Home » 2015 » June
Comments Off

PAWANG ANA SEBUAH HIKAYAT

Oleh Zabidi Ismail

Pawang Ana

asal Sumatera

ketika menetap di Kampung Rao

yakni nama kini pekan Gopeng

acap kali menuturkan cerita lisan

saban malam bertingkah lidah

berkisah seperti air mengalir

berkisah seperti angin menderu

bercerita tentang kayangan

bercerita tentang pengembaraan

dari bumi ke langit

dari langit ke gunung

dari bukit ke lurah

dari Nusantara ke Eropah

dari daratan ke pelabuhan

luar biasa daya ingatan

melebar plot, mengajuk dialog

kisah bertukar menjadi hikayat

ada plot, unsur suspens, klimaks

dan antiklimaks

demikian Pawang Ana

seorang penglipur lara

yang punya banyak cerita lisan

bergaya macam seniman.

Mayat Sejarah

Pawang Ana

tersohor di Gopeng kerana bijak bercerita

saban malam hari dia berkisah

tentang cerita rakyat

tentang lima hikayat

jika tidak bercerita

dia membuka langkah silat

serimau itom seni pertahan diri

selama dua dekad di sini

baktinya terserlah di Pasir Salak

dia menemukan mayat Birch pada 1875

membantu British yang tenggelam minda

tiga hari tiga malam mayat sejarah itu

tersembunyi di perut Sungai Perak.

Guru Silat

Pawang Ana bukan sebarang pawang

dia bukan penyelam tetapi pendekar

dia guru silat serimau itom

cantuman berpuluh-puluh bunga langkah

gayung, cekak, sendeng dan lintau

gelanggangnya di tepi bendang

berpagar jamung pelepah pinang

waktu malam pekat, pekik suara tepis-menepis

serimau itom diajarkan dengan pencak berlapis;

dia guru berilmu menundukkan harimau tempang

KEMASYHURAN PERKAPALAN MELAYU

Oleh Muhamad Rafiq Abdul Rahman

Hebatnya orang Melayu mampu mengelilingi dunia tanpa menggunakan kompas dan paku. Hebatnya orang Melayu boleh belayar dari utara ke selatan, timur ke barat dunia, dengan hanya menggunakan bintang sebagai penunjuk arah dan kayu sebagai pengangkutan utamanya.

Kemasyhuran orang Melayu dalam dunia perkapalan sememangnya digeruni dunia. Eropah, yang cuba menyembunyikan kehebatan perkapalan dan pelayar Melayu, juga akhirnya termakan diri sendiri apabila banyak catatan dari benua tersebut menyebut perihal kehebatan Panglima Awang.

Persoalannya sekarang, adakah kemasyhuran itu masih kekal dan mempunyai legasi turun-temurun oleh orang Melayu pada hari ini? Adakah penciptaan kapal yang pernah menggegarkan lautan dunia hasil binaan orang Melayu tanpa menggunakan pelan dan hanya berdasarkan pengalaman itu kekal bertahan hingga hari ini atau seperti telur di hujung tanduk?

Terengganu, yang merupakan negeri yang mempunyai keluasan pantai dan laut yang luas dan panjang di Semenanjung, mempunyai tukang kapal antara 60 orang hingga 100 orang sekitar tahun 1950-an. Hal ini membuktikan betapa rancaknya dunia perkapalan dibangunkan di negeri tersebut pada masa itu.

Hari ini, keadaan itu seperti senja yang kian meninggalkan siang untuk bertemu dengan sang malam yang gelap. Kelam dan muram. Setelah tsunami pemodenan kehidupan masyarakat setempat, yang tinggal tidak sampai lima orang sahaja pengusaha atau lebih tepat pembuat bot tradisional ini.

Lebih parah apabila mereka juga semakin kesempitan kerana proses modenisasi perkapalan terus-terusan meninggalkan nilai pusaka bangsa yang pernah suatu ketika dahulu menjadi kemasyhuran dan bualan penduduk dunia. Mengapakah hal ini boleh berlaku? Tiadakah usaha yang dapat dilakukan oleh mereka yang berkuasa untuk menyelamatkan khazanah yang cukup bernilai ini? Adakah kita hanya mampu melihat legasi tersebut terus ditelan masa dan akhirnya generasi seterusnya hanya dapat melihat kehebatan orang Melayu di muzium?

Ibarat retak menanti belah!

Sumber dari China mencatatkan kehadiran kapal Melayu (kun-lun po/po) di pelabuhan tenggara China pada abad pertama. Ada antara kapal yang berlabuh di perairan tersebut besarnya sehingga mencecah 50 meter panjang dan timbul di permukaan air empat atau lima meter.

Kapal tersebut berupaya membawa kargo seberat antara 250 hingga 1000 tan dan penumpang seramai 600 orang hingga 700 orang. Terdapat juga kapal yang mampu membawa 1000 orang selain kargo. Itu cerita ratusan tahun dahulu.

Kini senarionya sudah berubah. Berubah sehingga 360 darjah! Kapal sebesar itu tidak lagi dibina di Tanah Melayu (kini Malaysia). Yang lebih sadis, kapal kecil yang membawa simbolik serta tanda kegemilangan Melayu kian sepi kerana banyak faktor.

***

Artikel ini dipetik dari majalah Dewan Budaya keluaran Jun 2015.

Posted in: Fokus, Pilihan Utama

LANCANG KUNING MEREDAH SEGARA LUAS

Hingga kini, Ferdinand Magellan disebut sebagai manusia pertama yang berjaya belayar mengelilingi dunia oleh sejarawan berdasarkan bukti yang ada, terutama yang dikemukakan oleh sarjana Barat. Hal ini menyebabkan kita tidak melihat kemungkinan bahawa ada orang lain yang sepatutnya diangkat sebagai orang pertama yang mengelilingi dunia. Menurut Dr. H. M. Tuah Iskandar, oleh sebab terlalu mengagungkan Barat, kita lupa bahawa orang Melayu yang pertama mengharung samudera raya mengelilingi dunia.

Nama yang diberikan kepada orang Melayu ini, yang diketahui, banyak juga – Awang atau Hitam oleh cendekiawan tempatan; Enrique, Henry, Henrich, Ariberto atau Espinosa oleh pengkaji Barat. Nama Awang pun hanya diberikan oleh Harun Aminurrashid pada tahun 1958 dalam novel Panglima Awang. Nama sebenarnya memang tidak diketahui hingga sekarang dan besar kemungkinan tidak akan diketahui. Walau bagaimanapun, semua nama itu dikatakan merujuk lelaki yang sama – seorang pahlawan Melaka yang terbabit dalam peperangan antara Melaka dengan Portugis, yang kemudiannya belayar bersama-sama Magellan.

Menurut catatan Antonio Pigafetta, selepas kejatuhan Melaka ke tangan Portugis pada tahun 1511, Awang dijadikan sebagai hamba di dalam kapal Magellan. Kemudian Magellan membeli Awang daripada Alfonso de Albuquerque, panglima Portugis yang memimpin serangan terhadap Melaka, di Goa. Zabidin Ismail berpendapat bahawa Awang dibeli oleh Magellan kerana kebolehannya mengendalikan bahtera. Hal ini bukanlah aneh kerana bangsa Melayu memang memiliki ilmu pelayaran dan ilmu perkapalan yang tinggi. Kalau nakhoda kuranglah faham, alamatnya kapal akan tenggelam.

Menurut Hasrina Baharum yang memetik Mohd. Rohaizat Abdul Wahab, teks klasik China abad kelima dan ketujuh mendedahkan bahawa orang dari alam Melayu memiliki kapal yang mampu membawa 1000 orang, selain muatan antara 250 hingga 1000 tan. Kelihatannya kapal tersebut hampir-hampir menyamai kapal persiaran zaman sekarang, mungkin juga Titanic, pastinya lebih besar daripada Flor de la Mar jika kita melihat replikanya di Melaka atau kapal milik Jack Sparrow dalam filem The Pirates of the Caribbean.

Hal ini memberikan gambaran bahawa pembina kapal tersebut memang hebat orangnya, yang mempunyai kemahiran yang tinggi, yang memang arif dalam bidangnya. Inilah yang disebut sebagai kearifan tempatan. Oleh itu, tidak mustahil juga jika bahtera pada waktu itu digunakan bukan sahaja untuk urusan ketenteraan dan perdagangan serta pelanunan, malah perkhidmatan kapal penumpang yang menghubungkan beberapa buah petempatan, yang tentunya memerlukan kajian lanjut.

Bagai aur dengan tebing, laut dan bangsa Melayu memang tidak dapat dipisahkan. Bangsa Melayu bangsa maritim. Laut menjadi tempat permainan mereka. Sejarah maritim Melayu dikatakan wujud sejak zaman neolitik, lebih daripada 6000 tahun yang lalu – tempoh yang begitu lama. Tentunya banyak kejayaan maritim Melayu yang tidak tercatat kerana bangsa itu mungkin pencatat yang kurang baik. Maka tidak mustahil jika Lancang Kuning telah meredah segara luas meneroka benua Amerika lebih awal daripada Christopher Columbus.

Armin Azhari Saleh

***

Artikel ini dipetik dari majalah Dewan Budaya keluaran Jun 2015.