuran ekonomi negara.

Dalam tempoh kurang daripada 50 tahun, kita telah berjaya muncul sebagai negara yang berpendapatan sederhana, dan sudah pasti impian untuk menjadi negara maju yang berpendapatan tinggi akan dapat dicapai jika terdapat kesepaduan dan perpaduan sosial dan integrasi nasional. Kestabilan sosiopolitik merupakan prasyarat penting pertumbuhan dan kemakmuran ekonomi. Dalam usaha untuk mencapai keharmonian hubungan etnik di negara ini, kekayaan negara dan peluang ekonomi perlu diagihkan secara adil dan saksama. Hal ini dikatakan demikian kerana jika sesuatu etnik berasa kecewa dan dipinggirkan, dan wujud jurang besar dari segi ekonomi, maka perkara ini akan menjadi bom jangka yang mampu menjerumuskan negara ke dalam kancah krisis dan pergolakan sosial.

Kita perlu menerima hakikat bahawa kita hidup di negara yang dikenali sebagai Malaysia yang terdiri daripada Semenanjung, Sabah dan Sarawak, dengan latar belakang sejarah, budaya dan etnik yang berbeza. Malaysia, dengan 28 juta orang penduduk, mempunyai Sabah dan Sarawak sahaja mempunyai 65 etnik. Jika diambil kira kelompok yang mewakili subetnik, dialek dan subbahasa, sudah tentu jumlahnya melebihi 200 buah kumpulan. Ada daripada nama etnik minoriti di Sabah yang jarang-jarang atau mungkin tidak pernah didengar, seperti etnik Sungai, Tagal. Tengara, Paitan, Lobu, Kimaragang, Kagayan, Bonggi, Bookan dan Lotud. Etnik di Sarawak, seperti Lahanan, Lisum, Longkiput, Lun Dayeh, Remun, Saban, Sihan, Tabun dan Ukit, mungkin tidak pernah didengar oleh mereka di Semenanjung, malah di Sarawak. Kewujudan etnik berkenaan telah mewarnai dan memperkaya Malaysia dari segi sejarah, budaya, kepercayaan, dialek dan lain-lain.


Pada waktu yang sama, kepelbagaian ini menjadi cabaran untuk mewujudkan kesepaduan dan perpaduan sosial. Kepelbagaian etnik ini perlu diraikan dan diterima sebagai hakikat meskipun ada perspektif yang berpendirian bahawa kepelbagaian berkenaan berpotensi untuk mencetuskan konflik dan membawa ketegangan. Dari satu segi, kita telah berjaya mewujudkan kesepaduan sosial. Seyogia diingatkan bahawa kesepaduan ialah perjalanan menuju perpaduan. Kestabilan, keharmonian, dan keamanan yang dinikmati rakyat pelbagai etnik di negara ini diiktiraf oleh Global Peace Index 2001 yang menyenaraikan Malaysia di tangga ke-19 sebagai negara yang paling stabil dan aman di dunia. Sebagai negara yang mempunyai demografi heterogen, perkara ini merupakan pencapaian yang membanggakan kerana negara lain yang mendahului Malaysia pada umumnya bersifat homogen.

Mungkinkah cogan kata kesepaduan dalam kepelbagaian dapat direalisasikan atau hanya impian dan idaman yang sukar dipenuhi? Di negara ini, sesetengah pihak merujuk kewujudan pelbagai etnik dengan budaya, agama, dan bahasa yang berbeza itu sebagai many colours, one race. Kehadiran pelbagai elemen inilah yang mewarnai demografi Malaysia. Perbezaan ini tidak seharusnya sampai menimbulkan segregasi dan polarisasi, dan seterusnya pertentangan dan persengketaan dalam kalangan rakyat. Meskipun tugas ini mencabar, usaha untuk mencipta kebersatuan dan perpaduan tetap menjadi agenda utama negara. Program Transformasi Kerajaan: Pelan Hala Tuju, yang dilancarkan pada tahun 2010, menyatakan, “Malaysia telah memilih satu jalan penyelesaian yang unik – iaitu perpaduan dalam kepelbagaian dan keterangkuman sementara memastikan keadilan untuk semua dan masih patuh kepada Perlembagaan kita. Ini bermakna kita menerima kepelbagaian kaum, agama dan kepercayaan, dan dengan menjadi inklusif, kita membina perasaan saling menghormati dan penerimaan menjadikannya satu asas yang kukuh terhadap perpaduan dan kesalingpercayaan.”

Oleh itu, kita perlu bijak mengurus kepelbagaian, kelainan, dan perbezaan dengan tidak menganggapnya sebagai masalah dan hambatan, sebaliknya sebagai aset dan potensi untuk menguatkan negara. Kita bukan sahaja perlu mengekalkan dan melonjakkan pencapaian ekonomi, tetapi juga kerukunan dalam kehidupan bermasyarakat. Sebarang pergolakan sosial, sebagaimana terbukti di negara lain, seperti Republik Afrika Tengah dan Syria, akan memberikan kesan langsung kepada kesejahteraan dan kualiti hidup rakyat.

Artikel ini dipetik dari majalah Dewan Budaya keluaran Oktober 2014.

Posted in: Fokus, Pilihan Utama

WARNA-WARNI KEHIDUPAN MASYARAKAT MALAYSIA

Suasana di luar auditorium mini itu ramai. Maka tidak hairanlah jika keadaan di dalamnya pun begitu juga. Mereka yang berada di situ pun kelihatan ramai, menunggu ketibaan tetamu kehormat dan permulaan majlis, sambil berbual-bual dengan kenalan lama atau kawan yang baru dikenali. Memang hawa di situ dipenuhi oleh “pelbagai warna”, baik orangnya, bahasanya, hiasan dalamannya mahupun beg cenderamatanya. Mereka “pelbagai warna” – pelbagai kaum dan etnik – tetapi satu bangsa – bangsa Malaysia.

Program #SaySomethingNice sudah berlangsung sejak tahun 2009. Walaupun bermula pada tahun tersebut, pelancarannya hanya dilakukan dua tahun kemudian. Kemudian program tersebut berkembang dari tahun ke tahun dan melibatkan banyak pihak, baik sektor awam, seperti Universiti Malaysia Sarawak dan Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional, mahupun sektor swasta, seperti Mydin dan Tropicana City Mall, yang menyokong usaha menyatupadukan masyarakat “pelbagai warna” di negara ini, yang diikhtiarkan oleh Zubedy (M) Sdn. Bhd.

Sejak bermula lima tahun yang lalu, program #SaySomethingNice hanya berlangsung selama 17 hari pada setiap tahun – dari 31 Ogos hingga 16 September, dari Hari Merdeka hingga Hari Malaysia. Pada tahun ini, pihak yang terlibat dalam program ini diberi sekurang-kurang sekeping poster. Poster tersebut akan dilekatkan pada dinding di tempat yang mudah dilihat oleh sesiapa sahaja. Pada poster itu, terdapat ruang untuk diisi dengan kata atau ungkapan yang menarik oleh sesiapa sahaja tentang apa-apa sahaja, yang tidak menyakiti pembacanya.

Pada hakikatnya, masyarakat negara ini harus mengetahui dan menghargai kekuatan yang dimilikinya. Kekuatannya tentu sekali, tidak lain dan tidak bukan, kepelbagaiannya. Nasi lemak, kuetiau goreng, roti canai, ayam pansuh, dan ambuyat dilahirkan dan dikenali kerana masyarakat negara ini bukan masyarakat “satu warna”. Begitu juga dengan kuda kepang, tarian naga, branya, sompotan dan kreb. Itulah kekuatan negara ini yang perlu terus dijaga, dihargai dan dipelihara.

Kini kedengaran suara sumbang yang mahu negeri tertentu meninggalkan Malaysia. Memang agak mendukacitakan apabila hal yang sedemikian, yang tidak sepatutnya berlaku, terjadi apatah setelah Tanah Melayu, Sabah, dan Sarawak bersusah payah bergabung untuk membentuk Malaysia 51 tahun yang lalu. Banyak negara berpecah kerana kegagalan untuk meraikan kepelbagaian, yang sebenarnya mampu melahirkan keharmonian dalam kehidupan masyarakat pelbagai kaum dan etnik.

Oleh hal yang demikian, program seperti #SaySomethingNice sewajarnya diperbanyak dan diperluas. Alangkah baiknya jika program sedemikian diadakan secara berterusan, bukan hanya untuk tempoh tertentu. Kita mahu masyarakat “pelbagai warna” negara ini bercakap baik tentang apa-apa sahaja kepada sesiapa sahaja pada sepanjang masa, bukan hanya selama 17 hari setahun. Kita mahu rakyat Malaysia pelbagai kaum dan etnik bersatu padu berdiri teguh di bawah satu bendera – Jalur Gemilang – membentuk dan membina sebuah negara bangsa yang kukuh, yang disegani dan dihormati seantero dunia.

Salam Aidiladha 1435.

Armin Azhari Saleh

Artikel ini dipetik dari majalah Dewan Budaya keluaran Oktober 2014.