Home » 2015 » April

TAJAU

Oleh Fujica Anggo

Masyarakat peribumi di Sarawak sememangnya kaya dengan keunikan budaya dan warisan turun-temurun. Terdapat 27 kumpulan etnik di negeri itu. Setiap etnik mempunyai bahasa, budaya, warisan, dan cara hidup yang berbeza.Kebanyakan masyarakat Iban tinggal di kawasan Sungai Saribas, Sungai Skrang, Sungai Batang Lupar dan Sungai Rajang. Oleh sebab itu, mereka lebih dikenali sebagai orang laut.

Antara budaya dan warisan yang terkenal dalam kalangan masyarakat Iban termasuklah penggunaan tajau. Dalam menjalani kehidupan harian, masyarakat Iban menggunakan tajau sejak kurun kesembilan. Tajau, atau lebih dikenali sebagai tempayan, begitu sinonim dalam kalangan masyarakat ini. Selain itu, tajau mempunyai sebutan lain, iaitu benda.

Asal usul kewujudan tajau dapat dikesan daripada kegiatan perdagangan pada zaman kegemilangan kesultanan Melayu Melaka. Pada zaman tersebut, Sarawak menjalin hubungan perdagangan dengan kerajaan Melaka. Hasil hutan dan hasil laut Sarawak, seperti lada hitam, emas, sarang burung, halia, kapur barus dan permata, didagangkan di pelabuhan Melaka.

Kemajuan kegiatan perdagangan di Sarawak menarik minat pedagang asing dari Arab, China dan kepulauan Melayu. Mereka berkunjung ke perairan Santubong. Pedagang ini membawa barang, seperti tembikar, barangan logam, sutera, kain dan perhiasan, ke Sarawak.

Pedagang China membawa tembikar untuk ditukarkan dengan barangan pedagang Sarawak dengan menggunakan sistem barter. Inilah titik permulaan bagi masyarakat Iban menjadikan tajau sebagai barang pelbagai fungsi sehingga mempengaruhi kehidupan harian mereka.

Selain itu, mereka mempunyai budaya tradisi menyimpan pasu. Tradisi itu menjadikan pasu berfungsi sebagai harta simpanan. Oleh sebab itu, tajau dianggap sebagai harta pusaka, sesuatu yang bernilai, sesuatu yang perlu dihormati, dan lambang kemegahan warisan keturunan mereka.

Terdapat perbezaan antara tembikar dengan tempayan. Tembikar ialah barang yang diperbuat daripada tanah liat yang dibakar dan digilap sehingga berkilat, seperti cawan, mangkuk dan pinggan. Tempayan pula sejenis bejana yang diperbuat daripada tanah liat untuk menyimpan air dan hanya berwarna perang atau coklat.

Tajau mempunyai pelbagai saiz dan ketinggian. Terdapat 12 jenis tajau yang mempunyai nilai estetika yang tinggi dalam masyarakat Iban, iaitu tajau guchi (paling kecil dan untuk guna-guna), tajau alas, tajau sergiu, tajau ningka petanda, tajau menaga, tajau jabir, tajau menukul, tajau panding, tajau rusa, tajau singaraja, tajau salang-salang dan tajau kelawah indu benda (tajau legenda).

Tajau merupakan satu daripada simbol kekayaan masyarakat Iban. Semakin banyak tajau yang dimiliki, maka semakin kaya si pemiliknya. Hal ini dikatakan demikian kerana tajau berfungsi sebagai tempat penyimpanan beras selepas tamatnya musim menuai.

***

Artikel ini dipetik dari majalah Dewan Budaya keluaran April 2015.

“CERITA” LAGU MELAYU KLASIK

Oleh Muhamad Rafiq Abdul Rahman

Klasik, dalam erti kata lain, ialah abadi nilainya atau tidak berubah mengikut masa. Bagi pemikiran orang biasa, klasik ialah sesuatu benda atau perkara lama yang membawa nostalgia tertentu dalam tempoh masa tertentu.

Namun begitu, dalam muzik klasik, lain pula pendapat dan maksudnya. Muzik ini dikatakan sebagai muzik yang dimainkan sekitar era 50-an atau 60-an. Ada juga pendapat liar yang mengatakan bahawa muzik ini sudah tidak relevan sekarang kerana dunia kini lebih maju dan memerlukan sesuatu yang segar dan lebih rancak irama muziknya.

Persoalannya, benarkah tanggapan sesetengah pihak bahawa muzik klasik tidak lagi mendapat tempat dalam kalangan pendengar pada masa ini? Adakah kemasukan irama muzik Barat dan perubahan “iklim” dunia menyebabkan muzik ini turut senasib dengan barangan antik lain yang lokasi terbaiknya di dalam kotak dan dibungkus rapi untuk dimuatkan ke dalam stor?

Tak kenal maka tak cinta, itu perumpamaan yang mudah untuk menterjemahkan perihal muzik klasik pada hari ini. Cinta lahir melalui jiwa yang benar-benar suci. Melalui jiwa yang ikhlas itu, tanpa paksaan atau gesaan, rasa cinta itu akan tertanam dengan sendiri. Begitulah hal yang sama perlu diadili sebaik-baiknya untuk muzik klasik ini.

Salah dan tidak adil jika seseorang itu, yang tidak pernah cuba untuk mendengar muzik klasik, terus menghukum muzik tersebut sebagai tidak sesuai dan sebagainya. Untuk berlaku adil, dengarlah dahulu irama muziknya dan fahami bait lirik lagunya, silap-silap terus jatuh cinta kerana olahan lagu dan irama yang cukup menyentuh jiwa.

Lihat sahaja menjelang hari raya, lagu klasik yang telah dimodenkan menjadi genre malar segar, berterusan menjadi pilihan pendengar muzik, malah golongan muda tidak ketinggalan menjadikannya sebagai pilihan utama. Selain itu, lagu Tanggal 31, pada era 50-an sebelum dipopularkan semula oleh Sudirman Haji Arshad, hingga kini menjadi santapan halwa telinga pendengar menjelang sambutan kemerdekaan negara kita.

Jika dilihat kembali sejarah lagu klasik yang popular sekitar tahun 50-an dan 60-an melalui filem yang dilakonkan oleh seniman terhebat tanah air, lagu yang dinyanyikan mempunyai kaitan dengan lagu dalam filem Hindustan yang popular pada era tersebut. Dikatakan juga bahawa kebanyakan lagu yang dinyanyikan itu sebenarnya di ciplak daripada lagu asal yang dinyanyikan oleh artis dari India. Adakah hal ini benar-benar berlaku atau sebaliknya?

***

Artikel ini dipetik dari majalah Dewan Budaya keluaran April 2015.

Posted in: Fokus, Pilihan Utama

SATU HUJUNG MINGGU DI BANDAR DIRAJA PERAK

Kejohanan ragbi di Kuala Kangsar itu bertaraf antarabangsa kerana disertai oleh beberapa buah pasukan dari luar negara. Ada dua perkara menarik yang dapat diketengahkan daripada kejohanan itu.

Yang pertama, irama lagu Tari Tualang Tiga, Tanjung Katong, dan Kenek-keneklah Udang berkumandang semasa kejohanan ragbi 7 sebelah MCKK itu. Mungkin hal itu mengejutkan sesetengah orang, tetapi bagi penduduk bandar diraja itu dan mereka yang terlibat dalam kegiatan sukan dengan MCKK, perkara itu biasa sahaja. Hal ini dikatakan demikian kerana ketiga-tiga lagu itu menjadi sebahagian daripada lagu sorak dan pembakar semangat oleh penyokong MCKK. Biarpun seni katanya diubah untuk disesuaikan dengan situasinya, melodinya tetap begitu juga – mungkin nyanyiannya lebih bersemangat oleh sebab keadaannya.

Pada hakikatnya, ketiga-tiga lagu tersebut diberi fungsi baharu sebagai lagu sorak dan pembakar semangat oleh penyokong MCKK sejak lebih daripada 30 tahun yang lalu. Tidak ada sesiapa yang tahu akan sebab lagu tersebut diberi fungsi itu kerana perkara tersebut tidak pernah ditanya dan diberitahukan. Walau bagaimanapun, hal ini menunjukkan bahawa lagu yang demikian, yang mungkin tidak lagi dikenali oleh sebahagian daripada generasi sekarang, akan mendapat tempat dalam kalangan mereka jika diberi nafas baharu yang tidak keterlaluan. Banyak juga lagu Melayu lama yang lain, seperti Tanggal 31, yang menerima nafas baharu dan sebagai akibatnya, kekal dinyanyikan hingga kini, justeru lebih dikenali oleh masyarakat.

Yang kedua, kejohanan ragbi itu dapat dijadikan sebagai satu daripada tarikan pelancongan di Kuala Kangsar. Dalam kejohanan terbaharu pada akhir bulan Februari yang lalu, kelihatan kenderaan dengan nombor pendaftaran negara jiran di utara dan selatan tanah air diletakkan di tepi jalan berhampiran dengan lokasi kejohanan. Tidak cukup dengan itu, kelihatan juga orang berkulit putih di situ, dalam keadaan yang kurang selesa kerana cuaca yang panas. Tentu sekali mereka berada di situ untuk menonton kejohanan tersebut, yang dianjurkan sejak tahun 2011, dan pastinya untuk memberikan sokongan tidak berbelah bahagi kepada pasukan harapan mereka.

Dengan pelibatan Tourism Malaysia sebagai satu daripada rakan kerjasama kejohanan itu (menterinya, Dato’ Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, turut singgah menyaksikan beberapa perlawanan), pelan pelancongan yang lebih teratur perlu disusun untuk menarik perhatian pelancong tempatan dan luar negara mengunjungi Kuala Kangsar dan sekitarnya. Banyak tempat menarik yang dapat dikunjungi, seperti Masjid Ubudiah, Jambatan Victoria, dan tinggalan pertahanan Inggeris ketika Perang Dunia Kedua di Jambatan Iskandar, selain menikmati masakan pindang ikan sungai dan melihat cara pembuatan labu. Manfaatnya dapat dikongsi oleh penduduk tempatan, dari segi ekonomi khususnya, dan pelancong, dari segi penambahan pengetahuan, misalnya.

*****

Daripada-Nya kita datang, kepada-Nya kita pulang. Sidang editor dan warga kerja Dewan Budaya merakamkan ucapan terima kasih kepada seorang pujangga Melayu tersohor yang telah memberikan sumbangan yang tidak ternilai kepada agama dan bangsa. Dr. Tenas Effendy dijemput oleh Penciptanya pada 28 Februari 2015 yang lalu di Pekanbaru, Riau, Indonesia. Pemergiannya akan dirasai, tetapi perjuangannya akan tetap diteruskan oleh mereka yang tinggal. Marilah kita berdoa agar rohnya ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman.

Armin Azhari Saleh

Artikel ini dipetik dari majalah Dewan Budaya keluaran April 2015.

KANDUNGAN DEWAN BUDAYA BIL 4.2015

Posted in: Pilihan Utama, Umum