Home » 2015 » March

KEMBANG TEATER KANAK-KANAK DI KPAKK

Oleh: Ladin Nuawi

Pentasnya sederhana. Tiada lampu khas untuk pementasan. Tempat duduk penonton terbuka di dalam dewan. Namun begitu, lakonan meyakinkan. Sambutan penonton penuh gemuruh. Mereka mampu “pergi jauh”. Inilah kesan pemerhatian awal ketika menonton teater muzikal kanak-kanak Puteri Beradu oleh mahasiswa ahli Kelabi-culture, Kolej Perkembangan Awal Kanak-kanak (KPAKK), di Damansara Damai, Petaling Jaya, pada 20 Januari 2015 yang lalu.

Pasukan kerja dan pelakon terdiri daripada calon guru yang mempunyai kemahiran khas yang berkaitan dengan kanak-kanak. Tentu sekali mereka mampu mengisi keperluan teater di sekolah tempat mereka bertugas nanti. Namun demikian, ada yang lebih daripada itu yang saya perhatikan. Papan putih dijadikan sebagai tirai latar pentas. Tirai latar pentas dihiasi seperti dinding bilik darjah – ada gambar bunga dan haiwan. Birai pentas dihiasi bunga plastik. Dua tangga kecil di kiri kanan untuk pelakon naik turun pentas. Projektor digunakan untuk memancarkan set istana dan taman. Terkejut juga apabila video digunakan untuk memperkenalkan pelakon.

Tanda gagasan “Teater Wajah Malaysia” ada di KPAKK. Juruacara mengalu-alukan penonton dan persembahan dengan pantun. Begitu juga apabila menutup acara. Sebelum pementasan bermula, ada bacaan doa. Semua mengaminkannya. Terharu juga apabila pelakon sendiri yang membaca doa. Dalam persembahan, ada tarian warisan kita. Mereka menyedari bahawa warisan bangsa perlu diteruskan.

Sebagai teater tanpa peruntukan, maka mereka tong-tong untuk membeli keperluan pentas yang patut, seperti polistirena, bunga plastik dan pewarna, selain bahan yang ada di kolej. Tidak hairanlah jika mereka menggunakan alat mekap sendiri, bukan alat mekap untuk pentas. Pakaian istimewa sendiri digunakan sebagai busana pementasan untuk disesuaikan dengan cerita dunia istana. Lakonan mereka terpuji. Mereka berkeyakinan. Setiap kali mereka menampilkan diri dan melontarkan dialog, sambutan gemuruh daripada penonton. Mereka tidak terpengaruh untuk menokok tambah yang bukan-bukan, apatah lagi untuk “makan lakonan kawan” apabila mendapat sambutan. Tiada kasta dalam lakonan. Inilah yang diperlukan daripada guru apabila berhadapan dengan anak murid. Saya berpandangan bahawa kedua-dua orang pengarah, Nurul Mazzuin Abd. Wahab dan Sahliza Samsul, menyedari hal ini.

Tabik perlu saya berikan kepada pemegang watak Pengawal (Syakinah Sahirul) yang memang menguasai lakonan dan cerita. Setiap kali tampil dan berdialog, dia mampu mencuit reaksi spontan penonton. Perlu saya catat di sini rasa terharu dengannya. Saya meminta semua pelakon utama naik ke pentas untuk sesi fotografi. Dia tetap duduk di bawah. Apabila saya beritahu bahawa lakonannya bernilai pelakon utama, barulah dia sedar dan bersedia bergambar bersama-sama pelakon utama walaupun malu-malu.

Tabik juga wajar diberikan kepada semua barisan pelakon kerana tidak menunjuk-nunjuk kelebihan diri dan watak yang dibawa: Zakaria Ismail (Raja), Sahliza Samsul (Permaisuri), Norizam Abdullah (Puteri Aurora), Abdul Hadrizulkayri Abdul Hasan (Putera Boboiboi), Rahimah Ratag (Pari Hitam), Cathrine Sebarang (Pari Merah), Nazihah Mashuri (Pari Biru), Siti Norhafiain Joli (Pari Hijau/Pokok), Maizahtul Akmal Zaiton (Dayang Kuncup), Norlela Zakaria (Dayang Kembang), Nur Atiqah Abu Seman (Dayang) dan Adila Puteri Md Noh (Pokok).

Saya tidak nampak suasana kelam-kabut menjelang pementasan. Biasanya wibawa penasihat, pengarah, pengurus persembahan (Nur Ain Md. Yusop), dan pengarah pentas (Faika Karim) dapat dijadikan sebagai penilaian kelancaran dan kemurnian persembahan.

Begitulah juga dengan pasukan kerja yang lain, seperti Nantai Delan, Siti Nor Intan Rasyizawati Abd. Rasyid, Nor Syahira Kamaruddin, Nur Izzati Ngali, FathilIzaty Hamdan, Siti Safirah Ismail, Wan Nurul Hawa Wan Azehar, Siti Nor Azreen Ahmad Zaini dan Intan Norasheela Idris. Tanpa sokongan bulat semua yang terlibat, maka pementasan akan menjadi bencana. Patutlah penonton hampir memenuhi dewan.

***

Artikel ini dipetik dari majalah Dewan Budaya keluaran Mac 2015.

Posted in: Pilihan Utama, Teater

CHETTI: JANTUNG BUDAYA PUSAKA BANGSA

Oleh: Ramakrishnan Ramasamy

Bersama-sama Georgetown, Melaka diisytiharkan sebagai Bandar Warisan Dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Bangsa Bersatu (UNESCO) pada 7 Julai 2008. Khazanah warisan sejarah dan kepelbagaian budaya yang ranum dan masih recup melatari kota Melaka hingga hari ini. Mercu tanda, seperti Kota A Famosa, Gereja Christ dan Menara Jam Tan Beng Swee, pasti akrab dalam ingatan setiap warga tempatan atau pelancong yang pernah meramahi bandar raya bersejarah ini. Dari Jonker Street hingga Harmony Street, keadaan pasti menjentik rasa kagum dalam pandangan pengunjung yang khusyuk melangkah menjengah warisan sejarah penuh gemilang rencam budaya. Penduduknya yang terdiri daripada pelbagai kaum turut mewarnai negeri yang bersejarah itu. Antara kaum tersebut termasuklah Chetti yang sudah bertapak sejak zaman kesultanan Melayu Melaka.

Ranum senyum berbunga mesra

Seakrab hati berseri indah

Manis rasa menatap seri puspa

Bersanggul nyonya berkebaya labuh

Anggun menawan menggamit jiwa

Petikan rangkap pertama dalam sajak “Permata Kota Melaka”, secara jujur, memperlihatkan keramahan dan kecantikan kaum Chetti, khususnya wanita, yang berpakaian tradisional mereka, iaitu kebaya labuh dengan dandanan sanggul nyonya, yang pasti memukau hati sesiapa sahaja yang melemparkan pandang. Sajak ini dikarang oleh penulis dalam usaha melepar indera khalayak pembaca tentang keindahan budaya masyarakat peranakan Hindu yang juga dikenali sebagai kaum Chetti Melaka.

Di bawah pemerintahan Parameswara, pelbagai kemudahan disediakan, khususnya untuk pedagang di Melaka. Kemudahan, seperti gudang penyimpanan bekalan dan tempat penginapan, disediakan untuk memudahkan urusan perdagangan antara pedagang dari Arab, China, Indo-China, Sumatera, Kalinangara, Malabar dan pantai Coromandel (Kalinggapatinam, Tamil Nadu, Kanchipuram, Nagapattiam, Mamallapuram dan Kavaripatitinam).

Kawalan keselamatan di perairan Melaka diperkenalkan untuk melindungi pedagang daripada ancaman lanun. Transformasi yang dilakukan oleh Parameswara, selaku pengasas Melaka pada awal kurun ke-14, memungkinkan Melaka berkembang menjadi pelabuhan yang popular dalam kalangan pedagang dan seterusnya menjadikannya sebagai pelabuhan yang termasyhur di Asia Tenggara.

Pedagang dari pantai Coromandel terpaksa tinggal di Melaka untuk satu jangka masa yang panjang, sementara menanti perubahan angin monsun untuk pulang ke India bagi mendapatkan bekalan dan barangan untuk berdagang. Oleh sebab sifat perniagaan mereka yang sedemikian, mereka berdomisil di Melaka dan mengahwini wanita tempatan yang terdiri daripada orang Melayu, Jawa, Batak dan peranakan Cina. Anak yang lahir hasil daripada proses akulturasi dan asimilasi ini bertutur dalam bahasa Melayu, bahasa ibunda ibu mereka. Lama-kelamaan mereka (orang lelaki) mula bertutur dengan menggunakan bahasa Baba Melayu dalam kehidupan mereka.

Wanita Melayu yang sudah berkahwin mengamalkan ajaran Hindu Shaivism yang menjadi pegangan dan amalan tegar dalam kalangan pedagang India. Pada waktu itu, ajaran agama Islam masih baharu dan belum bertapak sepenuhnya di Melaka. Terdapat juga sebahagian kecil komuniti Melayu yang mengamalkan ajaran agama Hindu dan Buddha. Semenanjung Tanah Melayu pada masa itu menjadi sebahagian daripada empayar Srivijaya yang menganuti agama Buddha dan empayar Majapahit yang berpegang pada ajaran Hindu.

Menjelang awal kurun ke-15, populasi Melaka berkembang daripada 6000 orang pada tahun 1413 kepada 40 ribu hingga 50 ribu orang pada tahun 1510. Pada ketika itu, 84 bahasa dituturkan di bumi Melaka, kata Samuel S. Dhoraisingam dalam buku Peranakan Indians of Singapore and Melaka – Indian Babas and Nonyas – Chitty Melaka.

***

Artikel ini dipetik dari majalah Dewan Budaya keluaran Mac 2015.

Posted in: Fokus, Pilihan Utama

HARGAILAH BUDAYA SENDIRI

Beliau berupaya menuturkan dan memahami bahasa asing itu dengan baiknya. Di luar majlis rasmi tersebut dan mungkin dalam majlis yang lain juga, beliau menggunakan bahasa asing itu untuk berkomunikasi dengan mereka yang tidak menuturkan dan memahami bahasa ibundanya. Dengan hal yang demikian, suasana mesra dan saling memahami timbul dengan lebih cepat dan perbualan menjadi lebih rancak.

Ketika menyampaikan syarahan yang dapat dianggap sebagai majlis rasmi, beliau menggunakan bahasa ibundanya walaupun 99 peratus daripada audiens tidak faham akan bahasa tersebut. Penyampaiannya lancar, mungkin kerana menggunakan bahasa ibundanya, dan tidak bercampur aduk dengan bahasa lain. Syarahannya itu kemudiannya diterjemahkan oleh penterjemah untuk disampaikan kepada audiens dalam bahasa tempatan.

Begitulah kuatnya jati diri orang itu ketika berada di luar negara. Walaupun beliau dan audiens mampu menuturkan dan memahami bahasa asing yang sama, beliau tetap menggunakan bahasa ibundanya dalam situasi rasmi. Beliau yakin bahawa ilmunya mampu disampaikan dalam bahasa ibundanya. Beliau yakin bahawa bahasa ibundanya bercirikan bahasa ilmu.

Dua bulan yang lalu, berlaku perbahasan hangat dalam media tentang kenyataan untuk meminda undang-undang yang berkaitan dengan kanak-kanak di negara ini agar selaras dengan konvensyen antarabangsa tentang kanak-kanak. Langkah itu diambil tentunya untuk menambah baik undang-undang itu bagi memberikan lebih perlindungan kepada kanak-kanak di negara ini. Tidak ada sesiapa yang berfikiran waras yang akan membantah pindaan undang-undang tersebut jika mampu memberikan lebih perlindungan kepada kanak-kanak.

Lazimnya apa-apa sahaja yang datang dari dunia lain, terutama dunia Barat, diterima dengan hati terbuka dan sentiasa ingin dijadikan sebagai amalan kerana dikatakan dapat mendatangkan kemajuan. Pindaan undang-undang itu dijangka dilakukan agar sejajar dengan konvensyen antarabangsa tersebut, yang datangnya dari dunia lain itu. Yang baik sentiasa dikatakan datang dari dunia lain itu, sementara kelihatannya yang tidak mencapai tahap baik pada piawaian dunia lain itu datang dari selain dunia itu.

Barangkali inilah yang disebut sebagai sindrom minda tertawan. Kelihatannya sindrom ini masih wujud dalam kalangan tertentu di negara ini, mungkin juga di negara lain juga. “Virus” yang terbaik hanya dari dunia lain, yang terus menular dan mewabak, dan kemudian menawan minda masyarakat. Maka timbullah “penyakit” – apa-apa yang baik hanyalah dari dunia lain itu.

Hari demi hari kita – pastinya bukan semua daripada kita – semakin melupakan budaya kita. Kita semakin tidak menghargai budaya kita. Sebaliknya kita – pastinya juga bukan semua daripada kita – semakin menerapkan budaya dari dunia lain itu dalam kehidupan kita. Kita amat menyanjung budaya dari dunia lain itu, tetapi kita “buta” terhadap apa-apa yang ada di hadapan kita yang datangnya daripada budaya sendiri sehinggalah nasi menjadi bubur.

***

Armin Azhari Saleh