Home » 2014 » November

MOHD. SHAIMY HASHIM: SUREALIS 1981-2014

Oleh: Faizal Sidek

Dilahirkan di Panchur, Pekan, Pahang, pada 61 tahun dahulu, nama Mohd. Shaimy Hashim bukanlah asing kepada dunia seni lukis di negeri itu, malah di Pantai Timur amnya. Mohd. Shaimy, yang telah berkarier selama lebih daripada 40 tahun, bukan sahaja artis beraliran surealisme, malah pentadbir persatuan seni yang disegani. Pengerusi Senika (Persatuan Seni Lukis dan Seni Reka Pahang) dan GAP (Gabungan Persatuan Pelukis Malaysia) ini hadir ke pameran solo kedua yang bertajuk “Mohd. Shaimy Hashim: Surealis 1981-2014”. Pameran ini menghimpunkan lebih daripada 30 karya sureal yang terpilih sepanjang kariernya.

Saya mula mengenali Mohd. Shaimy ketika diundang oleh Senika untuk mewakili kurator Balai Seni Visual Negara ke majlis pengkisahan 25 Tahun Senika di Kuantan tiga tahun yang lalu. Bersama-sama budayawan Dato’ Arifin Said dan Setiausaha SENIKA, Hasnah Yusof, saya membentangkan kertas kerja yang bertajuk “Pengkaryaan Pelukis Pahang dalam Koleksi Balai Seni Visual Negara”. Penulisan dan ulasan mengenai majlis pengkisahan ini diterbitkan dalam Senikini keluaran 19; saya juga sidang editorialnya. Pengkisahan saya dalam penulisan itu seputar mengenai bidang pengkoleksian amalan Balai Seni Visual Negara. Saya turut menyentuh perihal landskap seni lukis di Pantai Timur secara sepintas lalu dengan memberikan penekanan kepada pelukis Pahang dalam pengkoleksian Balai Seni Visual Negara.

Oleh sebab pada ketika itu saya kurator di Bahagian Koleksi, penyelidikan dan penulisan saya banyak menjurus kepada karya koleksi yang disimpan di Balai Seni Visual Negara sendiri, yang diterbitkan bukan sahaja dalam majalah terbitannya, malah dalam Dewan Budaya dan katalog pameran galeri swasta. Pada masa yang sama, saya menyatakan bahawa banyak lagi perkara yang dapat dikongsi dengan masyarakat melalui lebih daripada 4000 karya yang disimpan untuk dijadikan sebagai Khazanah Koleksi Negara, termasuklah pelukis dari Pahang yang merupakan kurang daripada 10 peratus daripada keseluruhan perolehan. Nama pelukis yang berasal Pahang, seperti Redza Piyadasa, yang merupakan guru saya sendiri, dapat dijadikan sebagai inspirasi oleh pelukis muda yang dilahirkan daripada produk institusi seni di sini, seperti Kolej Shahputra dan Institut Iktisas Negeri Pahang (IKIP).

Sungguhpun Piyadasa dapat dikatakan sebagai generasi pertama dari Pahang yang menerima formalisme dari Barat, lahir juga daripada generasi yang terkemudian yang menerima pendidikan tempatan hasil daripada kepulangan mereka yang belajar di luar Pantai Timur. Seorang daripada mereka ialah Mohd. Shaimy Hashim yang pernah melanjutkan pelajarannya di Pusat Seni, Universiti Sains Malaysia. Mohd. Shaimy telah bermula awal daripada itu pada sekitar tahun 1970-an dengan berkarya sendiri di sekitar Kuantan dan seterusnya menubuhkan Senika yang mewakili suara pelukis Pahang dan Pantai Timur umumnya.

Mohd. Shaimy bertugas sebagai guru di sekolah swasta di beberapa buah negeri di Pantai Timur. Pengkaryaan awalnya dapat dikatakan sebagai rakaman atau rekod masa terhadap sesuatu persekitaran dan kadangkala menerima komisen atau aktiviti berkumpulan untuk membuat lukisan potret di tempat awam. Namun begitu, setelah menamatkan kursus jangka pendek di Pusat Seni, terdapat kecenderungan dalam pengkaryaan Mohd. Shaimy pada masa itu yang mula memikirkan idea, metafora, simbolisme, subjek perlambangan yang konsisten, dan kandungan walaupun sebelum ini dia telah mahir dengan aspek kemahiran “membuat” lukisan.

Perkara ini pada dilihat pada awal tahun 1980-an apabila terdapat pengaruh pelukis aliran sureal dalam pengkaryaannya. Saya memberikan tajuk pameran ini sebagai “Mohd. Shaimy Hashim: Sureal 1981 hingga 2014” kerana tinjauan selama tiga dekad pelukis ini yang menghabiskan masa di ruang alam bawah sedar, alam mimpi, separuh sedar dan alam fantasi. Dalam istilah tempatan, mereka suka menyebut orang yang hidup atau masuk ke dalam “alam bunian”. Masuk ke alam bunian bukanlah bermaksud secara langsung berinteraksi dengan orang bunian, tetapi sebagai rakaman bentuk dan dokumentasi masa.

Ahli psikiatri, Sigmund Freud, dan rakannya,Carl Jung, merupakan dua orang doktor psikologi yang memperkenalkan cara rawatan dan penyembuhan oleh pesakit mereka secara klinikal yang dikenali sebagai psikoanalisis. Teori mereka berdua digunakan dan dikembangkan dalam bidang kesenian yang lain, terutama seni lukis. Nama artis surealis Barat, seperti Salvador Dali, Rene Magritte dan Sergei Apirin, bukan asing dalam perbendaharaan kata karya Mohd. Shaimy.

Satu daripada perbezaan ketara yang dapat dilihat secara sedar kelainan karya Mohd. Shaimy dengan artis tempatan yang juga sebelumnya sezaman dengannya, seperti Zulkifli Dahlan, Ali Mabuha atau Ali Rahmat dan Othman Mansor, ialah elemen patriotisme dan politik yang menyegarkan ingatan kita terhadap sesuatu isu untuk dijadikan sebagai peringatan. Dalam menelusuri pengkaryaan Mohd. Shaimy, saya dapat membahagikannya kepada tiga peringkat perjalanan, iaitu sureal pada sekitar tahun 1980-an, sekitar tahun 2000, dan ketiga karya yang dihasilkan dari tahun 2010 hingga kini.

Permulaan awal Mohd. Shaimy dalam aliran ini dapat dilihat menerusi karya siri mimpi dan pintu gerbang, seperti Sarapan Pagi (1982), Mimpi I 1982, dan Mimpi III (Gerbang di Jurang) (1986), serta karya lain, seperti Telur di Hujung Tanduk (1986) dan Khutbah (1989). Satu keunikan yang terdapat dalam karya Mohd. Shaimy yang mungkin tidak terdapat dalam kalangan pelukis lain, terutama artis yang berpangkalan di Lembah Klang, ialah lokasi. Topografi persekitaran ciri maritim di Pantai Timur amat kuat terdapat dalam karya Mohd. Shaimy – pengalaman berstudio penghasilan karyanya di pesisir Laut China Selatan, sama ada di Kelantan, Terengganu ataupun Pahang. Perihal ini dapat dilihat pada kebanyakan karya surealnya yang berlatarbelakangkan laut, pesisir pantai, ombak, teluk dan tanjung, seperti Gerbang di Tebing Juram (1989), Sunami I (2004) dan Sunami 2 (2004). Tidak menghairankan apabila logo Galeri Pantai Timur, tempat pameran ini dilangsungkan, mengambil lukisan ombak, seperti karya cetakan kayu The Great Wave (1829-32) oleh Katsushika Hokusai.

Artikel ini dipetik dari majalah Dewan Budaya keluaran November 2014.

PEMUZIK ATAU PENGEMIS JALANAN?

Oleh: Muhamad Rafiq Abdul Rahman

Suasana di KL Sentral pada tengah hari itu cukup bising dan pelbagai ragam. Mana tidaknya, masa bagi penduduk kota metropolitan ini cukup penting. Masa tidak akan berputar kembali ke masa silam, malah terus-menerus ke hadapan. Lebih-lebih lagi, masa sejam yang diperuntukkan oleh majikan untuk berehat digunakan dengan sebaik-baik mungkin oleh pekerja di sekitarnya untuk mencari menu bagi memenuhkan perut sebelum memerah kembali tenaga dan fikiran untuk bekerja. Ada juga yang datang ke situ semata-mata untuk melakukan transit kerana di situlah pusat transit bagi sistem kereta api ibu kota.

Dalam kesibukan dan keriuhan suasananya itu, kedengaran sayup-sayup suara lelaki mendendangkan sebuah lagu lama dengan petikan gitar kapuknya. Semakin lama semakin hampir dengan siulan tersebut, yang akhirnya ditemukan dengan seorang pemetik gitar yang lokasinya di bucu pintu keluar masuk stesen kereta api KTM. Dalam fikiran, tiadakah penguat kuasa yang melarangnya untuk terus bermuzik di sekitar ini? Atau lelaki ini, seperti dalam babak filem tempatan, apabila menemui penguat kuasa, maka ibarat lipas kudung, terus menghilangkan diri?

Itulah sebenarnya realiti dunia busker! Busker, dalam erti kata lain, ialah pemuzik jalanan. Mengapa mereka digelar pemuzik jalanan? Hal ini dikatakan demikian kerana pada kebiasaannya, mereka mempersembahkan pertunjukan secara spontan kepada khalayak yang lokasi popularnya ialah kaki lima atau tempat tumpuan pengunjung atau pelancong. Mereka tidak memerlukan set lampu, pentas utama, atau siar raya yang menelan belanja berpuluh-puluh ribu ringgit dalam sesuatu persembahan, tetapi mereka lebih menumpukan perhatian terhadap bakat dan kreativiti individu.

Walaupun begitu, ada juga persepsi masyarakat negara ini yang menganggap busker tidak kurangnya seperti peminta sedekah! Bezanya, peminta sedekah menghulurkan tangan dan mengharapkan simpati orang ramai. Paling tidak pun, mereka menjual tisu. Berbanding dengan busker, mereka bermain alat muzik sambil bernyanyi dan mengharapkan orang ramai menghargai penat lelah mereka itu dengan meletakkan wang di dalam bekas yang disediakan.

Adakah tanggapan ini benar atau sekadar pemikiran negatif yang dilemparkan oleh orang yang tidak tahu menghargai seni dan bakat semula jadi golongan busker yang tidak bersalah ini? Ada juga persepsi masyarakat yang melemparkan kata bahawa kumpulan busker merupakan kumpulan “berpenyakit” yang terjebak dalam gejala tidak sihat di negara ini. Persoalannya, adakah busker harus diangkat sebagai pemuzik jalanan atau pengemis jalanan?

Busker Bukan Sembarangan Penghibur

Busker bukan asing bagi yang mengenalinya. Hal ini dikatakan demikian kerana persembahan bersahaja ini sudah menjadi trend sejak tahun 1980-an lagi, malah dilakukan di seluruh dunia. Busker berasal daripada perkataan Sepanyol buscar yang bermaksud “untuk mencari”. Bahasa yang lebih mudah ialah mencari nama atau kekayaan melalui bakat diri yang sedia ada.

Istilah busking bermaksud mengadakan persembahan di tempat awam, seperti bermain alat muzik, bernyanyi, menari, dan bersajak, tanpa tempahan tempat, kontrak dan bayaran tetap. Sebaliknya persembahan dilakukan untuk orang ramai dengan harapan mereka terhibur dengan persembahan itu. Sekiranya penonton memberikan tip, itu dikira bonus; jika tidak, mereka tetap menghiburkan pengunjung –itulah prinsip seseorang busker.

Persembahan jalanan ini mempunyai sejarah yang panjang. Menurut catatan, sejak zaman Rom lagi, busker sudah wujud. Pada ketika itu, masyarakat Rom akan membaling duit syiling untuk penghibur yang membuat persembahan. Persembahannya pula biasanya diadakan di dataran bandar atau sepanjang jalan raya.

Rentetan daripada itu, zaman pertengahan di Eropah menyaksikan persembahan jalanan ini semakin berkembang dan mendapat tempat hingga istana. Mereka bukan sahaja dianggap sebagai penghibur biasa, tetapi golongan yang “membantu” membuka mata rakyat dan pemerintah.

Busker dianggap sebagai pengantara antara rakyat dengan pembesar kerana sering bernyanyi atau bersyair tentang kisah masyarakat, kemiskinan, korupsi, dan masalah sosial di sesuatu tempat itu. Yang menariknya, keluhan tersebut disampaikan dalam bentuk nyanyian yang lebih mudah mendapat perhatian orang ramai.

Pemuzik, seperti Bob Dylan dan Joan Baez, antara penyokong gerakan tersebut dan sering terbabit dalam aktiviti busking demi meningkatkan kesedaran masyarakat tentang masalah yang berlaku. Dylan, secara terang-terangan, mengkritik hierarki politik Amerika Syarikat pada masa itu, yang turut mendapat sokongan daripada pengunjung yang mendengar dendangan lagunya.

Sejak itu, persembahan jalanan ini terus berkembang ibarat cendawan tumbuh selepas hujan. Kini aktiviti ini mendapat sambutan yang cukup menggalakkan, malah bertaburan di seluruh dunia.

Artikel ini dipetik dari majalah Dewan Budaya keluaran November 2014.

Posted in: Fokus, Pilihan Utama

PEMUZIK JALANAN MENGIMARAHKAN SENI MUZIK NEGARA

Dalam filem Mary Poppins, Bert bermain harmonika, menyanyikan lagu Chim Chim Cheree (lagu terbaik Anugerah Akademi 1964), dan menari mengikut irama muzik. Latar tempatnya di sebuah taman di London, sementara latar masanya awal abad ke-20. Di sekelilingnya, ada penonton. Setelah selesai persembahannya, Bert meletakkan topinya di kaki lima itu. Turut diletakkan di dalam topi itu beberapa keping duit syiling. Ada penonton persembahannya yang meletakkan duit syiling di dalam topi itu, sebagai tanda penghargaan; tidak ketinggalan juga yang berlalu pergi begitu sahaja, mungkin tidak menyukainya.

Di medan selera Tanglin, Kuala Lumpur, mereka terus mengadakan persembahan tanpa menghiraukan keadaan sekeliling, sama ada khalayak memberikan perhatian terhadap nyanyian mereka ataupun tidak. Orang ramai pula terus dengan aktiviti masing-masing – menikmati sarapan sambil berbual-bual dan mendengar – antara dengar dengan tidak – nyanyian kumpulan tersebut. Yang menghargai persembahan kumpulan itu akan meletakkan wang – mungkin wang lebih selepas membayar sarapan – di dalam kotak di hadapan penyanyi utama – biasanya ketua kumpulan.

Di KL Sentral, kelihatan seorang lelaki mendendangkan lagu sambil bermain gitar. Sebuah beg pakaian – tanpa pakaian – diletakkan terbuka di hadapannya. Di dalam beg itu, kelihatan beberapa keping wang kertas dan duit syiling. Yang agak menarik ialah ada juga buku, yang tertera nama lelaki itu pada halaman kulit, di situ. Harganya RM20 senaskhah. Rupa-rupanya lelaki itu juga penulis.

Pada hakikatnya, persembahan yang begitu belum mendapat tempat dalam kalangan masyarakat negara ini. Hal ini dikatakan demikian kerana konsep pemuzik jalanan – ada pihak yang melihat mereka sebagai peminta sedekah – dianggap sebagai masih baharu di negara ini walaupun kewujudannya sudah tiga dekad. Bert turut mengalami masalah yang sama kerana pemuzik jalanan dianggap sebagai baharu di ibu negara Britain itu pada awal abad ke-20 – lebih seratus tahun yang lalu. Barangkali pemuzik jalanan negara ini juga memerlukan masa yang begitu untuk diterima dan dihargai oleh masyarakat.

Belakangan ini, kelihatannya pemuzik jalanan mempunyai masa depan yang dapat dikatakan cerah. Hal ini dikatakan demikian kerana beberapa pihak, termasuk kementerian, agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan, telah merangka pelan yang tersusun agar pemuzik jalanan diterima oleh masyarakat, malah menjadikan persembahan mereka itu sebagai sumber pendapatan. Fasa awal ini memperlihatkan pewujudan MyBuskers Corner dan keperluan permit oleh pihak berkuasa tempatan.

Pada masa yang sama, pemuzik jalanan dapat dijadikan sebagai “duta” seni muzik tanah air. Orang ramai, termasuk pelancong, dapat menikmati “konsert” dengan bayaran yang minimum – percuma bagi sesetengah orang – berbanding dengan persembahan di tempat yang eksklusif. Sebagai penyanyi, mereka seharusnya mampu menyanyikan apa-apa juga lagu, termasuk lagu rakyat.

Zaman pemuzik jalanan telah tiba. Pemuzik jalanan akan terus wujud selagi mereka diperlukan. Yang diharapkan kini ialah mereka dapat memberikan sumbangan yang positif terhadap seni muzik watan.

Armin Azhari Saleh


Artikel ini dipetik dari majalah Dewan Budaya keluaran November 2014.