Home » 2015 » May

ISTANA BUDAYA KENA MAIN

Oleh Ladin Nuawi

Jalan cerita teater Kena Main mudah sahaja. Empat orang insan cacat pelihatan mencari rezeki melalui muzik di kaki lima ibu kota. Mereka hendak diambil kesempatan oleh Mat Pit (Rodhi Md. Noor) yang mengetahui bahawa Mona (Aida Othman) lari dari rumah dan bapanya telah membuat laporan polis.

Helah Mat Pit dapat dipatahkan oleh mereka. Mereka dipelawa oleh aktivis masyarakat, Laila (Azizah Mahzan), dan peguam, Jamil (Azman Hassan), untuk mengadakan persembahan amal Persatuan Kebajikan Orang-orang Kurang Upaya. Laila dan Jamil juga membantu menyelesaikan masalah Mona.

Adakah semudah itu untuk bercerita perihal dunia orang cacat pelihatan serta muzik/lagu kegemaran mereka? Adakah mudah untuk membawa warna mereka di ibu kota dalam naskhah dan pentas? Untuk saya, tidak. Kita kena kenal akan sifat, sikap, dan pemikiran mereka, sekali gus cabaran harian yang dihadapi oleh mereka. Khalid Salleh, yang lebih mesra dipanggil Wak Khalid, amat arif dengan dunia mereka kerana dia sendiri membesar di kaki lima ibu kota. Namun begitu, untuk naskhah Kena Main, Wak Khalid memilih bahasa yang murni sahaja.

Betapa orang buta menggunakan telinga dan hidung untuk mengesani orang di sekeliling mereka sehingga mereka dapat menangkap Mat Pit. Di samping itu juga, mereka dapat menerima keikhlasan Laila dan Jamil. Yang jelas, mereka hanya buta mata, bukan buta di dalam perut.

Keempat-empat watak buta diberi warna yang berbeza walaupun semua mampu bernyanyi dan bermain alat muzik. Jusuh (Ebby Saiful Ali) disegani oleh semua rakannya. Daud (Sani Sudin) bercita-cita besar, hendak menjadikan Mona sebagai artis, dan ada maksud tersirat bahawa kemampuan orang kurang upaya wajar diketengahkan. Sepadanya Daud ada jatuh hati kepada Mona. Mona pula mewarnakan hatinya kepada Pie (Eman Manan). Mona yang bendul sanggup lari dari rumah untuk mendapatkan kasih sayang dan perlindungan. Pie pula kaki sakat, tetapi daya fikirnya tinggi.

Selayaknya mereka hidup di jalanan, maka pertuturan mereka hanya bahasa jalanan. Perkataan Inggeris yang digunakan yang biasa-biasa sahaja dengan bibir kita. Namun begitu, tiada satu ayat pun yang kesat dan kasar. Bahasa mudah juga digunakan untuk menerangkan nilai keagamaan.

Wak Khalid membawa kita berfikir tentang rezeki dan ibadah melalui percakapan antara Daud dengan Pie. “Mana datangnya ibadah pula? Ini main muzik, tak boleh disamakan dengan ibadah.” Kata-kata Daud itu dijawab oleh Pie, “Kau ada kerja lain selain dari main muzik untuk menyara hidup kau?” Daud mengakui bahawa itulah punca rezekinya dan tidak salah dalam konteks mencari keredaan Allah. Pie menyimpulkannya dengan pertanyaan, “Jadi, mencari rezeki itu termasuk dalam konteks ibadah atau haram jadah?”

Pemuzik cacat pelihatan mudah ditemui di kaki lima ibu kota. Namun begitu, bagaimana hendak menjiwai watak mereka? Bukannya mudah untuk menyelami jiwa mereka. Selain Wak Khalid, Rodhi Md. Noor/Rodi, Sani Sudin, Ebby Saiful Ali, dan Eman Manan memang sudah sedia rapat dengan dunia kaki lima ibu kota. Aida Othman yang membesar dengan kumpulan teater Bakawalee, Pulau Pinang, dipilih khas oleh Wak Khalid kerana kesungguhannya dalam berteater.

Kes Rudi menarik untuk dirakamkan di sini. Rodi, yang hampir 10 tahun meninggalkan dunia seni drama televisyen, filem dan teater, berjaya dijejaki persembunyiannya oleh Wak Khalid. Dia diambil kembali untuk memainkan watak Mat Pit/penagih yang pernah dipegangnya sejak pementasan pertama pada tahun 1992 sehingga pementasan keempat ini.

***

Artikel ini dipetik dari majalah Dewan Budaya keluaran Mei 2015.

Posted in: Pilihan Utama, Teater

SULTAN CERMINAN RAKYAT

Oleh Muhamad Rafiq Abdul Rahman

“Ketahuilah! Kamu sekalian adalah sebagai penjaga dan kamu bertanggungjawab terhadap orang yang di bawah jagaannya. Raja yang memerintah rakyat adalah sebagai penjaga dan bertanggungjawab terhadap rakyatnya …” – Sahih Muslim

Itulah antara peringatan Nabi Muhammad kepada raja yang memerintah sesebuah negara. Raja dianggap oleh rakyat sebagai pemimpin yang disegani, atau lebih tepat sebagai cerminan tingkah laku, keperibadian, kehidupan, dan pegangan agama sesebuah negara. Negara akan maju jika rajanya mempunyai cita-cita yang tinggi dan pemikiran yang kritis dan kreatif. Negara juga boleh berjaya tanpa sebarang masalah sekiranya rajanya sentiasa “memandang” ke bawah dan tidak berterus-terusan mendongak ke langit.

Jika diimbas kembali sekitar tahun 1400 hingga 1403, seorang putera bernama Parameswara, yang berasal dari Palembang berketurunan Srivijaya, telah melarikan dari Temasek ke pantai barat Semenanjung Melayu kerana khuatir ditawan oleh seorang putera Srivijaya dari Bentan bernama Sang Nila Utama. Penghijrahan Parameswara membawa lembaran baharu kepada kawasan tersebut apabila dia menubuhkan kerajaan yang dikenali sebagai Melaka.

Yang menariknya, sekitar tahun 1414, Parameswara memeluk agama Islam sebelum berkahwin dengan Puteri Ratna, anak Sultan Makhdum Alaiddin Malik Muhammad Amin Syah II, Raja Perlak. Pengislaman Raja Iskandar Syah (nama Islam Parameswara) membuka satu lagi sejarah baharu kepada Melaka apabila keseluruhan rakyat Melaka turut mengikuti jejak langkah rajanya dan tersebarlah seantero dunia Melaka sebagai negara Islam.

Terang lagi bersuluh bahawa raja cukup dekat dan berpengaruh dalam segala perkara pada ketika itu. Hal ini dikatakan demikian kerana bagi rakyat, raja orang yang cerdik dan mempunyai daya kepemimpinan dan pemikiran yang luar biasa berbanding dengan rakyat biasa. Oleh itu, apa-apa yang dilakukan oleh raja pasti dituruti oleh rakyatnya dan mereka sama sekali tidak membantah.

Persoalannya, adakah senario itu masih kekal hingga hari ini dengan rakyat masih menganggap sultan sebagai pemimpin yang disegani dan dijadikan sebagai suri teladan? Adakah sultan pada hari ini sudah mula berterus-terusan mengejar bulan dan bintang sehingga lupa rumput yang memasak begitu rapi di bumi?

Semasa kemangkatan Sultan Azlan Muhibbuddin Shah, kebanyakan rakyat Perak, baik yang menetap di negeri itu mahupun yang berada di luarnya, hiba dan sayu atas pemergian sultan yang cukup baik terhadap rakyatnya. Menurut Norazie Seman, 32 tahun, walaupun tidak berpeluang bertemu muka dengan Almarhum, rasa sedih sangat terasa semasa kemangkatan baginda.

“Walaupun tegas dan merupakan mantan hakim negara, baginda tetap orang yang penyayang dan mudah didekati serta boleh mendengar pandangan dan buah fikir rakyatnya,” jelas Janati Ibrahim, Pengarah Galeri Sultan Azlan Shah, yang kerap menemui Almarhum ketika mengurus hal rasmi tentang galeri tersebut.

Itu merupakan pandangan ikhlas daripada dua orang rakyat biasa yang merasai kehadiran (dan kemudiannya kehilangan) sultan. Walaupun tidak pernah bertemu, keprihatinan Almarhum dirasai oleh Norazie. Bukankah filem Melayu klasik sering memaparkan babak sultan dan rakyat dan hal yang memaparkan konsep kebersamaan raja dan rakyat? Kata-kata “raja yang adil raja disembah, raja yang zalim raja disanggah” sering kali mengingatkan kita akan pentingnya seseorang sultan memahami dan mendekati jiwa dan kehidupan rakyat.

Hal ini dikatakan demikian kerana kedua-duanya saling memerlukan, seperti kata pepatah bagai isi dengan kuku. Tiada rakyat, maka raja tidak akan berupaya memerintah dan mentadbir urus kerajaan yang dikuasainya. Tanpa raja pula, yakni pemimpin utama sesebuah negara, rakyat pasti hilang arah dalam menentukan hala tuju kerajaan yang didudukinya.

***

Artikel ini dipetik dari majalah Dewan Budaya keluaran Mei 2015.

Posted in: Fokus, Pilihan Utama

RAJA UNTUK RAKYAT, RAKYAT UNTUK RAJA

Dalam masa tujuh minggu, dua peristiwa bersejarah dan penting, yang jarang-jarang berlaku, berlangsung. Peristiwa pertama berlaku di Johor Bahru pada 23 Mac yang lalu apabila Sultan Ibrahim dimahkotakan sebagai Sultan Johor kelima dalam era moden sejak tahun 1886. Peristiwa itu dikenali sebagai istiadat kemahkotaan – yang keempat dalam sejarahnya – kerana hanya negeri Johor yang memahkotakan sultannya. Peristiwa tersebut kali terakhir berlangsung pada tahun 1955.

Peristiwa kedua berlangsung di Kuala Kangsar pada 6 Mei apabila Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ditabalkan sebagai Sultan Perak ke-35 sejak kesultanan negeri itu diasaskan pada tahun 1528. Majlis tersebut dikenali sebagai istiadat pertabalan kerana, kecuali Johor, negeri lain menabalkan sultan atau raja sebagai pemerintah negeri. Di Perak, istiadat itu berlangsung untuk kali terakhirnya pada tahun 1985.

Pada hakikatnya, bagi sebahagian besar rakyat negara ini, terutama orang Melayu, penghormatan mereka terhadap institusi raja masih tinggi. Bagi mereka, institusi tersebut masih mempunyai peranan penting dalam sistem pentadbiran dan kehidupan sosial hari ini. Meskipun kini negara mengamalkan sistem raja berperlembagaan, institusi raja masih mendapat perhatian yang tinggi, khasnya dalam kalangan orang Melayu.

Sejak negara mencapai kemerdekaan, raja Melayu menjadi raja berperlembagaan. Keadaan ini kekal hingga kini dan dijangka terus kekal kerana raja dan rakyat sedar dan insaf akan hakikat betapa masing-masing saling memerlukan dan lengkap-melengkapi. Hubungan yang terganggu atau tergugat mampu merosakkan dan meruntuhkan kedaulatan negara dan keharmonian yang dibina zaman-berzaman.

Oleh itu, sikap biadab golongan tertentu, yang didorong oleh emosi, terhadap institusi raja, seperti yang berlaku di Ipoh baru-baru ini, memang mendukacitakan dan sepatutnya tidak berlaku. Yang lebih mendukacitakan ialah golongan tersebut kelihatannya diketuai oleh orang Melayu, yang sepatutnya mempertahankan institusi raja. Enam tahun yang lalu, kalangan itu bertindak sedemikian juga terhadap institusi raja.

Biarpun era raja berkuasa mutlak telah digantikan oleh zaman raja berperlembagaan, fungsi institusi raja tetap relevan. Sebagai raja berperlembagaan, seseorang raja menjadi payung kepada rakyat dan negeri. Seseorang raja menjadi raja kepada semua pihak tanpa mengira fahaman, kepercayaan, anutan, atau keturunan dan kaum. Selagi hal itu diamalkan, selagi itulah hubungan antara raja dengan rakyat tidak akan terpisah. Raja untuk rakyat, rakyat untuk raja.

Sehubungan dengan itu, ada baiknya kita kembali kepada persetiaan antara Sang Sapurba, yang mewakili raja, dengan Demang Lebar Daun, wakil rakyat, seperti yang disebut dalam Sejarah Melayu. Persetiaan tersebut menerangkan peranan dan tanggungjawab masing-masing dengan jelasnya. Sistem beraja di negara ini akan terus kekal dan relevan selagi persetiaan itu difahami, dihayati, dihormati dan tidak dipertikaikan.

***

Armin Azhari Saleh

Artikel ini dipetik dari majalah Dewan Budaya keluaran Mei 2015.