Home » 2015 » February

APABILA SENIMAN RESAH

Oleh Ladin Nuawi

“Barang siapa berkhianat, maka celakalah seumur hidupnya.”

Apabila seniman resah, tentu ada sebabnya. Bukan sahaja-sahaja hendak resah. Ada kepincangan yang diperhatikan. Ada kerisauan yang ditakuti akan terjadi. Ada tindakan yang perlu disegerakan. Bukan alasan seniman hidup dalam resah. Ada isyarat batin yang dihantar untuk diketengahkan. Begitu juga apabila Roslan Madun mementaskan teater Bahaman Jiwa Merdeka pada 15 dan 16 Disember 2014 di UiTM Jengka, Pahang. Mengapakah dipilih Dato’ Bahaman Orang Kaya Semantan,

pejuang bangsa yang terbilang, sebagai tongkat cerita teaternya?

Mengapakah dipilih “jiwa merdeka”? Hendak dikaitkan dengan siapa “jiwa merdeka” itu? Mengapakah beberapa rentetan perjuangan kemerdekaan negara dan kesannya dipaparkan? Mengapakah bersusah payah hendak mementaskan juga Bahaman padahal dengan lagu rakyat, Roslan sudah cukup makan? Mengapakah harus memenatkan diri hendak menghidupkan kembali semangat Bahaman di bumi Pahangnya? Mengapakah dia mengumpulkan tiga orang pelakon yang hebat dalam satu pementasan padahal jika di luar Kuala Lumpur, seorang pelakon terkenal sudah cukup untuk menarik minat penonton? Mengapakah dia bersusah payah bekerjasama dengan Sanggar Nuun Jogjakarta? Mengapakah dia sanggup meminjam wang daripada Dana Industri Kreatif Negara, mencari (baca: mengemis) dana tambahan di sana sini, dan mengeluarkan wang tabungan sendiri?

Apabila dua hari dua malam saya ikut berkubu seni, menonton persembahan kedua-dua malam, dan menelaah naskhah, memang keresahan Roslan ada kebenarannya apabila dikaitkan dengan perkembangan negara. Tidak melampau kalau saya katakan bahawa kedudukan Melayu tergugat luar dalam. Islam seperti dipermainkan. Roslan anak jati Pahang. Dia banyak melakukan penyelidikan sendiri tentang perjuangan kemerdekaan negara. Dia berguru dengan pengamal seni warisan bangsa. Latar pengajiannya sekolah pondok.

Dia pernah menjadi wartawan, penulis, dan pengarah drama televisyen, dan berlakon filem juga. Akhir-akhir ini sahaja, dia lebih dikenali sebagai pendendang dan pembimbing seni dendangan dan penulisan puisi warisan. Dengan latar belakang ringkas ini, fahamlah kita akan sebab dia mengangkat Bahaman. Produksi ini mendapat kerjasama seni daripada Majlis Teater Negeri Pahang dan Sanggar Nuun, Jogjakarta, Indonesia, pimpinan Wahyu Widayat.

Sanggar Nuun ada disiplin seni dalam meneruskan kelangsungan hidup. Mereka hanya rakyat biasa, melakukan kerja pertanian, kebajikan dan keagamaan Islam. Hubungan dua buah negara serumpun ini harus sentiasa dikejapkan. Ibarat kata kita sudah tiada adik-beradik lain. Roslan juga memilih beberapa orang pelakon luar Pahang yang berjati diri tinggi, seperti Mohd. Fauzi Yahya, Dean Satira dan Eliza Mustafa.

Persembahan dimulakan dan ditutup dengan bacaan al-Quran. Surah terpilih diambilnya. Nurul Karimatil Ulya, Sanggar Nuun, pembacaan petikan itu. Mahu tidak mahu, kita harus kembali kepada al-Quran sebagai pedoman hidup. Lihatlah kemuliaan yang diberikan oleh Allah kepada pertubuhan dan diri apabila al-Quran menjadi amalan hidup. Hal in disusuli pula oleh latihan silat oleh pejuang untuk menentang penjajah British. Silat, selain ilmu mempertahankan diri, membentuk jati diri tinggi dalam diri setiap pesilat.

Seperti kata Guru Silat, “Perjuangan ini perjuangan yang suci. Oleh itu jangan sekali-kali berasa gentar, biar mati bergalang tanah, daripada hidup menanggung malu. Supaya menjadi teladan kepada anak cucu kita, bahawa datuk nenek mereka sanggup berkorban jiwa dan raga demi agama, bangsa dan negara.”

Mohd. Fauzi, pelakon watak Guru Silat, memang guru silat di Terengganu. Pelakon pesilat diambil daripada Kumpulan Silat Sendeng Gunung Sakti Paya Luas. Jati diri pesilat digunakan sepanjang latihan dan pementasan ini. Mutakhir ini, kita dapat melihat setiap latihan teater di negara kita sentiasa ada latihan silat untuk persiapan kumpulan. Setidak-tidaknya gerak silat digunakan dalam senaman dan panas-panas badan.

Pernyataan guru silat itu dikejapkan lagi dengan dendangan gurindam “Maruah Negara” oleh Zafirah Bahiah Hassan (mantan juara gurindam kebangsaan). Gurindam seni dendangan warisan kita. Dalam keindahannya, ada pesanan mulia untuk setiap orang. “Jika rakyat takut berjuang, lambat-laun bangsa terbuang.” “Jika tidak sanggup berkorban, anak cucu menanggung beban.” Adakah kita hendak menidakkan kebernasan ini?

Artikel ini dipetik dari majalah Dewan Budaya keluaran

Posted in: Pilihan Utama, Teater

LAIN PADANG LAIN BELALANG

Oleh: Nik Adzrieman Abd. Rahman

Memilih bumi Inggeris untuk melanjutkan pelajaran merupakan tindakan yang bukan mudah apabila kita bukan hanya perlu memikirkan perihal perjalanan pelajaran, malah turut memikirkan wujudnya konsep silang budaya yang akan dilalui selama berada di negara mereka. Perjalanan penulis dari Malaysia ke United Kingdom melalui Amsterdam, yang mengambil masa kira-kira 20 jam pada awalnya, telah memaksa penulis memikirkan 1001 persoalan tentang perkara yang meliputi aspek kehidupan dan pelbagai corak budaya yang akan dihadapi. Perdebatan sering meletakkan budaya Barat lebih condong ke arah negatif, sementara budaya yang datangnya dari negara sendiri lebih berat ke arah yang positif. Pengalaman menuntut ilmu serta peluang menyelami budaya Barat merupakan pengalaman yang amat manis untuk dikongsi bersama.

Peribahasa Melayu ada menyebut perihal hujan emas di negeri orang dan hujan batu di negeri sendiri. Peluang menimba dan menuntut ilmu di luar negara dianggap sebagai peluang keemasan yang ditunggu-tunggu oleh mereka yang menyimpan hasrat untuk menjelajah dan melihat dunia ilmu dengan skala yang lebih luas. Pengalaman selama hampir empat tahun berkelana di England dan menuntut di University of Hull cukup memberikan pengalaman yang tidak dapat dilupakan seumur hidup penulis.

Banyak juga perbahasan yang menyentuh budaya yang datangnya dari Barat lebih kepada budaya kuning. Yang dapat kita lihat, secara asasnya, ialah budaya itu berakal umbi dari aspek agama yang kita pegang; agama yang berbeza melahirkan amalan budaya yang berbeza. Amalan budaya yang dipegang juga menjadi warisan turun-temurun daripada beberapa generasi. Ada banyak gambaran dan pandangan ahli sarjana tentang budaya Barat. Salah satu ungkapan yang terkenal datangnya daripada As Syahid Syed Qutb: apabila aku ke Barat, aku melihat Islam tanpa Muslim, sementara apabila aku ke Timur, aku melihat Muslim tanpa Islam. Sebagai orang yang berfikir secara rasional dan profesional, setiap bangsa akan membawa satu identiti pegangan budaya yang berbeza.

Perbezaan antara dua atau lebih budaya sememangnya mewujudkan konflik dalam masyarakat. Dalam perkongsian pengalaman selama menetap di bumi England, penulis cuba berkongsi maklumat tentang amalan dan budaya hidup masyarakat di England yang mempunyai perbezaan yang ketara daripada budaya kita di Malaysia.

Budaya negatif tetap wujud di mana-mana, namun yang perlu ialah pendirian serta tanggungjawab kita untuk menerima atau menolak sesuatu budaya itu sendiri. Budaya Barat dan Timur sinonim dengan budaya positif dan negatif, namun terlalu subjektif untuk dinilai dari sudut satu budaya sahaja. Kepercayaan, nilai, dan tingkah laku yang berbeza sememangnya mengundang pertembungan budaya yang dating dari kawasan dan latar hidup yang berlainan. Tidak dapat dinafikan bahawa pegangan agama menjadi satu daripada faktor yang mempengaruhi kebiasaan hidup yang kita pilih dan amalkan.

Budaya Memberikan Ucapan Salam, Doa dan Sikap Berterus Terang

Yang paling menarik dan dirindui sesudah pulang dari England ialah ucapan salam dan doa pada setiap hari yang kita terima daripada rakan dan orang sekeliling yang kita temui. Setiap kali melangkah ke luar rumah dan apabila kita

berjumpa dengan sesiapa di luar rumah, pasti ada sapaan yang bertanyakan sama ada kita sihat ataupun tidak, sama ada kita memerlukan bantuan ataupun sebaliknya. Ucapan yang lazim kita terima ialah how are you today?, are you

alright?, are you OK?, have a good day, good morning darling atau good morning sweety. Sesungguhnya ucapan sebegitu teramatlah manis untuk didengar.

Ucapan serta doa bukan sahaja kita dengar daripada rakan di sekeliling rumah, bahkan ketika berada di kaunter kerajaan, ketika membayar barang di gedung beli-belah atau di mana-mana sahaja yang memerlukan kita berurusan dengan kakitangan lain. Sebelum memulakan sebarang urusan di kaunter kerajaan atau swasta, ayat pertama yang keluar daripada mulut petugas are you alright? dan pastinya dibalas dengan ayat I am OK and how about you?.

Meskipun dianggap biasa-biasa sahaja, perbualan itu mewujudkan hubungan yang baik ketika melakukan urusan. Yang dapat diperhatikan ialah budaya yang mudah sebegitu menyebabkan kedua-dua individu itu sangat berpuas hati dan gembira melakukan tugas masing-masing. Amat mudah untuk bertanyakan khabar. Ada juga yang bertanyakan keadaan keluarga kita, sama ada sihat ataupun tidak.

Kadang-kadang terfikir bahawa ketika berada di Malaysia, amat sukar untuk kita dengar ucapan sedemikian yang datang daripada juruwang atau kakitangan kerajaan dan swasta di kaunter tempat kita berurusan pada setiap hari.

Sekiranya kita menghulurkan bantuan, pastinya apa-apa yang kita lakukan dibalas dengan ucapan thanks a lot and I really appreciate it. Apabila mendengar ucapan sedemikian, kita rasa dihargai dan berusaha melakukan kebaikan pada masa yang akan datang.

Budaya berbudi bahasa sememangnya memberikan makna yang lebih mendalam, sekali gus memotivasikan budaya sifat suka membantu antara satu sama lain. Budaya berterus terang juga menjadi amalan yang patut dipuji meskipun amat sukar untuk diterima. Masyarakat Barat, khususnya, suka dan mudah untuk menyebut I am not happy, I don’t like you, you are so brilliant, atau you are fantastic.

Jika diperhatikan, masyarakat Barat suka menyuarakan isi hati mereka secara berterus terang tanpa berselindung. Adakalanya kita sukar menerima suara hati daripada orang lain tentang diri kita. Sebenarnya melalui budaya suka berterus terang, kita tahu akan kelebihan serta kelemahan diri kita dan kedua-duanya boleh membantu kita memperbaik diri kita.

Artikel ini dipetik dari majalah Dewan Budaya keluaran Februari 2015.

Posted in: Fokus, Pilihan Utama

ANGAN-ANGAN MAT JENIN

Masakan lemak ikan tengalan di Restoran D’Lembah, Kuala Kangsar, memang membuka selera. Sejumlah empat ekor ikan tersebut, yang namanya sainsnya Puntius bulu, “diselesaikan” oleh 18 orang yang menyambut usia jubli emas pada tahun lalu. Pada akhir jamuan tersebut, yang tinggal hanya tulang ikan yang memang banyak tulang itu. Begitulah sedapnya ikan yang dikenal juga sebagai temengalan, yang diperoleh di Sungai Perak yang bersejarah itu. Lima hari kemudian, hanya kelihatan bumbung restoran yang terletak di pinggir Sungai Perak itu. Sebelum ini, sungai tersebut tidak “singgah” di Kuala Kangsar – hanya lalu. Pada kali ini, Sungai Perak mengambil keputusan “mengunjungi” bandar diraja Perak itu. Selama beberapa tahun penulis tinggal di sana pada tahun 1980-an, Kuala Kangsar itu tidak pernah ditenggelami air walaupun hujan turun dengan lebatnya dan air sungainya “tinggi”.

Penduduknya juga terkejut dengan kejadian yang tidak disangka itu. Selain Perak, beberapa buah negeri lain turut mengalami cabaran dan dugaan yang memeranjatkan itu pada akhir tahun lalu dan awal tahun ini. Yang paling teruk terjejas Kelantan sehingga terputus jalan hubungan darat. Tidak ketinggalan juga Pahang dan Terengganu. Bencana air hujan kali ini amat luar biasa. Berbagai-bagai andaian sebab bah dikemukakan, daripada pembalakan haram kepada dosa manusia. Inilah satu daripada “budaya” orang Malaysia – suka menyalahkan orang apabila dilanda malapetaka.

Bantuan yang diterima oleh mangsa banjir amat banyak – makanan, minuman, pakaian dan lain-lain. Di sesetengah tempat, khabarnya lebih daripada cukup. Sebuah akhbar tempatan turut menyiarkan gambar pakaian yang berlebihan di sebuah pusat pemindahan. Kata seorang rakan guru di Kelantan, jika hendak membantu mangsa bah, bawalah paku. Untuk mencari sumbangan membantu mangsa malapetaka, rakyat Malaysia begitu bermurah hati. Barangan yang dikumpulkan amat banyak. Nilainya tidak diketahui. Di merata-rata tempat, tumbuh pusat pengumpulan sumbangan untuk mangsa bah yang diikhtiarkan oleh pelbagai organisasi – kerajaan, swasta dan bukan kerajaan. Sumbangan ini belum termasuk dana kewangan. Inilah budaya molek rakyat negara ini – amat murah menghulurkan sumbangan dan bantuan.

Pada hakikatnya, penduduk Malaysia mampu mengetepikan perbezaan untuk bersatu padu menghadapi satu musuh yang sama. Dalam hal ini, bah. Bayangkan keadaan negara jika budaya ini dapat diamalkan sepanjang masa. Barangkali hal itu hanya angan-angan Mat Jenin.

**********

Daripada-Nya kita datang, kepada-Nya kita pulang. Sidang editor dan warga kerja Dewan Budaya merakamkan ucapan terima kasih kepada dua orang insan yang telah memberikan sumbangan kepada agama, bangsa, dan negara dalam bidang masing-masing dengan cara mereka sendiri semasa hayat di kandung badan. Mereka ialah Sasterawan Negara Dato’ Abdullah Hussein (31 Disember 2014) dan bintang filem Dato’ Mustapha Maarof (15 Disember 2014). Pemergian mereka tetap dirasai, tetapi perjuangan mereka tetap diteruskan oleh mereka yang tinggal. Marilah kita berdoa agar roh mereka ditempatkan dalam kalangan orang beriman.

Armin Azhari Saleh

Artikel ini dipetik dari majalah Dewan Budaya keluaran Februari 2015