Home » 2014 » December

Pokok Tuba Menghalau Kejahatan

Oleh: Jasman Bandar

Pengaruh sekitaran memberikan sumbangan kepada lahirnya perubatan tradisional yang mempunyai unsur spiritual dalam proses penyembuhan penyakit. Penelitian yang dilakukan oleh penulis mendapati bahawa terdapat unsur natural dan ghaib (supernatural) dalam tradisi perubatan orang Bajau Kota Marudu. Unsur natural dalam tumbuhtumbuhan itu dikaitkan dengan sesuatu yang bersifat praktikal yang dapat dilihat dengan mata kasar dan dapat ditanggapi oleh akal fikiran. Sebagai contohnya, penggunaan akar, daun, buah, kulit, dan batang bunga yang terdapat dalam spesies tumbuhan tertentu digunakan dalam tradisi perubatan dan penyembuhan penyakit orang Bajau Kota Marudu.

Unsur ghaib diperlihatkan melalui adanya kepercayaan yang meyakini bahawa proses penyembuhan penyakit mempunyai kaitan dengan pertolongan “semangat alap” (semangat baik) yang mendiami tumbuh-tumbuhan tersebut. Pertolongan itu membantu usaha memberikan penyembuhan, perlindungan dan keselamatan. Jika dilihat daripada konteks tradisi lisan, setiap tumbuhan yang digunakan dalam tradisi perubatan orang Bajau Kota Marudu mempunyai cerita lisan yang tersendiri.

Dalam penulisan ini, penyelidik memperincikan penggunaan pokok tuba dalam tradisi perubatan dan penyembuhan penyakit orang Bajau Kota Marudu. Hal ini disokong oleh wujudnya kepercayaan orang Bajau Kota Marudu bahawa Nabi Alias merupakan ketua dan penjaga segala tumbuhan di muka bumi ini. Oleh itu, tidak hairanlah jika tumbuh-tumbuhan ini dikaitkan dengan perubatan yang bersifat spiritual yang menggunakan unsur ghaib daripada tumbuh-tumbuhan untuk perubatan, perlindungan dan keselamatan.

Dalam tradisi lisan, orang Bajau Kota Marudu percaya bahawa pokok tuba mempunyai cerita yang tersendiri tentang kewujudan dan kekuatan semangat ghaib yang dimiliki oleh tumbuh-tumbuhan ini. Pada zaman dahulu, aktiviti berburu selalu dilakukan oleh orang Bajau Kota Marudu meskipun mereka terkenal dengan kehebatan beraksi sebagai nelayan di laut. Semasa berburu, mereka sering bertemu dengan pelbagai jenis tumbuhan yang mempunyai keunikan dan kegunaan yang tersendiri.

Apabila tiba di sungai, mereka berehat sambil makan dan minum sementara menunggu hasil buruan mereka, iaitu kijang atau pelanduk. Dalam waktu menunggu jerat mereka mengena haiwan tersebut, mereka singgah sebentar di tepi sungai untuk berehat setelah melalui perjalanan yang jauh dari kampung untuk masuk ke hutan.

Artikel ini dipetik dari majalah Dewan Budaya keluaran Disember 2014.

Pasar Nostalgia

Oleh Muhamad Rafiq Abdul Rahman

RM80 ribu! Itu nilai harga yang diletakkan untuk sekeping duit syiling negara ini keluaran tahun 1969 yang dijual kepada seorang pengumpul barangan lama di Singapura. Bagi orang biasa, harga itu mungkin tidak masuk akal. Sudahlah mahal, dijual pula di tempat yang tidak langsung difikirkan oleh akal akan harganya. Mungkin bagi orang biasa, memang hal ini dikatakan tidak berbaloi! Namun demikian, bagi penggemarnya, itulah nilai yang sewajarnya diletakkan berdasarkan nilai dan kenadiran barang tersebut.

Pasar karat, kedai antik, kedai barangan terpakai, atau apa-apa pun nama yang diberikan, hal ini merujuk penjualan barangan yang dapat dikategorikan kepada dua, iaitu barangan antik dan barangan terpakai yang dijual pada harga yang cukup berbaloi. Yang menariknya, pasar ini menjanjikan 1000 kelainan kepada pengunjungnya. Hal ini dikatakan demikian kerana disinilah barangan yang sukar dicari dan jarang-jarang ditemui pasti dijumpai.

Di Malaysia, pasar karat sudah bertapak sejak sekian lamanya, kira-kira pada permulaan era 80-an. Walaupun begitu, perjalanan pasar ini kurang mendapat sambutan daripada masyarakat tempatan kerana sikap tipikal yang mengatakan bahawa pasar karat ialah lokasi yang menjual barang yang kurang standard dan terpakai, malah lebih buruk, dikatakan sebagai lokasi yang menjual barang curi.

Namun begitu, senario itu kian berubah. Akhir-akhir ini, pasar karat sudah mendapat tempat di hati pengunjung kerana kelainan yang dibawanya. Yang paling mengujakan, jika dikunjungi tempat penjualan barang antik dan barang terpakai ini, majoriti pengunjungnya golongan muda.

Penulis teringat ketika belajar di Ipoh sekitar tahun 2002 hingga 2005. Setiap hujung minggu, di tepi sungai berhampiran dengan Masjid Negeri, seawal pukul 7.00 pagi, sudah kelihatan deretan kereta di tepi jalan raya. Suasananya memang riuh dengan gelagat penjual pasar karat mencari pembeli. Bermacam-macam peralatan yang tidak pernah dilihat ada terjual di situ. Oleh itu, banyak orang yang mengatakan bahawa pasar ini unik dan ada keistimewaannya berbanding dengan pasar lain.

Baru-baru ini, penulis berkesempatan ke Melaka, Muar, dan Rengit yang dikatakan sebagai sebahagian daripada sarang utama pasar karat di negara ini. Di Melaka, penulis bertemu dengan seorang pakar yang mampu menilai barang antik sehingga dirinya memiliki sebuah kedai di Jalan Laksamana.

Azilan, 54 tahun, merupakan peniaga, pengumpul, dan pakar barang antik. Azilan, yang lebih mesra disapa dengan panggilan Allen oleh rakan dan pengumpul barang antik, sudah mempunyai pengalaman berniaga lebih daripada 20 tahun. Namun demikian, minatnya terhadap barang antik, terutama duit, mula menapak dalam diri sejak tahun 2008.

“Abang mula berniaga sejak tahun 1989. Ketika itu, berniaga kecil-kecilan sahaja. Lebih kepada barangan kraf tangan,” jelas Allen yang dilahirkan dan dibesarkan di Singapura. Jelasnya, minatnya terhadap barang antik ini bermula dengan mengumpul duit.

Pelbagai jenis duit daripada kesultanan Melayu Melaka hinggalah kini menjadi koleksi peribadinya. “Menjadi orang yang pakar dalam menilai duit bukanlah senang. Abang berjumpa dengan bermacam-macam orang dan mempelajari hal itu daripada mereka,” jelas Allen yang ditemui di kedainya, Laksamana Souvenir & Antique. Baginya, memiliki barang lama ini merupakan kepuasan yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Barang antik ini sesuatu yang lain daripada yang lain serta tidak makan dek zaman kerana lagi lama zaman itu berlalu, lagi bernilai tinggi sesuatu barang tersebut.

Artikel ini dipetik dari majalah Dewan Budaya keluaran Disember 2014.

Posted in: Fokus, Pilihan Utama

Karat Bernilai dan Berharga

Daripada buku yang diterbitkan pada tahun 1877 yang bernilai RM2500 kepada setem Malaysia terpakai terkini yang dijual dengan harga 20 sen – itulah antara barang yang dapat diperoleh di pasar lambak Amcorp Mall, Petaling Jaya. Yang lebih menarik lagi, tempat duduk basikal turut dijual! Kadang-kadang agak sukar untuk dibayangkan pembelinya, apatah lagi tujuan tempat duduk basikal itu dibeli. Tentu sekali tempat duduk itu dibeli bukan sebagai pengganti tempat duduk yang rosak kerana kini tidak banyak orang yang menggunakan basikal, malah basikal hitam yang demikian sudah tiada dalam pasaran.

Itulah warna-warni pasar lambak Amcorp Mall dan barang kali juga pasar yang sedemikian di tempat lain. Pasar lambak Amcorp Mall hanya diadakan pada hari Ahad. Mungkin oleh sebab hanya beroperasi sehari, sambutan peminatnya begitu hebat, bukan sahaja daripada rakyat negara ini, bahkan masyarakat luar negara juga. Peminatnya pasti bukan sembarangan orang oleh sebab minat sahaja tidak cukup, malah poket mesti “berisi” kerana harga barang yang di luar jangkauan “orang biasa”. Begitu juga dengan peniaganya, yang bukan hanya rakyat Malaysia, bahkan kelihatan juga orang Arab.

Yang dapat diperhatikan dan disimpulkan ialah bahawa pasar lambak itu terbahagi kepada tiga kategori. Pasar karat menjual barang antik atau lama atau nadir yang dibeli oleh kalangan tertentu untuk dijadikan sebagai koleksi peribadi. Pasar terpakai pula menjual barang terpakai pada harga yang lebih murah, tetapi dicari oleh orang tertentu kerana masih dapat digunakan. Di pasar murah, barang dapat diperoleh pada harga yang lebih murah daripada harga pasaran semasa.

Bagi sesetengah barang, semakin lama usianya semakin tinggi nilainya. Buku yang bernilai RM2500 itu, jika disimpan untuk beberapa tahun lagi, pasti meningkat nilainya dan tentu juga harganya. The Malay Achipelago: The Land of Orang Utan dan the Bird of Paradise hanya diketahui dan dicari oleh kalangan tertentu. Setem Malaysia terpakai terkini, yang sekarang dijual dengan harga 20 sen sahaja sekeping, pasti akan berubah nilai dan harganya pada tahun 2034, sebagai contoh. Begitu juga dengan buku dan majalah DBP.

Kini beberapa buah Bandar mempunyai pasar karatnya. Melaka, Ipoh, Muar, dan Rengit sudah mempunyai pasar karat selain Petaling Jaya. Dari satu segi, pasar karat dapat dijadikan sebagai tarikan pelancongan, baik dalam mahupun luar negara. Dari segi yang lain, pasar karat mampu menjanakan ekonomi setempat kerana bersama-samanya, biasanya ada pasar terpakai dan pasar murah. Perancangan rapi dan bersepadu, yang melibatkan pelbagai pihak, termasuk pihak berkuasa tempatan, pusat pelancongan setempat dan peniaga, mampu merealisasikan hal ini.

*****

Daripada-Nya kita datang, kepada-Nya kita pulang. Sidang editor dan warga kerja Dewan Budaya merakamkan ucapan terima kasih kepada tiga orang insan yang telah memberikan sumbangan kepada agama, bangsa, dan negara dalam bidang masing-masing dengan cara mereka sendiri semasa hayat dikandung badan. Mereka ialah penggiat budaya Prof. Emeritus Tan Sri Ismail Hussein, pengarah filem Datuk Jamil Sulong, dan penulis dan penggiat teater Ali Jusoh. Pemergian mereka akan tetap dirasai, tetapi perjuangan mereka akan tetap diteruskan oleh mereka yang tinggal. Marilah kita berdoa agar roh mereka ditempatkan dalam kalangan orang beriman.

Armin Azhari Saleh

Artikel ini dipetik dari majalah Dewan Budaya keluaran Disember 2014.