Home » 2015 » January

Keunikan Tarian Dabus


Oleh Ezwafahmey Ahmad Kusaini

Tarian dabus amat popular di Perak. Tarian ini mengandungi unsur lupa, yang dipercayai berasal daripada permainan masa silam orang Islam di Timur Tengah. Tarian ini dikatakan bermula dengan kegiatan masa lapang Nabi Muhammad dan para sahabat, ketika sedang berehat semasa pertempuran dengan musuh Islam. Tarian ini juga mungkin dijadikan sebagai latihan untuk pahlawan perang memperkukuh semangat serta benteng pertahanan mereka bagi menentang musuh.

Pada kurun ke-18, pedagang Islam membawa tarian dabus ke Tanah Melayu. Tarian ini buat kali pertamanya dipersembahkan di hadapan penduduk di Pasir Panjang, Setiawan. Tarian ini dipercayai dibawa oleh nakhoda kapal dari Batu Bara, Aceh. Hal ini dapat dibuktikan oleh perkataan dabus yang berasal daripada perkataan Bugis yang bermaksud lembing tajam. Tarian dabus menggunakan alat yang tajam semasa persembahan. Dabus, atau alat yang diperbuat daripada besi berukuran 10 inci panjang serta berloceng, dibawa oleh dua orang penari ketika persembahan. Sewaktu menari, besi ini dipukul pada badan penari, seolah-olah penari mendapat semangat kepahlawanan yang gagah

perkasa.

Tarian dabus menggabungkan tarian, nyanyian, dan kebolehan serta keberanian. Tarian ini memerlukan alat muzik, seperti gong, rebana besar, rebana kecil dan anak dabus. Selain itu, alat utama lain yang diperlukan ialah anak batu, iaitu sejenis senjata tajam yang berkepala. Dabus atau anak dabus merupakan identiti penting tarian ini. Anak dabus diperbuat daripada besi yang ditajamkan di hujungnya. Di pangkal besi tersebut, terdapat lingkaran yang berbentuk kerawang dan tersemat beberapa gelung besi kecil yang dinamai cincin besi. Cincin besi digunakan untuk membentuk bunyi gemerencing apabila besi digerakkan semasa persembahan.

Tarian dabus biasanya dipersembahkan dalam majlis perkahwinan, pesta pertabalan kerabat diraja, upacara keagamaan, dan hari kenegaraan, seperti hari kemerdekaan. Alat muzik yang digunakan semasa mengiringi tarian ini termasuklah dua gendang, dua tabla, enam kompang dan satu gong. Gong dimainkan oleh seorang sahaja. Gong diperbuat daripada tembaga dan saiznya yang biasa digunakan dalam permainan tradisional yang lain. Gong berfungsi mengiringi muzik rebana, sekali gus memainkan peranan utama pada waktu pembukaan dan penutupan persembahan.

Rebana kecil diperbuat daripada kulit kambing yang dikeringkan. Biasanya ukuran garis pusatnya antara tujuh hingga lapan inci. Rebana dipalu dengan tapak tangan, seperti memukul hadrah atau kompang, serta dimainkan oleh tujuh orang pemain. Rebana berfungsi sebagai pengiring lagu yang dinyanyikan oleh pemain muzik. Rebana besar pula selalunya dimainkan oleh dua orang. Rebana besar juga diperbuat daripada kulit kambing yang dikeringkan. Saiz garis pusatnya antara 14 hingga 15 inci.

Pemain membuat paluan di bahagian tepi dan tengah rebana dengan lebih perlahan dan bunyinya bergema berbanding dengan rebana kecil. Rebana besar memainkan peranan penting kerana segala rentak tarian mengikut rentaknya. Pada masa yang sama, pemain muzik bernyanyi dan mereka mesti menghafal seni kata lagu berzanji. Selalunya lagu berunsurkan agama dinyanyikan kerana berkaitan dengan asal usul dabus. Lagunya ada persamaan dengan lagu berzanji, kompang dan hadrah.

Oleh itu, kombinasi muzik dan tarian dabus penting untuk menghasilkan persembahan yang mantap. Kekurangan salah satu peralatannya menyebabkan persembahannya sumbang. Ahli kumpulan persembahan tarian dabus terdiri antara 15 hingga 18 orang dan dibahagikan kepada dua kumpulan. Satu kumpulan terdiri daripada lapan orang yang bertindak sebagai penari. Kumpulan kedua pula terdiri daripada lapan hingga 10 orang yang bertugas sebagai pemain muzik.

***

Artikel ini dipetik dari majalah Dewan Budaya keluaran Januari 2015.

Festival Menambat Hati Pelancong

Oleh Jeniri Amir

Seorang pelancong asing, dalam sebuah di alam maya, menyatakan bahawa jika dia diberi peluang untuk memilih rantau yang perlu dikunjungi sepanjang hayatnya, rantau itu ialah Asia. Jika dipaksa untuk mengkhusus lagi, dia akan memilih Asia Tenggara. “Terlalu banyak yang dapat saya nikmati di rantau itu. Tiga tahun lalu, saya begitu mengagumi Thailand, namun cita rasa saya sudah berubah. Satu perkara yang saya setuju, tentang negara yang paling under-rated ialah Malaysia. Malaysia merupakan negara yang mempunyai banyak kelebihan. Saya pasti memilih Malaysia sebagai destinasi pelancongan kerana negara ini benar-benar bersifat Asia. Malaysia Truly Asia.”

Tidak syak lagi, negara 30 juta orang penduduk ini berhasrat untuk masuk ke dalam kategori 10 buah negara teratas yang paling banyak dikunjungi pelancong. Berdasarkan statistik World Tourism Organisation, pada tahun 2013, Perancis berada di tangga teratas dengan menarik 84.7 juta orang pelancong, diikuti Amerika Syarikat (69.8 juta), Sepanyol (60.7 juta), China (55.7 juta), Itali (47.7 juta), Turki (37.8 juta), Jerman (31.5 juta), United Kingdom (31.2 juta) dan Rusia 28.4 juta. Pada tahun 2013, kawasan Asia Pasifik berjaya menarik 248 juta orang pelancong antarabangsa, peningkatan sebanyak enam peratus berbanding dengan tahun 2012.

Bagi rantau ini, Jepun memperlihatkan peningkatan yang ketara sebanyak 24 peratus, daripada 8.3 juta pada tahun 2012 kepada 10.3 juta pada tahun 2013, diikuti Thailand sebanyak 2.7 peratus, daripada 18.8 juta pada tahun 2012 kepada 26 juta pada tahun 2013. Banyak negara menyedari sumbangan besar industri pelancongan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Oleh itu, negara terbabit berlumba-lumba untuk merebut dan menarik pelancong dari pelbagai penjuru dunia, terutama pelancong kaya.

Jika kita perhatikan angka perbelanjaan pelancong antarabangsa di negara tertentu, pasti kita juga tidak mahu terlepas peluang. Perbelanjaan di China berjumlah AS$128.6 bilion, Amerika Syarikat AS$86.2 bilion dan Jerman AS$85.9 bilion. Bagi negara ini, sumbangan pelancongan kepada KDNK memperlihatkan peningkatan yang ketara, dijangka berkembang kepada 2.5 peratus pada tahun lalu, iaitu sebanyak RM125 bilion, berdasarkan KDNK sebanyak RM1 trilion pada tahun 2013.

Peningkatan jumlah kedatangan pelancong, secara langsung, akan meningkatkan pendapatan hasil daripada perbelanjaan mereka. Pendapatan daripada perjalanan antarabangsa mampu membawa masuk tukaran wang asing yang diperlukan bagi pelaburan utama. Berdasarkan tinjauan dan komen pelancong asing yang saya jejaki dalam pelbagai blog dan portal, antara sebab mereka suka mengunjungi Malaysia termasuklah penggunaan bahasa Inggeris yang meluas sehingga memudahkan mereka berkomunikasi, keindahan landskap, pusat beli-belah yang hebat, kepelbagaian budaya masyarakat pelbagai etnik, keenakan makanan, sejarah yang menarik, metropolis yang hidup, hutan tropika, kemesraan penduduk dan perasaan selamat.

Apakah strategi dan pendekatan terbaik untuk menarik para pelancong luar, terutama pelancong kaya ke negara ini? Adakah memadai dengan langkah yang diambil sebelum ini? Atau banyakkah lagi yang perlu kita lakukan bagi memastikan kita dapat berdiri sama tinggi dengan tiga negara teratas dari segi penarafan pelancongan?

***

Artikel ini dipetik dari majalah Dewan Budaya keluaran Januari 2015.

Posted in: Fokus, Pilihan Utama

Pesta Chandan dan Festival Gamelan Sedunia

Pada era pra-1984, Pesta Chandan menjadi pesta yang amat ditunggu-tunggu oleh warga Kuala Kangsar, khususnya, dan rakyat Perak, amnya. Pesta ini diadakan pada setiap bulan September di Bukit Chandan, Kuala Kangsar, di kawasan lapang yang berhampiran dengan Istana Iskandariah. Pesta Chandan dianjurkan sebagai satu daripada pengisian sambutan hari keputeraan Paduka Seri Sultan Idris Al-Mutawakil Alallahi.

Konsep Pesta Chandan amat mudah, seperti pesta ria, hanya untuk berhibur dan melepaskan penat lelah setelah penat bekerja, tetapi tidak kurang juga orang yang menggunakannya sebagai saluran menjanakan pendapatan tambahan. Pada waktu itu, tidak banyak pusat hiburan, apatah lagi di bandar diraja Perak itu. Siaran televisyen pula hanya ada dua saluran. Pasar raya menyediakan mesin alur untuk hiburan pengunjungnya. Sesetengah sekolah menjadikan tempat yang mempunyai mesin yang demikian sebagai kawasan larangan.

Oleh itu, Pesta Chandan menjadi tarikan pengunjung. Pesta itu dibuka pada sebelah malam sahaja. Selama sebulan, pesta itu berlanjutan walaupun pada malam hari raya Aidiladha. Dalam keadaan hujan gerimis, orang ramai tetap mengunjungi pesta tersebut. Yang tidak mempunyai kenderaan sanggup berjalan beberapa kilometer dari bandar Kuala Kangsar ke lokasi pesta. Yang berwang pun sanggup berjalan juga kerana takut wang tidak cukup untuk perbelanjaan pesta.

Pada hari ini, ada bermacam-macam pesta. Sering kali kita membaca iklan promosi tentang pesta komputer – pesta ini menjual komputer – dan pesta buku, seperti Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur, atau pesta tilam. Semua pesta ini melibatkan urus niaga dan pengaliran wang. Ada juga pesta filem, seperti pesta filem Malaysia yang memberikan anugerah kepada mereka yang difikirkan layak untuk menerimanya.

Tahun ini diisytiharkan oleh kerajaan, melalui Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, sebagai Tahun Festival Malaysia (MyFest) – Sambutan Tiada Sempadan. MyFest dilihat sebagai kesinambungan kempen Tahun Melawat Malaysia 2014 yang mampu merangsang industri pelancongan negara, untuk menjanakan pendapatan yang akan digunakan untuk pembangunan negara.

Beberapa festival atau pesta telah diatur. Antaranya termasuklah Citrawarna, Festival Cahaya Kuala Lumpur, Pesta Perarakan Cingge, Festival Gendang Tradisional Antarabangsa, Pesta Wau Antarabangsa Kelantan, Festival Durian Pulau Pinang dan Festival Gamelan Sedunia. Semua pesta tersebut bertaraf kebangsaan atau antarabangsa.

Barangkali ada baiknya jika Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan mengangkat pesta yang bertaraf tempatan, seperti Pesta Chandan, ke peringkat yang lebih tinggi, seperti Festival Gamelan Sedunia. Walaupun Pesta Chandan sudah lama berkubur, banyak lagi pesta yang bertaraf tempatan yang baru muncul, seperti Festival Persuratan George Town dan Festival Penulis dan Pembaca Johor Bahru. Dengan hal yang demikian, bukan sahaja nama pesta yang meniti bibir pelancong, lokasinya juga akan disebut-sebut. Barulah Malaysia dapat menjadi destinasi pelancongan dalam erti kata yang sebenar.

Selamat menyambut tahun baharu Masihi 2015.

Armin Azhari Saleh

Artikel ini dipetik dari majalah Dewan Budaya keluaran Januari 2015.